Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Wan Sharmila kunci mulutWAN SHARMILA melemparkan senyuman mesra pada pertemuan kami sewaktu dia sibuk menjalani penggambaran telefilem sempena Aidiladha di Kuang, Kuala Selangor, Pelita Tanpa Sumbu. Polos tanpa sebarang calitan solekan dan manis berbaju kurung, ia bagai melampias rasa hatinya yang kini dihuni rasa bahagia tak terperi. Kisah pelakon itu kini bercinta bukan lagi rahsia. Namun, apa yang masih digali ialah tentang identiti si pencuri hati pelakon yang senang disapa Lala ini. Walau didesak berkali-kali, pelakon cantik ini tetap tidak mahu berkongsi banyak tentang perihal kisah cintanya dengan orang ramai. Katanya yang sering membisu sambil diselangi ketawa kecil, dia tidak mahu terlalu banyak berkongsi kisah cintanya. Mungkin pengalaman bercerai sebelum ini telah membuat Wan Sharmila, atau nama sebenarnya, Wan Sharmila Wan Mohamed mengambil keputusan untuk mengunci mulut daripada bercerita, namun dirinya tidak menyangkal sudah punya teman istimewa yang hanya diketahui sebagai D. "Memang saya akui, saya kini sudah bertemu kekasih hati dan saya tidak ingin bercerita lebih tentang dirinya. Namun, semuanya belum lagi ditetapkan dan kami masih lagi dalam proses perkenalan. "Dia juga tidak mahu membuat penampilan di hadapan orang ramai dan sentiasa memahami karier saya. Saya tidak mahu terlalu mendedah perihal peribadi kerana biarlah orang mengenali saya dengan perkara lakonan atau pengacaraan saya. "Biarlah saya bekerja secara profesional," bicaranya.
Tambahnya yang menggalas status janda sejak hampir empat tahun lalu, jika benar-benar punya jodoh bersama jejaka tersebut, dia akan mengakhiri zaman solonya. Akui aktres bertubuh genit ini, kini dia memang sedang bahagia, namun tidak mahu terlalu memikir kerana khuatir diri akan merana jika terlalu mengharap. "Biarlah perhubungan ini mengikut perjalanan yang sepatutnya dan saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa membuat keputusan. Saya ingin menjadi seorang yang profesional dan tidak mahu campurkan urusan kerja dan peribadi," tuturnya ringkas. Masih ada tawaran Dua atau tiga tahun lepas, nama Wan Sharmila sentiasa meniti di bibir peminat drama tempatan dek watak antagonis yang kebanyakan dilakonkannya. Bagaimanapun, kini nama Wan Sharmila seperti telah sunyi daripada lakonan yang telah menjadi periuk nasi bagi empunya diri sejak lima tahun lalu. Ungkapnya, walaupun seperti jarang kelihatan muncul dalam drama mahupun telefilem yang popular, namun pada hakikatnya, dia masih punya rezeki dalam bidang lakonan. "Alhamdulillah, tawaran berlakon memang masih ada, namun kini, tidak dinafikan memang agak kurang. Bagaimanapun, tidaklah sampai saya ingin berhenti daripada karier ini. "Ia terpulang kepada program yang saya libatkan diri. Jika ramai yang tonton serta rancangan tersebut popular, maka ia kelihatan seperti saya banyak tawaran," tutur wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini. Bagaimanapun, ketika ditebak persoalan tentang kesunyian dirinya dalam lakonan, wanita berusia 32 tahun ini tidak menyangkal dakwaan dirinya semakin kurang diberi tawaran. "Mungkin juga percambahan pelakon baharu menyebabkan saya kurang dilihat tampil dalam drama atau telefilem popular. Saya menyedari perkara itu dan telah bersedia serta perlu untuk terima keadaan tersebut dengan seadanya. "Oleh kerana itu juga saya kurang menyertai program atau karnival untuk bertemu peminat kerana tiada produk yang hendak saya promosikan. Mungkin kini jika ada masa terluang, saya mampu penuhi majlis-majlis mungkin untuk mempromosi drama contohnya kerana punyai masa," tuturnya yang hanya membuat aktiviti biasa yang berfaedah jika tiada tawaran. WAN SHARMILA juga meluaskan kariernya sebagai pengacara. Pengacaraan Ceritanya, selain lakonan, dia juga kini memberi fokus terhadap bidang pengacaraan yang pernah diceburinya sejak tiga tahun lalu dengan mengendalikan beberapa program seperti Klik Klik Asia dan Dialek di RTM. "Kini saya sedang memberi fokus mengendalikan program berkonsepkan permainan (gameshow) iaitu Seiring Sejalan bersama pelakon Fizz Fairuz yang telah pun memasuki musim kedua. "Saya terima rezeki yang datang kerana bagi saya jika ada peluang tidak salah untuk mencuba. Selagi kita sayang pada sesuatu pekerjaan yang dilakukan, maka akan hadir rezeki di situ kelak," ceritanya yang mengakui masih banyak perlu dipelajarinya dalam bidang pengacaraan Tambahnya lagi, bidang pengacaraan juga merupakan satu pengalaman yang berbeza buat diri. Ini kerana sebelum ini dia banyak ambil tawaran berlakon, jadi bidang pengacaraan merupakan satu pengalaman yang baharu yang sangat menarik. Ungkapnya lagi, dia mendapat kepuasan yang berbeza daripada lakonan dan pengacaraan. Walaupun begitu, dia akui masih lemah dalam bidang ini dan masih dalam proses pembelajaran. | ||
Hafiz harap peminat mengundinya Posted: Hafiz harap peminat mengundinyaOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
KEJAYAAN demi kejayaan yang diraih oleh anak muda kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang bernama Hafiz Suip ini. Walaupun mengakui masih baharu dalam industri seni tempatan, namun pencapaian anak muda ini berada pada tahap yang boleh dibanggakan. Apa yang lebih membanggakan, baru-baru ini Hafiz telah dikejutkan dengan satu berita gembira buat dirinya. Jika sebelum ini, Yuna pernah dicalonkan menerusi kategori yang sama, kini giliran Hafiz pula. Hafiz akan mewakili Malaysia dalam pencalonan Best Southeast Asia Act dalam MTV Europe Music Awards (2013 MTV EMA) yang dijadual berlangsung pada 10 November depan di Amsterdam, Belanda. Justeru, Hafiz perlu bersaing dengan artis dari lima negara iaitu NOAH (Indonesia), Olivia Ong (Singapura), Sarah Geronimo (Filipina), Slot Machine (Thailand) dan My Tam (Vietnam). Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hafiz Suip tentang perasaannya tercalon untuk anugerah antarabangsa itu. Kosmo!: Boleh cerita sedikit tentang pencalonan anda dalam MTV European Music Award (MTV EMA) baru-baru ini? HAFIZ: Saya sendiri dapat tahu melalui Twitter dan sebenarnya saya agak terkejut kerana ramai peminat yang mengucapkan tahniah kepada saya atas pencalonan tersebut. Saya kemudian mencari sumber yang sahih tentang berita itu dan setelah sahih, saya bersyukur kerana tercalon dalam kategori Best Southeast Asia Act. Secara jujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana pencalonan itu berlaku. Mungkin mereka lihat pencapaian saya sepanjang menjadi artis. Bagi peminat yang mahu mengundi saya, boleh layari laman web www.asia.mtvema.com. Apa perasaan anda apabila tercalon dalam anugerah antarabangsa seperti ini? Memang saya terkejut kerana pengalaman saya yang masih lagi baharu dalam industri seni. Bila dapat tahu, saya rasa berbesar hati dan susah bagi saya untuk mencapai tahap tersebut. Itu rezeki yang Tuhan beri, Alhamdulillah. Selain ia merupakan pencapaian peribadi, saya melihat saya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Tinggalkan berita tersebut, boleh jelaskan tentang kisah cinta anda? Ada yang mengatakan anda sudah bertunang? Tidak benar sama sekali. Masih tiada perancangan ke arah itu (bertunang). Jika boleh apabila saya ingin membina masjid, maka akan saya umumkan. Buat masa sekarang, saya masih ingin mencukupkan keperluan diri sendiri dan keluarga. Saya ingin fokus terhadap karier. Jadi, apa status anda kini kerana sebelum ini anda dikatakan sedang bercinta dengan seseorang? Saya kini masih bujang dan tiada teman istimewa. Apa yang boleh saya katakan, saya masih muda dan mencari calon yang sesuai. Mungkin tiada jodoh saya dengan yang sebelum ini. Saya tidak mahu terlalu cerita tentang perkara ini. Mak saya juga pernah pesan, jika mahu mencari jodoh, biar yang mampu menjadi isteri yang baik. Adakah pengalaman sedih dalam percintaan diaplikasikan dalam nyanyian anda supaya emosi itu lebih kelihatan? Sebenarnya, saya juga ada guna pengalaman hidup sendiri untuk memberi emosi kepada persembahan saya. Jika berbuat demikian, ia kelihatan lebih realistik daripada hanya melakonkan emosi tersebut. Apakah perkembangan terkini anda? Saya kini masih lagi memberi fokus untuk mempromosi single saya yang berjudul Bahagiamu Deritaku dan kemungkinan single seterusnya yang berjudul Kesimpulan akan dilancarkan dalam masa terdekat. | ||
Posted: Lisa, Aaron kembali bersatu
JIKA sebelum ini peminat dapat melihat gabungan pertama Lisa Surihani dan Aaron Aziz menerusi filem adaptasi novel Ombak Rindu, kali ini dua bintang terkenal itu bergabung semula dalam supertelefilem yang berjudul Suamiku, Encik Perfect 10! di bawah arahan pengarah Feroz Kader. Apa yang menariknya tentang supertelefilem ini, ia juga merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada sebuah novel nukilan Syamnuriezmil yang mempunyai judul sama. Ketika bertemu di lokasi supertelefilem terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu baru-baru ini, Lisa memberitahu, tidak sukar untuk dia mendapatkan keserasian bersama Aaron memandangkan ini kali kedua dia berganding dengan aktor tersebut. "Sebelum ini kami pernah berlakon bersama, jadi kali ini tiada masalah untuk mendapatkan keserasian itu. Saya juga setuju untuk mengambil watak ini kerana akan bergandingan bersama Aaron. "Selain itu, apa yang saya lihat, walaupun mungkin ceritanya diadaptasi daripada sebuah novel, namun jalan cerita yang ditampilkan berbeza," jelas Lisa. Tambah isteri kepada Yusry KRU ini lagi, antara punca dia bersetuju dengan tawaran yang diberikan kerana dia menyukai perjalanan watak miliknya yang seperti bertukar karakter dalam setiap babak. "Saya sukakan peralihan emosi yang perlu saya beri pada setiap babak, itu antara sebab saya bersetuju terbabit di dalam naskhah ini," ujarnya yang memegang watak sebagai Aleeya Azmeen. Tambahnya lagi, mungkin watak Aleeya tidak jauh berbeza daripada yang pernah dilakonkannya, namun apa yang menjadi cabaran baginya ialah proses perubahan emosi yang perlu dilakonkan olehnya. "Pada mulanya, Aleeya merupakan seorang pelajar perubatan yang sangat riang dan ceria, namun setelah dirogol oleh teman lelakinya, dia berubah menjadi seorang yang pasif dan kusut memikirkan kejadian yang telah menimpa dirinya," tutur Lisa yang agak sukar untuk melakonkan watak menangis. ANTARA babak menarik dalam supertelefilem Suamiku, Encik Perfect 10!. Tak kisah watak stereotaip - Aaron Bagi Aaron pula, walaupun sering dipilih untuk watak yang dianggap agak stereotaip, namun lelaki ini tidak kisah untuk menerima tawaran tersebut. "Saya bukan berlakon watak baik sahaja, ada juga watak antagonis yang pernah saya lakonkan. Namun, perlu lihat juga kehendak masyarakat bagaimana mereka mahu lihat lakonan saya. Apa yang patut saya lakukan ialah terima tawaran dan jalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk menjayakan watak yang diberi. "Ini kerana bagi saya, pihak penerbit tahu apa yang mereka lakukan, dan pastinya watak tersebut diberi kepada pelakon setelah membuat kajian apa yang penonton mahukan," jelas Aaron yang memegang watak Zarief Daniel yang berasal dari Kedah. Bercerita tentang wataknya pula, bicara Aaron, antara cabaran buat dirinya adalah untuk bercakap dalam dialek utara. Walaupun agak sukar, namun, tutur Aaron, dia berusaha untuk melakukan yang terbaik dan cuba untuk tidak kelihatan terlalu kekok. Selain Lisa dan Aaron, pelakon lain yang terlibat dalam supertelefilem ini ialah Raja Ilya, Syazwan Zulkifly, JAsmin Hamid dan Normah Damanhuri. Ia juga bakal ditayangkan di saluran Astro manakala tarikh dan waktu tayangan belum ditetapkan lagi. Selain di Malaysia, supertelefilem ini juga menjalani penggambaran di London, United Kingdom. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |