Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Malaysia-Vietnam kerjasama permudah perdagangan, pelaburan - TPM
- Keluarga Angelin ke Laos, tunggu mayat ditemui
- GST mungkin tidak dilaksana pada Bajet 2014 - Ahmad
Malaysia-Vietnam kerjasama permudah perdagangan, pelaburan - TPM Posted: 18 Oct 2013 01:17 AM PDT HANOI 18 Okt. - Malaysia dan Vietnam perlu bekerjasama untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau mencadangkan kedua-dua negara menggunakan dengan strategik Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Vietnam yang bukan sahaja menangani halangan semasa untuk berdagang tetapi juga memainkan peranan proaktif dalam mengenal pasti bahagian strategik untuk bekerjasama. Bercakap pada mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri, di sini, hari ini, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu juga harus menggalakkan kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama perindustrian dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global di Asia, terutamanya antara Asean dan rakan-rakan perjanjian perdagangan bebasnya (FTA). Beliau juga berkata komuniti perniagaan kedua-dua negara harus bekerjasama dalam perkongsian strategik kerana ini akan menjadikan rantau Asean lebih dinamik. "Hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam turut disokong oleh komitmen dalam ASEAN yang mana, dalam tempoh dua tahun akan datang, akan menjadi satu pasaran bersepadu tunggal dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN," kata beliau. - BERNAMA |
Keluarga Angelin ke Laos, tunggu mayat ditemui Posted: 18 Oct 2013 01:12 AM PDT GEORGE TOWN 18 Okt. - Keluarga Angelin Teh yang disahkan maut dalam nahas pesawat di selatan Laos kelmarin, akan terbang ke negara itu lewat hari ini bagi urusan pengecaman dan membawa balik mayat. Jurucakap keluarga yang enggan namanya disiarkan, berkata mereka akan berada di Laos sehingga mayat Angelin dan suaminya Joel Babcock ditemui untuk dibawa pulang ke Pulau Pinang. "Kami dalam keadaan sedih dan saya mewakili keluarga Angelin tidak ada apa-apa untuk dikatakan kerana sehingga kini mayat beliau dan suami masih belum ditemui," kata wanita itu yang mengaku ibu saudara Angelin, ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini. Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan Angelin satu-satunya rakyat Malaysia yang terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, selatan Laos dua hari lepas. Angelin, 24, dan suaminya yang berkerakyatan Amerika Syarikat, dalam perjalanan dari Vientiane ke Pakse apabila pesawat itu terhempas ke dalam Sungai Mekong ketika cuaca buruk. Pasangan itu antara 49 yang terkorban. Menurut jurucakap itu lagi, Angelin mengikut suaminya yang bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa Laos sejak tiga tahun lepas. Babcock sebelum ini mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa di sini, katanya menambah anak saudaranya itu kerap pulang ke Pulau Pinang terutama ketika sambutan tahun baharu Cina. "Beliau seorang yang baik dan kehilangannya sangat dirasai, ibunya juga masih terkejut dengan berita mengenai nahas pesawat itu," katanya. Sementara itu abang sulung mangsa, Adrian Teh, ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Gelugor, berkata mereka mengikuti perkembangan kejadian nahas pesawat itu menerusi media dan laman sesawang. - BERNAMA |
GST mungkin tidak dilaksana pada Bajet 2014 - Ahmad Posted: 17 Oct 2013 10:30 PM PDT KUALA LUMPUR 18 Okt. - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan membayangkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksanakan pada Bajet 2014. Ahmad berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan GST, namun masih belum memutuskan bila dan berapa kadar peratusan cukai yang akan dikenakan pada peringkat awal pelaksanaannya. "Bila nak dibuat, berapa peratus kita tak tahu, tapi sudah nyatakan dalam jawapan-jawapan rasmi bahawa kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran awal 'Mengumpul Dana Membina Madrasah Integrasi Islam Malaysia' di sini hari ini. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |