Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Jubah medium dakwah secara halus Posted: Jubah medium dakwah secara halusOleh ALIF ABU BAKAR 'KITA adalah apa yang kita pakai.' Frasa tersebut merujuk kepada persepsi sekeliling terhadap seseorang berpandukan pemakaian dan gaya peribadi yang dibawa. Masyarakat mudah melabelkan individu tertentu terhadap sebentuk penampilan, ibarat satu pembelajaran menerusi penelitian rawak lantas dijadikan kesimpulan dan dipersetujui seisi dunia. Jenis pakaian yang menjadi pilihan itulah yang bakal mencerminkan karakter diri pada kaca mata luar. Dewasa ini, dunia dipenuhi rekaan pakaian yang tidak terperi indahnya. Industri fesyen pula mendominasi minda manusia yang sering dahagakan kecantikan dan kesempurnaan. Kita mengalu-alukan penyebaran dogma fesyen sebagai satu kemestian hidup masyarakat, meskipun garis panduan asas berpakaian kian menipis. Barangkali fesyen yang mengutamakan penutupan aurat yang ditekankan Islam dianggap kurang relevan dalam peradaban moden, terutama kepada Muslim liberal. Mereka bukan jahil, cuma leka dek propaganda gah jenama eksklusif yang mengaburi mata. Janji jenama sebegitu mudah, jika anda memiliki helaian pakaian label mewah mereka, hierarki anda dalam kelompok sosial akan dinaik taraf ke tahap lebih tinggi. Sedangkan mereka yang memilih pakaian bertentangan trend terkini, dijeling aneh bahkan ditempelak manja sebagai orang bercita rasa lapuk. Gambaran tersebut terbentuk sempurna terhadap jubah, sehelai pakaian tradisional yang pernah menjadi kebanggaan umat Islam dan masih diguna pakai secara harian di negara-negara Asia Barat. Kegemilangan jubah dalam kalangan golongan Adam pada zaman Rasulullah SAW bukan rahsia malah ia termasuk sebagai salah satu sunah baginda. Di Malaysia, penggayaan jubah oleh golongan lelaki bukanlah sesuatu yang baharu. Namun kekurangan masyarakat mengagungkan persalinan itu menenggelamkan populariti dan fungsi jubah secara keseluruhan. Kita sekadar berjubah ketika beribadat dan meraikan hari raya Aidilfitri atau Aidiladha. Luar daripada waktu itu, agak sukar melihat alunan jubah pada tubuh seorang jejaka. Bagaimanapun, generasi muda hari ini dilihat mula menghargai sunah tersebut. Dalam diam, jubah kembali memenangi hati golongan Adam di negara ini sebagai pakaian yang tinggi nilainya. PENAMBAHAN penutup kepala menyuntik jiwa muda kepada pada jubah trendy ini. Hidupkan sunah Al-Fitra antara nama baharu yang memainkan peranan dalam menyuntik fahaman moden terhadap jubah. "Setiap perniagaan mempunyai objektif berbeza. Bagi jubah Al-Fitra, kami mahu menghidupkan sunah Rasulullah yang semakin dilupakan," ujar Pengurus Al-Fitra Sdn. Bhd., Muhammad Fitri Hashim. Berpangkalan di Paris, Perancis, rangkaian jubah Al-Fitra yang direka khusus untuk lelaki memaparkan keunikan dan kesederhanaan gaya. Jubah trendy, klasik, elegan dan bisnes keluaran mereka diolah rapi menerusi penerapan rona-rona maskulin yang berjiwa kontemporari. "Kami mahu orang berbangga dengan sunah yang diangkat oleh junjungan besar, Nabi Muhammad. Sebagai Muslim, apa salahnya kita mengutamakan pakaian yang melambangkan pegangan kepercayaan kita tanpa dibatasi sebarang acara. "Majlis korporat atau mesyuarat contohnya, kita boleh menggantikan sut atau blazer kepada jubah berkolar Al-Fitra bisnes yang jelas mendukung nilai formal. Penerimaan masyarakat terhadap jubah ini amat meyakinkan khususnya dalam kumpulan lelaki pertengahan iaitu mereka yang bergelar eksekutif muda dan bekerja dalam sektor korporat. "Bagi remaja pula, kami sediakan jubah trendy yang direka khas berserta penutup kepala agar gaya tampak bergaya dan bersahaja. Potongan slim fit juga menjadikan jubah ini sesuai untuk lelaki muda urban. "Secara tidak langsung, fungsinya berevolusi daripada pakaian beribadat kepada persalinan yang dipakai ketika ke pusat beli-belah, lebih kasual dan memecahkan konotasi konservatif terhadap jubah," jelas Muhammad Fitri, 33, yang memberitahu setakat ini Malaysia hanya memasarkan jubah bisnes dan trendy. Tempoh dua tahun fasa penyelidikan dan pembangunan koleksi jubah Al-Fitra membuktikan kesungguhan jenama itu menghadirkan pakaian islamik moden yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan di negara yang berbeza. Sebelum dipasarkan, material jubah Al-Fitra diuji mengikut kesesuaian cuaca di benua Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara. Malaysia yang menjadi lokasi percubaan awal Al-Fitra. Al-Fitra kemudiannya mencipta jubah dengan fabrik yang seragam untuk setiap negara. Polister lembut menjadi fabrik utama dan digunakan sebanyak 70 peratus diikuti viskos, 25 peratus. Penyerapan material spandeks sebanyak lima peratus pada helaian jubah Al-Fitra menjadikannya cukup istimewa berbanding jubah sedia ada di pasaran. Kebolehan meregang di samping memberi keselesaan berpanjangan menjadikan jubah persalinan sempurna untuk digayakan secara harian. TAMPIL sederhana tetapi menarik dengan jubah berpotongan slim fit. Didik perilaku Bak kata umum, memilih pakaian biarlah bertepatan dengan waktu, tempat dan tujuan. Mungkin dalam diri setiap individu pernah terbit rasa apabila dalam persalinan yang melambangkan keagamaan, tingkah laku wajib dijaga. Begitu juga kepada lelaki Muslim. Ketika mereka berjubah, kecenderungan untuk menjaga tatasusila dan menampilkan akhlak terpuji sangat tinggi. Jubah menjadi kiasan keluhuran budi terbaik yang wajar dipraktikkan secara kerap. "Saya sendiri melalui keadaan sedemikian. Apabila berjubah, perangai kita pun secara automatik berubah. Kalau kita jenis orang yang suka ketawa berdekah-dekah, bila memakai jubah, kita akan berusaha mengawal tawa agar tidak keterlaluan. "Jubah banyak membantu seseorang menjaga kelakuan kerana seperti yang kita sedia maklum, fesyen merupakan impresi pertama terhadap seseorang. Jadi apabila individu itu mula membiasakan diri menjaga akhlak ketika berjubah, kefahaman mereka terhadap agama juga meningkat. "Jubah juga boleh memandu seseorang untuk berubah ke arah kebaikan dan menjadi medium dakwah secara halus," berhemah Muhammad Fitri membutir kata. |
Posted: Dres Muslimah potongan puteriOleh NIZHA PERIASWAMY STAILO minggu ini mengetengahkan beberapa dres koleksi terbaharu oleh EDZ.com.my bersempena kedatangan Hari Raya Aidiladha. Mengutamakan bentuk princess cut atau potongan puteri, iaitu potongan atas pinggang dan longgar tatkala dipakai, ia gaya yang diperkenalkan oleh EDZ.com.my untuk menampak si pemakai kelihatan tinggi dan ramping. Potongan bawah dres yang kembang dan beralun pula menambahkan keayuan dan ciri kesopanan ketika berjalan. Pemilik butik EDZ.com.my, Norasurah Abd. Wahab, 32, memperagakan koleksi terbaharu jenama EDZ menerusi modelnya, Aliaah Abdullah. Norasurah berkata, kesemua rekaan dres itu dilakukannya hasil perbincangan bersama kakitangan berdasarkan kehendak pelanggan. "Pakaian ini direka mengikut keperluan fesyen Muslimah yang sopan, namun tetap anggun bergaya. Kami berusaha memastikan rekaan yang dihasilkan adalah terbaik, sesuai dengan potongan badan dan imej pelanggan," katanya. Bercerita lanjut tentang koleksi jenama EDZ yang terbaharu, Norasurah memberitahu, rekaan yang dihasilkan disesuaikan dengan konsep sambutan Hari Raya Aidiladha seperti Pleated Dress Wana. Dres itu dihasilkan daripada kain berkualiti dan ditambah beberapa elemen tarikan seperti reben di belakang baju, tali pengikat dan butang hiasan. "Kami menambah elemen lisu di bahagian depan serta butang emas bercorak klasik supaya dres kelihatan lebih mewah dan bergaya," ujar Norasurah. Kebanyakan rekaan yang diperkenalkan jenama EDZ merupakan potongan dres yang cantik, bergaya dan bukan jubah yang berpotongan lurus. Warna dan corak juga dipilih bersesuaian dengan cita rasa penggemar fesyen moden. Pilihan warna EDZ biasanya menggunakan elemen warna lembut dan gabungan warna gelap dan berani sesuai untuk mereka yang mahukan kelainan. Walaupun menggunakan material yang berkualiti, perincian jahitan tangan dan aksesori yang bermutu, koleksi dres Norasurah masih dijual pada kadar harga berpatutan, iaitu daripada RM149 (dres Reiza) hingga RM315 (dres Wana). Mengimbau kembali penubuhan EDZ, ia bermula pada Julai 2008 yang dibuat di rumah secara dalam talian oleh Norasurah sendiri. Namun, respons yang baik daripada para pelanggan memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka butik di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor. "Pada awalnya, saya melakukannya secara dalam talian kerana ia tidak memerlukan kos yang besar. "Pada tahun 2007, trend membeli-belah dalam talian mula popular dan ia menjadi salah satu sebab saya memulakan bisnes dalam talian. Memasarkan fesyen pakaian dalam talian juga senang dan menjimatkan kos," katanya mengimbas detik permulaan bisnes EDZ.com.my. Bagaimanapun, perniagaan tersebut tidak semudah yang dijangkakan kerana Norasurah tetap menghadapi cabaran terutama ketika melakukan jualan. Namun, berkat kesabaran dan berusaha gigih membuat promosi selama sebulan, akhirnya jenama EDZ mula diterima pelanggan. |
Perbaharui sel kulit waktu malam Posted: Perbaharui sel kulit waktu malamOleh ALIF ABU BAKAR OVERNIGHT Treatment daripada L'oreal Paris membantu proses pembaharuan sel kulit dan mencerahkan wajah pada waktu malam. KULIT manusia dicipta untuk pelbagai fungsi. Ia bertujuan sebagai sistem pertahanan mencegah jangkitan bakteria ke dalam badan. Ia juga melindungi tubuh yang terdedah kepada bahang cuaca panas atau sejuk di luar tampungan badan. Kepelbagaian peranan kulit yang merupakan lapisan luar tubuh manusia secara tidak langsung menjadikannya organ yang paling kerap menerima tekanan dan risiko tinggi terdedah kepada kerosakan. Jika tidak dijaga dengan cermat, kulit seseorang khususnya wajah diserang bermacam-macam masalah. "Secara amnya, kulit merupakan refleksi kepada kesihatan asas seseorang. Sekiranya kulitnya bersih, cantik dan segar, kita tahu individu itu sihat tubuh badannya dan begitu juga sebaliknya. "Apabila melibatkan penjagaan kulit terutama wajah, masalah yang sering dihadapi orang ialah pigmentasi, kusam dan beransur-ansur gelap. Kebiasaannya ia didorong faktor pertambahan usia dan pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari. "Keanjalan kulit wajah juga merosot. Kira-kira 90 peratus lelaki berusia 25 tahun dan 70 peratus wanita berumur 30 tahun ke atas mengalami masalah ini," jelas Pakar Dermatologi, Dr. Steven Chow yang juga Pengerusi Yayasan Kulit Asia, Akademi Dermatologi dan Venereologi Asia pada majlis pelancaran produk baharu L'oreal Paris, White Perfect Overnight Laser Turn-Around Overnight Treatment. Pendedahan berterusan kulit wajah terhadap kesemua masalah tersebut telah melahirkan rantaian prosedur kecantikan yang menelan perbelanjaan agak tinggi. Antaranya, rawatan denyutan lampu impuls atau Intense Pulse Light (IPL) yang efektif bagi menyelesaikan masalah pigmentasi sekali gus mencerah dan merawat kulit wajah. PERBEZAAN wajah selepas rawatan denyutan lampu impuls. - Gambar hiasan Selain prosedur kecantikan sedemikian, penawaran produk kecantikan yang bertujuan menyelesaikan masalah kulit wajah juga semakin berkembang. Pencerahan kulit Paling menarik, apabila setiap jenama cuba menyaingi antara satu sama lain dengan menjalankan penyelidikan dan ujian klinikal ke atas produk baharu yang dikeluarkan. Antara penemuan baharu yang kini diguna pakai kebanyakan label kecantikan ialah rawatan kulit wajah khusus pada waktu malam. Percaya atau tidak, proses pemulihan kulit berlaku lebih pantas dan berkesan pada waktu malam berbanding siang. "Berdasarkan penemuan ini, L'oreal Paris menambah item baharu dalam rangkaian produk L'oreal Paris White Perfect Laser iaitu White Perfect Laser Turn-Around Overnight Treatment. "Produk inovatif ini bertindak ketika anda tidur pada waktu malam bagi mencerah dan memperbaharui sel kulit serta memberikan anda wajah yang lebih berseri pada waktu pagi. "Keberkesanannya hampir menyamai prosedur IPL dan ia lebih terarah kepada peningkatan pencerahan kulit," ujar Pengarah Pemasaran L'oreal Paris, Goh Sa Ki. Overnight Treatment dihasilkan menerusi teknologi Pro-Vanish EX yang dirumus berdasarkan tiga bahan pencerahan aktif yang berkesan bagi mencerah dan memperbaharui sel kulit pada waktu malam. Bahan inovatif termasuk bio-peeling ex dan vitamin B3 saling bertindak memperbaiki dan menghalang penggelapan melanin serta memulihkan sel semula jadi kulit. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |