Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Suntik semangat anak-anak STBSL Posted: Suntik semangat anak-anak STBSLOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR TEPAT pukul 11 pagi, bas yang membawa rombongan Program Amal Wanita Ikon 2011/2012 termasuk petugas media dari Kuala Lumpur tiba di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh (STBSL), Melaka. Kedatangan kami disambut penuh ceria oleh kakitangan dan beberapa pelatih di sekolah tersebut. Di satu sudut yang kemas dihias dengan aneka kain batik dan pelekat, tersedia sajian ringan berupa mihun goreng dan minuman panas. Sejurus menikmatinya, kami dibawa ke sebuah kelas yang dipenuhi kira-kira 40 remaja perempuan. Mereka lengkap memakai uniform baju kurung berona biru langit dan bertudung bagi yang beragama Islam. Merenung satu persatu wajah tersebut membuatkan hati berdetik apakah kesalahan yang dilakukan oleh mereka sehingga dihantar ke sekolah berkenaan? Bagai menyedari apa yang terlintas di fikiran penulis, Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga, Utusan Karya Sdn. Bhd., Normala Hamzah berbisik: "Anak-anak di sini banyak terlibat dalam masalah sosial. Ada juga yang mencuri dan mengambil dadah. Kebanyakan mereka datang dari keluarga yang bermasalah." Maka atas dasar itulah, pemenang Wanita Ikon 2011/2012, Adillah Ahmad Nordin, 44, tampil untuk menghulurkan sedikit sumbangan dalam bentuk meningkatkan tahap motivasi anak-anak pelatih di sekolah ini. SEBAHAGIAN pelatih menutup muka dengan tangan yang berwarna sebagai simbolik janji yang telah dibuat. Apatah lagi, sekolah itu begitu dekat dengan ibunya, Puan Sri Halijah Aji yang pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Pelawat STBSL. Berkongsi pengalaman hidup bersama para pelatih tersebut, Adillah jelas bersemangat untuk membimbing mereka. Setiap patah perkataan yang dilontarkan pasti disambut dengan jawapan para pelatih. Motivasi Ia sekali gus membuktikan teknik komunikasi yang digunapakai peguam itu berjaya menarik perhatian anak-anak remaja di hadapannya. "Kalau kita hendak jadi baik, kita mesti buat keputusan hari ini juga. Justeru, adik-adik perlu bertanya pada diri masing-masing, adakah diri kita ini adalah orang yang kita suka untuk bersama atau sebaliknya. "Jika ya, maka sudah pasti orang lain pun akan suka dengan kita. Perlu diingat, tiada orang yang boleh ubah diri mereka melainkan diri kita sendiri," ungkap Adillah yang membahasakan dirinya Auntie pada para pelatih. Beliau turut menasihatkan para remaja itu agar menjalani kehidupan di luar dengan penuh keyakinan dan melupakan segala kesilapan yang pernah dibuat pada masa lalu. "Berada di sekolah ini merupakan tempoh bagi anak-anak semua untuk memperbaiki diri. Ia boleh dianggap sebagai waktu kalian mendiami satu kepompong untuk mempersiapkan diri keluar dan terbang sebagai seekor rama-rama yang cantik satu hari kelak. "Jangan gentar untuk menghadapi dugaan dunia luar. Buktikan anda semua mampu menjadi insan yang lebih baik kepada keluarga, agama, bangsa dan negara," tuturnya lagi. PASUKAN pancaragam STBSL sering mengharumkan nama sekolah dalam setiap pertandingan yang disertai. Dalam sesi motivasi itu, kesemua pelatih dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Antara aktiviti interaktif penuh simbolik yang diadakan adalah menulis matlamat dan membuat ikrar di kain putih, mewarnakan tapak tangan serta mengecopnya di atas kain rentang secara beramai-ramai. Sokongan masyarakat Adillah turut dibantu lima orang fasilitator yang terdiri daripada para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara dan Kolej Universiti Islam Malaysia dalam menjalankan aktiviti tersebut. "Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat bersama dengan anak-anak di sini. Saya percaya mereka mempunyai potensi besar untuk menjadi insan yang berguna apabila keluar kelak. "Saya harap masyarakat akan memberi sokongan dan tidak menyisihkan mereka di atas kesilapan silam yang dilakukan," katanya lebih lanjut. Ditubuhkan pada 21 September 1953, sekolah ini dahulu dikenali sebagai Sekolah Perempuan Lereh. Prosedur kemasukan ke STBSL adalah melalui dua cara. Pertama ialah tahanan sementara iaitu kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah yang melakukan pelbagai kesalahan, direman dan menunggu perbicaraan atau perintah mahkamah. Cara kedua melalui perintah mahkamah terhadap kanak-kanak yang berusia 10 hingga 18 tahun yang terlibat dengan jenayah. Selain itu, melalui tindakan ibu bapa atau penjaga yang menyerahkan hak membuat keputusan kepada pihak mahkamah apabila mereka tidak mampu menjaga, membimbing atau mengawal anak-anak mereka. Pengetua STBSL, Halyjah Muhammad, 33, melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas penganjuran Program Amal Wanita Ikon 2011/2012 itu. Ditanya tentang cabaran dalam mengemudi sekolah tersebut, graduan Ijazah Sumber Manusia dan Kaunseling itu mengakui tugas berat yang digalasnya. "Kalau diikutkan memang banyak cabaran yang kami hadapi terutamanya dalam aspek akademik, vokasional dan akhlak para pelatih. Namun, saya suka dengan cabaran untuk memulihkan anak bangsa sendiri. "Saya akan rasa gembira bila ada pelatih yang keluar dan meneruskan kehidupan dengan keluarga mereka sambil mempraktikkan apa yang telah dipelajari di sini. Paling penting, saya sentiasa berharap agar mereka lebih dekat dengan agama dan menjadi insan yang berjaya," jelas wanita yang telah berkhidmat di STBSL hampir tiga tahun ini.
Rutin pelatih Menurut Halyjah, rutin harian para pelatih sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bermula pada pukul 5 pagi hingga 10.30 malam. Antaranya seperti solat jemaah, kelak akademik, sesi mengulangkaji, kelas halaqah dan membaca al-Quran. "Bermula tahun 2000, sekolah ini telah menjadi sebuah pusat akademik, vokasional dan pemulihan akhlak sepenuhnya. Ramai bekas pelatih di sini dapat bekerja di sektor awam dan swasta. "Malah, ada juga yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia, ada yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang sehingga 6A," tambah beliau. Pada program itu juga, para pelatih turut menunjukkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang seperti kawad, pancaragam dan bermain gamelan. Tidak ketinggalan, sesi asas solekan kendalian Sherry Stylista Team yang mendapat perhatian para pelatih. Rata-rata mereka begitu rajin bertanya soalan kepada jurusolek yang membuat demonstrasi solekan. Perkara ini diakui oleh wakilnya, Sharina Mustafa, 40, yang teruja dengan peluang sulung tersebut. "Ia satu perkongsian yang sangat menarik. Anak-anak di sini juga kelihatan bersemangat untuk tampil cantik dengan solekan. Semoga masyarakat akan dapat menerima mereka apabila keluar dari sekolah ini kelak," ujarnya. | |
Si cilik pamer bakat terpendam Posted: Si cilik pamer bakat terpendamOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR BAKAT dalam bidang tarian begitu terserlah pada anak-anak ini. KOMBINASI tarian hip hop dan kontemporari yang dipamerkan Adib Fahmi Halim, 12, sewaktu pertandingan Talent Time baru-baru ini mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Tampil dengan gaya bersahaja dan aksi tersendiri membuatkan pelajar tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Sri Hartamas, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu kelihatan seperti penari profesional yang penuh pengalaman. Begitu juga dengan persembahan tarian balet oleh Karlyssa Lana Faizal, 10. Setiap langkah yang diatur penuh gemalai mempesonakan mata yang memandang. Ironinya, kedua-dua mereka merupakan bekas pelajar di rangkaian penyedia sistem pengajaran prasekolah terkemuka, Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. (Smart Reader Worlwide). Program bakat yang dianjurkan dengan kerjasama Smart Reader Kids Fan Club itu berlangsung penuh meriah di Wisma Smart Reader, Kepong baru-baru ini. "Saya sangat teruja apabila diundang membuat persembahan di hadapan adik-adik yang belajar di Smart Reader Kids. Ia membuatkan saya teringat ketika zaman prasekolah di sana yang penuh dengan aktiviti," ujar Adib Fahmi yang amat meminati bidang tarian. Menurut Karlyssa Lana pula, dia mula mempelajari tarian ketika bersekolah di pusat berkenaan iaitu ketika terlibat dalam acara konsert tahunan. "Mula-mula memang rasa segan kerana tiada keyakinan diri tetapi, lama-kelamaan bertukar menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan menyihatkan," tutur pelajar tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Convent 1 Bukit Nanas itu. PERMAINAN interaktif sewaktu sesi Toyota Traffic Tots Game Show menguji minda kanak-kanak. Acara interaktif Pada program tersebut, seramai 10 finalis dari cawangan Smart Reader Kids di sekitar Lembah Klang menunjukkan bakat kreativiti masing-masing dalam persembahan mereka seperti tarian, lakonan, nyanyian dan bermain alat muzik. Selain Talent Time, program yang berlangsung selama dua hari itu turut menyaksikan acara interaktif Toyota Traffic Tots Game Show. Aktiviti itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman kepada kanak-kanak terhadap aspek keselamatan di jalan raya. Antaranya menyelesaikan teka silang kata, memadankan gambar dengan perkataan, kuiz dan sebagainya. Pengetua Smart Reader Kids Dataran Pandan Prima dan Taman Melati, Rosmazmi Ahmad Roslan, 34, berkata, program sedemikian mampu memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia luar. "Contohnya, acara Toyota Traffic Tots Game Show, para pelajar didedahkan dengan amalan-amalan baik di jalan raya seperti pemanduan berhemah dan berhati-hati ketika melintas. "Diharapkan agar program-program sebegini diadakan lebih kerap untuk mendidik anak-anak di sekolah ini," ungkapnya. Menurut H.D. Shan, 38, yang mempunyai dua orang anak yang bersekolah di Smart Reader Kids, boleh dikatakan para pelajar di sini sangat berdikari dan berdisiplin tinggi. "Malah, penglibatan dalam acara sosial sebegini mampu meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berhadapan dengan orang ramai," katanya ketika ditemui Kosmo!. Program ini turut dihadiri oleh Pengurus Korporat Smart Reader Worldwide, Kevan Ong dan Eksekutif Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) UMW Toyota Sdn. Bhd., Mohd. Zunaidi Mohd. Dali. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |