{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Pelayan dalam gelap

Posted:

Pelayan dalam gelap

Pelayan dalam gelap

Oleh ZULHILMI JALIL

TEPAT pada pukul 4 petang, seorang lelaki bertubuh sederhana mula bersiap membersihkan diri untuk ke tempat kerja.

Dia kemudian berjalan kaki dari asrama pekerja ke sebuah restoran di Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Tatkala warga kota yang lain berpusu-pusu ingin pulang dari tempat kerja, lelaki yang mesra di sapa dengan panggilan Thong itu memulakan langkah menyelusuri jalan di kawasan yang sesak dengan kenderaan sejauh kira-kira 400 meter.

Sebaik jam menunjukkan pukul 6 petang, Thong memulakan tugasnya melayan kunjungan pelanggan yang ingin menikmati hidangan makan malam di situ.

Bagi Thong Kien, 43, perkara itu sudah menjadi rutin hidupnya sejak 11 bulan lalu selepas dia ditawarkan bekerja sebagai pelayan di Restoran Dining In The Dark, Kuala Lumpur.

Masalah penglihatan

Walaupun pada zahirnya, Thong kelihatan sama seperti insan normal yang lain, namun sebenarnya ada kekurangan pada dirinya.

Thong tidak mempunyai keupayaan melihat berikutan penyakit Retinitis Pigmentosa (RP) yang mula dikesan ketika dia berumur 16 tahun.

Ia merupakan sejenis penyakit yang mengakibatkan retina matanya mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penglihatannya semakin terganggu dari tahun ke tahun.

"Saya mula bekerja sebagai pelayan di restoran ini sejak November tahun lalu selepas Persatuan Orang Buta Malaysia memberitahu ada sebuah restoran ingin mencari pekerja yang cacat penglihatan," katanya yang kini bersyukur ditawarkan pekerjaan di restoran tersebut.

Thong memberitahu dia berasa bertuah apabila wujud sebuah restoran yang ingin mengambil golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya bekerja.

"Biasanya orang buta ini selalu dikaitkan dengan pekerjaan seperti tukang urut, namun kini prospek kerjaya golongan OKU sudah semakin berkembang.

"Kami diberi kepercayaan untuk melakukan kerja-kerja yang mungkin dianggap mustahil," ujarnya dengan memberitahu dia perlu membantu antara 20 hingga 30 pelanggan setiap malam bagi memimpin mereka masuk ke ruang makan.

Thong boleh dikira sebagai individu penting kepada pelanggan yang ingin menjamu selera di restoran berkenaan.

Apa tidaknya, pelanggan memerlukan Thong untuk bergerak di dalam ruang makan ekoran restoran tersebut mengetengahkan konsep makan di dalam gelap.


PELANGGAN berpeluang menguji deria sentuhan mereka sebelum dipimpin masuk oleh Darius ke ruang makan.


Memahirkan diri

Situasi itu sebenarnya bagaikan satu penghargaan buat dirinya apabila orang yang mampu melihat dunia 'terpaksa bergantung' kepadanya untuk menikmati hidangan di situ.

Namun, anak kelahiran Puchong, Selangor itu memberitahu bahawa dia mengambil masa kira-kira 10 hari untuk memahirkan diri dengan selok-belok persekitaran di restoran itu.

Apatah lagi, pekerjaannya sekarang ini menuntut dia banyak melakukan pergerakan sedangkan penglihatannya terhad.

Thong perlu menghafal kedudukan meja dan kerusi di dalam restoran tersebut.

Ini kerana jika Thong tersilap langkah, hidangan yang dipesan pelanggan mungkin tidak akan diterima.

"Sungguhpun kami tidak mampu melihat, kami banyak menggunakan deria pendengaran, sentuhan dan bau," ceritanya yang pernah menjawat jawatan sebagai eksekutif di salah sebuah syarikat perkapalan di Klang selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja lantaran keadaan matanya semakin teruk.

Ujar Thong, biarpun hanya sebagai pelayan restoran, kerjaya baharunya itu memiliki cabarannya yang tersendiri.

Cabaran

Sebagai insan yang pernah memiliki deria penglihatan yang baik, Thong mengakui bahawa dia perlu banyak belajar lantaran pekerjaannya kini banyak menuntutnya bergerak ke sana sini.

"Perkara yang paling sukar bagi saya ialah menghafal kedudukan pelanggan di dalam restoran.

"Bayangkan jika ada 20 pelanggan, saya kena hafal kesemua kedudukan mereka untuk pastikan permintaan mereka dipenuhi dan tepat," ceritanya yang memberitahu sepanjang berkhidmat di restoran itu tiada lagi insiden terjatuh makanan atau tersilap menghantar pesanan.

Masa berlalu begitu pantas, kini Thong sudah hampir setahun berkhidmat di restoran itu.


THONG akan membawa masuk pelanggan ke dalam ruang gelap untuk menikmati hidangan.


Anak keempat daripada enam beradik itu mengakui dirinya semakin selesa dengan pekerjaannya sekarang.

Thong sebenarnya tidak bersendirian kerana dia turut ditemani seorang lagi rakan yang senasib dengannya, Darius.

Bagi anak kelahiran Kuching, Sarawak ini, ibu bapanya menyedari dirinya mengalami masalah penglihatan ketika usianya tiga tahun.

"Saya tidak merasakan ada cabaran yang begitu besar untuk membiasakan diri sebab sejak kecil saya sudah mengalami masalah penglihatan.

"Jadi, saya sudah biasa banyak menggunakan deria pendengaran, bau dan sentuhan untuk mengenal pasti sesuatu benda," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Biarpun begitu, jauh di sudut hatinya, Darius meluahkan dirinya masih keliru dengan penerimaan dan persepsi masyarakat di luar sana terhadap golongan sepertinya.

"Orang normal kata saya buta sebab saya tidak boleh melihat, tetapi di dalam persatuan orang buta sendiri mereka kata saya tidak buta kerana saya masih mampu melihat cahaya," katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar membantu orang buta yang lain memiliki kemahiran menggunakan komputer dengan kerjasama Persatuan Orang Buta Sarawak (SSB) selama tiga tahun.

Di sebalik kecekalan dua anak muda ini, sebenarnya berdiri seorang wanita yang boleh dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab membawa mereka ke alam baharu pekerjaan.

"Saya sendiri yang mengajar mereka cara bekerja di restoran ini.

"Ada beberapa kemahiran yang perlu mereka belajar untuk memastikan kelancaran melayan pelanggan.

"Antara perkara yang perlu mereka hafal termasuklah teknik kiraan langkah, mengenal pasti laluan, pengendalian alatan dan cara mengenali menu hidangan menerusi bentuk bekas," ujar Nicole Pua, yang turut mengalami masalah penglihatan ekoran penyakit glaukoma kongenital ketika berumur enam tahun.

Nicole merupakan bekas pengurus restoran tersebut yang kini memegang jawatan yang lebih besar sebagai Pengurus Perhubungan Media, Rhine River Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengendalikan industri makanan termasuk restoran Dining In The Dark itu sendiri.

DARIUS dan Thong bukti orang kelainan upaya (OKU) mampu melakukan kerja-kerja manusia normal.


Pembakar semangat

Bercerita lanjut, Nicole memberitahu, restoran itu kini menggaji dua pelayan OKU penglihatan iaitu Thong dan Darius.

"Mereka dibantu oleh dua orang lagi pekerja normal yang akan memberi arahan bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk sekiranya terdapat pelanggan yang datang," katanya yang memberitahu restoran itu merupakan satu-satunya tempat makan dalam gelap di negara ini.

Apa yang jelas, bagi wanita ini, dia mahukan golongan insan senasib dengannya mampu memajukan diri ke hadapan.

"Saya mahu mereka yang senasib dengan saya mampu bersaing dengan orang normal yang lain dan mampu mencapai matlamat dalam hidup," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi di salah sebuah syarikat produk kecantikan tempatan.

Atas semangat seperti yang ditunjukkan oleh Nicole inilah menjadi pembakar semangat kepada Thong untuk terus bangkit walaupun pada mulanya dia mengakui pernah hampir berputus asa.

"Jika saya diberi kesempatan untuk melihat semula seperti dahulu, perkara pertama yang saya mahu lakukan ialah melancong ke luar negara.

"Saya sudah lama tidak melihat keindahan dunia dengan mata sendiri," ujar Thong yang reda dengan ketentuan Tuhan.

Lepas 2,000 tumbukan setiap hari

Posted:

Lepas 2,000 tumbukan setiap hari

Lepas 2,000 tumbukan setiap hari

Oleh NOR IDAYU BOSRO


PERGERAKAN Ella cukup lincah dan tangkas persis hero filem Ong Bak, Tony Jaa.


WANITA berambut pendek yang berasal dari Kuala Lumpur ini melontarkan tumbukan padu ke arah karung tinju lusuh berwarna merah di hadapannya.

Sekali-sekala tumbukan itu diselangi dengan tendangan dan tujahan lutut yang kencang sambil mulutnya terkumat-kamit mengira gerakan tersebut.

Tangannya yang hanya dibalut kemas dengan kain kasa pembalut luka seolah-olah tidak berasa sakit dengan impak daripada tumbukan berulang kali itu.

Malah, pergerakan Ella Tang Pei Kin, 24, yang ditemui kru Jurnal baru-baru ini cukup lincah dan tangkas persis hero filem Ong Bak, Tony Jaa.

Cerita Ella, bagi mendapatkan ketangkasan yang baik, dia perlu melakukan rutin tumbukan dan tendangan setiap hari serta latihan ringan seperti lompat tali dan tekan tubi.

"Saya harus melakukan dua sesi latihan sehari dan setiap sesi memakan masa lebih dari tiga jam," katanya yang merupakan satu-satunya 'nak muay' atau jurulatih muay thai wanita di TNT Kickboxing yang terletak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Terkenal dengan gelaran 'Ice Cool' dalam kalangan pencabarnya, wanita ini sebenarnya bukan calang-calang individu.

Dia merupakan petinju wanita pertama negara dalam bidang seni mempertahankan diri khususnya sukan tempur seperti muay thai dan kickboxing.

Jaguh kickboxing

Menceritakan kembali sejarah pembabitannya dalam sukan tersebut, Ella memberitahu, minatnya timbul selepas dia bertemu dengan jaguh kickboxing negara, Khoo Meng Yang.

"Saya mula berjinak-jinak dengan sukan tempur ketika berumur 16 tahun apabila mempelajari taekwondo di sekolah dan seterusnya mengembangkan kemahiran dengan mempelajari wusyu.

"Setelah menguasai kedua-dua seni mempertahankan diri itu, saya diberitahu oleh Master Khoo bahawa fizikal saya lebih sesuai untuk sukan muay thai," katanya.

Dalam tempoh empat tahun menceburi dunia sukan tempur, Ella telah menyertai lebih 17 kejohanan kickboxing dan muay thai peringkat nasional dan antarabangsa.

Daripada jumlah tersebut, pemegang tali pinggang hitam sukan tekwando itu telah berjaya meraih 13 kemenangan dalam pelbagai kejuaraan dunia termasuk pertandingan sukan tempur gaya bebas atau mixed martial arts (MMA).

Bercerita lanjut, Ella memberitahu, terdapat sedikit perbezaan dalam teknik latihan muay thai di negara ini dengan Thailand.

WANITA ini perlu membuat latihan dengan melakukan lebih 2,000 tumbukan serta tendangan sehari.


Batang kayu

Jelasnya, di negara Gajah Putih itu, satu sesi latihan yang memerlukan aktiviti menumbuk serta menyepak batang pisang diperlukan bagi membina otot agar menjadi lebih ampuh.

Ada juga yang menggunakan batang kayu yang lebih keras seperti batang kelapa serta buluh bagi mendapatkan kekuatan otot yang diingini.

"Latihan ini amat menyakitkan, namun ia dapat membentuk otot betis, kaki dan siku yang lebih kuat.

"Saya bernasib baik kerana tidak pernah mengalami sebarang kecederaan serius sepanjang pembabitan dalam seni mempertahankan diri ini," katanya.

Tambah Ella, kekuatan serta ketangkasannya turut teruji apabila dia sering digandingkan dengan jurulatih lelaki dalam rutin latihannya.

"Saya jarang berpeluang mengadakan sesi latihan dan aktiviti memanaskan badan seperti 'sparring' bersama pelatih perempuan kerana tidak ramai yang mahu berkecimpung dalam sukan ini.

"Namun, saya percaya gandingan tersebut sedikit sebanyak membantu saya dalam meningkatkan keupayaan stamina ke tahap terbaik," ujarnya.

Bina rumah segera

Posted:

Bina rumah segera

Bina rumah segera

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


KONSEP rumah Wira Kerjaya mengurangkan sehingga 40 peratus kos pembinaan rumah berbanding kaedah konvensional.


MEMILIKI rumah idaman sememangnya menjadi impian setiap individu, namun faktor harga sering menjadi penghalang.

Namun, bagi individu yang sudah memiliki tanah sendiri, sebuah syarikat bumiputera, Wira Kerjaya Sdn. Bhd. punya jalan alternatif untuk membina rumah dengan cara sofistikated tetapi murah.

Mereka tampil dengan konsep rumah pasang siap yang membolehkan sesiapa sahaja membina rumah sendiri dengan cepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Wira Kerjaya, Mohamad Fadhillah Mahmood berkata, syarikat itu menggunakan keluli ringan untuk membina kediaman.

"Sistem ini agak terkenal di Australia dan Britain sejak tahun 1999 namun di negara kita ia baru berkembang sejak dua tahun lepas.

"Lima orang pekerja sudah cukup untuk menyiapkan rumah dalam tempoh seminggu," katanya.

Jelasnya, walaupun keluli ringan digunakan, ia tahan lama. Tambahnya, proses membina rumah bermula dengan melukis pelan terlebih dahulu.

"Jika pembeli bersetuju dengan pelan berkenaan, bahagian rangka akan disiapkan di kilang kami di Klang, Selangor.

"Rangka itu akan dibawa menggunakan lori untuk dipasang di tempat yang ditetapkan," katanya.


RUMAH binaan Wira Kerjaya mesra alam sekitar.


Ujarnya lagi, bahagian dinding dan siling juga menggunakan keluli. Kesemua bahagian rumah itu dipasang menggunakan skru.

"Ia sama seperti memasang almari pasang siap yang dibeli di pasar raya," ujarnya.

Tutur Fadhillah, kekangan utama dalam pembinaan rumah jenis itu ialah harga tanah yang mahal terutama bandar-bandar besar.

Jimat kos

"Konsep sebegini agak menguntungkan individu yang memiliki tanah sendiri khususnya di kampung kerana dapat menjimatkan kos pembinaan," ujarnya.

Jelas Fadhillah, konsep itu dapat menjimatkan sehingga 40 peratus kos pembinaan rumah.

"Sebagai contoh, hanya RM60,000 diperlukan untuk rumah teres satu tingkat yang merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

"Tempoh hayat kediaman ini ialah selama 70 tahun dan tahan karat. Ia juga memudahkan pemasangan elektrik dan bekalan air di rumah," ujarnya.

Terang Fadhillah, konsep sebegini juga mesra alam dan mengurangkan kos sisa buangan.

"Sistem pencahayaan yang baik juga mengurangkan penggunaan elektrik terutama pada waktu siang selain kipas dan pendingin hawa kerana terdapat lubang-lubang pengudaraan.


RANGKA rumah diangkut ke destinasi menggunakan lori.


"Selain itu, keluli ringan membuatkan ruang dalaman lebih sejuk dan tidak terlalu panas," katanya.

Jelasnya, mereka kini menumpukan untuk projek taman perumahan.

"Mungkin ini salah satu penyelesaian yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

"Seperti kita sedia maklum kos membeli rumah sekarang agak tinggi dan jarang orang muda mampu memilikinya," ujarnya.

Tutur Mohamad Fadillah, mereka turut menggunakan bahan binaan yang terdiri daripada komposit serta bahan kimia yang mesra alam untuk membina siling, dinding dan lantai.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat