Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Romantis cara Johan, SalehaKISAH cinta boleh bermula, putus, bersambung dan bermula lagi. Ia boleh melompat daripada satu jiwa ke satu jiwa yang lain sehingga menemui cinta sejati. Dunia berkasih sayang itu indah namun perjalanannya amat jauh. Selagi belum tiba waktu yang ditentukan untuk cinta dipateri sebagai hakiki, bermain ayat romantis itu hanya mampu dianyam mengikut rasa. Usia muda dua pelakon, Siti Saleha dan Johan As'ari juga menemukan mereka kepada manisnya cinta. Ketika nama Johan sedang basah dikaitkan dengan penyanyi popular, Shila Amzah, dia mengakui perasaan yang timbul untuk Siti Saleha sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. "Saya nampak bahawa kejujuran boleh menambat sesebuah hubungan itu menjadi teguh. Kepercayaan sangat penting dalam percintaan dan saya percaya kejujuran itulah yang menambat Siti Saleha untuk jatuh cinta kepada saya," tiba-tiba Johan merungkaikan ritma cintanya bersama Siti Saleha tanpa ragu. Katanya, perasaan cinta bersama Siti Saleha terluah dalam santun, penuh rasa hormat tanpa perlu berpeluk cium. Begitu jujur pengakuan Johan namun penjelasan itu belum meleraikan teka-teki tentang wanita istimewa yang menduduki hatinya. Bukannya dalam realiti sebenar, namun kisah cinta antara Johan dan Siti Saleha itu terlukis indah hanya dalam visual sebuah filem bertajuk Balada Pencinta. Digarap sepenuhnya oleh sutradara Khir Rahman, filem itu cinta romantik itu kali pertama mempersembahkan kolaborasi antara Johan sebagai Amir manakala Saleha sebagai Aisyah. "Saya rasa cara Khir mendefinisikan cinta Amir dan Aisyah itu sangat molek, sesuai dengan cara dan budaya orang kita. Perkenalan mereka yang dimulakan oleh Aisyah yang datang kepada Amir, menegur Amir yang sedang asyik memetik gitar itu sesuatu sangat sederhana tapi bermakna.
"Khir sangat memudahkan saya untuk memahami tuntutan watak dan jalan cerita. Walaupun Aisyah anak orang kaya sedangkan Amir hanyalah penyanyi jalanan, filem ini bukan macam kisah antara dua darjat. Halangan utama mereka datang daripada tunangan Aisyah. Dialah penggerak konflik filem ini," cerita Johan tentang filem yang bakal masuk panggung bermula 24 Oktober nanti. Memuji persembahan cinta buah tangan Khir yang disifatkan jarang benar berlaku dalam kebanyakan filem lain, Johan turut menemui definisi cinta yang sebenar-benarnya menerusi filem berkenaan. "Amir seorang yang sangat jujur. Dia menawan hati Aisyah hanya dengan kejujuran. Saya percaya kejujuran akan menjadikan setiap hubungan itu sukses khususnya bagi pasangan suami isteri. Saya sendiri mempraktikkan kejujuran itu dalam kehidupan saya dengan sesiapa sahaja," katanya sebelum diminta fokus kepada nama Shila Amzah, wanita yang dikatakan paling akrab dengannya ketika ini. Tambah Johan: "Dengan Shila juga saya cuba berlaku jujur-sejujurnya. Saya praktikkan perkara yang sama. Bagi saya wanita itu mulia. Mereka yang akan melahirkan anak-anak dan saya hormat dengan kejadian wanita. Tentang jodoh saya sama ada dengan Shila atau sesiapa pun, saya akan terima. Saya berkawan dengan semua orang, bila sampai jodohnya, saya akan kahwin. Memang sasarannya saya mahu bertunang bulan Disember nanti, saya tak akan sorok perkara itu kerana cinta itu milik Allah." Tanpa diminta lebih penjelasan, Johan meluahkan isi hatinya lagi. Katanya, dia bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke Yemen sekitar tahun depan. Jika dipermudahkan Allah, dia mahu mencari calon isteri yang boleh memahami situasi dirinya. "Saya tidak perlukan isteri yang popular atau ada nama. Syaratnya memilih calon isteri itu ada empat, cantik, agama, harta dan keturunan yang baik. Cukup syarat itu, saya terima," jelasnya yang berkongsi niat menyambung pelajaran itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus menimba ilmu. Saleha kembali menyulam cinta Beralih kepada Siti Saleha yang tidak pernah terhakis keramahannya dek populariti yang dikecapi, sebagai mana segarnya warna jingga yang membaluti tubuhnya, seceria itu juga bicara yang terlentur daripada bibirnya. Percutian selama sebulan menjelajah Eropah sambil melawat ibu dan kakaknya di sana juga memberikan emosi gembira buat Saleha. "Sekarang saya kembali bekerja seperti biasa. Selepas siaran Asmara Luna, ada lagi beberapa tawaran televisyen yang saya terima. Saya perlu beri keseimbangan juga selepas berlakon beberapa filem seperti KL Zombie, Mamat Cup Cake, Tujuh dan Bikin Filem.
"Untuk Balada Pencinta, saya sangat berminat dengan penceritaan dan karakter yang ada. Memang dari dulu saya sukakan filem romantik yang ada sentuhan aksi macam filem ini," ujarnya yang tampil bertudung dalam filem berkenaan. Seperti Johan yang memuji kerja pengarahnya Khir Rahman, kata Siti Saleha: "Khir membentuk karakter Aisyah dengan sederhana tetapi sangat mengesankan. Saya sendiri dapat rasakan keserasian antara Aisyah dan Amir. Aisyah seorang gadis yang kosong jiwanya tetapi jatuh cinta dengan Amir. Muzik menyatukan perasaan mereka," jelas Siti Saleha tak lekang senyuman. Diintai lagi isi hatinya, ramai yang sedia maklum, adik kepada vokalis Bunkface, Sam itu pernah dikecewakan cinta. Hari ini, jendela hatinya terkuak lagi. "Saya sudah menemui seorang lelaki, teman lelaki baharu," getusnya perlahan dan terhenti di situ. Penyataan ringkas dan padat itu jelas membayangkan bahawa Siti Saleha kini sedang bahagia mengulit cinta yang baharu. "Dia seorang lelaki berketurunan Inggeris dari Eropah tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kami baru kenal sahaja selama tiga bulan tapi boleh dikatakan hubungan itu cepat berkembang," ringkas dan mudahnya bunyinya perhubungan Siti Saleha bersama jejaka yang masih dirahsiakan namanya itu. | ||
Posted: Charly bangga jadi peloporCHARLY selaku vokalis akan muncul bersama grupnya, Setia Band untuk konsert yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 November ini. WALAU dilempar dengan kata-kata seperti kampungan dan murahan, Charly van Houten tetap mara membawakan sesuatu yang diyakini. Bersama grup terdahulu, ST12, vokalis ini mempelopori lagu-lagu bergenre pop Melayu. Malah dia mengaku bahawa kemunculan ST12 sedikit sebanyak mengubah industri muzik Indonesia. "Banyak grup pop Melayu muncul selepas ST12 naik. Jujurnya telinga orang Indonesia tidak boleh dibohongi. Mereka mahukan sesuatu yang harus Melayu. Walaupun formatnya moden tetapi tetap dimasukkan unsur kemelayuan," ujar Charly yang ditemui di pusat karaoke miliknya di Jakarta yang dinamakan Grand Charly. "Tahun 2005 orang Indonesia masih belum menerima lagu-lagu yang berunsurkan kemelayuan. Mereka anggap ST12 tidak mampu bertahan lama memandangkan ketika itu muzik moden mempengaruhi mereka. "Dua tahun kami berjuang sehinggalah lagu-lagu kami diterima dan meledak di Indonesia. Saat itu barulah muncul kumpulan lain seperti Kangen Band, Wali Band dan banyak lagi yang memperjuangkan genre yang sama," ujarnya berbaur bangga dengan pencapaiannya. Dulu jazz, kini Melayu Awalnya akui Charly, dia seorang peminat genre jazz dan R&B. Ketika bernyanyi di kafe-kafe sekitar Indonesia, dia membawakan lagu-lagu acid jazz. Hanya ketika mahu merakamkan lagu untuk album perdana ST12, dia diperkenalkan dengan melankoli Melayu yang menjadi genre pengenalan kepada khalayak. "Saya punya rujukan untuk lagu-lagu pop Melayu yang saya bawakan. Saya menyukai Salem Iklim. Pada satu ketika muncul lagu-lagu R&B secara meluas di Asia. Lagu-lagu ini dimainkan di kafe-kafe malah lagu-lagu digital berleluasa. Saya fikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memberikan warna yang berbeza," ujarnya tentang langkah awal grup ST12. "Saya fikir juga bahawa dulu Salem telah 'menjajah' dengan lagu-lagunya. Jadi kami cuba dengan sehabis baik dan serius dengan apa yang kami perjuangkan. Terbukti lagu pop Melayu diterima dan ST12 meledak dengan lagu Puspa. Malah penjualan ring back tone mencecah 20 juta buah," ceritanya lagi. DARI KIRI: Pengarah Urusan Kamsol Corporation, Ismail Dogol; Charly; Pengarah Kamsol, Badly Shah Mustapha; dan Pengarah Tajima Infra, Azhar Hambali bertemu di pusat karaoke Charly di Jakarta. Namun kata Charly, jangan ingat bahawa perjuangan mereka berawal dengan mudah. Semuanya sukar kerana pihak stesen radio tidak mahu memainkan lagu mereka. "Kami juga malahan dicemuh oleh orang dalam industri muzik. Tetapi ini tidak membuatkan kami patah semangat. Bagi saya, ST12 merupakan sebuah grup yang legenda kerana dapat membuat sejarah besar dalam industri muzik Indonesia," senyumnya. ST12 ke Setia Band Sebuah permulaan yang bagus bersama ST12 tidak menjanjikan jodoh yang panjang bersama grup tersebut. Mula menjadi vokalis grup tersebut pada tahun 2004, Charly dan rakan grupnya, Pepeng, meninggalkan ST12 pada tahun 2011. "Bersama ST12, kami mengeluarkan lima buah album. Kemudian saya dan Pepeng keluar. Kini kami sedang fokus terhadap album kedua kami," ujarnya yang menganggotai Setia Band bersama Pepeng, pemain gitar dan Alsa, seorang pemain dram wanita. "Tiada masalah besar sewaktu saya meninggalkan ST12 yang pada masa itu tinggal tiga anggota. "Kalau ada yang menyatakan Setia Band tidak dapat menandingi ST12, tidak juga kerana masing-masing ada haluan sendiri. "Konsep keseluruhan ST12 dan Setia Band sedikit berbeza. Peminat tidak sangsi dengan kebolehan saya dan tetap menyokong. "Selagi ada orang Melayu, selagi itu pop Melayu akan bertahan," tegas Charly tentang rahsia lagu-lagu pop Melayu dapat bertahan dalam industri muzik. Malah dia berasa bangga kerana lagu-lagu tersebut telah membawanya terbang ke banyak negara seperti Singapura, Brunei, Malaysia dan Hong Kong untuk memenuhi undangan konsert. Namun vokalis berumur 31 tahun ini ketawa sebelum mendedahkan yang dia hanya akan memenuhi undangan ke tempat yang dekat dan tidak akan mengambil tawaran membuat persembahan yang melibatkan perjalanan jauh terutama menaiki kapal terbang. "Saya takut untuk menaiki pesawat. Kalau setakat perjalanan kurang daripada dua jam saya masih boleh terima. Kalau lebih dua jam saya sanggup tolak kerana fobia," ujarnya yang menolak tawaran menyanyi di Amerika Syarikat kerana bimbang berada di atas pesawat dalam tempoh yang lama. Konsert di Malaysia Pertemuan bersama Charly di salah sebuah pusat karaoke miliknya di Jakarta diatur oleh Kamsol Corporation yang akan membawa grup Setia Band ke KL Live Centre pada 23 November ini. Bukan itu sahaja, penyanyi Indonesia yang naik dengan lagu Kehilangan iaitu Firman juga diundang memeriahkan konsert yang akan bermula pada pukul 8.30 malam itu. "Kami mencuba kelainan dalam perniagaan. Ini kali pertama kami mengadakan konsert yang menghimpunkan dua idola. Kami pada mulanya mahukan Firman tetapi apabila dapat tahu bahawa Charly merupakan mentor kepada Firman, kami gabungkan dua nama ini," ujar Ismail Dogol yang merupakan Pengarah Urusan Kamsol Sdn. Bhd. "Ini merupakan kali kedua saya muncul di Malaysia selepas bersama ST12. Saya sangat teruja untuk kembali menghiburkan peminat di sana," ujar Charly tentang konsert yang dinamakan Konsert Charlie, Pepeng vs Firman tersebut. "Selain itu, saya boleh janjikan bahawa konsert itu akan tampil dengan susunan muzik terbaik daripada kami untuk lagu-lagu ST12 mahupun Setia Band. Melihat kerjasama dengan Firman, saya yakin ia akan menjadi buah tangan terbaik daripada kami," janjinya terhadap konsert dua jam tersebut. "Kami mungkin akan menyampaikan lagu yang belum pernah diperdengarkan sebagai kejutan kepada peminat kami di Malaysia," katanya yang akan membuka pasar mini Charly di Indonesia tidak lama lagi. Bagi Tajima Infra dan Kamsol Corporation, mereka menganggap kedua-dua penyanyi ini mempunyai pengaruh yang besar kepada peminat muzik serantau terutama di Malaysia. "Charly mempunyai pengaruh yang besar kepada peminat tempatan khususnya yang menyukai lagu-lagu pop Melayu. "Atas sebab itu juga saya bersama beberapa rakan yang lain sanggup membawa Charly ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminat setianya di sana," jelas Ismail lagi. Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Charlie, Pepeng vs Firman boleh didapati pada harga RM258, RM158 dan RM78. Layari www.ilassotickets.com untuk maklumat lanjut. | ||
Special ID papar kehidupan gangster Posted: Special ID papar kehidupan gangsterSPECIAL ID menampilkan hero berusia 50 tahun, Donnie Yen yang beraksi sebagai perisik polis dalam kumpulan kongsi gelap Hong Kong. PELAKON Hong Kong, Donnie Yen membuktikan bahawa dia masih mampu bergaya dalam naskah penuh aksi baharu berjudul Special ID walaupun sudah boleh digelar datuk. Selepas terlibat dalam filem Dragon pada tahun lalu, pelakon itu yang kini berumur 50 tahun tampil semula dengan sebuah naskhah sarat seni mempertahankan diri. Namun, dalam produksi itu, dia menggalas tiga peranan berbeza. "Awalnya saya hanya bergelar pengarah aksi dan pelakon untuk filem ini. Namun, saya juga terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif bagi memenuh permintaan pasaran Hong Kong dan China. DONNIE YEN (tengah) hadir ketika mempromosikan filem Special ID di Kuala Lumpur baru-baru ini. "Akibat tiga peranan itu, saya hanya dapat tidur selama tiga jam sehari. Seluruh tubuh saya cedera. Namun, ia hal biasa buat seorang pelakon aksi di Hong Kong," kata pelakon kelahiran Ghuangzhou, China itu. Baru-baru ini, pelakon filem Once Upon a Time in China II dan Ip Man itu berada di Kuala Lumpur sebagai salah satu cara mempromosikan filem tersebut dan menarik penonton ke pawagam. Filem arahan Clarence Fok Yiu-leung itu mengisahkan seorang polis perisik rahsia, Zi Long lakonan Donnie Yen yang menyusup ke dalam kumpulan gengster Hong Kong yang diketuai oleh Xiong (Colin Chou). Bagaimanapun, identiti rahsianya itu diragui oleh Xiong sehingga memaksa Zi Long meminta untuk menamatkan kegiatan penyamarannya itu daripada penyelianya, Sir Zhang (Ronald Cheng) kerana ramai perisik polis yang dibunuh. DONNIE mengaku bahawa keseluruhan aksi lagak ngeri dalam filem ini dilakukannya sendiri. Sebaliknya, Zhang menghantar Zi Long ke tanah besar China kerana menyedari anggota tersebut mampu melumpuhkan mentor Xiong, Sunny (Andy On). Kumpulan Sunny menjalankan kegiatan perniagaan 'Special Indentity' yang berupaya mengenal pasti orang yang menyamar. Adakah Zi Long berjaya menyelamatkan diri dan melumpuhkan kegiatan gengster tersebut? Filem itu turut dibarisi pelakon hebat seperti Jing Tian, Hanyu Zhang, Zhigang Yang, Hee Cheng Paw dan Ken Lo. Ia ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 18 Oktober lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |