Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
Bidik apa sahaja dengan Galaxy NX Posted: Bidik apa sahaja dengan Galaxy NXOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA KIRA-KIRA setahun yang lalu, Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung) melancarkan kamera digital pintar pertamanya yang menggunakan sistem operasi Android, iaitu Kamera Galaxy. Dibangunkan berdasarkan teknologi kamera sistem kompak (CSC), ia menggabungkan ciri-ciri fotografi berprestasi tinggi dengan akses jalur lebar 3G dan WiFi. Biarpun ia bukanlah kamera pertama yang menggunakan sistem operasi Android selepas Nikon COOLPIX S800c, namun ciri-ciri pada Kamera Galaxy menyebabkan ia mendapat sambutan hangat daripada peminat-peminat gajet dan fotografi di seluruh dunia. Selain menyediakan aktiviti merakam imej, kamera itu juga membolehkan pengguna menyunting gambar atau video sebelum dikongsi bersama keluarga tersayang atau rakan-rakan dengan satu langkah mudah iaitu dengan satu sentuhan di skrin kamera. Selepas setahun, Samsung sekali lagi mengungguli pasaran kamera Android melalui pengenalan model terbaharunya, Galaxy NX. Menggabungkan evolusi Kamera Galaxy dan Samsung GalaxyS4 Zoom, Galaxy NX dilihat sebagai percubaan serius jenama itu untuk meneroka pasaran kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR). Sempena pengenalan Galaxy NX, baru-baru ini, Samsung mengajak sekumpulan pengamal media dan penulis blog ke Pulau Pangkor, Perak selama dua hari satu malam untuk menguji gajet tersebut. Biarpun terpaksa melalui perjalanan hampir lima jam menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Lumut, dari riak wajah masing-masing agak teruja untuk menyertainya. KEPUASAN fotografi terserlah melalui sistem lensa boleh tukar yang boleh dipadankan dengan 13 lensa Samsung. Kreativiti Lebih-lebih lagi apabila diberitahu kami merupakan antara pengguna terawal di negara ini yang berpeluang mencubanya sebelum ia dijual di pasaran bermula 30 September lalu. Seterusnya, rombongan dibawa mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh Ketua Pemasaran-Pengimejan Digital Samsung, Julian Thean. "Hari ini kita akan membawa anda semua melawat beberapa lokasi menarik di sekitar pulau peranginan ini. "Di situ anda boleh mencuba mengambil sebanyak mana gambar mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan mod-mod rakaman yang tersedia," jelasnya. Sepanjang perjalanan menaiki bot dari lokasi penginapan di Pangkor Laut Resort ke Pulau Pangkor, jari-jemari penulis sempat membelek-belek kamera itu untuk melihat fungsi dan keistimewaannya dengan lebih dekat. Tidak sukar bereksperimentasi dengan Galaxy NX, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah terbiasa menggunakan telefon pintar keluaran Samsung sebelum ini. Hanya dengan satu sentuhan, pengguna boleh mengubah mod daripada kamera atau kepada paparan antara muka yang memaparkan aplikasi Android seperti di telefon pintar. Destinasi pertama kami ialah di Kota Belanda dengan setiap peserta diminta mencuba mod landskap dan panorama bagi mendapatkan imej berbeza di sekitar kawasan bersejarah itu. Seterusnya, peserta dibawa ke Pantai Teluk Nipah, Taman Fu Li Kung dan sekitar pekan Pangkor atas tujuan yang sama. JULIAN memberi penerangan mengenai kamera Galaxy NX kepada pengamal media dan penulis blog dalam lawatan ke Pulau Pangkor baru-baru ini. Kuasa lensa Bercerita lanjut mengenai Galaxy NX, Julian berkata, salah satu ciri menarik pada kamera itu ialah lensa optikal berkuasa 20.3 megapiksel dengan sensor APS-CMOS yang berupaya menghasilkan imej jelas dan terperinci biarpun dalam keadaan kurang cahaya. Katanya, enjin DRIMe IV Image Signal Processor pada kamera ini juga mampu memberi rakaman dan warna berkualiti di samping menyokong format berdefinisi tinggi (HD). "Ia turut dikuasakan dengan cip pemprosesan 1.6Ghz, ingatan capaian rawak sehingga dua Gigabait (GB) serta bateri 4360mAh. "Di samping itu, ia juga dilengkapi ciri Advanced Hybrid Auto Focus dengan 1/6000 kelajuan pengatup sesaat serta 8.6 bingkai per saat membolehkan ia merakam sebarang momen atau objek bergerak dengan jelas," jelasnya. Didatangkan dengan lensa standard 18-55 milimeter (mm) f/3.5-5.6 OIS, penulis beranggapan Galaxy NX sudah cukup bergaya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi. Bagaimanapun, jika ia belum cukup memberi kepuasan ketika berkarya, sistem lensa kamera itu boleh ditukar dan dipadankan dengan lensa-lensa lain keluaran Samsung yang terdapat di pasaran. Mempunyai berat kira-kira 495 gram, Galaxy NX agak ringan jika dibandingkan dengan kamera jenis DSLR yang lain. Dilengkapi skrin bersaiz 4.8 inci, ia memberi paparan jelas kepada pengguna mengikut keperluan dan tugas yang dikehendaki. Dengan reka bentuk kasual yang ringkas dengan rona hitam eksklusif pada keseluruhan binaannya, Galaxy NX sememangnya mampu memenuhi semua cita rasa pengguna. BIARPUN menggunakan lensa standard 18-55mm, Galaxy NX mampu memberikan rakaman dan warna berkualiti. Tambah Julian, seperti juga telefon pintar Samsung, Galaxy NX mengguna pakai sistem operasi Android 4.2 Jelly Beam untuk meningkatkan keupayaan pengimejan di samping sambungan 3G, 4G LTE dan WiFi. Ujarnya, pengguna boleh memuat turun ratusan aplikasi pada Android untuk diintegrasikan bersama kamera itu di samping menghasilkan imej dan video, bermain permainan video, menghantar e-mel termasuk berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga secara dalam talian. "Dengan pertumbuhan rangkaian sosial dan kelaziman telefon pintar dan tablet hari ini, pengguna mengharapkan komunikasi yang lebih cepat dan pantas. "Justeru, Galaxy NX dilihat sebagai peranti terbaik yang menggabungkan telefon dan kamera dalam satu gajet sekali gus memberikan keseronokan kepada pengguna," katanya. |
Kecairan glasier tropika dunia Posted: Kecairan glasier tropika duniaBONGKAH ais dan glasier tropika di puncak Andes dikatakan mengambil masa hampir 1600 tahun untuk terbentuk. PERU merupakan negara yang sangat istimewa. Ia kaya dengan nilai sejarah silam dan ribuan tapak arkeologi yang terus terpelihara sehingga kini. Bagaimanapun di sebalik kemegahan sejarah silamnya, pelancong juga mempunyai sebab lain untuk melawat Peru. Salah satunya ialah kewujudan kawasan glasier tropika yang diiktiraf terbesar di dunia. Merentangi sepanjang puncak banjaran Andes, kewujudan glasier penting dalam mengurus sumber air untuk kegunaan penduduk, aktiviti pertanian dan tenaga hidroelektrik. Bagaimanapun, bongkah glasier yang terbentuk lebih 1600 tahun itu kini semakin mengecil. Kajian terbaharu menunjukkan ia menyusut sehingga 22 peratus dalam tempoh 25 tahun lalu. Para saintis berpendapat, keadaan itu disebabkan oleh kenaikan suhu global sekali gus menyebabkan ekosistem alam semula jadi menjadi tidak seimbang. Ia jelas dibuktikan melalui margin bongkah ais di Quelccaya yang semakin mengecil berbanding sebelumnya. Pencairan secara drastik ini menyaksikan penemuan pelbagai spesies tumbuhan reput yang sebelum ini membeku dalam glasier yang terbentuk ribuan tahun lalu. Kajian terperinci yang dilakukan menggunakan kaedah karbon radioaktif terhadap tisu tumbuhan yang mereput pada kadar tertentu membolehkan saintis menentukan usia lapisan ais berkenaan. SAINTIS sentiasa memantau perkembangan di Banjaran Andes melalui data-data yang dikumpul sejak 30 tahun lalu. Kenal pasti punca Seorang ahli glaciologi dari Universiti Ohio, Lonnie G. Thompson yang bertanggungjawab melakukan kajian di Quelccaya sejak beberapa dekad lalu melaporkan penemuan itu dalam sebuah jurnal sains baru-baru ini. Kajian itu meliputi analisis terhadap kandungan bahan kimia pada silinder ais yang digerudi di dasar Quelccaya. Hasil kajian itu akan membantu saintis di seluruh dunia mengenal pasti punca sebenar perubahan iklim. Ada antara analisis berkenaan memerlukan masa panjang, namun Thomson berkata, berdasarkan bukti-bukti awal sebelum ini, bumi pernah melalui fasa perubahan iklim luar biasa ketika Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perubahan iklim ketika itu menyumbang kepada kekurangan bekalan makanan, di samping diburukkan dengan pergolakan yang berlaku. "Apabila berlaku kekurangan bekalan makanan, ia merupakan satu berita buruk kepada mana-mana pemerintah," katanya dalam satu wawancara. Bagi menghasilkan penemuan lebih menarik, Thompson dan pasukannya telah memperluaskan penyelidikan mereka. Ia termasuk mengkaji tumbuhan-tumbuhan mati yang ditemui di pinggir Quelccaya, sebuah bongkah ais besar dan rata terletak di kawasan gunung berapi setinggi 5,486 meter pada paras laut. Ujian kimia Beberapa tahun lalu, pasukan itu melaporkan mengenai penemuan pelbagai spesies tumbuhan berhampiran sebuah tasik yang terhasil akibat pencairan ais. Ujian kimia menunjukkan ada di antaranya berusia sekitar 4700 tahun. Dalam kajian terbaharu, iaitu 304.8 meter lebih dalam berbanding lokasi ujian sebelum ini mendedahkan ada antara spesies tumbuhan berkenaan berusia sehingga 6300 tahun. Sementara itu, seorang ahli geologi mengenai glasier dari Kolej Dartmouth, Meredith A. Kelly berkata, interpretasinya terhadap tumbuhan berkenaan boleh dipercayai dan berpandukan fakta. Penyelidikannya di Quelccaya menunjukkan margin glasier telah mencair dengan begitu pantas pada masa lalu. Katanya, pencairan ais yang berlaku pada hari ini agak pantas, biarpun tidak sepantas seperti yang pernah direkodkan sejak era zaman ais berakhir. GLASIER yang mencair turut mengairi kawasan tasik yang menjadi sumber air kepada penduduk sekitar. Saintis berkata, pemanasan global yang berpunca daripada pembebasan gas rumah hijau oleh manusia memberikan impak besar bergantung kepada latitud dan ketinggiannya. Disebabkan itu, kata saintis, bongkah ais di Quelccaya yang berada pada paras tinggi di kawasan tropika sangat sensitif terhadap sebarang perubahan iklim. "Perubahannya mungkin tidak dilihat melalui mata kasar kerana masih banyak ais di sini, namun kita mungkin terperangkap dalam situasi yang menjadi punca kepada pencairan ais berkenaan," kata Mathias Vuille, saintis kaji cuaca di Universiti Albany, New York. Sepanjang banjaran Andes, glasier kini mencair begitu pantas yang turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan saintis mengenai sumber air yang dibekalkan kepada penduduk di wilayah berkenaan. Pencairan glasier pada musim panas dan kering, membantu komuniti di sekitar kawasan pergunungan itu mendapat bekalan air secukupnya. Menurut pakar, dalam jangka masa pendek, pencairan ais akan meningkatkan sumber air sekali gus berupaya menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat di beberapa bandar di sekitar Andes. Bagaimanapun, kata mereka, penyusutan glasier akan menimbulkan ketidakpastian yang sentiasa menghantui manusia. |
Bidikan kamera berkelajuan tinggi Posted: Bidikan kamera berkelajuan tinggiKAMERA PowerShot G16 mempunyai apertur f/1.8 hingga f/2.8 yang menghasilkan gambar yang terang. SYARIKAT pengeluar kamera terkemuka, Canon Inc. (Canon) hadir dengan dua produk baharu yang pasti mendapat perhatian penggemar dunia fotografi. Kamera PowerShot G16 dan S120 mempunyai kemampuan fokus auto (AF) yang pantas berbanding rangkaian kameranya yang lain. Ia juga mempunyai kelajuan yang tinggi dalam menangkap gambar secara berterusan. PowerShot G16 mampu membidik imej dengan resolusi penuh sehingga 12.2 dalam mod P dan 5.7 bingkai per saat (FPS) di bawah mod AF, manakala PowerShot S120 pula boleh mengambil gambar sehingga 12.1 fps (mod P) dan 5.5 fps dengan mod AF. Dijana dengan pemproses pengimejan terkini, DIGIC 6, kedua-dua kamera mempunyai tahap sensitiviti yang dipertingkatkan untuk mengambil gambar pada resolusi tinggi dengan kurang kesan hingar dalam keadaan gelap. PowerShot G16 mempunyai lensa yang terang, f/1.8 (W) hingga f/2.8/ (T) terutamanya dalam keadaan cahaya rendah. Ia sesuai bagi mencipta latar belakang dramatik dengan jarak jelas yang rendah, sementara model PowerShot S120 pula disertakan dengan apertur sehingga f1.8 dan skrin sesentuh paparan hablur cecair (LCD) 3 inci (7.62 sentimeter) bagi operasi yang ringkas. Salah satu keunikan kedua-dua kamera ini ialah ia mempunyai mod Star yang sesuai digunakan pengguna bagi menangkap gambar atau video panorama langit pada waktu malam. Ia mempunyai dua mod pilihan iaitu Star Nightscape atau Star Trails. Dilengkapi dengan keupayaan WiFi, kamera-kamera ini membolehkan perkongsian segera gambar atau video yang dirakam ke laman-laman sosial seperti Youtube, Facebook dan Flickr dengan mudah. Selain itu, pengguna yang mempunyai telefon pintar, boleh menggunakan aplikasi CameraWindow bagi memudahkan proses muat turun gambar dan video dari kamera. Kamera ini juga boleh digunakan dalam air dengan menggunakan bekas perlindungan tambahan seperti WP-DC52 dan WP-DC51. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |