{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Horizon

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Horizon


Rumah bot pilihan si kaki pancing

Posted:

Rumah bot pilihan si kaki pancing

Rumah bot pilihan si kaki pancing

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

BERPELUANG bermalam di rumah bot Raflesia Cruze di Tasik Temenggor, Gerik, Perak merupakan pengalaman pertama yang manis bagi David Ong Yeoh, 48.

Bagi penggemar aktiviti menyelam skuba itu, rumah bot mempunyai kemudahan yang seakan-akan sama seperti menginap di calet yang menempatkan penyelam-penyelam sebelum turun ke laut.

Kemudahan asas seperti tandas, penyediaan makanan dan tempat tidur yang ringkas ternyata sudah memadai untuk Ong Yeoh sepanjang penginapan tiga hari dua malam di rumah bot itu.

Namun baginya, bermalam di rumah bot ternyata memberi perspektif berbeza mengenai penginapan untuk pelancongan di negara ini.

Perjalanan rumah bot selama satu jam setengah ke lokasi berdekatan hutan Taman Negeri Royal Belum merupakan antara pengalaman menarik yang dilalui oleh setiap pelancong.

Dengan kadar kelajuan 10 kilometer sejam, pergerakan rumah bot dari Pulau Banding ke kawasan berdekatan hutan itu memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati keindahan alam semula jadi di darat.

"Sebelum ini, saya tidak pernah tahu ada penginapan yang membawa pelancong bergerak ke satu destinasi. Rumah bot akan diletakkan di satu kawasan dan pelancong akan dibawa dengan menaiki bot untuk meneroka kawasan sekitar Taman Negeri Royal Belum," ujar perunding perhubungan awam di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Sungguhpun Raflesia Cruze menyediakan lima bilik tidur yang menempatkan tiga orang di setiap bilik dan tambahan 20 tilam untuk para tetamu, Ong Yeoh memilih untuk tidur di pelantar di tingkat dua dengan beralaskan beg tidur.


SELAIN katil, Raflesia Cruze turut menyediakan 20 tilam untuk keselesaan tetamu.


Suasana

Rumah bot yang diletakkan bersebelahan hutan Royal Belum memberikan suasana dingin dan nyaman terutama pada waktu pagi.

Berbeza dengan penginapan di calet tepi laut yang berombak, rumah bot tidak banyak bergerak dan beralun kerana ia diikat dengan tali di kawasan tebing tasik.

"Saya merupakan penggemar aktiviti eko pelancongan. Pakej yang ditawarkan oleh rumah bot Raflesia Cruze bukan sekadar bermalam semata-mata. Aktiviti merentas hutan Royal Belum dan melihat ikan kelah di Kawasan Perlindungan Sungai Ruok merupakan antara pengalaman menarik sepanjang saya berada di sini.

"Sebelum ke sini, saya tidak mendapat pendedahan mengenai penginapan rumah bot. Bagi saya, ia amat sesuai untuk mereka yang datang secara berkumpulan untuk meneroka alam semula jadi yang terdapat di daerah Grik ini," ujarnya yang berpeluang ke Tasik Temenggor baru-baru ini atas urusan kerja.

Kaki pancing

Raflesia Cruze merupakan salah satu penginapan rumah bot yang dikendalikan oleh syarikat Banding Crew Nine di Tasik Banding yang membawa pelancong bermalam di sekitar tasik kedua terbesar di Malaysia itu.

Pemilik Raflesia Cruze, Solaudin Ali Othman, 46, memberitahu, warga tempatan dan pelancong asing yang datang secara berkumpulan merupakan antara pelanggan utamanya.

Menurutnya, kebanyakan pelancong terdiri daripada kaki pancing yang datang untuk memancing ikan toman, sebarau dan baung yang hanya boleh dipancing di muara Tasik Temenggor.

"Kaki pancing hanya akan bermalam di rumah bot kerana bilik yang disediakan menepati cita rasa mereka. Saya juga menyediakan bot laju untuk membawa mereka ke bahagian muara tasik," ujarnya yang merupakan salah seorang ahli Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temenggor.


PENGUSAHA rumah bot juga membawa pelancong ke santuari ikan kelah Sungai Ruok untuk aktiviti riadah.


Rumah bot dibina dengan kos sebanyak RM130,000 itu mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelancong sepanjang tahun terutama pada musim cuti persekolahan.

Krew rumah bot Raflesia Cruze terdiri daripada dua tukang masak, dua orang yang mengendalikan rumah bot dan tiga orang yang membawa pelancong menaiki bot laju untuk aktiviti di sekitar Tasik Temenggor dan hutan Royal Belum.

Selain menawarkan penginapan dan aktiviti memancing, Raflesia Cruze juga menyediakan pakej-pakej seperti melawat perkampungan Orang Asli Jahai di Sungai Tiang, merentas hutan Royal Belum, berakit di Tasik Temenggor dan beriadah di santuari ikan kelah Sungai Ruok.

Selain itu, pelancong juga akan dibawa untuk melihat tiga jenis bunga pakma iaitu Azlanii, Cantleyi dan Kerii yang tumbuh segar di kawasan lereng bukit berdekatan dengan air terjun di Taman Negeri Royal Belum

Dua pakej penginapan di rumah bot Raflesia Cruze iaitu dua hari satu malam berharga RM350 seorang. Pakej tiga hari dua malam pula berharga RM430 seorang.

"Pakej yang ditawarkan hanya untuk penginapan. Setiap tempahan merangkumi 10 hingga 25 tetamu bagi satu rumah bot dua tingkat ini. Namun demikian, harga aktiviti lain tidak termasuk dalam pakej yang dinyatakan," ujarnya yang berasal dari Kampung Kerunai, Gerik.

Keselamatan

Bagi bapa kepada lapan orang cahaya mata itu, pengalamannya menangkap ikan di sekitar Tasik Temenggor sejak 27 tahun lalu memberikan pengetahuan yang luas mengenai selok-belok dan pasang surut air di kawasan tasik seluas 37,560 ekar itu.

Pihak pengurusan Raflesia Cruze menjaga keselamatan pelancong dengan sebaik mungkin sepanjang mereka menginap di rumah bot.

"Keseluruhan kawasan tasik ini tiada liputan telekomunikasi. Pengusaha-pengusaha rumah bot di sini menggunakan walkie-talkie untuk berkomunikasi dengan krew kami di Pulau Banding.

PELANCONG boleh memancing ikan dari atas rumah bot di muara Tasik Temenggor.


Sekiranya ada pelancong yang sakit atau kecemasan, kami akan segera menghantar mereka ke Pulau Banding untuk rawatan lanjut.

"Pelancong juga tidak perlu khuatir mengenai struktur binaan rumah bot. Tiada kejadian seperti rumah bot tenggelam atau karam di tasik ini kerana pembuatannya amat kukuh," jelasnya.

Sementara itu, pengusaha rumah bot Sahabat Alam, Zulkarnain Harith, 48, memberitahu jadual tempahan pelancong untuk menginap di rumah bot miliknya sudah penuh sehingga ke penghujung tahun ini.

"Pelancong terutamanya kaki pancing datang menginap di sini berulang kali. Badan bukan kerajaan dan pelajar-pelajar universiti juga gemar mengadakan aktiviti di sini," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai penentuan arah kiblat di rumah bot, Zulkarnain memberitahu, pihak Sahabat Alam mempunyai Sistem Penentu Kedudukan Global dan kompas di rumah bot untuk kemudahan para pelancong.

"Sekiranya hari masih siang, pelancong dapat melihat arah matahari terbenam dengan jelas di Tasik Temenggor. Itu merupakan salah satu kaedah untuk menentukan arah kiblat sepanjang berada di tasik ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pesona bumi Jepun

Posted:

Pesona bumi Jepun

Pesona bumi Jepun


BUNGA sakura yang kembang mekar di Taman Euno menggamit pandangan para pelancong.


KAMI sekeluarga sangat teruja sebaik sahaja visa perjalanan diluluskan oleh Kedutaan Jepun di Malaysia. Prosedur selama tiga hari itu sedikit cerewet tetapi tiada bayaran dikenakan.

Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita menaiki pesawat Malaysia Airlines yang mengambil masa selama tujuh jam.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, kami disambut oleh sekumpulan Polis Pelancong Jepun yang fasih berbahasa Inggeris.

Mereka mengalu-alukan kedatangan kami yang baru pertama kali menjejakkan kaki di negara Matahari Terbit itu. Mereka juga memberikan beberapa tip ringkas berkaitan keselamatan dan nombor telefon kecemasan.

Anak saudara saya yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Yamanashi menjadi pemandu pelancong kami. Matlamat asal saya dan keluarga ke Narita adalah untuk menghadiri majlis konvokesyennya dan kami mengambil berkesempatan itu untuk melancong.

Kami menginap di Hotel Marutani yang terletak di Euno, Taito, Tokyo. Kami memilih bilik penginapan tatami yang berkonsepkan tradisi masyarakat Jepun.

Tatami merupakan sejenis tikar Jepun yang bermaksud dilipat dan ditimbun. Tatami tradisional diperbuat daripada jerami yang ditenun manakala tatami moden pula diperbuat daripada polistirena.

Tatami mempunyai bentuk dan saiz yang seragam. Bahagian tepi tatami pula diperkemas dengan dijahit kain hijau yang tidak bercorak. Hanya selimut dibentang di atas tatami sebagai alas tidur. Dahulunya, tatami hanya digunakan oleh golongan berada.


PENULIS dan keluarganya sempat bermalam di Kofu, Yamanashi.


Bunga sakura

Kereta api merupakan pengangkutan utama kami di Tokyo. Kedudukan hotel yang berdekatan Stesen Euno menghubungkan JR, Tokyo Metro, Toei Oedo Line dan Keisei memudahkan pergerakan kami.

Tidak lengkap perjalanan ke Jepun andai tidak singgah melihat bunga sakura yang kembang mekar dan kedinginan Gunung Fuji.

Kami bertuah kerana sewaktu berada di sana, bunga sakura mekar sebelum musimnya. Pemandangan sakura pelbagai warna itu memberikan pemandangan indah dan mengasyikkan sepanjang kami berada di dalam kereta api.

Mekarnya bunga sakura menandakan awal musim baharu di Jepun. Sakura merupakan bunga kebangsaan Jepun yang bermaksud mekar. Terdapat lebih kurang 300 spesies sakura.

Warna sakura bergantung kepada spesiesnya. Ada yang berwarna putih dengan sedikit merah jambu, kuning muda, hijau muda atau merah menyala. Sakura berbunga setahun sekali sahaja. Mekarnya berbeza-beza di setiap wilayah. Kebiasaannya sakura berputik pada akhir musim sejuk dan mekar pada akhir bulan Mac ke awal bulan April.

Kolam luas

Kami juga sempat berkunjung ke Taman Euno. Bahagian selatan Taman Euno terdapat sebuah kolam luas yang dinamakan Kolam Shinobazu. Ketika musim panas, sebahagian permukaan kolam dipenuhi daun-daun hijau dan bunga teratai.

Pada musim sejuk pula, burung-burung yang berhijrah akan singgah di kolam itu sebagai tempat tinggal sementara sehingga tiba musim bunga.


LAMPU-LAMPU dari restoran dan hotel yang berwarna-warni menghiasi suasana malam di bandar Euno.


Pada musim bunga, Taman Ueno popular sebagai kawasan pelancong melihat keindahan bunga sakura.

Kami menginap di Toyoko Inn Kofu-Eki Minami-Guchi Nombor 2 yang terletak di Kofu, Yamanashi. Hotel yang berciri moden itu amat selesa.

Di Yamanashi, sebuah kenderaan serba guna yang dipandu sendiri merupakan pengangkutan utama kami di sana.

Yamanashi terletak di bahagian tengah Jepun dan kaya dengan sumber alam. Kawasannya dikelilingi gunung-ganang dan digelar Kerajaan Buah-Buahan kerana mempunyai banyak hasil tanaman seperti anggur, pic dan strawberi.

Gunung Fuji pula merupakan puncak tersohor di dunia dan tertinggi di Jepun. Gunung itu terletak di sempadan wilayah Shizuoka yang berhampiran Perairan Pasifik di pusat Honshu.

Gunung Fuji merupakan gunung berapi aktif yang terbentuk kira-kira 10,000 tahun yang lalu. Kali terakhir ia meletus pada tahun 1707.

Gunung Fuji dikelilingi oleh lima buah tasik iaitu Tasik Kawaguchi, Tasik Yamanaka, Tasik Sai, Tasik Motosu dan Tasik Shoji.

Makanan halal

Agak sukar mencari makanan halal di Jepun, andai tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Mujurlah anak saudara saya boleh bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Jepun.

Dia membawa kami ke restoran-restoran yang biasa dikunjunginya. Kami sempat ke sebuah restoran yang menyajikan hidangan sushi. Uniknya di restoran ini, pesanan dibuat melalui komputer kecil yang disediakan di setiap meja.

Kami boleh memilih dan memesan terus makanan berdasarkan menu yang disediakan di komputer itu. Sudah tentu khidmat jurubahasa amat diperlukan kerana semua menu ditulis dalam bahasa Jepun.


SET hidangan mi udon sempat dinikmati penulis ketika berkunjung ke salah sebuah restoran di Jepun.


Pesanan makanan kami dihantar secara elektronik. Piring-piring makanan bergerak mengelilingi sebuah meja besar. Piring-piring makanan ditentukan oleh kod warna yang telah ditetapkan di setiap meja.

Semasa di Jepun, kami juga berkesempatan ke sebuah restoran hidangan tom yam milik warga Muslim dari Thailand.

Berdasarkan pemerhatian saya, penduduk Jepun amat berdisiplin dan saling hormat-menghormati. Mereka akan membongkokkan sedikit badan mereka sebagai tanda hormat. Mereka juga hanya merokok di tempat yang disediakan.

Sampah sarap dibuang mengikut kategori yang ditetapkan. Mereka juga tidak kekok untuk berbasikal dengan berpakaian rasmi atau kasual. Para penjual akan menyambut setiap pelanggan yang memasuki premis perniagaan mereka dengan mesra dan sopan.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita wajar mencontohi dan mengamalkan nilai-nilai positif tanpa mengabaikan modal insan dalam mengejar kemajuan dan kemodenan.

Hantu baharu 'muncul' di Singapura

Posted:

Hantu baharu 'muncul' di Singapura

Hantu baharu 'muncul' di Singapura

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my


HHN 3 menjanjikan ketakutan yang lebih hebat dengan tambahan karakter selain watak sedia ada.


MALAM Halloween di Universal Studios Singapura pada tahun ini pasti bertambah seram dengan kemunculan tiga hantu baharu pada bulan Oktober dan November ini.

Tiga hantu yang terkenal sebagai pendendam itu diperkenalkan kepada media Malaysia buat pertama kali baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Tiga karakter hantu baharu itu ialah Daughter of the Undead, Maiden of the Opera dan Crone of the Forest.

Bukan setakat menggunakan topeng dan pakaian, ketiga-tiga karakter hantu perempuan itu mempunyai solekan warna yang terang supaya berpadanan dengan kostum.

Mood hantu juga terdapat pada permainan karakter yang dibawa oleh pameran melalui pergerakan tangan, bahasa mata dan gaya berjalan.

Alatan misteri yang dibawa seperti patung kanak-kanak oleh karakter Maiden of the Opera, manakala Crone of the Forest pula memegang sebatang tongkat pasti menambah ketakutan penonton.

Semua hantu itu direka oleh penerbit acara di Resort World Sentosa, Scott D. Peterson yang pernah bekerjasama dengan ramai artis antarabangsa seperti Janet Jackson, A. Mei, Sammi Cheng dan Sandy Lam.

Ketiga-tiga karakter hantu dan karakter hantu sedia ada akan beraksi di acara Halloween Horror Nights 3 (HHN 3) selama 10 malam meliputi empat hujung minggu.

Tarikh-tarikh tersebut antara 11 hingga 12 Oktober, 18 hingga 19 Oktober, 25 hingga 26 Oktober dan 31 Oktober hingga 3 November.


WATAK Daughter of the Undead ini turut membawa alatan misteri berupa patung kanak-kanak.


Lebih seram

HHN 3 bermula pada pukul 7 malam hingga 1 pagi manakala taman tema akan ditutup awal pada malam acara iaitu pada pukul 5.30 petang.

"Halloween Horror Nights telah mendapat ramai pengikut tegar sejak ia dimulakan, justeru, kami mahu peminat berasa lebih seram.

"Pada tahun ini, kami memperkenalkan lebih banyak elemen Asia yang boleh dikenal pasti oleh pelawat tempatan dan rantau ini," kata Timbalan Presiden bahagian Hiburan, Resort World Sentosa, Andrea Teo.

Ketakutan yang bakal dilalui ialah tiga buah rumah hantu dan tiga zon menakutkan. Antaranya, tempat penumpang memulakan pelayaran dan Adrift di zon New York.

Akademi Opera Cina, Songs of Death yang memaparkan jejak kengerian pembunuhan beramai-ramai dan juga rumah berhantu, Possessions yang menyaksikan roh pemilik mengambil alih semula rumah usang itu.

Tambah Teo, HHN 3 di Universal Studios Singapura terkenal dengan set rumah berhantu yang seumpama realiti selain solekan hantu dan penggunaan prop serta kostum yang kreatif.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman rasa takut, pelawat boleh memilih untuk melangkau laluan dengan Jelajah R.I.P yang diiringi oleh pemandu persendirian.

Pakej Jelajah R.I.P terhad boleh didapati pada harga S$198 (RM507.44) dan keutamaan diberikan berdasarkan siapa cepat.

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan pas istimewa, Frequent Fear Season yang membolehkan pemegang pas berkunjung sebanyak mungkin kecuali pada tarikh 25 dan 26 Oktober serta 1 dan 2 November. Pas istimewa ini berharga RM302.

Bagi membuat tempahan dan mendapat informasi mengenai HHN 3, boleh layari laman web www.rwsentosa.com atau www.halloweenhorrornights.com.sg.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat