Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Bekalan lembu, kerbau untuk korban di Kelantan mencukupi - JPV
- Unsur agama dalam kempen keselamatan jalan raya
- Haji: Pergerakan jemaah ke Arafah bermula
Bekalan lembu, kerbau untuk korban di Kelantan mencukupi - JPV Posted: 13 Oct 2013 02:50 AM PDT Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN KOTA BHARU 13 Okt. - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan memberi jaminan bekalan lembu dan kerbau untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha ini mencukupi meskipun jumlah permintaan dijangka meningkat sebanyak 10 peratus daripada kadar biasa. Pengarahnya, Dr. Azri Adzhar berkata, sebarang kekurangan bekalan haiwan ternakan itu akan ditampung oleh hasil import yang mudah diperolehi dari negara Thailand dan Australia pada harga yang sangat berpatutan. Jelas beliau, sebanyak 10,870 ekor lembu dan kerbau dijangka disembelih di seluruh Kelantan untuk tujuan ibadah korban dengan 8,153 daripadanya adalah yang diimport dari kedua-dua negara terbabit. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak risau sebaliknya mereka perlu memastikan setiap haiwan yang akan dikorbankan nanti selamat untuk dimakan dan tidak membawa sebarang penyakit. "Orang awam yang berhajat melakukan ibadah korban dinasihati supaya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa iaitu ternakan yang hendak dikorbankan mestilah diketahui status kesihatannya dan telah mendapat perlindungan vaksin pelalian penyakit kuku dan mulut. "Orang ramai juga diminta supaya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ternakan mereka atau ternakan jiran mereka menunjukkan tanda-tanda dijangkiti penyakit," katanya pada satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
Unsur agama dalam kempen keselamatan jalan raya Posted: 13 Oct 2013 01:01 AM PDT KUALA LUMPUR 13 Okt. - Kempen keselamatan jalan raya sempena musim Hari Raya Haji tahun ini akan mengambil pendekatan keagamaan dalam menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke kampung menyambut perayaan itu. Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kuala Lumpur, Muhammad Heeza Hassan berkata, konsep itu diperkenalkan buat pertama kalinya melalui kerjasama JKJR dengan Persekutuan Pertubuhan Agama Tao dan 'Islamic Information and Services Foundation (IIS)'. "Melalui kerjasama ini, kami akan edarkan risalah mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan dan pematuhan undang-undang melalui perspektif Islam dan Tao," katanya kepada pemberita sebelum memulakan kempen itu di plaza tol Sungai Besi, Ahad. Beliau berkata, dari Januari hingga September tahun ini, lebuh raya dan jalan-jalan di Kuala Lumpur mencatat 47,538 kemalangan yang menyebabkan 181 kematian. Paling ramai melibatkan pengguna motosikal iaitu 115 kematian, kereta 31, pejalan kaki 21 orang, penunggang basikal (dua kematian), bas (satu kematian), lori (empat kematian), van (dua kematian), pacuan empat roda (dua kematian) dan lain-lain kenderaan (tiga kematian). - BERNAMA |
Haji: Pergerakan jemaah ke Arafah bermula Posted: 13 Oct 2013 12:39 AM PDT MEKAH 13 Okt. -- Jutaan jemaah haji mula bergerak ke Padang Arafah pada Ahad menjelang hari wukuf Isnin. Bagi pergerakan jemaah haji Malaysia yang diketuai Ketua Rombongan Haji Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula diatur secara berperingkat bermula 11 pagi waktu tempatan sehingga Ahad malam, dengan menaiki bas. Mengiringi para jemaah Malaysia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail. Wukuf merupakan salah satu rukun haji yang perlu dilaksanakan bermula pada 9 Zulhijjah dan jemaah mesti melaksanakannya dengan berada di Arafah walaupun hanya untuk seketika. Bagi jemaah haji yang sakit, pasukan perubatan TH membawa mereka ke Arafah menggunakan ambulans. Selepas waktu maghrib di Arafah, jemaah akan dibawa bermabit (bermalam) di Muzdalifah yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Arafah. Di situ, jemaah akan mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah di Mina pada keesokan harinya. Menurut Syed Saleh, TH berharap dapat membawa semua jemaah Malaysia ke Muzdalifah selewat-lewatnya pukul 11 malam bagi membolehkan mereka berehat sebelum bertolak ke Mina. Ketika melaksanakan wajib haji melontar jamrah, jemaah Malaysia lazimnya berbuat demikian pada sebelah malam kerana pada waktu itu kawasan jamrat kurang sesak, katanya. Beliau berkata selesai melontar, bermabit dan bertahlul (memotong rambut) di Mina, mereka akan kembali ke Mekah untuk melakukan tawaf rukun diikuti bersaie (berulang alik) antara Bukit Safa dan Marwah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |