Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Perkahwinan penamat kontroversi Posted: Perkahwinan penamat kontroversiAPABILA menyentuh tentang sisi peribadi wanita yang bernama Raja Azmi Raja Sulaiman, dia antara selebriti wanita yang tidak pernah lekang daripada dilanda dengan cerita sensasi. Pernah mengalami kegagalan dalam ikatan perkahwinan terdahulu bersama bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek, penerbit sensasi itu pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki dalam hidupnya. Bagaimanapun, pencariannya untuk mencari jejaka yang sesuai sebagai teman hidupnya menemui titik noktah apabila dia memilih pemain basis kumpulan CRK, Mohd. Eddie Ghazali sebagai suami. Kalau diimbas tentang perkenalan Raja Azmi, 54, dan Eddie, 45, sehingga mereka menjalinkan hubungan cinta, ia tidaklah seperti kisah pasangan muda yang bercinta, apatah lagi kedua-duanya pernah berkahwin sebelum ini. Hanya mengambil masa selama lima bulan untuk mengenali hati budi masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang pada Julai lalu dan kini pasangan tersebut sah bergelar suami isteri. Berkesempatan bertemu dengan pasangan pengantih baharu itu selepas majlis akad nikah, Raja Azmi meluahkan rasa syukurnya apabila hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang dicintai akhirnya terlaksana. "Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan dengan sekali lafaz sahaja saya bergelar isteri kepada Eddie. Saya juga terharu dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang memeriahkan majlis kami ini. SUASANA indah pemandangan lokasi majlis resepsi perkahwinan Raja Azmi dan Eddie yang berlangsung di Istana Budaya. "Sebenarnya saya tidak menyangka akan dirai dalam sebuah majlis yang meriah, malah berterima kasih kepada pihak Istana Budaya yang telah sudi menaja lokasi majlis ini," ujarnya yang cukup anggun dengan busana hasil rekaan pereka fesyen Leslie Varayan bernilai RM30,000. Menjadi pasangan pengantin pertama yang berpeluang mengadakan majlis perkahwinan di Istana Budaya, penerbit filem ...Dalam Botol itu memberitahu ia merupakan sesuatu yang di luar jangkaannya sama sekali. Ujarnya, dalam satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani, dia telah meluahkan keinginannya untuk mengadakan sebuah majlis di lokasi yang sering menjadi tumpuan untuk pementasan teater. "Saya sekadar menyatakan keinginan sahaja yang terpendam di hati sahaja, tetapi tidak sangka pula Abang Joe (Juhari) terus bersetuju. Ternyata ia merupakan satu kenangan yang cukup bermakna buat saya dan suami," ujarnya. Berkenaan dengan perkahwinan kali keduanya itu pula, Raja Azmi meluahkan harapan agar tidak lagi dilanda dengan sebarang cerita kontroversi demi membina sebuah keluarga yang bahagia. Menurutnya, sekarang ini dia telah bertemu dengan insan bergelar suami yang mampu menemaninya sepanjang masa dan yakin bahawa Eddie merupakan pilihan terbaik buat dirinya dengan berkat sokongan anak-anak tercinta. "Perasaan gembira yang tersemat di hati saya boleh diumpamakan seperti melahirkan cahaya mata pertama dahulu. Ia suatu perasaan yang agak sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. "Namun begitu, saya sedar tanggungjawab yang harus dipikul kini bertambah besar. Selain kembali bergelar seorang isteri, kini saya juga perlu menjadi ibu kepada lima orang anak," ujarnya. Sepanjang perkahwinan Raja Azmi dan Jalani dahulu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, manakala Eddie yang menduda selama lima tahun sejak kematian isteri mempunyai dua orang anak, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19. UNIK. Majlis resepsi Raja Azmi dan Eddie dipenuhi suasana romantis. Tidak sempat Ketika ditanya tentang perancangan mereka selepas berakhir majlis resepsi, Raja Azmi menyatakan dia dan suami sepatutnya merancang untuk berbulan madu di Desaru, Johor. Bagaimanapun, ia tidak dapat direalisasikan buat masa ini memandangkan dia mempunyai komitmen lain, tetapi bersyukur kerana Eddie memahami situasi yang dilaluinya sekarang ini. "Sebenarnya saya akan terlibat dengan penggambaran program realiti masakan terbitan Astro iaitu All Stars MasterChef Malaysia pada 16 Oktober ini, iaitu tiga hari setelah majlis pernikahan kami berlangsung. "Jadi, memang tidak sempat untuk kami pergi berbulan madu sekarang kerana penggambaran pastinya mengambil masa yang lama. Nasib baik suami tidak kisah dan biarlah kami berbulan madu di rumah sahaja," jelasnya. Sementara itu, Eddie yang berada di samping isteri tercinta sewaktu ditemubual berkata, selama lima tahun bergelar duda dia tidak menyangka akan kembali mendirikan rumah tangga. Ujarnya, ketika kali pertama bertemu dengan Raja Azmi pada awal tahun lalu, dia sudah dapat merasakan kelainan serta tertarik dengan sifat keibuan yang dimiliki sepanjang mengenali penerbit filem itu. "Ketika mula-mula saya ambil keputusan untuk berkahwin, ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang terkejut. Namun begitu, mereka masih memberikan sepenuh sokongan untuk memperisterikan Raja Azmi. "Mengenai jarak usia kami yang agak jauh berbeza, bagi saya ia bukanlah satu isu yang harus diperbesarkan kerana sekarang ini ia sudah menjadi satu perkara yang normal," jelasnya. Tetamu istimewa Sesuatu yang menarik dan sedikit mengejutkan semasa berlangsungnya majlis perkahwinan tersebut, antara tetamu istimewa yang kelihatan hadir ialah Jalani Sidek, bekas suami Raja Azmi sendiri. Biarpun para wartawan diberi masa yang agak terhad untuk menembual Jalani, namun bekas pemain badminton negara itu sempat memberi kenyataan berhubung perkahwinan bekas isterinya itu. "Saya percaya Raja Azmi telah membuat pilihan yang terbaik dalam hidupnya dengan memilih Eddie sebagai suami. Sebagai bekas suami saya harap hubungan mereka akan terus berkekalan sehingga akhir hayat. "Sebelum mereka mendirikan rumah tangga saya sudah beberapa kali bertemu dengan Eddie. Saya lihat dia seorang lelaki yang baik dan percaya dia mampu membahagiakan kehidupan Raja Azmi," ujarnya. JALANI (kiri) turut hadir pada majlis perkahwinan bekas isterinya ini. Sementara itu, ketika ditanya mengenai status terkininya sekarang ini bersama wanita bernama Zaleha yang turut menemaninya ke majlis perkahwinan berkenaan, Jalani enggan mengulas lanjut. "Sekarang ini merupakan majlis untuk meraikan hari bahagia bekas isteri saya, jadi tidak sesuai untuk saya memberikan sebarang komen. Kalau dah tiba masanya nanti barulah saya akan beritahu," jawabnya ringkas. Raja Azmi dan Jalani pernah mendirikan rumah tangga selama 28 tahun ketika berkahwin pada tahun 1984. Bagaimanapun mereka mengambil keputusan untuk bercerai secara baik pada bulan Jun 2012. | ||
Buktikan saya bedah! - Tasha Shilla Posted: Buktikan saya bedah! - Tasha ShillaOleh NAJIY JEFRI
SELEPAS satu kontroversi, timbul lagi kontroversi baharu yang menghimpit pelakon Tasha Shilla, 26. Kali ini dia digosip telah melakukan pembedahan di bahagian hidung dan payudara di Bali, Indonesia. Tasha Shilla yang kini sibuk dengan penggambaran sebuah drama lakonannya di Cameron Highlands dan sekitar Kuala Lumpur ternyata sangat terkejut apabila gosip tersebut hangat diperkatakan. Kosmo! menghubungi Tasha Shilla untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu ini. Ikuti temu bual bersamanya. Kosmo!: Adakah benar dakwaan mengatakan Tasha membuat pembedahan hidung dan payudara? TASHA SHILLA: Saya kalau boleh tidak mahu komen apa-apa mengenai isu ini. Andai kata dakwaan itu benar buktikan kepada saya bahawa saya telah membuat pemdedahan tersebut. Saya bersyukur kerana keluarga saya masih percaya dan bersama saya memberikan sokongan. Tasha dikatakan membuat pembedahan hidung dan payudara di Bali. Adakah benar anda berada di Bali ketika itu. Jika tidak berada di situ, di manakah anda ketika itu? Buktikan kepada saya (nada tegas)! Jika anda tanya di mana saya ketika itu saya tidak tahu kerana saya tidak tahu bagaimana dan bila isu ini boleh timbul dan dari mana cerita ini muncul sedangkan saya baru akan ke Bali bersama keluarga pada 27 Oktober ini. Jika saya buat pembedahan, pasti orang yang terdekat dengan saya seperti keluarga, jurusolek dan rakan-rakan akan melihat perubahan pada muka saya. Saya pelik ada sesetengah pihak yang tidak pandai menilai wajah yang telah dilakukan pembedahan dan wajah yang di anugerahkan Tuhan.
Adakah Tasha rasa dengan melakukan pembedahan kerjaya seseorang artis itu akan meningkat maju seperti selebriti luar negara? Saya rasa tidak kerana ia bergantung kepada rezeki yang telah Tuhan takdirkan kepada kita. Jika kita ikhlas untuk melakukan sesuatu kerja itu pasti kita akan berjaya dalam kehidupan. Adakah gosip negatif terbaharu ini akan menjejaskan karier Tasha? Jika dilihat sebelum ini saya cukup banyak dihimpit pelbagai gosip mengenai hidup saya. Bertubi-tubi benda yang buruk menimpa diri saya. Bagi saya, masuk telinga kanan keluar telinga kiri kerana saya percaya pada rezeki yang telah Tuhan berikan kepada saya dan nawaitu saya adalah untuk bekerja dan bukan dengan cara ini. Beralih kepada soalan lain, apakah perkembangan terbaharu Tasha? Saya kini sedang sibuk dengan penggambaran drama di Cameron Highlands dan di sekitar Kuala Lumpur untuk slot Samarinda. Sementara, pada hujung bulan November pula, saya akan berangkat ke Korea Selatan untuk menjalani penggambaran drama sebanyak 28 episod yang akan ditayangkan di RTM dan jangan lupa saksikan lakonan saya dalam drama Ciptaan Terindah pada Sabtu, 19 Oktober ini di TV3 menerusi slot Cerekarama. | ||
Posted: Zed Zaidi tak putus asaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN ZED ZAIDI (tengah) kelihatan ceria pada majlis ibadah korban anjuran Seniman di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini. KALAH sekali tidak bermakna kecundang selamanya. Azimat itu yang dipegang Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi yang kalah dalam persaingan merebut jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO baru-baru ini. Kata Zed Zaidi, 33, kekalahan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk bertanding sekali lagi pada tahun-tahun mendatang sepanjang dia berada di kerusi presiden persatuan Seniman selama dua penggal lagi. "Saya tidak pernah rasa kecewa atas kekalahan kali ini malah membuatkan saya lebih agresif untuk bertanding pada tahun-tahun akan datang. Kalah dan menang adat bertanding. "Cuma saya sedikit terkilan dan hairan kerana keputusan berubah pada saat-saat akhir sedangkan saya dimaklumkan mempunyai potensi sepanjang tempoh berkempen. "Ini hanya satu permulaan dan peluang yang telah diberikan berjaya saya manfaat sebaik mungkin. Insya-Allah selepas ini saya akan melakukannya dengan lebih baik," katanya yang ditemui pada majlis ibadah korban Seniman di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Zed Zaidi yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian pergerakan itu berkata, keputusannya untuk bertanding untuk Exco Pergerakan Pemuda UMNO berfungsi sebagai platform menghubungkan artis dan pertubuhan politik. "Calon yang memenangi kerusi itu layak membentuk sebuah jawatankuasa di bawahnya yang terdiri daripada lima orang Exco lagi. "Jika merasakan anak seni penting untuk pembangunan negara maka perlulah melakukan sesuatu untuk menghubungkan anak seni dan politik," ujarnya. Sementara itu, kata Zed Zaidi, majlis ibadah korban yang dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha Selasa lalu telah menumbangkan empat ekor lembu tajaan Yayasan Mustika Kasih, Seniman dan Alfafa Group. "Pada tahun lalu, Seniman telah mengagih-agihkan daging dua ekor lembu kepada penduduk setempat dan tahun ini sebanyak empat ekor lembu disumbangkan oleh beberapa pihak yang prihatin. "Malah, sambutan tahun ini juga di luar jangka dan lebih ramai ahli Seniman turun padang memeriahkan majlis," kata Zed Zaidi lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |