Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Pergi ke Eropah bersama kekasih
- Hairi pilih Fara bukan kerana nafsu
- Cabaran komedi Liga Lawak Superstar
Pergi ke Eropah bersama kekasih Posted: Pergi ke Eropah bersama kekasih
KETIKA ini kewujudan laman- laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter menjadi medan kepada artis untuk berkongsi dengan peminat mengenai aktiviti seharian yang dilakukan. Sewaktu menatap laman Instagram milik pelakon Nazim Othman, terdapat beberapa keping gambar bersama kekasihnya, Bella Dally. Menariknya, lokasi gambar berkenaan adalah di luar negara. Secara kebetulan pula Kosmo! telah mengaturkan sesi fotografi bersama Bella baru-baru ini. Lantas, perkara tersebut terus ditanya kepada diri Bella sendiri berkenaan gambar-gambar berkenaan supaya tidak timbul seba- rang keraguan. "Ya, saya mengaku ada pergi ke Eropah dengan Nazim tetapi bukan kami berdua sahaja. Sebaliknya, ia turut disertai oleh beberapa rakan pelakon yang lain seperti Nabila Huda dan Elfira Loy pada Ogos lalu. "Sebenarnya Nazim ke Eropah bertujuan untuk menjalani penggambaran telemovie dan drama bersiri arahan Erma Fatima, namun saya tidak terbabit dalam sebarang penggambaran dan sekadar mahu bercuti sahaja," akui pelakon berusia 22 tahun itu. Ketika ditanya tentang tujuannya mengikuti kekasih hatinya itu ke Eropah, sedangkan dia langsung tidak terbabit dalam sebarang penggambaran, pemilik nama sebenar Nabilah Ali Dally itu menjelaskan bahawa semuanya bermula daripada ajakan Erma. Menurut Bella, pengarah berkenaan pernah menyuruh Nazim supaya bertanya sama ada saya ingin turut serta pergi ke Eropah. Kemudian perkara tersebut terus disampaikan pula kepadanya. "Sebenarnya saya sudah lama ingin bercuti ke Eropah tetapi masa selalu tidak mengizinkan. Kami pergi sekitar bulan Ogos lalu dan secara kebetulan pula jadual lakonan saya tidak padat. "Saya memberi persetujuan untuk ikut semata-mata kerana menghormati ajakan daripada kak Erma. Kalau tidak, sudah tentu saya tidak turut serta kerana tidak mahu ganggu kerja orang lain," ujarnya yang mempunyai hubungan baik dengan Erma sejak menyertai program Pilih Kasih 1 dahulu. Menurutnya, sepanjang berada di Eropah, dia ditemani oleh adik Erma iaitu Betty dan sempat pergi ke beberapa buah negara seperti Jerman, Austria, Switzerland, Itali dan Belanda selama dua minggu. Ketika diminta mengulas mengenai hubungan yang terjalin dengan Nazim, pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu meminta seboleh-bolehnya perkara tersebut tidak terlampau didedahkan kepada umum. Alasan Bella, dia enggan sekiranya kisah cintanya itu lebih diberi perhatian berbanding kerjaya lakonannya. Pada masa sama, dia bukanlah jenis yang suka bercerita mengenai cinta, termasuk kepada ahli keluarga- nya sendiri. "Bagi saya, kisah cinta itu adalah milik peribadi sendiri dan tidak perlu terlampau didedahkan kepada umum. Biarlah setakat orang tahu yang kami ini sedang bercinta, selebihnya biarlah tidak diceritakan. "Selain itu, kami sepakat untuk elak daripada menjalani sesi fotografi berdua tetapi kalau digandingkan dalam lakonan, kami tidak kisah kerana ia berkaitan kerja dan rezeki," ujarnya yang belum pernah berkesempatan bergandingan dengan Nazim sejak mereka bercinta pada tahun lalu. Masih selektif Pembabitan awal Bella Dally dalam dunia lakonan selepas menyertai program Pilih Kasih 1, dia banyak diberikan peranan sebagai watak antagonis dalam drama bersiri atau telemovie. Sehinggakan anak kepada pasangan Weana Quadra dan Ali Abdul Wahid Daly itu pernah mengeluarkan kenyataan yang dia enggan lagi membawa watak sedemikian dengan alasan ia mengundang rasa kurang senang kedua ibu bapanya yang selama ini menyokong pembabitannya dalam bidang seni. "Biasanya sebelum menerima sesuatu tawaran saya akan baca skrip yang diberikan terlebih dahulu. Kalau merasakan watak yang diberikan kurang sesuai dan tidak memenuhi keinginan, saya akan berterus terang. "Mungkin ada yang berpanda- ngan bahawa agak kurang wajar kalau saya terus bersikap selektif tetapi saya masih berasa selesa dengan keadaan sekarang ini. "Paling penting saya perlu menjaga hati ibu bapa supaya tidak membawakan watak yang melampau," jelasnya. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk bergelar seorang anak seni, Bella memberitahu, sokongan daripada ibunya yang menyuruh dia mencuba nasib menyertai program Pilih Kasih 1 merupakan pembuka jalan buat dirinya. Menurut anak bongsu daripada dua orang adik-beradik itu, mengambil langkah untuk berhijrah ke Kuala Lumpur seawal usia 18 tahun untuk mengembangkan kerjaya lakonan dilihat sebagai satu langkah yang tepat. "Pada mulanya saya tidak ambil serius sangat, tetapi lama- kelamaan minat terhadap dunia lakonan semakin menebal dan saya sukakan kerjaya ini kerana ia cukup fleksibel. "Namun begitu, saya juga perlu membalas kepercayaan yang diberikan oleh keluarga apabila mereka membenarkan saya aktif dalam bidang lakonan. Itu yang membuatkan saya perlu bersikap sebegini, namun yakin kerjaya saya akan tetap berkembang," ujarnya. Masalah pertuturan Walaupun sudah empat tahun menetap di Kuala Lumpur bersama abangnya yang bekerja sebagai seorang peguam, Bella dilihat masih lagi kurang fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Jelas pelakon berdarah kacukan Pakistan/Melayu (bapa) dan Filipina/ Eurasian (ibu) itu, masalah pertuturan sememangnya menjadi cabaran paling besar buat dirinya ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang lakonan. "Selalunya kalau berada di rumah saya dan ahli keluarga lain akan bertutur dalam bahasa Inggeris atau Melayu Sabah. Itu yang menyebabkan saya agak sukar bertutur dalam bahasa Melayu biasa. "Keadaan memang agak teruk ketika saya mula-mula berlakon dahulu, tetapi saya anggap ia suatu cabaran yang besar. "Bagaimanapun, masalah tersebut akhirnya dapat diatasi dengan baik hasil pertolongan rakan-rakan artis lain," jelasnya. Menurut Bella, satu lagi punca dia masih lagi kurang fasih berbahasa Melayu dengan baik kerana kekerapannya pulang ke kampung halamannya setiap kali selesai menjalani sesebuah penggambaran. "Apabila pulang ke kampung halaman saya akan selalu terikut-ikut dengan gaya pertuturan di rumah, meskipun sudah kembali ke Kuala Lumpur. "Memang perkara sebegini kelihatan agak remeh tetapi saya tetap berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," ujarnya. | ||
Hairi pilih Fara bukan kerana nafsu Posted: Hairi pilih Fara bukan kerana nafsuOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
JUARA program realiti Anak Wayang, Mohd Hairi Safwan Aznan atau Hairi mengaku menyukai Fara Afiza Azman yang kini tunangannya kerana wanita itu bukan dilihat dari sudut nafsu lelakinya. Berkenalan dalam tempoh yang singkat dan seterusnya mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu, Hairi juga mendedahkan, tunangnya yang merupakan anak kepada editor majalah Kuntum, Asma Saad itu juga pada mulanya tidak mengenalinya sebagai seorang pelakon. Ikuti temu bual Hairi bersama Kosmo! selanjutnya ketika ditemui baru-baru ini. Selain itu, Hairi juga menjelaskan tentang gosip yang tersebar baru-baru ini yang mengatakan ada seorang pelakon menaruh perasaan dengki terhadapnya. KOSMO!: Tahniah atas pertunangan anda. Bilakah tarikh majlis perkahwinan anda akan berlangsung? HAIRI: Insya-Allah kami akan berkahwin pada awal Mac tahun depan. Boleh terangkan mengenai pengakuan anda yang mengatakan Fara yang kini tunang anda bukan dilihat dari sudut nafsu? (Ketawa). Saya mula kenal dengan dia (Fara) pada bulan Disember tahun lepas. Ketika itu, dia dan rakan-rakannya dari maktab perguruan menonton teater lakonan saya iaitu Nyonya Cantik. Selepas teater tersebut tamat, saya terlihat seorang wanita yang mengenakan pakaian seksi tetapi hati saya tidak terpikat walaupun wanita itu cantik. Namun, selepas itu saya terpandang pula seorang wanita iaitu Fara. Dia cukup berbeza. Bertudung dan sopan. Secara tiba-tiba hati saya terpikat. Selepas saya memperoleh nombor telefonnya, saya terus bertanya sama ada dia sudah mempunyai teman lelaki. Bila dia beritahu tiada, saya terus memintanya menganggap diri saya teman lelakinya. Ketika itu juga baru dia beritahu yang sebelum ini dia tidak langsung mengenali saya sebagai pelakon sehingga melihat saya berlakon dalam teater tersebut. Berkenalan dalam tempoh yang singkat dan kemudiannya bertunang, adakah anda yakin dengan pilihan ini? Insya-Allah saya yakin. Dialah calon isteri yang tepat telah diberikan Allah untuk saya. Beralih pada soalan lain, baru-baru ini ada gosip mengatakan anda menjadi mangsa kepada seorang pelakon yang menaruh perasaan hasad dengki terhadap anda? Siapakah pelakon tersebut dan adakah gosip ini benar? (Terkejut). Mana ada sesiapa yang dengki dengan saya. Jadi gosip tersebut tidak benarlah? Tidak. Tiada sesiapa pun yang dengki dengan saya. Nanti orang cakap saya poyo pula. Siapalah yang nak dengki dengan saya. Selain berlakon anda juga berani menyertai pertandingan komedi Liga Lawak Superstar, malah bergandingan dengan pelawak terkenal, Bell Ngasri. Adakah anda yakin mempunyai sisi lawak pada diri anda? Saya tidak cakap saya pelawak. Banyak lagi ilmu yang saya kena belajar. Apa yang penting, saya sering berbincang dengan ahli kumpulan saya iaitu Bell Ngasri dan Idzham Ismail untuk memberikan yang terbaik. Selepas memenangi program Anak Wayang pada tahun 2009, bagaimanakah anda melihat momentum anda dalam bidang lakonan? Saya masih lagi belajar untuk berlakon. Saya juga sentiasa meminta tunjuk ajar daripada pelakon-pelakon senior seperti Eman Manan, Fauziah Nawi dan Kaza. Alhamdulillah, mereka tidak kedekut ilmu dan sentiasa memberi tunjuk ajar tanpa jemu. Saya kena sentiasa memperbaiki mutu lakonan, sebabnya penonton sentiasa tengok dan menilai lakonan kita. | ||
Cabaran komedi Liga Lawak Superstar Posted: Cabaran komedi Liga Lawak SuperstarOleh HAIKAL RAMAN
SEKALI lagi penerbit Afdlin Shauki menjadi pencetus kepada program baharu lawak yang berjaya menyuntik pembaharuan dan kesegaran dalam mewarnai industri komedi tempatan. Dia yang menjadi orang penting di sebalik kejayaan Super Spontan, kali ini telah membawa kepada penonton program Liga Lawak Superstar (LLS). Program ini tidak mempertaruhkan golongan pelawak, sebaliknya ia disertai oleh 16 pelakon drama yang ditayangkan di TV3. Malah, nama mereka juga tidak asing dalam dunia lakonan. Mereka termasuklah Kamal Adli, Nad Zainal, Iqram Dinzly, Didie Alias, Sheera Iskandar, Riezman Khuzaimi, Aidil Aziz, Shafiq Kyle, Akim Ahmad dan Sherry Ibrahim. Bagaimanapun, persembahan pembukaan rancangan LLS yang berlangsung pada malam Ahad lepas boleh dikatakan tidak menjadi kerana ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penonton yang masih kabur terhadap konsep program tersebut. Persembahan itu menjadi hambar disebabkan lawak yang terlalu klise, tidak difahami dan kebanyakan peserta tidak dapat menghasilkan lawak secara spontan. Pembukaan LLS minggu pertama yang telah dipersembahkan oleh Kumpulan A terdiri daripada Derhaka Seorang Cinderella (Amyza Adnan, Hamdan, dan Aman Nassin), Aku (Bell Ngasri, Idzham Ismail dan Hairi Safwan), Apa kasih Toq (Didie Alias, Kamal Adli dan Fizz Fairuz) dan Spy Kampung (Farouk Hussain, Zalif Sidek dan Syafiq Kyle). Mereka akan bersaing bagi mendapat markah mingguan yang tertinggi. Markah itu pula akan dikumpul bagi melayakkan kumpulan yang tertinggi untuk ke peringkat final. Berkonsepkan pemarkahan seperti program realiti Mentor, kumpulan dengan markah tertinggi Kumpulan A akan bertemu dengan markah tertinggi Kumpulan B di lantai akhir LLS untuk menentukan juara. Jelas Ulas Afdlin: "Memang benar banyak reaksi yang timbul untuk minggu pertama ini, dan kerana itulah penonton perlu mengikuti persembahan mingguan untuk mendapat gambaran yang jelas bagi rancangan ini. "Mereka secara perlahan-lahan akan memahami konsep program ini dan tertarik dengan elemen baharu yang selalunya hanya ditampilkan di pentas teater. Rancangan ini sangat mudah dan sekadar untuk berseronok sahaja." Tambah Afdlin, LLS adalah sebuah rancangan berkonsepkan game show yang mana setiap kumpulan harus menyelesaikan tugasan yang diberi secara spontan dan cuba untuk membuat peningkatan dalam persembahan komedi masing-masing. Namun, ia sangat baharu bagi peserta-peserta yang dipilih. Mereka yang kebanyakannya tidak semula jadi bersifat lawak seakan sukar untuk membawa sketsa yang diberikan. Hanya beberapa peserta sahaja yang berjaya mencuri tumpuan penonton pada malam tersebut antaranya Fizz Fairuz, Kamal Adli, Didie Alias dan Bell Ngasri. Kesemua peserta juga dilihat berusaha sedaya upaya untuk menghidupkan lawak tersebut. "Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh kesemua peserta kerana mereka perlu menjadi pelawak, sedangkan kita lihat sebelum ini mereka sering membawa watak serius dalam drama lakonan masing-masing," ulas Afdlin lagi. Katanya, ia masih awal untuk membuat penilaian kerana ini adalah persembahan pertama dan pengenalan bagi rancangan ini. "Kami akan menjadikannya lebih baik dan menyeronokkan tetapi paling penting adalah aksi peserta itu nanti. "Kita tidak boleh menjangka apa akan mereka lakukan untuk minggu- minggu seterusnya selain melihat pada karakter mereka yang sebenar. "Secara jujurnya. saya berpuas hati dengan persembahan pertama minggu ini. "Siapa sangka Fizz Fairuz dan Kamal Adli yang sering membawa watak serius mampu membuat lawak dengan cara sangat semula jadi." Afdlin juga berharap LLS akan memberikan impak tersendiri dan akan menjadi rancangan bermusim yang bakal mewarnai industri komedi di Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |