Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Pemuja Metallica mahu jadi Presiden Indonesia Posted: Pemuja Metallica mahu jadi Presiden IndonesiaDENGAN memakai kemeja-T hitam dan jaket kulit rona coklat, Gabenor Jakarta itu mengangkat kedua-dua tangannya ke udara di celah-celah ribuan penonton yang sedang asyik melakukan headbanging sewaktu konsert Metallica baru-baru ini. Sememangnya cara sedemikian amat jarang dilakukan oleh ahli politik Indonesia. Namun, bagi Joko Widodo, 52, berkelakuan begitu di konsert tersebut telah meningkatkan populariti dirinya. Malah, dalam satu undian pendapat, beliau diundi sebagai seorang tokoh yang paling diminati di luar kerajaan. "Saya mendengar muzik metal daripada kumpulan Metallica ke Led Zeppelin hingga ke Napalm Death kerana rock merupakan minat dan inspirasi saya," kata lelaki kurus yang terkenal dengan gelaran Jokowi itu kepada AFP selepas menyaksikan konsert tersebut di Jakarta. Sikap santai pemimpin bandar tersebut berjaya menyembunyikan kuasa politiknya. Selain itu, sifat merendah diri yang dimiliki Jokowi telah berjaya menawan rakyat negara jiran itu sekali gus menggoncang arena politik Indonesia yang dikuasai tokoh-tokoh yang gemar menyendiri sejak dari era Presiden Suharto. Selepas setahun dipilih sebagai Gabenor Jakarta, lelaki yang dilahirkan di kawasan setinggan tebing sungai wilayah Surakarta itu berhasrat menjadi Presiden Indonesia pada pilihan raya 2014 meskipun belum mengumumkan perkara itu secara rasmi. "Beliau sangat berbeza daripada figura lain yang tidak mempedulikan orang biasa," kata salah seorang pengunjung konsert Metallica, Rizqi Widyasari, 32, sambil menyatakan rakyat memerlukan pemimpin yang mempunyai cara kepimpinan yang tulus. Namun di sebalik situasi itu, beberapa persoalan timbul sama ada lelaki yang tidak pernah bekecimpung dalam dunia politik kebangsaan itu bersedia untuk menggalas cabaran besar memerintah negara yang mempunyai 17,000 buah pulau dengan populasi lebih daripada 240 juta penduduk berkenaan. PENDEKATAN Jokowi yang sederhana, mudah didekati dan mesra rakyat menjadi faktor populariti beliau meningkat. Jokowi yang tidak kisah sama ada beliau akan bertanding jawatan presiden menegaskan bahawa keputusan itu terpulang pada parti dan fokusnya tetap kekal untuk menyelesaikan masalah trafik, longkang tersumbat dan banjir yang sering melanda Jakarta. Bagaimanapun, tekanan semakin meningkat kepada Jokowi yang begitu menonjol sewaktu bertugas sebagai Datuk Bandar Solo di wilayah Jawa Tengah dan sifat berdikarinya telah menarik hati rakyat di negara yang dibelenggu rasuah dalam kalangan ahli politik elit itu. Ketika menjelajah ke seluruh Jakarta baru-baru ini, beliau tidak ragu-ragu untuk melompat keluar dari keretanya dan menaiki teksi motosikal selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, tidak seperti ahli politik elit Indonesia yang tidak mahu menaiki kenderaan tersebut. Sewaktu kunjungan rutinnya ke kawasan setinggan dan lorong-lorong yang dipenuhi tikus, Jokowi sentiasa mendengar keluhan dan aduan orang ramai. Beliau juga bertindak memeriksa sama ada pegawai kerajaan melakukan kerja mereka atau tidak dengan membuat pemeriksaan mengejut sambil ditemani para wartawan. Beliau memulakan tugas sebagai Datuk Bandar baharu di daerah timur Jakarta itu dengan melawat tempat pembuangan sampah. Semua itu dilakukan semata-mata bagi menunjukkan bahawa pemimpin tempatan tidak harus gentar untuk mengotorkan tangan dan membersihkan kota raya tersebut. "Masalah yang dihadapi sangat jelas. Kami hanya perlu menyelesaikannya dan melaksanakan polisi yang kami janjikan," kata Jokowi ketika ditemui di pejabatnya yang terdapat monitor dilekatkan di dinding untuk memaparkan keadaan lalu lintas bandar raya tersebut. Sejak dilantik menjawat jawatan berkenaan pada 15 Oktober 2012, beliau telah menyelesaikan beberapa masalah yang melanda Jakarta. Ini termasuklah mengawal pasaran tekstil terbesar di Asia Tenggara yang dikuasai oleh pihak tertentu dan memulakan projek pengangkutan awam. Di samping itu, beliau turut mencari jalan untuk memperbaiki sistem pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di sana. JOKOWI menjelajah ke seluruh Jakarta dengan menaiki van untuk memeriksa sama ada para pegawai kerajaan melakukan tugas mereka dengan baik atau tidak. Ironinya, perwatakan yang merendah diri dan berimej bersih menjadikan anak tukang kayu itu sangat berbeza dengan kebanyakan ahli politik yang ada di Indonesia. Berbanding Jokowi, mereka lebih cenderung menjadi taikun wang, bekas jeneral tentera seperti Presiden Susilo Bambang Yudhoyono atau mewarisi keturunan dinasti yang berharta. Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang dalam pemerintahan tiga dekad Suharto yang dipenuhi rasuah dan digulingkan pada tahun 1998. Mereka termasuklah Prabowo Subianto dan Aburizal Bakrie. Prabowo ialah bekas ketua pasukan khas Indonesia yang dituduh mencabul hak asasi di Timor Leste manakala Aburizal adalah seorang ahli perniagaan yang sering terlibat dalam pelbagai kontroversi. Menurut undian tersebut, mereka tidak tampil untuk merebut peluang dalam menghadapi fenomena 'Jokowimania' yang melanda negara itu. Tinjauan yang dilakukan oleh akhbar Kompas pada Mei dan Jun lalu menunjukkan Jokowi mampu memenangi pilihan raya presiden dengan undian sebanyak 32.5 peratus, meningkat daripada 17.7 peratus pada Disember. Sementara itu, pada tinjauan September lalu, Jokowi memperoleh sekurang-kurangnya 10 peratus mata lebih daripada pencabar terdekatnya. "Gelombang sokongan kepada Jokowi begitu kuat dan sukar untuk sesiapa menghalangnya daripada menjadi seorang presiden," ujar pakar politik dari Institut Sains Indonesia, Syamsuddin Haris. Parti Jokowi, Parti Demokratik Perjuangan Indonesia (PDI-P) masih belum mencalonkan beliau sebagai calon walaupun penganalisis mengatakan mereka tidak mahu berbuat demikian kerana masih terlalu awal sebelum pilihan raya pada Julai 2014. Dalam pada itu, ketika Jokowi mendapat banyak publisiti, terdapat petanda mengatakan usahanya untuk menyelesaikan banyak masalah yang melanda Jakarta akan berdepan dengan cabaran. Antaranya beliau menerima kritikan mengenai rancangan untuk memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan sekitar empangan di utara Jakarta dan masalah trafik di tengah-tengah bandar bertambah buruk sekali gus mengganggu projek pengangkutan awam. MASALAH kawasan setinggan yang dicemari sampah sarap mahu diselesaikan Jokowi. Malah, terdapat juga kebimbangan yang serius terhadap era pemerintahan berpotensi Jokowi dengan ketidakyakinan bahawa perjalanan sepanjang setahun menguruskan bandar yang didiami 10 juta penduduk itu mencukupi sebagai persediaan beliau. Tidak ketinggalan, untuk memenangi persaingan dengan ahli politik veteran yang berpengalaman luas dalam sebuah negara yang tinggi amalan rasuahnya sememangnya amat mencabar, kata sesetengah penganalisis di negara itu. Ada juga petanda mengatakan Jokowi sebenarnya tidak mahu menjadi presiden dan enggan meluangkan hari-harinya dengan dikelilingi oleh orang-orang berkuasa. Justeru, tidak hairanlah pada konsert Metallica di Jakarta bulan lalu, Widodo kelihatan tidak selesa apabila penganjur memisahkan pihak kaya dan berkuasa di tempat orang kenamaan. Sebaliknya beliau menekankan lebih selesa berada di tengah-tengah penonton. |
Posted: RuangMenara Janda BaikKAMPUNG Janda Baik yang terletak di Bentong, Pahang sebenarnya sarat dengan kehijauan hutan hujan tropika pada ketinggian 600 hingga 800 meter dari aras laut. Lagi... InfinitiPastikan sayur, buah selamat dimakanSEJAK kecil, kita sering diingatkan manfaat sayur-sayur hijau. Ia menjadi menu wajib seharian bagi memperoleh gizi yang seimbang dalam diet seseorang. Lagi... KesihatanBadan gemuk bukan disebabkan minuman susuSUSU mengandungi karbohidrat, protein, lemak, vitamin A, kalsium dan zat besi selain dapat menguatkan lagi daya tahan penyakit. Lagi... |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |