Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Lagu balas dendam KakaBIAR bergerak selaju cahaya mana mungkin bintang yang berkerdipan di langit dapat tergenggam ke tapak tangan. Namun mimpi dan cita-cita manusia tiada sekatan. Bermimpilah sampai ke bintang, tetapi mimpi itu tak kemana tanpa usaha sedaya-upaya. Bawaku Pergi sudah pun menunjuk jalan terbentang untuk Kaka Azraff, 24, mencorak haluan. Berkeras mempertahankan identiti walaupun terhambat bayangan Ratu Rock Ella, Kaka tetap tidak berganjak mendepani misi bergelar penyanyi. Sudah lebih setahun namanya menembusi perhatian pencinta seni hiburan dan hari ini, dia hadir lagi dengan sebuah judul yang mendefinisikan segala haluan hati. Bermula dengan Bawaku Pergi yang dilancarkan awal tahun 2012, kini Infiniti Cinta membawa Kaka ke satu lagi fasa untuk mengukuhkan lingkungan pengaruh. Dia mahu khalayak tahu, kecintaannya bukan sekadar percubaan. "Kritiklah apa sahaja, saya memang mahu jadi penyanyi dan saya yakin, peluang untuk saya akan ada jika saya tidak kenal erti putus asa. Saya masuk ke dalam industri bukan untuk uji nasib, tapi serius mahu jadikan nyanyian sebagai karier. Apa yang terjadi dulu tidak dirancang, tapi kali ini penghasilannya lebih serius dan matang. "Tetapi, jika hendak dikatakan bahawa Infiniti Cinta sebagai pengukuhan nama dan karier saya, rasanya ini belum lagi. Saya anggap Infiniti Cinta sebagai langkah kedua dan lagu 'balas dendam' terhadap segala kontroversi Bawaku Pergi, duet bersama Zizan Razak sebelum ini. Saya dan Zizan mahukan sebuah kesinambungan dan membuktikan bahawa kami bukannya membawa mesej negatif melalui lagu," anak kelahiran Klang, Selangor itu melenturkan fahamannya.
Bercakap tentang pengukuhan dan pengaruh, Kaka sedar anggapan khalayak terhadap dirinya. Masuk ke dalam industri menerusi duet bersama Zizan yang mempunyai pengaruh besar, secara tidak langsung sokongan yang diterima banyak diterima daripada peminat Zizan sendiri. "Kalau untuk pengukuhan karier dan pengaruh, saya lebih berharap kepada single solo pertama nanti. Itu baru betul satu pengukuhan. Bukan saya tidak yakin dengan impak Infiniti Cinta tetapi dalam lagu itu orang masih melihat saya menempel atas populariti Zizan. Saya tak salahkan gelaran sebegitu namun populariti juga sangat subjektif, mungkin betul, mungkin juga tidak. "Jadi, kredibiliti saya akan benar-benar teruji dengan single terbaharu yang akan dilancarkan Disember nanti. Itulah produk yang akan membuktikan sama ada saya boleh berdiri atas kaki sendiri atau tidak," katanya penuh misi. Heret bayangan Ella Berbilang rasa, takut dan gementar namun keterujaan menanti kelahiran single yang diberi judul Kepulangan itu jelas terpampang pada wajahnya. "Kepulangan sebuah lagu tentang kekuatan semangat dan hati seorang wanita. Lagu itu ciptaan sepenuhnya daripada komposer baharu bernama QZ. Kalau bercakap tentang lirik, saya suka lirik lagu itu yang tidak terlalu fokus kepada cinta sebaliknya lebih kepada motivasi. Rasanya lagu itu sangat kena dengan saya. Saya suka lagu-lagu Beyonce, lagu-lagu banyak berkisar tentang kekuatan wanita. Perasaan saya lebih ke arah itu, bukannya cinta," ujar Kaka yang mahu menawan hati peminat sedalam-dalamnya. Sudah menjadi adat, mempunyai pertalian darah dengan orang ternama, sudah tentu tempiasnya terpercik juga ke wajah pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff ini. Menjadi anak saudara kepada Ella ternyata menjadi satu daripada arus cabaran yang harus ditelan Kaka sepanjang hidupnya. Sejak dari mula hendak menapak dan sehinggalah sekarang, khalayak masih melihat bayangan Ella pada kelibatnya. "Perkara itu memang sudah tidak dapat dielak, ia tetap datang. Saya sudah lali dan menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada saya. Sejak kecil, saya antara anak saudara yang rapat dengan Ella dan menjadikan dia sebagai idola. Jadi, jika saya kelihatan terikut-ikut dengan cara Ella, itu tidak boleh disangkal. Saya okey dengan apa sahaja pandangan orang.
"Sebab itulah saya pilih jalan sendiri. Kalau boleh saya juga mahu memintas bayang-bayang itu. Tapi siapalah saya untuk dibandingkan dengan ibu saudara saya itu, dia Ella dan saya tidak boleh buat apa-apa jika terus dikaitkan sebagai bayangan Ella. Apa yang boleh saya cakap, saya tidak semanja Ella. Selagi boleh, saya akan pandu diri agar mengelak daripada bermain rambut atau bercakap dengan nada seperti Ella tapi kadang-kadang terlepas juga. "Cuma harapan saya, moga suatu hari nanti, khalayak akan menerima Kaka sebagai Kaka, bukan sekadar bayangan," katanya yang merupakan anak kepada abang kandung Ella, Noor Azraff Aminuddin yang telah meninggal dunia. Anak ketiga daripada empat beradik itu yakin langkah menceburi bidang seni bukan batu loncatan untuk populariti mahupun eksperimental. Dia percaya darah seni yang memenuhi urat sarafnya itu sedang dialirkan ke laluan yang sewajarnya. Jika boleh, Kaka juga mahu menjadi seperti selebriti lain, bukan sekadar nyanyian dia juga meminati dunia pengacaraan. Merisik perkembangan terbaharunya, Kaka menyatakan dia bakal terlibat dalam penggambaran program televisyen berjudul Superder. Program seumpama Jalan-Jalan Cari Makan itu menyaksikan Kaka menjelajah seluruh negara mencari dan mencuba sajian lewat malam yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. | ||
Sayang gila pada Uqasha - Pekin Posted: Sayang gila pada Uqasha - Pekin
KATAKAN apa sahaja kerana dalam soal cinta, sesiapa pun boleh menjadi keanak-anakan. Itu kesimpulan kepada 'drama berantai' putus dan sambung semula hubungan antara pasangan pelakon, Pekin Ibrahim dan kekasih yang telah dirisik sebagai bakal isterinya, Uqasha Senrose, 20. Semuanya gara-gara terlebih emosi, salah sangka dan silap percaturan. Dengan rendah hati, Pekin mengakui 'jiwa kacanya' terlalu rapuh apabila berdepan tekanan melibatkan wanita yang disayangi. "Memang hati saya kaca, memang saya jiwa saya cepat kacau bila masuk bab cinta tapi sekarang hubungan kami sudah pulih seperti biasa. Majlis kejutan hari lahir yang dirancangkan oleh Uqasha masih diteruskan, tetapi tidak lagi satu kejutan sebab saya terlebih dahulu membuat kejutan dengan cerita putus cinta baru-baru ini," luah Pekin kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi Jumaat lalu. Selasa lalu, Pekin memberitahu media bahawa hubungannya bersama Uqasha sudah putus kerana menemui beberapa bukti bahawa wanita yang serius mahu dinikahinya itu berhubungan secara sulit dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad. Namun semuanya terlerai apabila Pekin bertemu empat mata dengan Sharnaaz. Ternyata, hubungan antara Uqasha dan Sharnaaz seperti yang disangka oleh Pekin sebenarnya hanya satu pakatan untuk membuat kejutan ketika meraikan hari lahir Pekin yang dirancang pada 26 Oktober (semalam). "Memang saya yang bersalah dalam soal ini. Semuanya salah saya. Katalah apa sahaja, tidak matang atau cepat melenting, semuanya saya terima. Memang saya tidak tahu situasi yang sebenar-benarnya. Apabila perkara itu terpaksa dibongkar demi menyelamatkan keadaan, barulah saya terduduk," luah Pekin sambil mengakui masih belum mengikat tali pertunangan dengan Uqasha. Katanya: "Memang kami belum bertunang secara rasmi, tetapi apabila sudah buat majlis merisik, ia semacam bertunang juga. Bila sudah merisik maknanya saya serius untuk berkahwin."
Di sebalik kejadian itu, Pekin mendapat iktibar terbesar dalam hidupnya. Selepas bertemu sendiri dengan Sharnaaz pada Rabu malam, dia kemudian menemui Uqasha pada keesokan harinya untuk memohon maaf. Bukan itu sahaja, Pekin mengambil masa tiga hari untuk bertemu dengan tiga pihak yang sama-sama terjejas perasaan gara-gara keputusan melulu yang keluar daripada mulutnya. "Selepas berjumpa Sharnaaz pada hari Rabu, esoknya saya ke rumah Uqasha pula. Mujurlah dia masih sudi memaafkan saya. Apa yang keluar daripada mulut saya sebelum itu berpunca daripada rasa marah dan tekanan perasaan. Saya terlalu sayang, sayang gila kepada Uqasha. "Hari Jumaat pula, sekali lagi saya ke rumah Uqasha untuk meminta maaf daripada keluarganya. Nasihat mereka, keluarga harus didahulukan dalam apa sahaja masalah yang berlaku selepas ini. Saya janji dah tak mahu perkara sebegini berlaku lagi," cerita Pekin sesal namun bahagia kerana kesilapan besar itu dapat diperbaiki. Di sebalik kejutan 'kantoi' yang terjadi, Pekin membuka satu cerita. Katanya, dia pernah meluahkan kepada Uqasha bahawa tidak pernah merasai suasana sambutan hari lahir sepanjang hidupnya. "Saya tidak tahu pula Uqasha begitu ambil berat terhadap cerita berkenaan. Aduh, apa nak buat, kejutan entah ke mana, lain pula yang terjadi. Saya benar-benar minta maaf, minta maaf juga kepada pihak media jika merasakan perkara ini satu benda tak sepatutnya terjadi," tutup Pekin yang genap 32 tahun hari ini. Malam tadi, majlis hari lahir yang mulanya dirancang sebagai kejutan untuk Pekin tetap berlangsung dalam suasana meriah di Empire Hotel Subang Jaya, Selangor. | ||
Posted: Perspektif hijrah anak seniSHAMSUL (kanan) bersama beberapa selebriti dan individu yang melalui fasa penghijrahan muncul dalam 13 episod rancangan Hijrah Munawwarah. PUJANGGA ada berkata bahawa janganlah kita menilai seseorang itu dengan melihat masa silamnya kerana manusia boleh berubah. Biarpun pandangan skeptikal masyarakat terhadap penggiat seni masih menebal, ada yang memberi bukti bahawa anak seni juga mampu berubah untuk bergelar orang alim. Walaupun ada yang bersikap hipokrit dengan penampilan gaya islamik seperti berhijab, lebih ramai yang ikhlas selepas menerima hidayah Allah. Sekurang-kurangnya penghijrahan mereka daripada kelompok pelakon dan penyanyi itu turut memberi inspirasi kepada masyarakat agar turut sama berubah kepada yang lebih baik. Sempena sambutan Maal Hijrah tidak lama lagi, Sensasi Bintang mendapatkan reaksi selebriti, Nora dan Shamsul Ghau Ghau untuk berkongsi pengalaman kisah penghijrahan masing-masing. Bagi penyanyi Nora yang melalui fasa penghijrahan sejak lima tahun lalu, biarpun penampilannya telah berubah, jiwanya tetap serasi dengan dunia nyanyian. Nora membuktikan bahawa ada cara untuk berhibur mengikut cara lebih baik sementelah turut menerbitkan sebuah rancangan animasi kanak-kanak yang memberi pendidikan mengikut syariat. Shamsul yang berubah dengan mendekatkan diri kepada Allah secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini mempunyai harapan untuk mempamerkan jiwa seorang anak seni yang mengikut jalan yang betul. Kedua-dua penggiat seni tersebut juga bakal muncul dalam sebuah rancangan bual bicara baharu berjudul Hijrah Munawwarah yang ditayangkan di saluran TV AlHijrah. Rancangan 13 episod yang bersiaran bermula Jumaat lalu pada pukul 9 malam itu menampilkan Shamsul sebagai pengacara bersama tetamu jemputan pada setiap minggu untuk berkongsi kisah penghijrahan mereka. Selain Nora, barisan selebriti seperti Nazrey Johani, Catriona Ross, Adam Corrie Lee dan Ustaz Ebit Lew merupakan antara tetamu jemputan dalam episod berasingan. Bagaimana pengertian hijrah daripada pandangan anda? NORA (N): Hijrah adalah suatu perubahan. Pada usia tertentu, sudah pasti kita mahu sesuatu perubahan ke arah yang lebih baik dalam diri kita. Tidak kiralah perubahan yang kecil atau besar, asalkan kita menjadi lebih baik. SHAMSUL GHAU GHAU (S): Perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah ialah pengertian hijrah yang sebenar. Tetapi untuk kita di zaman ini, hijrah membawa erti yang lebih luas. Berubah daripada yang baik menjadi jahat juga sesuatu penghijrahan. Tetapi pastinya kita mahu berhijrah daripada yang tidak baik menjadi lebih bagus. Boleh kalian kongsikan tentang titik-tolak penghijrahan masing-masing? N: Apabila melihat anak-anak di depan mata saya mengucapkan syukur. Tetapi pada ketika itu, saya sekadar mengucapkannya di bibir sahaja. Apabila saya fikirkan semula saya tertanya-tanya adakah itu caranya untuk bersyukur? Bertitik tolak daripada perasaan itu pada lima tahun lalu, saya nekad mahu berubah. Pada usia 35 tahun saya membuat keputusan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. S: Rumah saya betul-betul di hadapan sebuah masjid selepas berpindah dari Cheras ke Bangi, Selangor. Namun, saya tidak pergi ke masjid itu untuk solat berjemaah sehinggalah saya mencari maksud surah Ar-Rahman yang saban waktu diperdengarkan dari corong pembesar suara masjid. Selepas mengetahui maksudnya tentang kebesaran dan kekuasaan Allah, hati saya mula terdetik untuk mengikut ajaran yang diperintahkannya. Sejak empat tahun lalu, saya sudah mula berubah secara dalaman, cuma kini berjinak-jinak untuk berpakaian mengikut sunnah.
Bagaimana kalian berdepan dengan cabaran dan penerimaan masyarakat terhadap perubahan diri yang dilakukan? N: Peringkat permulaan agak tertekan juga sebab banyak pendapat yang saya dengar apatah lagi saya masih terlibat dalam dunia nyanyian. Cuma saya perlu pandai sesuaikan diri dan jangan cuba tegakkan benang basah. Jika saya rasa perjuangan saya betul, saya teruskan. Ketika membuat keputusan itu juga (berhijrah), ada macam-macam 'nasihat' antaranya supaya saya membuat konsert terlebih dahulu, ketika melepasi usia 40 tahun ke atau selepas menunaikan haji ke barulah tutup aurat. Bagi saya, apabila kita sudah mendapat hidayah, janganlah kita berpaling kerana mungkin hidayah itu boleh ditarik balik. S: Mula-mula berat untuk saya menyatakan hasrat berubah kepada isteri sendiri apatah lagi untuk mengajak dia menutup aurat dan bertudung. Pastinya tawaran lakonan hampir tiada selepas saya menunaikan haji selain ada yang menjauhkan diri. Bagaimana anda menetapkan batasan bekerja memandangkan khidmat masih diperlukan dalam industri hiburan? N: Kena ada batas dan had terutamanya buat seorang muslimah. Saya banyak merujuk pada ustaz dan membaca buku-buku agama tentang apa yang boleh dan tidak. Kita boleh menyanyi atau menyampaikan sesuatu yang baik, tetapi kena jaga kelakuan, penampilan, percakapan dan apa yang kita sampaikan. S: Tiada masalah untuk melakukan sesuatu yang mengikut perintah Allah, tetapi saya elakkan hal yang bercanggah. Saya ada menerima tawaran untuk mengendalikan majlis-majlis keagamaan. Saya masih berlakon, tetapi aktiviti itu semakin kurang kerana turut memberi tumpuan kepada mencari ilmu dan menghabiskan masa bersama anak-anak. Kebanyakan artis mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada dunia hiburan selepas berhijrah. Bagaimana kalian melihat tanggungjawab yang harus dipikul oleh seorang anak seni yang telah berubah ke arah yang lebih baik? N: Setiap kita ada tanggungjawab. Saya yang terlibat dalam dunia nyanyian juga tetap ada tanggungjawab kepada masyarakat cuma pendekatannya haruslah di jalan yang lebih baik. Penghasilan program Ummi... Ceritalah Pada Kami juga merupakan salah satu tanggungjawab mendidik kanak-kanak dengan cara Islam. Saya boleh menyanyi dan suami boleh buat lagu untuk dimuatkan dalam rancangan itu. Sebagai seorang selebriti, cara penampilan kita juga boleh mendidik masyarakat. S: Saya ada bertanya kepada ustaz tentang hasrat untuk berundur daripada dunia hiburan, tetapi dia kata kalau saya berhenti, anak-anak nak makan apa? Apabila difikirkan, saya masih ada tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat. Saya kena mempamerkan lakonan yang boleh memberi kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Apatah lagi, ada beberapa stesen televisyen yang berkonsepkan islamik mula berkembang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |