Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Olahan tari tradisional
EKORAN sambutan dan respons menggalakkan sejak dilancarkan empat tahun lalu, Malam Gala Inspitari terus menjadi majlis wajib yang tercatat dalam kalendar acara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) setiap tahun. Inspitari merupakan gabungan dua perkataan iaitu inspirasi dan tari. Tema itu membawa konsep satu garapan daya cipta dan kreativiti yang ditampilkan dalam bentuk persembahan tari baharu berasaskan imej dan identiti negeri dan masyarakat Malaysia yang dipersembahkan oleh kumpulan kesenian JKKN. Menghidangkan seni tari asli yang memukau penonton, Majlis Malam Gala Inspitari 2013 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini mengetengahkan garapan 16 tarian tradisional dari setiap negeri. Peserta dari JKKN seluruh negara telah mengolah semula tarian tradisional yang diberi nafas baharu terutama aspek pola lantai, pergerakan dinamik, susunan lagu dan busana. Penglibatan peserta yang mantap dari kumpulan kesenian JKKN negeri dilihat mampu mewarnakan industri seni tari tradisional Malaysia ke arah lebih kontemporari. Penganjuran majlis tahun ini juga diserikan lagi dengan kehadiran delegasi dari Korea Selatan dan China. TARIAN bertajuk Joget Peran ini dibawa oleh JKKN Perlis. Karya baharu Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dalam ucapannya berkata, sehingga kini, kira-kira 64 karya baharu berjaya dicipta oleh 16 orang pereka tari dari JKKN seluruh negara. "Selain itu, seramai 260 orang artis kebudayaan JKKN dari seluruh negara telah terlibat dalam mencernakan karya tari pada tahun ini," ujarnya. Malam Gala Inspitari 2013 dimulakan dengan persembahan tarian Kemahang dari JKKN Pahang hasil olahan Mohd. Ash'ari Osman. Kemahang merupakan sejenis tumbuhan keladi dari genus Colocosia. Gerak tari dan pakaian penari jelas menceritakan mengenai sebuah kampung yang diberi nama Kemahang, bersempena kehadiran tumbuhan itu di merata kawasan kampung itu. Pereka tari tarian tradisional terkemuka tempatan, Sazlan Mat Adnan dari Sazlan Dance Group memberitahu, tiga persembahan dari kumpulan JKKN menepati tema karya dalam tarian tradisional. "Saya tertarik dengan gerak tari yang dibawa oleh JKKN Sabah, Sarawak dan Kedah kerana telah mempersembahkan keaslian tarian dari negeri masing-masing walaupun menyelitkan elemen kontemporari. "Tarian tradisional yang diolah semula merupakan satu idea baharu dalam industri seni tari tempatan. Ia mampu memberi impak kepada pereka tari muda untuk terus berkarya dalam menghasilkan seni tari yang lebih segar," ujarnya. Pujian Wakil dari JKKN Sabah yang mempersembahkan tarian Iluk Sumandak atau tarian Anak Dara daripada suku kaum Tidong daerah Tawau merupakan antara yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Selain itu, JKKN Sarawak yang mempersembahkan tarian Menyak yang menggunakan tikar dan tampi tepung sebagai peralatan menggambarkan kehidupan suku kaum Melanau yang hidup di pesisir pantai negeri Sarawak. Persembahan wakil dari Sarawak itu merupakan persembahan yang mendapat pujian ramai sepanjang dua hari majlis itu diadakan.
Dalam puluhan penonton yang hadir pada malam itu, kelihatan pelakon tanah air, Wan Sharmila Wan Mohamed yang turut menyaksikan persembahan tersebut. "Saya amat berbangga dengan persembahan tarian tradisional yang dipersembahkan pada Malam Gala Inspitari pada tahun ini. "Majlis ini merupakan platform terbaik untuk generasi muda mengenal tarian tradisional yang jarang diketengahkan di negara ini," ujarnya. Antara tarian tradisional yang telah diolah oleh JKKN seluruh negara ialah Joget Peran dari JKKN Perlis, Randai Gelombang Cindai (JKKN Negeri Sembilan), Joget Kasih LRT (JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Inderawati (JKKN Kelantan) dan Cupak Hanyut (JKKN Perak). Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut diberi peluang mempersembahkan tarian Joget Gamelan Sedarah. Selain itu, persembahan jemputan daripada Asthana Art Group dengan tarian Tarikattathom merupakan satu-satunya tarian tradisional masyarakat India dalam majlis itu. | ||
Posted: Kenangan Daphne dan 'Fabbuku'Oleh ADLAN JAAFAR DAPHNE (kiri) dan de La Giroday bersama-sama rangkaian produk P&G sempena majlis ulang tahun ke-175 tahun syarikat tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. RUTIN harian Daphne Iking bermula dengan menunaikan solat Subuh diikuti penyediaan sarapan pagi untuk suami dan dua orang anak perempuannya. Kemudian, rutinnya diteruskan dengan melakukan kerja-kerja mendobi. Daphne sangat menitikberatkan jenis dan warna pakaian dengan mengasingkannya terlebih dulu. Dia turut mengasingkan baju kanak-kanak dan dewasa. Kemudian, pakaian yang diasingkan itu dicuci dengan sabun yang berbeza. "Saya cuci pakaian saya sendiri. Malah ketika sedang bercuti saya tetap melakukan rutin ini," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan ulang tahun ke-175 tahun Procter and Gamble (P&G) di Ampang, Kuala Lumpur. Dalam sesi ala temu bual yang diadakan pada majlis tersebut, peragawati dan pelakon yang memiliki rambut cantik mengurai itu lantas bangun menunjukkan dres rona putih tidak berlengan yang dipakainya. "Sudah pasti ada dalam kalangan pengamal media di sini pernah melihat saya memakai dres ini di acara-acara lain. Namun, ia masih lagi cantik kerana dicuci dan dijaga dengan baik. "Tambahan pula, ini dres kegemaran saya," katanya sambil senyum. Akui selebriti itu, sikapnya yang begitu teliti terhadap kebersihan dan ketika mencuci baju akan memberi kesan kepada kehidupan seperti dapat menjimatkan wang. P&G merupakan pengeluar produk pengguna seperti jenama Fab, Febreze, Ambi Pur, Pampers, Duracell, Olay, Pantene dan Gillette. Saat Daphne melihat sabun Fab, dia terus teringatkan ahli keluarganya. Cerita ibu kepada dua orang anak itu, ibunya terlalu obses dengan sabun pencuci pakaian itu. "Ia benar-benar memberi kesan kerana ibu saya menggunakan Fab untuk mencuci hampir segala-galanya," ungkap Daphne. Bukan setakat pakaian tetapi pinggang mangkuk dan peralatan rumah lain turut dicuci menggunakan sabun itu. Ujarnya, sabun itu dikenali sebagai 'Fabbuku' kerana susunan ayat sebuku sabun Fab. Buku merupakan penjodoh bilangan bagi benda yang keras berbentuk segi empat. Sewaktu kanak-kanak, imbau Daphne, 'Fabbuku' berharga sekitar 50 sen sebuku berbanding RM1 hari ini. Selepas bertahun-tahun menetap di United Kingdom kerana mengikut ibu bapanya yang melanjutkan pengajian di sana, dia pulang ke Malaysia dan terus menetap di Tambunan, Sabah.
Beri impak Daripada seorang gadis yang boleh bertutur dengan loghat Inggeris, dia menetap dengan datuknya yang boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dan nenek yang berloghat dusun. Keadaan ini terus menghidupkan jati diri Sabah dalam dirinya. Selain boleh bertutur dengan telor Sabah, Daphne juga dapat memerhati betapa 'Fabbuku' memberi impak kepada keluarganya. Kenangnya, datuk dan neneknya kerap kali bergaduh tetapi apabila sampai saat menggunakan 'Fabbuku', sudah pasti mereka berdua menjadi mesra. Situasi tersebut dengan emaknya yang begitu obses dengan sabun itu menyebabkan kenangan Daphne dengan sabun Fab begitu utuh. "Setiap tahun, P&G melalui proses inovasi dan produk keluaran kami telah mengubah kehidupan lebih 4.6 bilion penduduk Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif, P&G Malaysia dan Singapura, Nicolas de La Giroday dalam ucapannya. Percaya atau tidak, kehidupan kita bermula dengan rutin-rutin harian biasa yang dimiliki oleh semua orang seperti memberus gigi, bercukur, mencuci pakaian dan membersih pinggan mangkuk. Sudah pasti ia akan memberikan kesan kepada kehidupan seseorang itu. Bayangkan jika tiada rutin sebegitu, sudah pasti individu itu mempunyai penampilan yang serabai dan tidak terurus. "Di P&G, kesedaran mengenai hal ini dijadikan motivasi besar bagi kami untuk sentiasa mencipta produk-produk terbaik untuk pengguna," ujar de La Giroday lagi. Sempena sambutan ke-175 penubuhan P&G oleh William Procter dan James Gamble di Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat pada tahun 1837, P&G (M) Sdn. Bhd. meraikan tema The Everyday Effecs. "Sambutan The Everyday Effects adalah bagi mengingatkan ahli keluarga untuk lebih menghargai setiap momen dan kesannya kepada kehidupan kita," jelas de La Giroday. Kedua-dua perintis P&G itu merupakan pembuat lilin dan sabun yang memulakan sebuah perniagaan secara kecil-kecilan yang kemudiannya menjadi sebuah syarikat multinasional terkemuka yang memberi kesan signifikan kepada pengguna. P&G mula memasuki pasaran Singapura, Indonesia, Malaysia dan Hong Kong pada tahun 1987. P&G mempunyai dua bahagian produk iaitu penjagaan isi rumah dan kecantikan serta hias diri. | ||
Posted: Sambut Halloween di WWSAWWSA sesuai untuk seisi keluarga bersantai. KEPADA warga Lembah Klang dan Shah Alam yang tiada sebarang perancangan pada 25 dan 26 Oktober ini, apa kata ambil sedikit masa ke Wet World Water Park Shah Alam (WWSA), Selangor. Pada kedua-dua hari tersebut, WWSA mengadakan aktiviti yang bertema Scary Night atau Dunia Seram sempena Hari Halloween yang disambut pada bulan Oktober. Semua tarikan yang terdapat di WWSA seperti permainan luncur air terbaharu, Super Hurricane, Monsoon Buster Adventure dan Thunder River bakal dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam pada tarikh tersebut. Pelbagai acara hiburan disediakan termasuk permainan iTrick or Treat selain hadiah menarik menanti para pengunjung yang mengenakan kostum Halloween. Rumah hantu Lebih menarik, elemen-elemen seram seperti dekorasi, aktiviti dan pencahayaan turut dibuat sekali gus menaikkan mood sambutan itu. Kepada mereka yang mahu menguji tahap keberanian, bolehlah mencuba aktiviti rumah hantu yang dikendalikan oleh Genting's Haunted Adventure. GELONGSOR air antara tarikan permainan di WWSA. Genting's Haunted Adventure merupakan tarikan paling seram di Genting Highlands, Pahang. Ia menawarkan pengembaraan selama 10 minit dengan para pengunjung akan dihantui beraneka bunyi aneh, makhluk-makhluk seram dan elemen-elemen kejutan yang pasti menyentak dada. Selepas permainan air ditutup pada pukul 8 malam, acara persembahan artis akan bermula. Pengacara majlis pada kedua-dua hari itu ialah Kumpulan Kecik daripada rancangan hiburan lawak terkenal, Raja Lawak 4. Turut memeriahkan acara ialah persembahan Lan Kristal, Rozita Izlyn, Lena (AF4) dan Yazid (AF7). Wet World Water Park merupakan rangkaian taman tema air terbesar di Malaysia dan berada di beberapa lokasi seperti Shah Alam, Selangor; Pedas, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |