Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Hunny tidak lupakan nyanyianHUNNY mahu meneruskan perjuangan sebagai penyanyi dengan mencuba genre baharu seperti hip hop dan R&B. APABILA melihat kepada perkembangan dalam industri muzik tempatan sekarang ini, tidak dinafikan terdapat beberapa orang penyampai radio yang telah memilih nyanyian sebagai bidang kerjaya. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Adibah Noor, Dina Nazir, Aril AF dan Zahid AF, sudah tentu mereka perlu berhadapan dengan risiko dan cabaran getir yang terpaksa dilalui. Paling ketara pastinya lagu-lagu mereka yang kurang disiarkan di stesen-stesen radio lain memandangkan status mereka sebagai seorang penyampai di sesebuah stesen radio tersebut. Bagi seorang lagi penyampai radio stesen berbahasa Inggeris, Fly FM, Hunny Madu beranggapan bahawa ia seharusnya tidak perlu menjadi halangan besar kerana masih banyak medium lain yang boleh digunakan. "Saya akui lagu-lagu saya agak jarang dimainkan di stesen radio lain tetapi saya anggap ia sebagai satu cabaran yang perlu dilalui sekiranya mahu menjadi seorang penyanyi yang berjaya serta menghasilkan produk berkualiti. "Lagipun dengan teknologi yang ada sekarang ini, terdapat beberapa cara lain yang boleh digunakan seperti promosi menerusi YouTube. Saya berpendapat bahawa ia merupakan satu pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Tidak menafikan bahawa peranan stesen radio itu masih lagi penting buat penyanyi tetapi Hunny enggan menjadikan kesukaran yang terpaksa ditempuhi itu akan mematahkan semangatnya untuk terus bergelar penyanyi. Menceritakan lebih lanjut mengenai kariernya dalam bidang nyanyian, Hunny menyatakan yang dia masih lagi terus aktif. Bagaimanapun, tawaran yang diterimanya sekarang ini menjurus kepada bidang pengacaraan dan penyampai radio. Ujar Hunny, apa yang dilakukannya sekarang ini semuanya disebabkan minat. Lantaran itu dia terpaksa membahagikan masa agar ia dapat berjalan dengan lancar dan tidak menjejaskan sebarang aktiviti yang dilakukan. "Mungkin ramai peminat menyangka yang saya seperti sudah merajuk untuk terus aktif menyanyi gara-gara pernah meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan pencalonan untuk Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18). "Sebenarnya saya sudah melupakan perkara tersebut dan ingin memohon maaf atas ketelanjuran kata-kata saya dahulu. Sejujurnya saya tidak merasakan kekurangan mendapat tawaran membuat persembahan nyanyian berpunca daripada isu tersebut," luahnya. Akur dengan kehendak banyak pihak yang lebih kerap menawarkannya menjadi pengacara, Hunny sedar bahawa perkara berkenaan berlaku gara-gara dia pernah melupakan seketika bidang nyanyian kerana berbadan dua pada tahun lalu. Menurutnya, dalam keadaan dirinya yang hamil agak membataskannya untuk melakukan banyak aktiviti, akhirnya keputusan dibuat bagi memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan sahaja. "Itu antara punca utama saya tidak aktif menyanyi dan bukan disebabkan merajuk kerana kekecewaan yang melanda semasa AIM 18. "Kini, saya sudah kembali aktif menyanyi dan tawaran nyanyian yang diterima semakin banyak," jelas selebriti berusia 29 tahun itu. Album baharu Pada tahun 2011, impian Hunny Madu untuk menghasilkan album telah terlaksana dengan terbitnya album berjudul Pulau Janji yang mengandungi sebanyak 12 buah lagu termasuk Melayu dan Inggeris. Antara lagu-lagu tersebut seperti 3 Perkara, Bayangkanlah, Out There, Ting Ting, Dari Masa Hadapan, Shake, Miss Strong, Pulau, Berlari dan Luxe Life serta dua buah lagu duet iaitu Kisah Kita bersama Anuar Zain dan Hey R yang menampilkan Najwa Mahiaddin. "Kalau menceritakan tentang album berkenaan, saya bersyukur kerana mendapat maklum balas positif dari- pada peminat. Meskipun dari segi penjualan tidak begitu memberangsangkan, saya telah melakukan yang terbaik dengan kelainan yang ditampilkan. "Pada masa yang sama saya amat gembira kerana mendapat peluang untuk berkolaborasi dengan Najwa dan Anuar. Saya cukup meminati vokal kedua-dua penyanyi tersebut dan ia merupakan satu penghargaan buat diri sendiri kerana kesudian mereka untuk bekerjasama dengan saya," ujarnya. Ketika ditanya mengenai penerbitan album baharu pula, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan, dia sedang mencuba genre muzik baharu dan mahu fokus untuk menghasilkan lagu-lagu hip hop dan R&B yang dapat memenuhi cita rasa peminat. Jelas Hunny, dia mempunyai sasaran tersendiri untuk meletakkan penyanyi rap wanita setanding dengan lelaki dan kini dia sedang dalam proses menyiapkan beberapa buah lagu bersama penyanyi rap wanita terkenal iaitu Kayda Aziz yang juga anak kepada penyanyi Sheila Majid. "Sebenarnya saya dan Kayda tergolong dalam kumpulan Hip Hop yang dikenali sebagai Flow Fam XXII. Selain kami berdua, terdapat individu lain yang menyertai kumpulan ini seperti Sona One, Karmal, Dose Two, DJ Guibo, Sleeq dan Akeem," jelasnya. Ujarnya, menerusi gandingannya bersama Kayda juga, mereka bakal melancarkan beberapa buah single baharu dalam masa terdekat sebelum tampil dengan album baharu nanti. Tiada halangan Tanggal 12 Disember 2012 pastinya menjadi detik yang paling membahagiakan buat Hunny Madu apabila dikurniakan cahaya mata sulung perempuan yang diberi nama Eva Medina. Bercerita tentang kehidupannya setelah hampir setahun bergelar seorang ibu, Hunny memberitahu, jadual hariannya sangat ketat kerana perlu memberi perhatian antara kerjaya dan keluarga. "Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan yang dilalui sekarang ini. Apatah lagi dengan memiliki suami yang cukup memahami karier dan langsung tidak menghalang karier saya sebagai penyanyi, pengacara dan penyampai radio. "Walaupun mempunyai jadual yang ketat dalam kehidupan seharian, namun saya akan memastikan dapat meluangkan masa secukupnya bersama suami dan anak. Ada kalanya perasaan rindu terhadap Eva juga selalu dirasai apabila keluar bekerja," ujar isteri kepada Khairul Azhar Abdul Wahid itu. Ditanya mengenai perkembangan aktiviti terbaharunya pula, Hunny memberitahu, dia baru sahaja selesai menjadi pengacara untuk program tanggungjawab sosial (CSR) anjuran produk Ayam Brand pada minggu lalu. "Sebenarnya saya bukanlah duta kepada produk Ayam Brand, sebaliknya sebagai rakan artis untuk produk tersebut dan merupakan kerjasama saya yang kedua bersama mereka. "Sebelum ini saya pernah menyertai program CSR yang dianjurkan iaitu pergi melawat ke rumah anak-anak yatim," ujarnya. | |
Posted: Fasha tak kisah tidak popularOleh NOOR ASHREEN ISMAIL FASHA SANDHA mengaku walaupun boleh untuk tidak bekerja, namun dia tidak betah untuk duduk diam. FASHA SANDHA nama yang memang tidak asing lagi dalam industri seni tempatan. Selama 10 tahun penglibatannya dalam industri lakonan, dia telah melalui pelbagai fasa dan kontroversi serta populariti bukan perkara asing bagi dirinya. Bagaimanapun, setelah bergelar seorang ibu kepada Putera Rayfal, Fasha kini dilihat semakin kurang populariti berbanding dahulu. Tutur Fasha, populariti kini bukan lagi menjadi keutamaan bagi dirinya. Selain itu, sebagai seorang aktres senior, Fasha turut memberi nasihat kepada artis-artis baharu yang sedang meningkat dan semakin bercambah. Fasha yang ditemui di lokasi penggambaran Cinta Mat Semperit di Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur masih mesra seperti dahulu menjawab segala persoalan pihak media kepadanya. Kosmo!: Boleh ceritakan perkembangan terkini kerana selepas mempunyai anak, sudah lama anda tidak berlakon? FASHA: Ini merupakan antara drama awal saya selepas berehat panjang. Drama pertama yang saya terima ialah Tentang Hati arahan Feroz Kader terbitan Global Station bersama dengan Aaron Aziz. Sebelum ini saya ada menolak beberapa tawaran antaranya sebuah filem arahan Osman Ali. Ada lagi beberapa tawaran yang masih dipertimbangkan daripada Enuja Production dan Suhan Movies. Kenapa ambil tawaran Cinta Mat Semperit ini dan boleh terangkan tentang watak dalam telefilem ini? Saya ambil kerana ia sangat menarik dan kelakar selain penceritaan yang bagus. Karakter saya juga merupakan watak komedi dan saya suka dengan watak sebegitu. Saya menjadi Lola, seorang pengusaha kuih semperit dan kakak kepada Aeril (lakonan Aeril Zafrel) dan berkorban apa sahaja semata-mata demi kebahagiaan adiknya. Selepas bergelar isteri dan telah punya anak, bagaimana prestasi anda sebagai pelakon? Saya suka dengan perkembangan sekarang, yang mana ramai artis muda yang tampil dengan bakat yang baik. Bagus sebenarnya perkembangan ini, cuma nasihat saya ialah perlu lebih menghormati waktu dan belajar tentang disiplin. Untuk berjaya, keduanya perlu seimbang. Walaupun telah lebih 10 tahun saya dalam industri ini, saya masih diberi peluang oleh pihak produksi untuk berlakon, Alhamdulillah. Bagaimanakah dengan kehidupan anda selepas berkahwin? Hidup lebih bermakna dengan kehadiran Putera Rayfal. Dia seorang anak yang baik yang tidak banyak meragam. Saya sentiasa rindu Rayfal dan akan pantau melalui CCTV di telefon bimbit saya. Dalam masa setengah jam sekali saya akan pantau aktivitinya di rumah. Mengapa perlu bekerja kerana jika dilihat pendapatan keluarga, anda tidak perlu lagi bersusah payah untuk bekerja? Saya memang seorang yang suka bekerja dan memang benar saya boleh memilih untuk tidak bekerja dan berhenti menjaga anak. Namun, saya bukan begitu, saya lebih selesa bekerja. Walaupun masa saya mengandung, saya masih bekerja. Bagaimanakah pula dengan tawaran lakonan jika perlu keluar dari Kuala Lumpur? Saya tidak boleh tidur tanpa suami dan anak saya. Jadi, buat masa ini, memang saya tidak mengambil tawaran yang menyebabkan saya perlu tinggalkan suami dan anak saya. Sejak jadi ibu, populariti anda telah menurun. Boleh komen? Kehidupan keluarga saya kini menjadi keutamaan saya. Populariti serta kerjaya telah jatuh nombor dua. Oleh kerana itu, saya banyak tolak tawaran dan lihat dahulu apa yang penting jika tidak mengganggu jadual saya. Mengenai watak pula, sebelum ini anda juga sering membawa watak antagonis, adakah selepas ini masih akan menerima watak sebegitu? | |
Gemilang ulangtahun hitz.fm ke-16 Posted: Gemilang ulangtahun hitz.fm ke-16Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
BARU-BARU ini, sempena ulang tahun yang ke-16, stesen radio hitz.fm telah meraikan ulang tahun mereka dengan mengadakan sebuah konsert bertemakan hitz.fm Birthday Invasion LIVE Concert di Taylor's University Lakeside Campus, Subang Jaya, Selangor. Konsert ulang tahun hitz.fm itu diadakan secara percuma buat semua warganegara Malaysia, terutamanya pendengar setia stesen radio berkenaan. Menurut Pengurus Rangkaian Saluran hitz.fm, Mohamed Raqeem Brian, ia merupakan kali pertama stesen radio hitz.fm bekerjasama dengan syarikat pengeluar kereta Ford. "Kami menyasarkan untuk menarik ramai pelajar mendengar radio hitz.fm dan juga membeli produk terbaharu kereta berkenaan iaitu Ford Fiesta," jelasnya mengenai pemilihan universiti berkenaan sebagai tempat untuk mengadakan sambutan ulang tahun dan juga pelancaran jenama baharu kereta Ford Fiesta. Mengulas lanjut, ujar Mohd. Raqeem Brian yang mesra disapa Brian itu, kemeriahan konsert sambutan ulang tahun hitz.fm pada hari itu juga dianggap luar biasa kerana ia melibatkan ramai artis popular tanah air dan juga antarabangsa. Antara artis yang terlibat ialah Estranged, Mizz Nina, Joe Flizzow, Pop Shuvit, James Baum, K-Town-Clan dan bintang sensasi antarabangsa YouTube, Chester See. Kata Brian, pemilihan artis dibuat mengikut kehendak pelajar universiti tersebut. "Bagi kami, tindak balas pendengar sangat penting. Kami sentiasa ambil berat keinginan pendengar. Apa yang mereka suka dan mahukan. "Jadi, pemilihan artis pada konsert kali ini juga adalah mengikut apa yang pelajar di universiti ini mahukan," ulasnya lagi. Konsert pada malam itu turut dimeriahkan oleh penyampai hitz.fm sendiri seperti Ean, Jinny Boy, Natalie, Arnold, RD, Ryan dan Denise. Melalui konsert berkenaan, para pendengar juga telah berkongsi pengalaman indah mereka ketika berada pada malam itu dengan menggunakan hashtag #hitzinvasion #fordfiesta pada laman sosial Twitter dan Instagram. "Konsert ini dianjurkan kerana mahu pendengar setia kami mengenali lebih dekat penyampai-penyampai radio hitz.fm," jelasnya. Persembahan pada malam itu di mulakan dengan kumpulan The Biggest Lies dan disertai nyanyian mantap daripada kumpulan Estranged. Orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan James Baum dan penampilan khas tiga watak Minons yang melakukan pelbagai aksi lucu di atas pentas. Seterusnya, kemunculan They Will Kill Us All, Joe Flizzow dan Noh Hujan dengan lagu-lagu hit mereka memeriahkan lagi konsert pada malam itu. Turut menjadi tumpuan penonton pada malam itu juga adalah persembahan daripada isteri Noh iaitu Mizz Nina. Tarian bertenaga yang ditonjolkannya pada malam itu begitu memukau penonton. Tidak terkecuali, persembahan bintang sensasi YouTube antarabangsa iaitu Chester See turut ditunggu- tunggu penonton pada malam itu. Chester menyanyikan empat lagu popularnya iaitu Nice Guy, Who Am I To Stand In Your Way, Where Are You Now dan God Damn You're Beautiful. Ternyata, populariti Chester See di Malaysia ini membuatkan dia begitu digilai oleh peminat dalam kalangan pelajar-pelajar universiti. Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu turut diserikan dengan nyanyian bertenaga Project EAR, Pop Shuvit, Jakeman dan Skeletor. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |