Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 08 Oct 2013 11:11 PM PDT Oleh SITI AISHAH YUSOFF Faradiana Pakhrururzi KECIL-kecil cili padi', sesuai sekali bagi menggambarkan karakter gadis kecil molek ini, Faradiana Pakhrururzi. Baru mencecah usia 20 tahun tetapi pengalaman dan pengetahuannya dalam dunia perniagaan sudah boleh dibanggakan. Bukan sekadar menguruskan restoran, Fakhru Cafe, milik keluarganya, malah dia juga telah memulakan perniagaan tudung secara online. Senang membahasakan diri sebagai Diana, dia mengakui segala pengalaman dan didikan keluarga menjadikan dia semakin sebati dan bertekad untuk bergelar seorang usahawan berjaya suatu hari nanti. "Saya sudah bulat hati memilih perniagaan sebagai kerjaya tetap, sebab itu sebagai langkah pertama saya tubuhkan perniagaan secara online. "Selain modalnya rendah kerana tidak perlu menyewa kedai dan sebagainya, saya lihat perniagaan ini menjadi trend sekarang dan cukup berdaya maju. "Malah sekarang ini sudah banyak contoh perniagaan secara online yang berjaya dan mencapai tahap antarabangsa," katanya panjang lebar. Diana mengakui, pilihan untuk berniaga pada usia awal juga didorong oleh keinginan untuk membuktikan bahawa untuk berjaya tidak semestinya memerlukan segulung ijazah. Memiliki adik-beradik yang rata-ratanya melanjutkan pengajian ke menara gading sedangkan dia memilih untuk ke dunia peniagaan kerana minat, sedikit sebanyak memberi cabaran padanya untuk membuktikan sesuatu . Berbekalkan kepercayaan bahawa tidak semua orang yang tidak memasuki universiti tidak boleh berjaya , Diana tidak berlengah menyusun arah tujunya. Malah, keyakinan dan kebolehan yang dimiliki menjadikan dirinya seorang remaja yang komited dan tidak takut berhadapan dengan cabaran dalam dunia perniagaan. Bercerita lanjut penglibatannya secara serius dalam dunia perniagaan, kata Diana, sejak usia 12 tahun lagi dia sudah didedahkan dengan dunia perniagaan. "Waktu itu ayah sering menyuruh saya menggantikan tempatnya mengendali restoran seorang diri dan memantau segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan di situ. "Tidak pernah mengelak setiap kali disuruh oleh ayah, malah walaupun masih kanak-kanak saya cuba menjalankan tugasan yang diberikan dengan baik sambil mendapat nasihat daripada keluarga. " Sehingga kini, segala urusan berkaitan pengurusan di restoran saya yang uruskan bersama seorang lagi kakak. Kadang-kadang sahaja ayah akan pantau kami. "Keluarga saya berasal dari Kelantan. Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan sendiri sama ada secara kecil-kecilan mahupun perniagaan yang besar. 'Darah perniagaan' mereka sedikit sebanyak turut mengalir dalam diri saya," kata Diana. Ditanya perasaan menggalas tugasan menjaga restoran walau masih di usia muda, Diana mengakui berasa seronok tambahan pula dia sendiri gemar melayan kerenah pelanggan yang berkunjung ke restoran. Ujar anak kelahiran Kajang Selangor ini, selain bekerja di restoran milik keluarganya, dalam masa yang sama beliau juga ditugaskan untuk menjaga butik pakaian milik keluarga sebelum butik tersebut terpaksa ditutup operasinya buat sementara waktu. "Saya memang minat berniaga. Tidak kisah apa jenis produk saya akan cuba jual kepada pelanggan. Selain mengawal urusan restoran dan butik, dalam masa yang sama saya menjalankan perniagaan jualan pakaian dan tudung secara kecilan dengan membuka gerai-gerai kecil di dalam Metro Kajang. "Pengalaman mengendalikan perniagaan di gerai-gerai kecil secara bersendirian sejak berusia 15 tahun menjadikan diri saya lebih berani dan yakin untuk bertemu dan berhubung dengan pelanggan. "Menjalankan perniagaan, kita akan berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggan. Namun, semua ini adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk diterokai," ujar Diana sambil tersenyum. Ditanya pandangan keluarganya apabila beliau mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam perniagaan, anak ketiga dari lima adik beradik ini mengakui ayah dan ibunya banyak memberi sokongan kepadanya. "Ayah dan ibu tidak kisah jika saya tidak menjejakkan kaki ke menara gading. Mereka percaya bahawa dengan berniaga juga seseorang itu boleh mencapai kejayaan. "Malahan mereka sentiasa menggalakkan anak-anak menceburkan diri dalam dunia perniagaan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Cina yang gemar berniaga dan menggalakkan anak-anak mereka turut serta dalam perniagaan," jelasnya. Ujar Diana lagi, ke arah memiliki perniagaan sendiri suatu hari nanti, beliau kini telah memulakan perniagaan secara atas talian. "Perniagaan secara atas talian bermula sejak bulan September lepas. Untuk permulaan, saya berniaga tudung dan selendang. "Tudung yang dijual adalah rekaan saya sendiri yang didatangkan dalam pelbagai saiz dan warna. Dalam masa terdekat ini juga, saya sedang mengusahakan untuk memiliki jenama sendiri iaitu selendang bydianafakhru," ujarnya. Selain meminati dunia perniagaan, Diana juga meminati bidang lakonan dan telah membintangi beberapa drama sebagai pelakon tambahan. "Saya tidak pernah menyangka akan melibatkan diri dalam dunia lakonan. Percubaan saya menghadiri satu uji bakat akhirnya berhasil. Namun, masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang pelakon yang bagus," jelasnya. Berminat mendapatkan koleksi tudung dari butik atas talian Diana layari facebook dianafakhru collection@yahoo.com atau dianafakhru.blogspot.com. |
Posted: 08 Oct 2013 11:11 PM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Rekaan dres hitam yang menarik dengan jahitan manik mutiara. REKAAN fesyen pakaian yang sopan, longgar dan moden adalah di antara yang dapat dilihat pada koleksi Butik Zuhaa. Digayakan sendiri oleh pemiliknya, Farhanah Fauzy, semua koleksi ini merupakan rekaan beliau sendiri yang mempunyai minat dan bakat dalam seni rekaan fesyen dan tudung. Walaupun sekadar rekaan yang ringkas namun potongan dan kombinasi warna menjadikan koleksi fesyen beliau amat digemari oleh golongan berusia 20 an hingga 40 an. Kadang-kadang rekaan yang sedang menjadi trend kini dipermodenkan semula bagi kesesuaian semua. Tiga jenis fabrik menjadi pilihan utama bagi rekaan Zuhaa, iaitu sutera satin, syifon dan krep. Mereka yang sukakan fabrik berkilat boleh memilih rekaan yang dibuat daripada sutera satin, syifon pula menjadikan pakaian nampak jatuh dengan cantik sementara krep untuk mereka yang sukakan kesederhanaan dan tidak mahu nampak berkilat. Mudah digayakan dan selesa dipakai di banyak tempat, koleksi ini diterima baik oleh wanita yang bertudung mahupun yang tidak. Bagi rekaan yang menggunakan fabrik yang bercorak dan menjadi pilihan wanita bertudung, mereka boleh memadankannya dengan koleksi tudung syifon, renda dan kain kapas yang turut disediakan di butik tersebut. Begitu juga dengan rekaan yang polos, cantik digayakan bersama selendang berukuran lebar yang boleh dipilih daripada pelbagai corak dan warna. Lebih banyak rekaan pakaian dan tudung dapat dilihat jika membuka Facebook Zuhaa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |