Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
- Tingkat kemampuan berbahasa Inggeris
- Stesen kerjaya mudah alih Kidzania Go!
- Semata-mata kerana Allah
Tingkat kemampuan berbahasa Inggeris Posted: Tingkat kemampuan berbahasa InggerisOleh NIZHA PERIASWAMY BAK peribahasa Melayu, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', begitu juga dalam usaha menguasai sesuatu bahasa. Pendidikan bahasa itu perlu dimulakan sejak awal iaitu ketika anak masih kecil. Di negara kita, penggunaan meluas bahasa Inggeris memerlukan ibu bapa mengambil pendekatan tambahan untuk meningkatkan kemahiran anak-anak berbahasa Inggeris. Inisiatif tersebut dapat membantu kanak-kanak membentuk rangkaian yang kukuh dalam mendalami kemahiran itu. "Kami hanya menggunakan bahasa Melayu semasa berkomunikasi di rumah. Kelemahan kami berbahasa Inggeris turut memberi kesan kepada anak-anak. Di sekolah, anak-anak saya berkawan dengan kanak-kanak Melayu yang rata-rata latar belakang mereka serupa seperti kami," keluh Zailahwati Mohd. Misbah, 37, dari Meru, Klang. Oleh yang demikian, dia dan suaminya, Sahabudin Saharudin, 37, menghantar anak mereka ke kelas bahasa Inggeris di Cambridge English For Life (CEFL) di Shah Alam. "Pendedahan bahasa Inggeris yang profesional di pusat ini telah memberi kesan positif terhadap kemampuan anak-anak saya bertutur dalam bahasa berkenaan," ujar Zailahwati. Menurutnya, kini, kesemua anaknya yang berusia 10, tujuh dan lima tahun bukan sahaja mula membaca buku berbahasa Inggeris malah keyakinan diri mereka turut meningkat. Sejak itu, mereka mula menyertai pelbagai pertandingan bahasa Inggeris di sekolah seperti bercerita dan mengarang. GURU-GURU dilatih secara profesional oleh CEFL sebelum diserap sebagai tenaga pengajar. Dalam pada itu, seorang pensyarah di sebuah kolej swasta, Yasotha Devi, 44, memberitahu, dia berasa sedih apabila mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajarnya begitu lemah. Pelaburan Keadaan itu umpama satu "amaran" kepadanya agar menitikberatkan pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anaknya. "Saya menghantar anak-anak ke kelas tambahan, membeli buku-buku yang menarik dan melibatkan mereka dengan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa Inggeris. Walaupun memakan masa, tenaga dan faktor kewangan, saya lihat ia sebagai satu pelaburan pada masa hadapan," kata ibu kepada dua orang anak berusia 13 dan 11 tahun itu. Bahasa Inggeris merupakan bahasa natif bagi lebih 350 juta orang. Kajian oleh Pakar Kamus, Susie Dent dari Universiti Oxford, United Kingdom, menunjukkan bahawa seorang yang berbahasa Inggeris menggunakan 20,000 perkataan daripada 500,000 hingga sejuta perkataan yang ditemui dalam bahasa itu. Persoalannya, berapa banyakkah perkataan yang kita atau anak gunakan menunjukkan kemampuan dan perkembangan bahasa itu? "Saya sendiri tidak pernah menyedari kepentingan untuk mendedahkan anak-anak ke kelas bahasa Inggeris selain di sekolah. Antara sebab utama ialah kos dan sejauh mana ia berkesan?" itu persoalan yang berlegar di pemikiran Adnan Yassin, 47, bapa kepada tiga orang anak. Bermanfaat Selepas dinasihati beberapa orang rakan, dia menghantar anak ke kelas tambahan. Dia juga turut meluangkan masa membuat aktiviti dalam bahasa Inggeris di rumah. Cara tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anaknya malah kepada dirinya sendiri. IBU BAPA di negara ini masih ramai yang kurang sedar kepentingan anak-anak menguasai bahasa Inggeris. "Sebelum ini, anak-anak saya tidak meminati bahasa Inggeris, namun kini mereka menunjukkan perkembangan yang positif. Mereka juga seronok apabila saya turut serta melakukan aktiviti dalam bahasa Inggeris bersama mereka. Bagi Mohd. Din Mohd. Layer, 46, yang merupakan seorang pegawai bank percaya minat terhadap bahasa Inggeris boleh dipupuk dengan amalan berkomunikasi secara konsisten. "Anak saya, Mohd. Amiruddin, yang belajar di sekolah agama, pada mulanya enggan bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi kini, dia menunjukkan kemajuan yang baik. "Dia yang berada di semester ketiga tahap Flyers di CEFL tidak lagi malu berinteraksi dalam bahasa itu malah minatnya membaca buku dalam bahasa Inggeris juga semakin meningkat tanpa perlu dipaksa-paksa," ujar Din. Pada pendapatnya, usahanya menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan selain di sekolah merupakan satu tindakan yang betul meskipun memerlukan kos tambahan. |
Stesen kerjaya mudah alih Kidzania Go! Posted: Stesen kerjaya mudah alih Kidzania Go!Oleh NIZHA PERIASWAMY STESEN Nippon Paint mengajar peserta cara mewarna dan memilih tona warna yang betul. RAUT wajah 200 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Dato' Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tun Tan Cheng Lock dan SJK Tamil Tun Sambanthan yang bernaung di bawah Sekolah Wawasan USJ 15 di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, Selangor jelas menggambarkan keterujaan mereka kerana berpeluang bekerja pada hari itu. Ada antara mereka yang menjadi pelakon iklan dan kru produksi, pegawai penghantaran, pereka bentuk dalaman, pakar optik dan perunding kewangan peribadi. Persekitaran kerjaya mereka pula hampir sama seperti tempat kerja sebenar, lengkap dengan segala peralatan yang diperlukan. Pendedahan terhadap kerjaya menerusi aktiviti interaktif ini adalah sebahagian daripada program taman tema pembelajaran dan hiburan versi mudah alih, Kidzania Go!, anjuran Kidzania Kuala Lumpur. Kidzania Kuala Lumpur ialah taman tema statik berskala besar yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Program Kidzania Go! telah dianjurkan di lebih 120 buah sekolah di seluruh negara dengan meraih penyertaan daripada lebih 108,000 murid sejak April lalu. Majlis pelancaran Kidzania Go! yang diadakan di Sekolah Wawasan USJ 15 itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Perguruan), Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof. Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd. (TAR), Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin, Kidzania Go! disasarkan untuk murid sekolah rendah. Ia bertujuan memberikan pengalaman yang berbeza dan menarik buat mereka. "Program interaktif di luar bilik darjah ini membolehkan kami mendekati lebih ramai kanak-kanak dan menyajikan pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan dan mendidik, bahkan membantu mereka membina keyakinan diri serta menyumbang kepada pembangunan kemahiran sosial, psikomotor dan kognitif," katanya. KANAK-KANAK didedahkan dengan pelbagai perkara termasuk kepentingan pengambilan produk tenusu. Bagi Raj Dev Kaur, 11, pengalaman paling menyeronokkan ialah apabila dia diberi peluang menjadi perunding kewangan di stesen CIMB Bank. "Saya amat seronok kerana dapat menyertai aktiviti hari ini," katanya. Sementara itu, Alda Lim, 11, mengakui pendedahan itu membantunya mengetahui dengan lebih jelas tentang sesuatu kerjaya seperti pakar optik. Pelanggan stesen "Saya belum menyertai sebarang aktiviti. Kalau ada stesen kerjaya untuk juruterbang pasti ia lebih menarik," kata Shazrul Affandy, 11. Mohd. Daniel Mohd. Zubir, 11, pula berpeluang menjadi pelanggan stesen optik dan menerima layanan profesional daripada rakan-rakannya yang berlakon sebagai pakar optik. Program Kidzania Go! pada masa ini ditaja oleh Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady Malaysia) dan disokong oleh Nippon Paint (M) Sdn. Bhd. (Nippon Paint), Malaysian Hoya Lens Sdn. Bhd. dan CIMB Bank Bhd. Stesen Dutch Lady Malaysia menawarkan minuman coklat percuma manakala stesen Nippon Paint menyediakan ruang mewarna kepada para peserta. Setiap sesi Kidzania Go! boleh memuatkan kira-kira 200 orang murid dengan usia sasaran dari 6 hingga 14 tahun. "Ia dijalankan secara percuma di sekolah-sekolah yang berminat untuk menyertai aktiviti ini. Kami cuma memerlukan ruang untuk mengatur stesen-stesen ini. "Buat masa ini, kami sediakan antara tujuh hingga lapan aktiviti dan dijangka meningkat dengan kemasukan syarikat-syarikat baharu yang akan menyokong usaha ini," ujar Ahmad Burhanuddin. Tambah beliau, setakat kini, Kidzania Go! telah meliputi 58 peratus kawasan Lembah Klang, 28 peratus selatan tanah air dan selebihnya di negeri-negeri lain. |
Posted: Semata-mata kerana AllahHIDANGAN nasi gidra dari Palestin air tangan isteri Muhd. Kamil, Roza antara menu yang disajikan kepada para tetamu yang berkunjung ke rumahnya. SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Hampir kesemua jemaah haji Malaysia telah meninggalkan Madinah dan berada di Mekah bagi meneruskan misi menunaikan ibadat haji. Tentu sekali kami menanti kumpulan kedua yang telah memasuki Mekah dan akan muncul di Madinah selepas usai menunaikan rukun Islam kelima itu. Kami mendoakan kesemuanya, insyaAllah, mendapat haji mabrur kerana anugerah-Nya tiada balasan kecuali syurga. Tanda mendapat haji mabrur ini sering dikaitkan dengan perubahan. Contoh perbandingannya sangat mudah. Jika dahulu mereka tidak memikirkan untuk solat berjemaah di masjid, kini mereka melakukannya. Mereka sudah mula bertahajud dan berpuasa sunat. Malah membaca al-Quran dan terjemahannya sudah menjadi amalan harian. Paling penting berjaya membersihkan hati berkarat yang sering menjadi punca kepada sifat dengki dan khianat, fitnah, buruk sangka dan sifat cemburu yang melampau. Asasnya, mereka yang mendapat haji mabrur sepatutnya menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan meninggalkan segala larangan dan melakukan segala suruhan-Nya termasuk amalan-amalan wajib dan sunat. MasyaAllah, Subhanallah, Allahuakbar. InsyaAllah, mereka yang mahu dan melakukan perubahan ini akan damai di hati. Kata kunci utama, perubahan dan peningkatan ini perlu dipertahankan sehingga dipanggil-Nya. Mengikut aturan-Nya, itulah tanda-tanda ahli syurga yang merupakan anugerah Allah atas kemungkinan mendapat haji mabrur. Hakikatnya, ia satu anugerah dan rahmat Allah. Benar, hampir setiap hari rumah kecil kami di Jabal Uhud menerima tetamu terutamanya dari Malaysia. Sesekali muncul tetamu dari Brunei, Indonesia, Singapura dan bangsa Melayu yang bermukim di United Kingdom. Hampir kesemuanya tidak saya kenali. Mereka adalah khalayak pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Keinginan untuk bertemu dan bertamu tentunya bersebab. Salah satunya kerana mereka ingin menyampaikan ucapan terima kasih atas penghasilan senaskhah buku yang telah menjadi penyebab untuk mereka berubah. Alhamdulillah. Kami pula teruja menyambut kedatangan mereka kerana mahu meraikan tetamu Allah. Sungguh, kami teruja. Malah saya mahu mengamalkan apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang melayani tetamu yang tidak dikenalinya. Ia diceritakan melalui ayat 69, surah Hud yang bermaksud: "Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang menggembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim). Nabi Ibrahim menjawab: Salam sejahtera kepada kamu." Maka tidak lama selepas itu, baginda membawa jamuan untuk mereka iaitu seekor anak lembu yang dipanggang. Namun, nun jauh di sudut hati ada niat yang lebih besar mahu kami sekeluarga sempurnakan. Kami mahu membina taman syurga di rumah. Bukankah baginda SAW pernah bersabda: "Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?" Baginda menjawab: "Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)." LAKUKAN sesuatu dengan niat hanya kerana Allah demi mendapat keredaan-Nya. Tazkirah Lalu mereka yang bertamu ke rumah kami perlu mendengar tazkirah yang akan saya sampaikan sementara isteri, Roza Roslan, ke dapur menyediakan hidangan nasi Arab. Menu Roza berbeza-beza kerana rumah kami hampir setiap hari menerima tetamu. Sudah dua tahun begitu. Mereka tidak bosan tetapi tuan rumah yang hampir muak jika tidak bertukar resipi. Lalu Allah menganugerah ilmu buat Roza. Beliau berupaya memasak nasi Arab - mandi, kabsah, ozzie, kabuli atau gidra dalam tempoh 30 sehingga 40 minit. Dari situ, lahirlah buku masakan yang berjudul Aroma Antara Benua. Selama 40 minit itulah tempoh tazkirah motivasi haji yang disampaikan kepada tetamu. Mudah-mudahan ia diterima Allah sebagai satu amal ibadat. Ramai juga yang bertanya, "Prof. dan Kak Roza tidak penatkah menerima tetamu setiap hari?" Selalunya kami tersenyum dan memberi jawapan ringkas, "Lakukan sesuatu semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah dan semata-mata kerana Allah. Mungkin tiada makna untuk perkataan penat dan letih. Kami hanya meraikan sedikit tetamu Allah yang berkunjung ke Madinah." Hakikatnya kami tersangat yakin betapa menggembirakan hati tetamu boleh melahirkan rasa damai di hati. Saya seronok menyampaikan pandangan bagaimana mahu mendapat haji mabrur melalui pandangan sisi yang berbeza. Namun saya lebih teruja melihat mereka bergembira menikmati makanan lazat yang dihidangkan. Hidangan dari hati yang disediakan oleh Roza untuk tetamu yang tidak dikenali. Wajah Roza sentiasa ceria. Ia bukan satu beban. Kedamaian hati bukan datangnya melalui ibadat khusus semata-mata. Menghilangkan sifat-sifat bakhil dan kedekut juga dapat mengatasi banyak perkara. Ia bukan sahaja soal kedekut wang ringgit tetapi melibatkan bakhil masa dan tenaga. InsyaAllah, kita semua mempunyai hati yang damai. Nanti kita berkumpul di Firdaus. Sambutlah salam tulus ikhlas daripada kami di Madinah. Jika berada di Madinah, hubungilah saya melalui talian 05 0212 7721. Jika diberi kelapangan oleh-Nya dapatlah kita menikmati nasi Arab di rumah kecil kami. Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu Ya Allah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |