Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Evolusi ukiran kayu merentasi zaman
- Kayu hanyut sumber rezeki Azizul
- Inovasi pembiakan spirulina di Thailand
Evolusi ukiran kayu merentasi zaman Posted: Evolusi ukiran kayu merentasi zamanDUA pengunjung ini kelihatan teruja menyaksikan pelbagai koleksi ukiran kayu yang unik dan penuh kreativiti. SEBAGAI anak seorang pengukir, kecintaan Mohd. Aidil Mohd. Diah, 27, terhadap seni ukiran kayu terlalu tinggi. Apatah lagi, sejak kecil dia sering melihat ketekunan dan kegigihan ayahnya, Mohd. Diah Arifin menyiapkan ukiran pada alat muzik gambus yang popular di Johor. Setiap hari, dia pasti akan meluangkan masa di bengkel yang terletak bersebelahan rumahnya selepas pulang dari sekolah untuk membantu sekadar yang perlu. Dari situlah berputiknya minat Mohd. Aidil mempelajari seni ukiran kayu sehingga memilih untuk melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor. "Saya merupakan anak tunggal lelaki daripada enam adik-beradik. Jadi, saya tidak mahu legasi kemahiran mengukir ayah lenyap begitu sahaja selepas beliau tiada nanti. "Jujurnya saya dapat rasakan seni mengukir ini begitu serasi dengan jiwa saya. Justeru, pengajian di IKN membolehkan saya mendalami dunia ukiran secara serius selepas menimba ilmu mengukir dengan ayah secara tidak formal," ujar Mohd. Aidil yang berasal dari Batu Pahat, Johor ketika ditemui sewaktu Pameran Nuansa Ukiran Melayu di Muzium Etnografi Melayu, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini. Melihat keindahan seni ukiran kayu yang dipamerkan pada pameran tersebut, jelas membuktikan ketelitian dan kehalusan kerja tangan masyarakat Melayu yang tiada tandingan. Hakikatnya, seni ukiran kayu Melayu telah melewati satu sejarah yang panjang. Ia melalui zaman daripada keperluan khidmat pandai ukir untuk membina rumah kampung orang Melayu, masjid-masjid, pengangkutan seperti perahu dan pelbagai peralatan seperti keris, cepu dan serunai sehinggalah ke pembinaan istana-istana Melayu. Seiring peredaran zaman, seni ukir Melayu terus dilestarikan dengan wadah dan wajah yang berbeza. Ukiran Melayu telah masuk sebagai penghias di dalam bangunan-bangunan pentadbiran mahupun premis-premis perniagaan. Malah produk-produk yang dihasilkan oleh para pengukir juga pelbagai mengikut selera orang zaman ini. RUMAH Melayu tradisi banyak menyelitkan elemen ukiran dalam pembinaannya. Sumber ilham Berbicara mengenainya, mantan Naib Canselor UM, Prof. Mohd. Taib Osman pernah mengingatkan bahawa unsur budaya tradisional termasuklah ukiran kayu Melayu merupakan unsur yang terkandung dalam ciri-ciri persambungan budaya Melayu. Ia mesti menjadi tali ikatan, baik dari segi masa mahupun ruang dengan entiti yang dinamakan Malaysia. Perkara itu diakui oleh Konsultan Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina UM, Profesor Emeritus Ezrin Arbi yang merupakan pakar dalam warisan seni bina Melayu. Menurutnya, sebelum kedatangan Islam, nenek moyang kita telah mengamalkan cara hidup seni ukir mereka sendiri sebagai pernyataan terhadap kecintaan dan keindahan. "Mereka menjadikan alam sekeliling yang penuh dengan pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan sebagai sumber ilham yang tiada batasnya. "Bagaimanapun, selepas Islam tersebar di Nusantara yang mengaitkan keindahan dengan sifat Tuhan telah memurnikan dan meningkatkan lagi mutu seni ukir mereka. "Islam telah memberi kebebasan berkarya dalam ruang-ruang tertentu dan menggalakkan umatnya mencipta pelbagai karya seni selagi ciptaan itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai dan etika agama," jelasnya. Tambah Ezrin, dalam seni ukiran, larangan menunjukkan makhluk bernyawa telah ditanggapi dengan sangat bijaksana oleh nenek moyang kita melalui penyamaran atau pengabstrak bentuk seperti yang dilihat dalam motif itik pulang petang dan badar mudik yang banyak digunakan sebagai ukiran bingkai di Semenanjung dan pulau Sumatera. "Malah, di seberang Selat Melaka orang Minang masih menggunakan nama-nama seperti kuda menendang, tupai tertegun, kelawar bergantung dan kucing tidur untuk karya-karya ukiran dengan motif tertentu," katanya.
Larangan Jelas Ezrin lagi, ada empat peranan hiasan ukiran kayu dalam kehidupan sehari-hari. Di samping melahirkan keindahan dalam sesebuah rumah atau bangunan, ia juga boleh dimanfaatkan untuk memudahkan pengaliran udara, peneduhan dan keselamatan. Secara keseluruhan, terdapat lebih 100 karya dan artifak ukiran kayu Melayu aliran tradisional dan kontemporari dipamerkan pada pameran tersebut. Ini termasuklah hasil kerja tangan pengukir handalan tanah air seperti Latiff Long, Wanpo, Norhaiza Noordin, A. Muhaimin Hasbollah, Mohd. Abdah Hassan dan Zarir Abdullah. Karya tokoh seni ukiran Allahyarham Wan Su Othman dan Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein turut menyerikan pameran berkenaan di samping hasil kerja pelajar IKN. Seminar Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), UM, Prof. Dr. Zahir Ahmad berkata, pameran tersebut diadakan sejak 2 September lalu sehingga 31 Oktober 2013. Sempena pameran itu juga, pihaknya turut menganjurkan program Seminar Ukiran Kayu Melayu pada 18 September lalu bertempat di Dewan Semarak, APM. Ia menyaksikan sembilan orang pembentang kertas kerja yang terdiri daripada ahli akademik dan penggiat seni berhimpun untuk membincangkan pelbagai aspek berkaitan ukiran Melayu. "Pameran dan seminar ini bertujuan untuk melestarikan dan mendokumentasi pelbagai karya seni ukiran Melayu tradisi dan kontemporari sekali gus menghasilkan bahan rujukan tentang perkembangan terkini mengenainya," ujar Zahir. | ||
Kayu hanyut sumber rezeki Azizul Posted: Kayu hanyut sumber rezeki Azizul
KREATIVITI dalam penghasilan kraf ukiran kayu sering menjadi identiti kepada para pengukir di Malaysia untuk tampil dengan produk unik. Sebagai contoh, kayu hanyut yang mungkin tidak bernilai bagi sesetengah individu, tetapi ia berjaya ditukar menjadi sumber pendapatan oleh Azizul Ahmad, 40. Anak jati Pulau Langkawi itu memberitahu, ilham untuk menghasilkan ukiran daripada kayu hanyut dan terbuang diperoleh sekitar tahun 1999. Ketika itu, dia bersiar-siar di tepi pantai dan terlihat sebatang kayu hanyut terdampar di atas pasir. "Melihat keadaan kayu itu yang masih elok, saya terus mendapat idea untuk membawanya pulang. Dari situ, saya mula mengukirnya untuk dijadikan kraf kayu yang istimewa," ujar Azizul kepada Kosmo!. Kayu hanyut biasanya terdiri daripada spesies pokok bakau seperti nyireh. Selain itu, terdapat pelbagai jenis kayu hanyut yang tidak dikenali spesies asalnya turut digunakan untuk mengukir. Kebiasaannya, kayu-kayu ini dihanyutkan selepas tumbang atau patah. Ia merangkumi bahagian-bahagian tertentu seperti batang, dahan, ranting atau akarnya. Sejak itu, dia akan mencari kayu hanyut di sekitar pantai dan hutan di Langkawi untuk diukir dengan pelbagai motif unsur alam. Pada Pameran Nuansa Ukiran Melayu yang sedang berlangsung di Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Azizul menghantar tiga karya ukiran. "Ukiran tersebut menggunakan kayu angsana dan saya memilih motif unsur alam seperti air dan arus dengan sentuhan kontemporari sesuai dengan tema pameran tersebut," jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu. Menurut pemilik Idea Craftworks itu, selain menggunakan kayu hanyut, dia turut menggunakan kayu-kayu tempatan seperti seraya dan batang cempaka lantaran teksturnya yang lembut dan mudah diukir.
Motif ukiran Ukiran yang dihasilkan Azizul biasanya boleh digunakan sebagai perhiasan untuk pintu rumah, bingkai dinding atau cermin. Bagi yang mengenali Idea Craftworks, mereka pasti mengenali hasil karya Azizul yang sinonim dengan ukiran bermotif awan, gelombang, arus sungai, api, akar dan ranting. "Saya sebenarnya gemar memerhati alam sekitar dan menyerap apa yang ada di sekeliling kita. Melalui pemerhatian itulah saya mendapat idea untuk menyiapkan koleksi ukiran. "Malah, saya juga mengukir mengikut rasa hati. Jika angin saya baik, saya boleh berada di bengkel selama berjam-jam. Jika tidak, lebih suka meluangkan masa bersama keluarga sehinggalah mood mengukir datang kembali," jelas Azizul yang sudah lali dengan kecederaan di bahagian tangan ketika mengukir. Sehubungan itu, pelanggan yang menempah produk ukiran Azizul perlu bersabar untuk mendapatkannya. Walaupun pengeluarannya agak terhad, namun mereka pasti berpuas hati dengan kehalusan kerja tangan lelaki tersebut. Justeru, tidak hairanlah jika kraf kayu ukiran Azizul mendapat perhatian pelanggan dari Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan United Kingdom. "Selepas melihat produk kraf saya yang dipamerkan di Pusat Kraftangan Langkawi, mereka berminat untuk menempahnya. "Selepas ia siap, saya akan mengirimkannya melalui pos," katanya yang berdaftar dengan Perbadanan Kraftangan Malaysia. Perbadanan itu banyak memberi bantuan kepada Azizul untuk memajukan perniagaannya. Selain itu, dia juga merupakan ahli Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia. Sementara itu, tenaga pengajar di Institut Kraf Negara, Mohd. Firdaus Ramli berkata, seorang pengukir perlu sentiasa kreatif dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan terbaik. "Namun, ia bergantung kepada inisiatif pengukir itu sendiri. Jika mereka rajin mencuba sesuatu yang baharu, pasti ukiran mereka akan men jadi lebih menarik," katanya.- KHADIJAH MOHAMAD NOR | ||
Inovasi pembiakan spirulina di Thailand Posted: Inovasi pembiakan spirulina di ThailandBumbung bangunan pencakar langit di Bangkok merupakan tempat paling sesuai mengusahakan spirulina berikutan pancaran terus cahaya matahari dan keadaan suhu yang tinggi. SPIRILUNA segar yang terhasil di atas bumbung sebuah hotel di Bangkok. DI atas bumbung sebuah hotel di Bangkok, Thailand, berpuluh-puluh tong berisi cecair likat berwarna hijau yang diletakkan di bawah cahaya matahari kelihatan berbuih. Susunan tong-tong tersebut merupakan inovasi terbaharu pertanian bandar. Pendukung alga yang boleh dimakan dan dikenali sebagai spirulina mengatakan ia mampu menjadi sumber protein yang mapan dan alternatif kepada daging. Tiga kali seminggu, Patsakorn Thaveeuchukorn menuai alga hijau di dalam tong-tong tersebut. "Alga ini tumbuh dengan cepat dan biasanya menjadi dua kali lebih banyak dalam tempoh 24 jam. Dengan kandungan protein dan nutrien yang tinggi ia memainkan peranan penting dalam jaminan keselamatan makanan. "Kalau anda membandingkannya dengan sekilogram haiwan yang memerlukan enam bulan untuk menghasilkan protein, cara ini pula hanya memerlukan tempoh seminggu," katanya yang merupakan pekerja EnerGaia, sebuah syarikat yang menggunakan bumbung bangunan-bangunan di Bangkok sebagai tempat pembiakan spirulina. Spirulina disifatkan sebagai makanan super oleh pakar pemakanan kesihatan dan popularitinya semakin melonjak di seluruh dunia. Rosa Rolle dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) berkata, spirulina adalah sumber makanan penting sejak berkurun lamanya. "Ia tumbuh secara semula jadi di Tasik Texcoco di Mexico dan dimakan oleh puak Inca. Kebanyakan negara yang bersempadan dengan Tasik Chad di Afrika Barat turut menjadikannya sumber protein," katanya kepada AFP. PIRING-PIRING petri menunjukkan kadar pesat pembiakan spirulina dalam tempoh 24 jam. Masalah kesihatan Bagaimamnapun, kata Rolle, spirulina juga berisiko menyebabkan masalah kesihatan bagi mereka yang menghidap penyakit gout kerana ia menghasilkan banyak asid urik. Orang ramai perlu dididik mengenai kesan positif dan negatif spirulina sebelum mengambilnya. "Anda memerlukan maklumat nutrisi mengenainya, namun ia tidak menjadi masalah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan," katanya. Bumbung bangunan pencakar langit di Bangkok merupakan tempat yang paling sesuai mengusahakan spirulina berikutan pancaran terus cahaya matahari dan suhu tinggi yang sekata. Antara kebaikan alga ini adalah menyingkirkan gas karbon dioksida menerusi proses fotosintesis. Pakar- pakar spirulina menyifatkan cara penanaman di bandar adalah baik kerana ia dapat sampai kepada pengguna pada hari yang sama ia dituai. Sebaik dikumpulkan, alga spirulina akan dicuci menggunakan tangan dan dikeringkan dengan mesin basuh yang diubah suai. Ia kemudian dipadatkan ke dalam bekas-bekas, sekali lagi menggunakan tangan kerana belum ada mesin dicipta untuk memproses cecair pekat seperti jeli yang dihasilkannya. "Kami telah membuat banyak percubaan dan menempuh banyak kegagalan. "Namun, hasilnya adalah sangat baik untuk vegetarian kerana ia dilengkapi dengan antioksidan dan membantu detoksikasi tubuh," kata Pengarah Teknologi EnerGaia, Derek Blitz. Dalam makmal syarikat tersebut, barisan tabung uji berlainan saiz dihubungkan antara satu sama lain sebagai tempat membiakkan alga itu, manakala tong-tong berlainan saiz di atas bangunan pula diuji untuk memastikan yang mana satu menghasilkan lebih banyak spirulina. EnerGaia menegaskan bahawa ia adalah satu-satunya pengeluar spirulina segar dunia ketika syarikat lain hanya memasarkan produk kering dan yang telah diproses. SPIRULINA disifatkan sebagai makanan super oleh pakar-pakar makanan kesihatan dengan manfaat antioksidan dan detoksikasi tubuh. Bereksperimen Bekas padat alga mampu bertahan selama kira-kira tiga minggu selepas dituai, namun Blitz merancang untuk meningkatkan tempoh tersebut dalam usaha mengeksportnya ke luar negara. "Antara kelebihan mendapatkannya secara segar kerana ia tidak mempunyai sebarang rasa dan boleh dicampurkan ke dalam apa jua jenis makanan. "Pengambilan spirulina umpama memakan sayur yang sudah dimasak berbanding yang mentah. Lebih banyak nutrien dalam yang segar berbanding yang kering. Selain itu, pengambilan spirulina segar tidak memerlukan banyak tenaga kerja," kata Blitz lagi. Sebahagian chef dari Bangkok turut bereksperimen dengan alga tersebut, seperti pemilik Oyster Bar, Bill Marinelli. "Ia benar-benar memberi kesan baik kepada anda. Kami menambahkannya ke dalam hidangan untuk meningkatkan nilai nutrisinya," katanya. Warna alga itu sangat kuat sehingga apa juga yang dicampurkan dengannya bertukar hijau. Disebabkan ia tidak mempunyai rasa, Marinelli masih terus menggunakannya. "Saya melihatnya sebagai alternatif kepada protein haiwan. Kita dapat mengurangkan jumlah protein dalam hidangan ikan atau daging dengan memasukkan spirulina sebagai sumber protein tambahan," katanya. Spirulina telah digunakan sebagai makanan suplemen selama berpuluh-puluh tahun dan popular dalam kalangan ahli bina badan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |