Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Antara jiwa dan teknikal
MENGHIMPUNKAN dua generasi dalam satu pemidang gambar untuk kali ini ada tujuannya. Bila dua waktu bertemu, mereka berkata-kata tentang perbezaan dan persamaan yang dirasai pada zaman masing-masing. Tam vokalis Spider manakala Andy orang depan Flop Poppy dan The Malayan bercakap dari zaman generasi kedua. Begitu juga Nomad dan Daniel vokalis Loka yang menuntut bicara menurut perspektif mereka, generasi keempat dalam sejarah hirarki grup muzik Malaysia. Bukan setakat itu sahaja, Tam merupakan produser bagi lagu hits Nomad kini Tetap Menantimu manakala Andy bukan sahaja ayah namun juga mentor kepada anaknya Daniel yang baru melangkahkah kaki sendiri ke industri muzik. Meletakkan mereka dalam satu sidang temu, topik kualiti, kuantiti, perjalanan karier malah perbezaan zaman diangkat sebagai bahan percakapan. Melalui sembang-sembang petang beralas kopi dan pisang panas, mereka bertukar pendapat yang melibatkan industri muzik tempatan, tentang zaman analog dan digital. Merujuk masuk ke dalam permasalahan yang menempa industri, di mana sekarang anak-anak muda terutama grup susah mendapat penawaran panggung apatah lagi dengan jumlah ramai yang pernah dikutip grup-grup besar seperti Search, Wings, Sweet Charity atau di zaman-zaman Spider atau Flop Poppy. Makin lama makin kedengaran keluhan tiada tawaran pentas mahu pun penonton yang cukup membanggakan untuk sebuah persembahan. Jangan perasan "Grup baharu jangan perasan rugged," satu pernyataan yang tampak keras tetapi jujur keluar lembut daripada mulut Andy yang merupakan vokalis beberapa grup serta pemain bass. "Kalau melihat pergerakan pasaran sekarang, grup generasi kami masih mendapat permintaan untuk membuat persembahan, malah tidak berhenti," ulas Andy merujuk kepada grup seperti Flop Poppy, Subculture, Spider sebagai grup generasi kedua. "Jujur cakap, grup baharu memang banyak keluarkan produk tetapi kurang menyengat. Tetapi jangan berhenti untuk mengeluarkan produk," nasihat Andy umpama seorang abang dalam famili muzik. Apa yang penting kata Andy, pengeluaran perlu mengikut akar muzik Malaysia. Walau diasak modenisasi dan mengikut aliran sezaman namun jangan dilupakan akar yang mencengkam bumi. "Sebenarnya tidak ada jurang yang besar antara generasi terdahulu dan baharu. Kami boleh main lagu-lagu seperti The Killers namun dalam masa yang sama peminat baharu melihat perjalanan kami. Untungnya generasi kami ialah kami dapat memainkan lagu-lagu 1980-an dan dalam masa yang sama bergerak ke hadapan," ulasnya. "Generasi kami dan sebelumnya punya peminat setia yang membeli produk fizikal serta merchandise. Variasi grup dahulu membuatkan masing-masing ada kekuatan tersendiri. Grup atau penyanyi baharu kena cari identiti sebenar," tambah Andy. "Budak sekarang banyak teknikal daripada jiwa," tambahnya. "Pemuzik atau penyanyi kena tanya apa yang mereka mahukan. Perkara yang penting ialah cari orang yang betul untuk dirujuk. Cari orang yang berada dalam arena. Penting untuk ada idea dan semangat," kata Andy. "Cuba ingat balik, dahulu satu grup boleh main 45 minit dalam satu gig. Cuma lima grup tetapi kini lambakan sampai 20 grup dalam satu persembahan. Lagu pun boleh bawa beberapa, tak sempat nak 'panas' panggung," katanya. Rasa pengalaman studio Tegas Tam di awal bicaranya, segala yang dikongsi bukan bermaksud untuk memberi komentar keras kepada generasi digital tetapi sekadar berkongsi. "Saya rasa anak muda sekarang perlu rasa pengalaman bekerja di studio sebenar. Merasai suasana rakaman dan lihat perjalanan itu. Kalau kita lihat sekarang, banyak yang buat studio di rumah dan bekerja sendiri, suasana itu lain," ulasnya yang membesar di Studio Ronggeng, Luncai Emas. "Penyanyi baharu perlu cemerlang untuk bersaing. Kadangkala faham sahaja tidak mencukupi kalau tidak ada ilmu yang cukup serta rasa. Kena tahu asal usul muzik serta budaya sendiri. Bagi saya, pemuzik atau penyanyi baharu kena banyak mentelaah. Sedih juga ada yang tidak mahu bercampur dengan senior. Mungkin mereka malu, itu saya faham. Tetapi kalau dapat bercampur maka dapatlah berkongsi informasi dan pengalaman. Tanya apa yang perlu dan kalau boleh sentiasa minta pendapat kedua atau ketiga daripada pakar-pakar," pendapat Tam diberikan satu persatu. Melihat kepada bakat baharu yang banyak muncul di persada seni tanah air, Tam melihat dari mata produser dan peneliti bahawa mereka ini ada bakat yang bagus. Cuma kadangkala cara mereka tersasar dan bagi vokalis Spider ini yang penting jangan salah guna kelebihan yang ada. "Harus diingat bahawa suka dan mampu adalah dua perkara yang berbeza. Jangan ingat bila kita ada komputer riba, sudah cukup untuk buat lagu. Itu kesilapan besar. Kena tahu bahawa tugas produser sangat penting tetapi sekarang ramai yang tak tahu malah tak rasa satu keperluan. Grup antarabangsa pun masih guna produser," tegas Tam. Sambung Tam penuh nasihat, jangan hanya dengan satu klik di depan komputer ramai yang sudah berasa pandai. "Pengetahuan penting, juga pengalaman. Kita kena tukar persepsi yang menyatakan muzik tidak menjanjikan masa hadapan. Walhal di belakang dunia muzik terdapat banyak pekerjaan yang serius dan profesional," tegasnya . Budak baru belajar Bercerita tentang pengalaman studio, Nomad mendakwa, dia masih cuba menguasai ilmu studio. Awalnya dia menyangkakan semuanya berjalan mudah namun masuk dalam suasana realiti ketika merakamkan lagu Tetap Menantimu dan menatap Tam sebagai penerbit, dia tahu untuk berpijak di dunia nyata. "Dunia rakaman sangat susah tetapi Tam banyak mengajar saya. Begitu juga bila berada di pentas, saya dipukul dengan panik yang hebat. Ini kerana penonton mahu dengar lagu tersebut sama seperti yang mereka dengar di radio. Itu menghantui saya secara psikologi," cerita Nomad. Masuk ke jalur sebenar dunia muzik, Nomad melahirkan rasa sedih melihat kepada kurangnya sokongan terhadap pembelian album secara fizikal. Luahnya dia bangga melihat penjualan yang ditempa grup generasi lama. "Melangkah masuk ke dalam industri, baru saya tahu permainannya. Baru saya tahu arah tuju sebagai penyanyi. Bagi saya, khidmat seorang produser itu sangat penting dalam pembikinan muzik. Mereka ini golongan profesional. Bila saya jumpa Tam, dia banyak melakukan eksplorasi terhadap bakat saya dan baru saya tahu saya berkemampuan menyanyikan lagu balada," luah jejaka berumur 25 tahun ini. "Saya juga belajar daripada para senior bahawa jangan hanya target mahu jadi penyanyi tetapi penghibur dan insan yang cemerlang dalam industri. Kita kena jadi diri sendiri dan jujur," senyum pemilik nama Nur Mohd. Alieef Ayub ini. Sudah muncul dengan klip video single perdananya yang kini dapat disaksikan di laman YouTube, Nomad menanam satu lagi pelajaran dalam dirinya. Tentang kepentingan para pemuzik yang banyak membantu dalam proses rakaman sesebuah lagu. "Kadangkala orang lepas pandang pada para pemuzik yang berada di belakang sesebuah lagu. Mereka ini banyak membantu dan sebenarnya yang menghasilkan warna dalam sesebuah lagu," usai Nomad berbicara. Daniel tonton dari kecil Sementara itu, anak sulung Andy, Megat Daniel mengaku dihimpit rasa cemburu apabila melihat perjalanan dan laluan grup generasi 'babah'nya. "Grup dahulu bersatu tapi zaman sekarang sudah kurang. Saya cemburu melihat keakraban kumpulan dahulu. Mereka tidak malu dan kekok berkongsi cerita. Saya melihat ini dari kecil sewaktu mengikut babah ke studio atau persembahan. Budak sekarang lebih banyak hujah daripada bersatu," luahnya dalam nada kecewa. Melihat daripada aspek kreativiti, Daniel menyanjungi pemuzik dahulu yang sentiasa menyokong pergerakan masing-masing dan punya identiti yang kuat dalam bermuzik. "Saya mahu belajar daripada senior-senior ini tentang penulisan lagu. Bagaimana mereka menghasilkan lagu yang berkualiti. Ada rasa," luahnya yang kagum dengan lagu-lagu para pemuzik dan komposer terdahulu. Memegang status penyanyi Loka dan gitaris The Malayan, Daniel mengaku melakukan pemerhatian terhadap proses rakaman pemuzik senior. Semua ini kemudian disatukan dengan percubaan dirinya belajar dan memahami muzik mengikut naluri dan minatnya. "Jangan ingat kerana saya anak Andy jadi jalan saya senang. Tidak. Babah tidak bagi muka, dia mahu saya belajar dan melihat sendiri segalanya untuk jadi pengalaman berharga. Untungnya kerana saya dikelilingi oleh pemuzik senior, kawan-kawan babah yang profesional dan serius dalam bidang muzik," senyum vokalis Loka yang kini terkenal dengan lagu Jangan Pergi. "Saya memang mahu belajar tentang pembikinan profesional sesebuah produk lagu. Daripada aspek kreatif sehingga penyusunan dan bunyian. Semua ini saya perolehi daripada studio. Kena banyak bertanya kepada yang pakar dan bukan hanya belajar sendiri," ucap jejaka berumur 21 tahun itu. Tambahnya lagi dia merasakan bahawa grup sekarang memerlukan banyak bimbingan daripada pakar dan senior terutamanya dalam meletakkan jiwa ke dalam lagu hingga menumbuhkan identiti sesebuah grup atau penyanyi itu. | |
Pengorbanan saya tidak sebesar mana - Alyah Posted: Pengorbanan saya tidak sebesar mana - AlyahDALAM proses hendak melebarkan sayap bisnes, Alyah akan mengedarkan jenama fesyen muslimah Gaya Alyah menerusi Eiliya Boutique secara online. SESIAPAPUN tidak dapat menandingi ketaatan Nabi Ibrahim AS terhadap perintah Allah SWT walaupun anaknya menjadi korban. Sejarah ibadah korban itu sehingga kini diingati oleh seluruh umat Islam sebaik masuk tarikh 10 Zulhijjah. Sedar ibadah itu bukan sekadar perayaan yang disambut meriah, selebriti Alyah mempunyai definisi tersendiri. Jauh lagi untuk sampai ke tahap muslimah sempurna, hari-hari yang dilalui dengan berhijab sejak April lalu itu sebenarnya membawa impak besar kepada seluruh corak hidupnya. "Jika hendak dikaitkan dengan pengorbanan, soal hijab ini soal pengorbanan antara saya dengan-Nya yang maha Esa. Saya tidak mahu bercakap lebih soal itu. Saya bercita-cita mahu menjadi orang yang lebih baik dan biarlah proses itu tidak datang sekali gus," ujarnya yang mengerti makna korban dalam konteks lebih luas. "Sebagai seorang wanita yang dikenali sebagai Alyah, saya juga juga mempunyai acuan sendiri, sebagai hamba Allah, kita lakukan yang terbaik namun jika tidak kesampaian juga, kita kena reda. Begitu juga dalam soal hati, perhubungan dan bisnes yang dilakukan. Saya terima ketentuan hidup yang tekah ditentukan dan tertulis untuk saya, apa yang saya lalui ini tidak seteruk sebagaimana pengorbanan yang dilalui orang-orang terdahulu," katanya yang lebih banyak berhati-hati mengutuskan soal hati dan perasaan sejak akhir-akhir ini. Menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut Selasa nanti, hatinya diusik tentang kerinduan dan penyerahan diri buat Ilahi. "Saya terdetik rasa rindu untuk ke Mekah lagi. Selama ini, sudah dua kali saya berpuasa Ramadan di Mekah. Sekarang saya menanam impian untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Mekah, saya mahu tunai haji. Itu doa saya dan harap memperoleh kesempatan dan dipermudahkan jalan," katanya yang hanya bercuti dua hari untuk menjenguk ibu di Johor Bahru, Johor menjelang hari raya nanti. Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Alyah yang meminjamkan sedikit pengaruhnya ke dalam lagu Pengakuan yang menjadi single sulung kumpulan Tiga, menyifatkan hal itu sebagai satu kejutan dalam kariernya. Sebagai penyanyi, Alyah tidak pernah terfikir lagu yang pernah dicipta 13 tahun lalu akan digubah semula dan menjadi salam pengenalan kepada Tiga, sebuah kumpulan vokal harmoni itu. "Saya cipta lagu Pengakuan itu semasa mula-mula bersama dengan kumpulan Recall. Dahulu kami punya semangat yang berkobar-kobar untuk jadi penyanyi berkumpulan, tapi tiada rezeki dan Recall terpaksa berpecah. Ketika itu saya masih tercari-cari arah. Tiba-tiba Arween, rakan seangkatan saya semasa bersama Recall hubungi saya untuk dapat keizinan guna lagu berkenaan. "Mereka sangat bersungguh-sungguh dan saya sangat terharu dengan keyakinan dan kesungguhan mereka itu. Bagi saya, lagu itu tidak sampai piawaian sebagai lagu yang bagus, tetapi setelah diberi nafas dan susunan muzik yang baharu ia jadi segar. Ia menarik dan sesuai dengan konsep kumpulan dan muzik Tiga," katanya yang baru-baru ini menyaksikan majlis pelancaran single berkenaan di samping memperkenalkan Tiga sebagai kumpulan baharu dalam industri muzik. Lega berkongsi inspirasi bersama Tiga yang dianggotai oleh Arween, Alfie, Maya dan Zack, Alyah sendiri sedang menantikan kehadiran cinta baharu yang ditunggu-tunggu sejak dua tahun lalu. "Judulnya Ada Cinta, ia sebuah lagu ciptaan Manusia Putih dan lirik oleh Budi Hekayat dan rasanya lagu itu memang sangat kena dengan situasi saya. Rasanya, single itu boleh pergi sejauh Kisah Hati dan Tak Mungkin Kerana Sayang. Sekarang kami masih menentukan konsep dan lokasi untuk penggambaran klip video dan pelancarannya akan dilakukan awal tahun depan. Tak sabar pula rasanya sebab sudah lama saya tiada sebuah single yang betul-betul dipromosikan," beritahu Alyah yang dalam proses merealisasikan sebuah showcase pertamanya di Johor Bahru pada awal tahun depan. "Buat masa ini kami bergerak sendiri untuk memastikan rancangan itu berjaya, jika ada sokongan mana-mana pihak, saya berhasrat untuk mengadakan sebuah showcase ke Kuala Lumpur. Tiga belas tahun dalam industri dan hanya enam tahun kebelakangan ini saja dikenali, rasanya saya sudah punya kekuatan dan cukup material untuk tampil dengan sebuah mini konsert," Alyah. | |
Sorok nikah takutkan David Teo Posted: Sorok nikah takutkan David TeoSIDANG media pada jumaat lalu turut dihadiri pengurus Aeril, Shahriman Wahab (kiri), peguam Aeril, Zulhasmi Zakaria (tiga dari kiri) dam bapa Wawa, Zainal Abidin Sulong (kanan). SEMUA penafian tentang pernikahan membabitkan pelakon Wawa Zainal dan Aeril Zafril akhirnya terjawab pada Jumaat lalu. Mereka mendakwa sandiwara itu gara-gara mahu menjaga kedudukan Wawa yang terikat bawah kontrak sebagai artis MIG milik David Teo. Bukan sahaja mengakui tentang pernikahan mereka malah Aeril dan Wawa membuat kejutan dengan mendakwa mereka sebenarnya telah bernikah dua kali dalam tempoh setahun. Pelakon yang mengadakan sidang media di Neo Damansara, Damansara, Selangor itu menjelaskan bahawa tindakan mereka menyorokkan pernikahan tersebut adalah atas alasan mahukan privasi. Aeril menegaskan bahawa dia tidak berbohong dan menyorokkan perkahwinan tersebut, namun melakukan hal sedemikian atas menjaga karier masa depan isterinya, Nur Hawa Zainal Abidin dalam dunia lakonan. "Saya tidak berbohong kepada media dan peminat. Cuma saya menafikan apabila ditanya tentang perkahwinan kerana saya ada sebab. "Ia terpaksa dirahsiakan demi Wawa kerana dia masih mengikat kontrak dengan syarikat MIG (Metrowealth) serta tentang undang-undang syarikat itu yang melarang pelakonnya bercinta," kata pemilik nama penuh Suhairil Suhari itu. Bagaimanapun perkahwinan sorok-sorok tersebut mula diketahui umum apabila apabila sebuah akhbar pada Ahad lalu mengesahkan pasangan itu telah bernikah pada Februari lepas dan memperolehi cahaya mata bernama Ahmad Fakharuddin Attar pada Ogos baru-baru ini. Merungkai 'penipuan' yang dilakukan demi merahsiakan perkahwinan itu, Aeril, 26, menjelaskan bahawa mereka sebenarnya telah bernikah sejak Februari 2012 lagi. "Kami bernikah pada 25 Februari 2012, tetapi tidak didaftarkan. Kami bernikah di kediaman pengurus (Shahriman Wahab) yang terletak di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya (Selangor). Kami dinikahkan seorang imam dari Sabah dan turut disaksikan ayah Wawa. Kami juga ada bukti tentang pernikahan itu. "Pernikahan pertama tidak didaftarkan kerana Wawa meminta izin untuk tidak berbuat demikian kerana tidak mahu pihak pengurusannya tahu tentang hal itu. "Namun, setelah saya dapat tahun bahawa Wawa sudah hamil dua bulan pada Februari lepas kami membuat keputusan untuk mendaftarkan pernikahan agar tidak menimbulkan tanda tanya mengenai status anak kami. Seterusnya kami bernikah kali kedua mengikut undang-undang pada 4 Februari 2013. PEGUAM Aeril, Zulhasmi Zakaria (tengah). "Tujuannya adalah agar anak kami itu akan dibinkan atas nama saya berbanding Abdullah," jawab Aeril mengenai anak lelakinya yang lahir pada tanggal 24 Ogos lalu di sebuah hospital di ibu kota. Pelakon filem Aku Tak Bodoh itu mengaku telah bernikah kali kedua pula di Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya oleh imam masjid terbabit. Aeril turut diasak media tentang kesangsian pernikahan dua kali yang dilakukannya sedangkan kedua-dua majlis itu diadakan dalam negara iaitu di Petaling Jaya, Selangor. Menurutnya, pernikahan pertama mereka itu sah di sisi syarak kerana telah menepati rukun nikah. "Tiada masalah dalam pernikahan pertama itu dari sisi syarak walaupun tidak dapat didaftarkan. Saya tidak kisah jika anda menyatakan bahawa ia tidak mengikut undang-undang negara apabila tidak mendaftar kerana perkahwinan itu halal di sisi Allah. "Namun, ia terpaksa dirahsiakan dan dianggap dalam keadaan darurat kerana mahu menjaga kedudukan Wawa bersama kontraknya itu," kata Aeril yang membintangi filem 7 Petala Cinta, Budak Pailang dan 99 Kali Rindu ketika di bawah pengurusan MIG. Menjelaskan bagaimana dia mengenali Wawa, menurut Aeril, hubungan cinta mereka berputik sejak 2010 ketika sama-sama membintangi sebuah drama. "Saya berkenalan dengan Wawa ketika sama-sama terlibat dalam drama Klik (siaran Astro). Seterusnya kami mula bercinta, namun dihalang pihak pengurusan (ketika itu Aeril dan Wawa di bawah MIG) dan dimarahi. "Percintaan kami pada 2011 semakin banyak halangan apatah lagi saya telah kehilangan ibu dan mendapat penyakit keturunan. Ketika itu saya mula dekatkan diri dengan Tuhan. "Selepas mendalami ilmu agama, saya bertemu bapa Wawa pada tahun 2012 untuk bertanyakan tentang hubungan kami dan bapanya menerima saya," ujar pelakon yang berasal dari Kluang, Johor itu. Aeril dan Wawa pernah sama-sama mengikat kontrak di bawah MIG sebelum Aeril membuat keputusan keluar daripada syarikat terbabit pada Mei lalu atas alasan mahu mendalami bidang agama dan mahu mengatur jadual karier sendiri. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |