Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
- Ratu Cantik Dunia 'panggilan sebenar' Young
- Provokasi gaya metropolitan
- Ekspresi kecantikan bulu mata
Ratu Cantik Dunia 'panggilan sebenar' Young Posted: Ratu Cantik Dunia 'panggilan sebenar' YoungOleh NIZHA PERIASAMY PENDEDAHAN dalam dunia pengacaraan, lakonan dan peragaan menjadi tiket mudah bagi Ratu Cantik Dunia 2013, Megan Lynne Young memenangi anugerah kejelitaan berprestij itu. Pengalaman di hadapan kamera, kepetahan berbicara dan kelicikan berhadapan pelbagai situasi ternyata memberikan kelebihan bagi wanita berusia 23 tahun ini. Sungguhpun berhadapan kecaman golongan Muslim konservatif terhadap penganjuran pertandingan yang didakwa bertentangan dengan ajaran Islam dan terlalu mendedahkan, destinasi peranginan popular, Bali, Indonesia menjadi saksi penganugerahan ratu cantik pertama dari Filipina. Ia juga merupakan kali pertama peserta republik berkenaan mengungguli anugerah berusia 63 tahun yang turut disertai 126 peserta dari seluruh dunia. Mewarisi takhta yang pernah disandang Ratu Cantik Dunia 2012 dari China, Yu Wenxia, Young yang berjanji untuk menjadi 'Ratu Cantik Dunia terbaik' telah berjaya mengalahkan peserta dari Perancis, Marine Lorphelin dan Ghana, Carranzar Naa Okailey Shooter yang masing-masing memenangi tempat naib johan dan tempat ketiga pertandingan. Satu nama yang tidak asing di Filipina, khususnya kepada penggemar filem dan rancangan televisyen, perwatakan dan imej wanita ini sudahpun lekat di hati rakyat negara itu. Malah, penyertaannya dalam pertandingan itu telah meningkatkan keyakinan rakyat Filipina yang sememangnya menaruh harapan tinggi agar wakil negara itu dapat dimahkotakan gelaran ratu pertandingan global berkenaan. Paling hampir wakil Filipina menjuarai pertandingan itu sebelum ini adalah melalui Gwendoline Ruais dan Evangeline Pascual yang masing-masing meraih gelaran naib juara pada pertandingan yang dianjurkan pada tahun 2011 dan 1973. Selain itu, Queenierich Rehman berjaya menduduki tangga 15 peserta terbaik pada edisi pertandingan itu pada tahun 2012, sama seperti Carlene Aguilar (2005) dan Ruffa Gutierrez yang dinobatkan pemenang tempat ketiga (1993). Penyertaan Young dalam acara Ratu Cantik Dunia ini dilihat sebagai 'panggilan sebenar' untuk membuktikan siapa dirinya di arena antarabangsa. Ternyata, pada 28 September lalu, apabila namanya dilaungkan sebagai pemenang sekali gus membawa gelaran wanita paling cantik dunia untuk tahun 2013, Young hanya tersenyum lebar sambil memaparkan diri yang tenang dan terkawal. Katanya di hadapan penonton pertandingan itu tanda berterima kasih atas pemilihannya sebagai pemenang:, "Saya akan kekal seperti diri saya dalam segala perkara yang dilakukan, berkongsi apa yang saya ketahui dan mendidik orang ramai." YOUNG (tengah) mengetepikan dua pencabar terdekatnya iaitu Lorphelin dari Perancis dan Okailey Shooter dari Ghana, masing-masing mengisi tempat naib juara dan ketiga. Latar belakang Young dilahirkan pada 27 Februari 1990 di Alexandria, Virginia, Amerika dan menetap di sana sehingga mencapai usia 10 tahun. Selepas itu, wanita yang berdarah kacukan Amerika-Filipina ini kembali ke republik berkenaan dan berkecimpung dalam dunia seni hiburan seawal usia 15 tahun. Dia terlibat dalam pelbagai program hiburan sama ada sebagai pengacara, pelakon dan peserta program realiti, di samping aktif dalam bidang peragaan. Young pernah melafazkan cita-citanya untuk bertugas di belakang tabir selepas benar-benar mahir dalam bidang pengarahan. "Saya mahu menjadi pengarah. Hanya selepas saya dapat belajar segala selok-belok dunia pengarahan dan dianggap layak," katanya yang kini menuntut jurusan Pembikinan Filem Digital di Kolej De La Salle di Saint Benilde. Penglibatan jelitawan bermata perang yang setinggi 1.7 meter menerusi rancangan pencarian bakat realiti, StarStruck, telah berjaya melonjakkan namanya dalam arena hiburan tempatan. Walaubagaimanapun, dia tidak mendapat peluang yang baik untuk menonjolkan imej dirinya dalam bidang lakonan. Selepas dua tahun bersama Pusat Artis GMA, dia mengambil keputusan berpindah ke ABS-CBN, stesen televisyen pesaing GMA. Di sana, dia muncul dalam pelbagai rancangan dan menempa nama menerusi watak Shane dalam siri sains fiksyen Kokey. Dia juga dikenali secara meluas selepas tampil dalam rancangan realiti Pinoy Big Brother: Edisi Selebriti 2. Tidak ketinggalan, beberapa rancangan lain yang menggunakan khidmatnya sebagai pengacara seperti Channel [V] Philippines dan berlakon dalam siri televisyen seperti Hiyas, Never Say Goodbye dan Misibis Bay serta filem The Reunion. Penampilan pertandingan Kemunculan wanita serba berbakat di hadapan kamera ini seakan-akan sudah diduga akan mengukir imej dan personaliti tersendiri di pentas peragaan Ratu Cantik Dunia 2013. Memakai sehelai gaun berwarna merah jambu lembut yang direka khas memberi nilai tambah kepada personaliti Megan. Tenunan penuh ketelitian dan kesempurnaan bertatahkan kristal itu adalah hasil rekaan pereka fesyen antarabangsa dari Filipina, Francis Libiran.
Dres potongan ikan duyung menggunakan material tulle dengan tampalan batu jemeki itu juga merupakan antara gaun petang yang mendapat perhatian sebagai rekaan terbaik. Sepasang anting-anting berlian yang sederhana besar menjadi pelengkap penampilan yang ringkas tetapi penuh elegan itu. Tarikan Young terhadap barisan juri profesional tidak terhenti pada penampilan fizikal, tetapi juga dari segi pekertinya apabila memberikan jawapan bernas dalam sesi soal jawab acara kemuncak pertandingan itu, yang mana kesemua enam finalis ditanya: "Mengapa anda harus menjadi Ratu Cantik Dunia?" Mengetengahkan nilai-nilai teras seorang ratu cantik dan bagaimana beliau berharap ia dapat membantu masyarakat, Young menjawab : "Saya sangat menghargai nilai kemanusiaan dan bagaimana ia memimpin manusia untuk bertindak. Saya akan menggunakan nilai ini sebagai contoh bagaimana manusia boleh memahami antara satu sama lain." "Apabila bersatu, kita dapat membantu masyarakat," ujarnya lagi. Selain pakaian yang diperagakan pada malam kemuncak ratu cantik, Young juga mengenakan rekaan pereka fesyen Indonesia, Puteri Ayu Mirah Suardhana, dalam pusingan Top Model. Gaun songket sutera Bali berbenang perak yang dilengkapi dengan perhiasan Bali ternyata memberikan tuah kepadanya apabila dinobatkan sebagai juara pusingan yang juga merupakan salah satu pengisian penting lain dalam pertandingan ratu cantik itu. Pengarah Nasional Ratu Cantik Filipina, Cory Quirino memberitahu, juri-juri ratu cantik dunia sememangnya mengagumi kecantikan unik yang dimiliki Young selepas pertama kali mereka melihatnya di Bali. "Mereka sangat kagum dan mahu mengenali lebih dekat tentang dirinya," katanya mengenai sifat menawan semula jadi pada Young. | ||
Posted: Provokasi gaya metropolitanOleh ALIF ABU BAKAR
ACARA Men's Fashion Runway 2013 yang berlangsung di Actor Studio, Lot10, Kuala Lumpur baru-baru ini seperti dilaksanakan tanpa perancangan rapi. Sebelum pertunjukan fesyen busana lelaki oleh lapan pereka tempatan dimulakan, keadaan di dalam ruangan acara itu hampir sepi gara-gara kekosongan tempat duduk yang sangat ketara. Ketika itulah tanggapan negatif terhadap kelancaran acara itu terbentuk dan hadirin mula mempersoalkan, adakah ia sebuah acara fesyen yang bagus? Lantas, apabila lampu dimalapkan membiarkan tumpuan difokuskan kepada pentas utama, ketidakselesaan penonton perlahan-lahan terlebur saat model-model jejaka menguasai pentas dalam persalinan rekaan Hazzerwan Hazley. Graduan Universiti Heriot-Watt, Edinburgh, United Kingdom itu bijak mengimbangi paduan rona asas hitam dan putih. Pinjaman ideologi Jepun dalam koleksinya tampak indah terutamanya apabila dia memilih untuk memaparkan motif-motif flora. Keterujaan hadirin untuk terus menyaksikan rekaan pereka seterusnya terbunuh apabila penganjur menyelitkan persembahan nyanyian pada setiap selang pertunjukan fesyen. Terus terang, acara yang sepatutnya menjadi medan pereka tempatan berkongsi karya kreatif mereka, terjejas teruk dek kesilapan susun atur cara yang meleret. Memikat mata Slot pertunjukan fesyen diteruskan dengan koleksi jenama lokal, Kitschen yang mempersembahkan rekaan bertemakan fesyen jalanan. Secara jujur, ia satu-satunya koleksi pakaian paling logik untuk digayakan masyarakat umum yang dipersembahkan pada malam itu. Bagaimanapun, kemeja batik tangan rona hitam putih di bawah koleksi Andy Sulaiman juga memikat mata. Bersahaja dan berjiwa fusion, sesuai untuk pencinta gaya etnik urban.
Hasil kerja Rizal Latif yang menonjolkan gaya bersut kasual kemudiannya mempesona hadirin. Rizal juga berjaya memancing penonton apabila menjadikan ikon fesyen lelaki tempatan, Wak Doyok sebagai muse utama. Sut butang berganda nada biru elektrik terletak sempurna pada tubuh Wak Doyok sekali gus memberi petanda bahawa Rizal ingin terus serius menghasilkan rekaan berkonsep sedemikian. Lari daripada nilai fungsional, signatur pencetus gelombang fesyen avant garde di Malaysia terlihat jelas pada koleksi musim luruh dan sejuk terkini daripada Joe Chia. Rentetan pakaian berona gelap pada malam itu mengekalkan nama Joe Chia dalam kelas eksklusif yang tersendiri. Koleksi musim bunga/panas 2013 William Liew kemudiannya mengambil alih. Sarat dengan motif flora, rekaan William mudah dihadam hadirin sebagai pakaian santai yang tidak keterlaluan. Elemen flora turut diaplikasikan pereka senior, Roslan Wilkinson. Ujarnya: "Trend musim bunga dan panas 2014 saya memaparkan kemeja cetakan tangan yang mengetengahkan cetakan blok batik warisan Malaysia. Ia merangkumi pakaian daripada warna lembut sehingga rona gelap dan nada tegas." Menutup pentas peragaan malam itu ialah koleksi pakaian resort cetusan Melvin Shah. Seleksi rekaan berani daripada material likra menggamatkan suasana acara terutama ketika supermodel lelaki negara, Wilson Tan melangkah penuh karisma dalam persalinan stailo yang sempurna digayakan sang jejaka ketika berlibur. | ||
Posted: Ekspresi kecantikan bulu mataBULU mata yang dijaga dan dirias dengan baik akan menyempurnakan kejelitaan wajah seorang wanita. SATU aspek yang mungkin kurang diberi perhatian dalam penjagaan kesihatan kecantikan ialah bulu mata. Berbicara mengenai kecantikan bulu mata, kita mempunyai opsyen sama ada untuk mengaplikasi maskara atau memakai bulu mata palsu. Penjagaan bulu mata amat penting supaya ia kekal memberi nilai kepada kecantikan mata secara menyeluruh walaupun pada hari tanpa solekan. Bulu mata yang panjang, tebal, lentik dan hitam pasti menjadi idaman setiap wanita. Bulu mata yang memenuhi kriteria itu, akan memberi kelainan dan menyerlahkan ekspresi, terutama sekali bersifat menggoda, manja dan penuh emosi. "Bulu mata memainkan peranan penting dalam melindungi mata daripada elemen luar," kata perunding klinikal College of Optometrists, London, Dr. Susan Blakeney. Bulu mata mampu bertahan selama tiga bulan sebelum gugur dan ia mengambil masa selama dua bulan atau lebih untuk tumbuh sempurna. Walaupun berlaku keguguran bulu mata, kita tetap memiliki jumlah bulu mata yang sama sepanjang hayat. Faktor keguguran Pertama sekali penggunaan kosmetik yang kerap dan tabiat kita sendiri yang menyebabkan keguguran bulu mata. "Sama seperti rambut, bulu mata gugur selepas tamat kitaran hidup mereka," jelas Blakeney. Faktor lain termasuk jangkitan dan kemeoterapi. Amalan menggosok mata, penggunaan maskara untuk tempoh lama dan maskara kalis air juga memudaratkan bulu mata. Ia boleh menyebabkan bulu mata kering dan mudah patah. Penjagaan Amalan diet sihat dan penjagaan kesihatan mata, asas untuk kesihatan penjagaan bulu mata. Namun, berikut disediakan beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menjaga bulu mata. n Gunakan pembersih mata yang mesra pada mata. Jangan gosok mata tetapi bersihkan dengan lembut. n Jangan tarik bulu mata anda, kerana akar bulu mata sangat sensitif. n Jika anda menggunakan pelentik bulu, pastikan anda tidak menarik bulu mata. n Jika anda mahu menggunakan sikat bulu mata maskara, pastikan ia dilakukan sementara bulu mata anda masih basah. n Jangan gunakan maskara atau krim mata yang sudah lama. Ia mungkin terdedah kepada bakteria yang boleh merosakkan bulu mata dan mata secara keseluruhan. MINYAK badam sesuai dijadikan perapi bagi melembut dan memperkuatkan bulu mata. Penggunaan perapi Sapukan jeli petroleum atau Vaseline pada bulu mata. Ia boleh berfungsi sebagai perapi dan melembut serta menampakkan bulu mata yang sempurna serta sihat. Anda juga boleh membeli perapi bulu mata yang kaya dengan protein seperti keratin atau biotin untuk melembut, memperkuat dan menghidrasi bulu mata. Perapi bulu mata juga membantu mengelak bulu mata putus. Kaedah lain untuk menghidrasi bulu mata ialah menggunakan minyak badam, minyak zaiton atau minyak jarak. Urut lembut bahagian bulu mata dengan minyak tersebut sebelum tidur. Ia akan menyerap masuk dan dalam beberapa hari sahaja, anda akan dapat lihat bezanya. Bulu mata palsu Lebih baik mengelak daripada menggunakan bulu mata palsu. Ini kerana penggunaan gam untuk bulu mata boleh mencederakan bulu mata sebenar anda. Apabila anda menarik keluar bulu mata palsu, bulu mata sebenar mungkin tercabut. Nutrisi diet Pakar diet bertauliah dari New York dan juga kolumnis kecantikan untuk Guardian, Carlene Thomas mendedahkan beberapa nutrisi diet banyak membantu penjagaan bulu mata. "Vitamin B, khususnya biotin menggalakkan pertumbuhan bulu mata. Kekurangan biotin pula memberi kesan yang sebaliknya." Cara mengambil nutrisi itu adalah memakan makanan yang kaya dengan biotin atau mengambil suplemen. Antara makanan yang kaya dengan biotin ialah yis, hati, kobis bunga, ikan salmon, pisang, lobak merah, kuning telur dan cendawan. - NIZHA PERIASWAMY |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |