Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Keunikan corak berunsur motif etnik Posted: Keunikan corak berunsur motif etnikDUNIA batik kini semakin meluas di seluruh dunia dengan sajian pelbagai motif yang khas dan unik. Melengkapkan keunikan itu apabila batik yang dahulu hanya menghiasi kehidupan masyarakat desa, kini telah diterima pakai sebagai antara corak berkelas dunia. Hakikatnya, apabila berbicara soal batik ia secara tidak langsung membawa minda ke negeri Pantai Timur. Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu dan Kelantan adalah pelopor utama kepada batik di negara ini. Berbeza dengan Sabah, perkembangan batik di negeri ini mungkin agak asing. Ia lebih dikenali sebagai pengeluar barang kraf berasaskan laut dan rotan selain seni pembuatan peralatan muzik tradisional. "Setiap negeri ada keunikannya sendiri. Begitu juga Sabah yang mempunyai pelbagai motif corak dan ukiran lebih 30 suku kaum. "Bagi saya apa sahaja dari dasar laut sehingga ke langit di bumi Sabah ini sebenarnya merupakan motif dan kelainan yang patut ditonjolkan dalam memastikan identiti batik dari Sabah terus gemilang," demikian pendapat peribadi pemilik perusahaan Rothman Batik, Rothman A. Buntar. Berpengalaman selama 32 tahun, Rothman menjelaskan setiap corak dihasilkan oleh penggiat seni ini akan sentiasa berulang dalam beberapa tahun. Ujar beliau, kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak. "Sebab itu, elemen pelancongan seperti Orang Utan di Sepilok, pulau-pulau dan bencana ombak tsunami selain unsur paku-pakis merupakan trademark dalam setiap batik yang saya hasilkan. "Kemudian ia digarap dan disesuaikan dengan corak-corak unik Sabah sebagai nilai tambah berbanding batik dari negeri-negeri lain," tegasnya yang mempunyai koleksi 5,000 corak eksklusif sepanjang pembabitannya dalam seni batik. CORAK Linaubsilad antara corak dari kaum Murut di Sabah boleh diaplikasikan pada rekaan penghasilan batik sebagai identiti Sabah. Berkelana ke Pantai Timur Bapa kepada tujuh anak ini mengakui, penglibatannya dalam dunia batik sejak 1981 sebenarnya penuh berliku memandangkan dia tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik. Justeru dia belajar berdasarkan pengamatan dan kerajinan sendiri. Malah, beliau tanpa segan silu mengakui terpaksa membuat sijil dan surat perakuan palsu daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membolehkannya memahami selok-belok penghasilan batik secara mendalam. Tambah Rothman, semuanya bermula apabila permohonan untuk mempelajari seni tersebut ditolak mentah-mentah oleh beberapa perusahaan batik di Kelantan dan Terengganu yang merupakan lubuk kepada industri batik tanah air. "Minat terhadap batik ini mula timbul apabila saya yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik kereta di Greenwood, Gombak melihat keunikan batik di Pasar Seni. "Kemudian saya berkelana hingga ke dua negeri di Pantai Timur itu untuk memohon bekerja di sana tetapi ditolak. Tindakan itu menyebabkan saya membuat surat palsu dengan menyatakan bahawa saya merupakan pelajar di sebuah IPTA dan ingin melakukan praktikal," ulasnya yang mengagumi karya Khalid Shamsuddin Arshad. Selama tiga tahun mendalami teknik dan jenis-jenis batik seperti batik blok, canting dan skrin, akhirnya Rothman memberanikan diri membuka mulakan perniagaan nya sendiri. Rothman memberitahu, batik yang dihasilkan pada awalnya mendapat ulasan dan pandangan negatif ramai penggiat seni kerana lebih menekankan warna jingga berbanding unsur warna lain seperti biru, merah, kuning dan putih. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa warna pilihannya itu merupakan satu seni dan sesiapa sahaja ada hak untuk menentukan corak pilihan sendiri. Kombinasi warna Kepulangannya ke Sabah pada 1989 bagaikan satu rahmat kepada golongan belia apabila beliau memperluaskan ilmu yang diperoleh secara berterusan dengan percuma. Ini termasuklah kepada pekerja di hampir 18 buah resort dari Tuaran ke Weston, Beaufort. "Mula-mula, memang dapat cacian dan makian apabila ada pihak yang memerli dengan mengatakan batik ciptaan saya lebih sesuai dijadikan pelapik meja. "Ia mungkin disebabkan corak dan batik ciptaan saya tidak mempunyai sebarang konsep, namun mereka perlu tahu setiap batik yang saya hasilkan perlu ada elemen-elemen Sabah. "Hasil kajian dan penyelidikan saya sendiri mendapati masyarakat luar negara seperti di Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang datang ke sini bukan mahu melihat batik etnik sahaja, tetapi keseluruhan yang ada di Sabah diasimilasi di dalam corak tersebut," jelasnya. Rothman yang pernah memenangi Anugerah Emas pertandingan Myskills 2010 anjuran Jabatan Pembangunan Keusahawanan, Kementerian Sumber Manusia di Selangor memberitahu, aspek tona warna memainkan peranan penting selain bentuk corak itu sendiri seperti dilakukan oleh penggiat di Kelantan dan Terengganu yang lebih kepada flora dan fauna. "Apabila kita bermain dengan warna, ia dapat memastikan sesuatu baju atau kain batik dihasilkan sesuai dengan pemakainya. SETIAP pekerja akan memastikan batik yang dicanting dan diwarnakan bebas daripada sebarang kesilapan dalam aspek teknikal. "Cara bagi melihat dan menilai hasil batik dilakukan adalah mudah dengan melipat sehingga kecil kain batik yang diperagakan atau dijual peniaga bagi membolehkan kita melihat bahagian tepi dan kanan kain tersebut dari segi corak dihasilkan. "Ini kerana, bahagian tepi sesuatu kain batik adalah kawasan 'hot spot' setiap corak dihasilkan berbanding di bahagian tengah yang lebih banyak kosong," terangnya yang juga pengumpul barangan antik. Disanjung orang luar Berbeza dengan Rothman, seorang lagi penggiat seni batik di Sabah, Mustapa Laba Ibrahim, 50, cukup mengagumi keunikan batik dari negeri di bawah bayu ini. Beliau yang berasal dari Setiawan, Perak berkata, setiap corak dalam suku kaum di Sabah sebenarnya membawa maksud tersendiri seperti corak yang amat disukainya iaitu Nantuapan dari bangsa Murut. Beliau memberitahu Nantuapan membawa maksud pertemuan dan motif itu menggambarkan dua lelaki dan dua wanita yang sedang tidur dengan hanya satu bantal atau sedang minum tapai dari tajau secara serentak. "Begitu juga kaum lain seperti Bajau dari ukiran parang, Brunei melalui tudung saji serta Rungus dari ukiran pakaian dan kraftangannya yang berwarna-warni. "Antara warna yang lebih banyak ditonjolkan adalah biru dan kuning selain merah yang kemudiannya diadunkan menjadi lebih berkilat," katanya yang menerima purata tempahan sehingga 15,000 unit sebulan. Mustapa yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Hiasan Dalaman dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam itu, kini mengusahakan perniagaannya dengan nama Batik Sabah. SETIAP etnik di negeri Sabah mempunyai keistimewaan yang tersendiri mengikut sosio budaya dan daerah. Ujarnya lagi, penekanan dalam aspek warna terang juga merupakan identiti kerana kebanyakan masyarakat Sabah lebih menyukai warna terang. "Dahulu ramai yang bercakap-cakap dan membuat persepsi bahawa adakah seni batik terdapat di Sabah? Persoalan ini diajukan lantaran tidak ramai penggiat seni yang serius mengembangkannya. "Namun tidak dinafikan, lebih ramai peminat dan pengguna batik dari Semenanjung kini mencari kelainan dengan memiliki dan memakai batik Sabah dalam urusan harian sebagai kelainan daripada batik-batik yang ada di Semenanjung," jelasnya yang pernah menjual sepasang kain batik dengan harga lebih RM1,000. |
Southern Right bangunkan Hermanus Posted: Southern Right bangunkan HermanusSOUTHERN RIGHT antara spesies haiwan paling jarang ditemui. TERPINGGIR jauh dari dunia luar di hujung selatan kawasan berbatu Afrika, bandar Hermanus menjadi terkenal secara drastik sebagai pusat menonton ikan paus. Setelah Afrika Selatan keluar dari pengasingan aparteid sejak dua dekad lalu, seorang pakar zoologi, Mark Carwardine telah datang ke Hermanus. Dalam usahanya menjalankan penyelidikan tentang tempat-tempat terbaik menonton ikan paus, Carwardine sememangnya mengetahui bahawa ikan paus hidup di dalam lautan dingin di selatan perairan Atlantik. Beliau juga berpendapat kedatangannya di Hermanus adalah kerja gila dan merupakan keputusan yang paling tidak wajar. Bagaimanapun, ketika memandang ke luar jendela bilik sewanya, beliau ternampak aksi ikan paus Southern Right yang sedang bermain-main di permukaan laut. Carwardine telah menceritakan kekagumannya terhadap bandar Hermanus dalam bukunya berjudul Breach from the Bed dan menyifatkan pekan itu sebagai daratan meninjau ikan paus terbaik dunia. Gelaran itu kemudiannya telah diagungkan dan menjadi kebanggaan penduduk Hermanus sejak sekian lama. Pekan Hermanus telah diterokai dan ditubuhkan pada tahun 1800 oleh seorang pengembala, Hermanus Pieters. Namun, aktiviti menonton ikan paus hanya bermula pada lewat 1990-an. "Rasa ingin tahu orang ramai semakin meningkat hari ini," kata seorang bekas ahli perniagaan Ken Moore. Perayaan ikan paus Moore telah meninggalkan kerjayanya untuk menjadi pemberi panduan piagam ikan paus Southern Right selepas bandar itu menjadi terkenal. "Terdapat beberapa tempat yang bagus untuk menonton ikan paus seperti di Baja California, Mexico dan Argentina, tetapi kami telah membina infrastruktur yang hebat di sini," katanya. AKSI ikan paus Southern Right menarik perhatian ribuan pelancong. Cetacean kini merupakan nadi yang menghidupkan Hermanus dan ia turut dinamakan sebagai Whale Coast. Selain itu, pekan Cetacean mempunyai keunikannya tersendiri apabila penduduk menyambut perayaan ikan paus. Perayaan itu diraikan sebanyak dua kali setahun. Sambutan itu diraikan dengan sebuah kisah legenda tentang seorang gadis bernama Bientanga dari etnik Khoikhoi. Dia mampu berkomunikasi dengan ikan-ikan paus dengan mengeluarkan runut bunyi dan membawa haiwan mamalia itu ke kawasan pekan. Gadis itu juga didakwa merupakan satu-satunya 'penyeru paus' di dunia. Teruja Sejak penemuan Carwardine itu, kini ikan paus Southern Right berjaya menarik perhatian beribu-ribu pengunjung di Hermanus. "Saya sangat teruja kerana tidak menyangka ikan paus akan datang begitu dekat dengan kawasan pantai," kata seorang pelancong Austria yang datang melancong bersama teman lelakinya, Desiree Neubauer. Southern Right adalah antara spesies ikan paus yang jarang ditemui. Terdapat kira-kira 12,000 ekor spesies Southern Right berbanding sejumlah 100,000 ekor ikan paus Bryde yang terdapat di sepanjang pantai di Western Cape. Nama Southern Right diberikan oleh penangkap ikan paus yang berpendapat mereka mempunyai hak untuk menangkap spesies itu kerana jumlahnya yang banyak. Harga ikan paus sangat mahal kerana haiwan mamalia itu mengandungi minyak yang bernilai dan digunakan sebagai bahan asas barang solekan. Southern Right boleh membesar sehingga 15 meter dengan berat mencapai sehingga 50,000 kilogram. "Untuk meletakkannya dalam konteks semasa, ia bersamaan dengan berat 10 ekor gajah Afrika," kata Moore. Setiap bulan Jun beratus-ratus ekor ikan paus akan membuat perjalanan ke pinggir Antartika sehingga November untuk mengawan dan melahirkan anak. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |