Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Fasa pertama pembinaan Masjidil Haram dibuka
- Serangan mortar dekat hotel di Damsyik
- 13 terbunuh taufan landa Filipina
Fasa pertama pembinaan Masjidil Haram dibuka Posted: Fasa pertama pembinaan Masjidil Haram dibuka
MEKAH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam mengarahkan pembukaan fasa pertama peluasan Masjidilharam di sini bagi menghadapi musim haji, lapor akhbar Saudi Gazette semalam. Fasa itu turut meliputi pelebaran tingkat pertama dan ruang mezanin di bangunan tersebut. Projek peluasan itu bertujuan untuk menempatkan kira-kira 450,000 jemaah haji di Masjidilharam. Sejurus projek itu disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 10 bulan, kapasiti Masjidilharam akan dapat ditingkatkan kepada 1.6 juta jemaah. Fasa yang telah disiap itu akan dilengkapi dengan kemudahan tangga bergerak untuk kemudahan para jemaah haji.
Tangga bergerak itu juga akan menyediakan akses untuk jemaah pergi ke kawasan air zam-zam. Kemudahan penyaman udara, lampu, sistem kebakaran dan audio juga disediakan di kawasan tersebut. Projek peluasan sepenuhnya Masjidilharam itu melibatkan kawasan seluas 1,300,000 meter persegi. Ia turut melibatkan kemudahan perkhidmatan terowong dan sistem pengangkutan awam. Pihak berkuasa Arab Saudi menjangkakan sejumlah dua juta jemaah akan melakukan ibadah haji pada tahun ini. Angka tersebut jauh menurun berbanding jumlah 3.2 juta jemaah pada tahun lalu. Pengurangan itu antara lain berpunca daripada kerja pembesaran di kawasan sekitar Masjidilharam. - Agensi | ||
Serangan mortar dekat hotel di Damsyik Posted: Serangan mortar dekat hotel di DamsyikBEBERAPA orang menyaksikan sebuah kereta yang musnah akibat serangan mortar di dataran Al-Nijmah, Damsyik semalam. DAMSYIK - Dua serangan mortar berlaku dekat sebuah hotel yang menjadi tempat penginapan kumpulan pemeriksa senjata kimia dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam. Seorang budak lelaki berusia lapan tahun terbunuh dan 11 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di kawasan Abu Roumaneh, Damsyik. Letupan tersebut berlaku kira-kira 300 meter dari Hotel Four Seasons yang menjadi tempat tinggal kumpulan yang memeriksa senjata kimia milik rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad selain kakitangan PBB. Hotel tersebut masih dibuka selepas kejadian itu. Kumpulan penentang Bashar kerap melancarkan serangan mortar dari pinggir Damsyik ke kawasan yang dikuasai tentera Bashar. Pada minggu lalu, serangan yang sama telah menyebabkan lapan orang terbunuh. Para pemeriksa senjata kimia dari Organisasi Larangan Senjata Kimia dan sejumlah kakitangan PBB berada di Syria sejak dua minggu lalu. Kumpulan tersebut berada di negara ini untuk memusnahkan senjata kimia milik rejim Bashar. Syria dilanda peperangan saudara sejak Mac 2011 apabila sebahagian penduduk bangkit menentang kepimpinan Bashar yang dianggap korup dan gagal membawa pembaharuan dalam demokrasi. Lebih 100,000 orang dilaporkan terbunuh dalam peperangan yang berlanjutan sehingga kini. - Agensi | ||
13 terbunuh taufan landa Filipina Posted: 13 terbunuh taufan landa FilipinaSEBUAH bas melalui sebatang jalan raya yang dilanda banjir akibat taufan Nari yang melanda San Ildefonso, wilayah Bulacan, utara Manila semalam. MANILA - Seramai 13 orang terbunuh apabila taufan Nari melanda bahagian utara Filipina, kata beberapa pegawai semalam. Taufan tersebut menyebabkan banyak pokok tumbang, bekalan elektrik terputus dan banjir melanda kebanyakan kawasan di negara berkenaan. Ribut kencang bertiup selaju 120 kilometer sejam (km/j) dan meningkat sehingga 150km/j itu berlaku di wilayah utara Aurora pada lewat petang kelmarin, kata sebuah pejabat biro kaji cuaca. Hujan lebat dan angin kencang itu menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh, banjir dan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di lebih 30 pekan dan bandar, kata Pejabat Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan. Jurucakap pejabat itu, Rey Balido berkata, lima daripada 13 mangsa itu terbunuh apabila beberapa batang pokok tumbang ke arah rumah dan sebuah kenderaan. Menurut Pertubuhan Palang Merah Filipina, di beberapa kawasan, air banjir yang melanda mula naik sehingga ke paras dua meter. Seorang saksi, Glenn Diwa, 34, berkata, dia dan suaminya tidak dapat tidur nyenyak pada malam itu kerana taufan tersebut mula melanda pekan Capas yang terletak 90km di utara Manila sebelum tengah malam. "Angin bertiup terlalu kuat dan kedengaran seperti bunyi wisel. Selepas itu, kami terdengar kepingan bumbung rumah tertanggal," katanya kepada AFP. Jurucakap Majlis Bencana Filipin, Ray Balido berkata dalam satu sidang media, sebanyak 8,414 rumah musnah manakala pejabat pertahanan sivil ibu kota Luzon mendakwa sebanyak 37 buah bandar dan pekan yang diduduki 2.1 juta penduduk terputus bekalan elektrik. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |