Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
NowSeeHeart bakal lancar single Posted: 04 Oct 2013 11:05 PM PDT KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kumpulan nasyid NowSeeHeart yang popular menerusi lagu Damai Yang Hilang suatu ketika dahulu bakal muncul dengan single terbaru mereka berjudul Fatwa Hati pada penghujung bulan ini. Salah seorang anggotanya, Mohd. Huzaimi Mohd. Zaini, 36, berkata, single yang bakal dilancarkan mereka tersebut merupakan single kedua untuk album keenam mereka selepas pelancaran single pertama Maafkan Aku pada bulan Jun lalu. "Kemunculan single kedua ini membuktikan kami masih aktif dan serius dalam industri muzik tanah air dan perjuangan dakwah menerusi medium nasyid ini masih merupakan matlamat utama kami," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini. Single Fatwa Hati tersebut menyaksikan kumpulan yang dianggotai empat ahli kini bergabung dengan seorang penyanyi muda berasal dari Terengganu, iaitu Fahd, atau nama sebenarnya Wan Mohd. Izuan Wan Omar, 24. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI BOLA sepak adalah sukan nombor satu dunia dan hampir setiap negara di dunia ini mempunyai pasukan kebangsaan tersendiri, yang membezakan hanyalah ranking dihuni pasukan kesayangan mereka. Sungguhpun bukan bermain secara profesional, pelakon dan ahli perniagaan, Syed Aiman atau nama sebenarnya Syed Kamaruzzaman Syed Mahmood tetap menjadikan sukan bola sepak sebagai aktiviti utama pada masa lapangnya. Jelas Syed yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi jelita Linda Rafar, 34, dia memilih sukan tersebut sebagai aktiviti masa lapangnya kerana ia menggabungkan pelbagai elemen berbeza menjadi satu. Saya memang amat meminati sukan bola sepak dan sejak daripada bangku sekolah lagi, saya sudah mewakili sekolah untuk sebarang pertandingan. Bola sepak menjadi aktiviti pilihan saya kerana ia menggabungkan elemen fizikal, kemahiran koordinasi dan juga kerja berpasukan. Jadi, boleh dikatakan bola sepak adalah sukan lelaki sejati," katanya ketika ditemui sebelum pertandingan antara Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) menentang Veteran Selangor di Shah Alam, baru-baru ini. Selain Syed Aiman, antara artis lain yang turut terlibat dalam pertandingan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 itu termasuklah Fahrin Ahmad, Tomok, Azrul Zaidi dan juga Kamal Adli. Jelas Syed Aiman lagi, bola sepak merupakan satu sukan yang banyak membantunya mengekalkan stamina dan tahap fizikal tubuhnya agar sentiasa berada pada tahap terbaik. Buat waktu ini saya banyak menghabiskan masa dengan kerjaya sebagai ahli perniagaan dan ketua keluarga, selain aktiviti lakonan lain. Jadi, peluang untuk terlibat dan bermain bola sepak ini bukan semata-mata aktiviti riadah tetapi ia juga membantu saya mengekalkan stamina agar tubuh sihat untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain," jelasnya yang kini berusia 37 tahun. Tambah Presiden MASC ini lagi, sungguhpun dia bermain di posisi pertahanan, tetapi ia tetap tidak menghalang dirinya untuk berusaha mendapatkan jaringan bagi membantu kemenangan pasukan kesayangannya itu. Jika ditanya kepada saya, pastinya kepuasan bermain bola sepak itu terhasil apabila kita berjaya menjaringkan gol. Namun dengan posisi sebagai pemain pertahanan, agak sukar buat diri saya. Tetapi jika ada peluang pastinya saya tidak akan teragak-agak untuk mencuba mendapatkan jaringan bagi membantu pasukan yang telah ditubuhkan sejak tahun 2011 ini lagi," katanya lanjut. Mahu kembali aktif berlakon Nama Syed Aiman pernah dikenali ramai suatu ketika dahulu. Namun setelah mendirikan rumah tangga bersama Linda, dia mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti lakonannya bagi memberikan tumpuan terhadap bidang perniagaan. Kini, setelah namanya semakin tenggelam dalam arus persada seni tanah air, dia tekad mahu kembali aktif dalam bidang yang pernah menjadi keutamaan buat dirinya suatu ketika dahulu. Beberapa tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada bidang perniagaan dan mengenepikan lakonan. Tetapi kini setelah perniagaan yang diusahakan semakin stabil, saya menyimpan hasrat untuk kembali mewarnai persada seni tanah air yang pernah menjadi keutamaan saya suatu ketika dahulu," jelasnya. Jelas Syed Aiman yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri sebanyak 26 episod iaitu Pulang Sayang, dia berasa rindu mahu kembali berlakon. Tidak dinafikan perasaan rindu tersebut memang ada, jadi sekiranya berpeluang, saya pasti mahu kembali beraksi di hadapan kamera bersama rakan-rakan artis lain. Sungguhpun saya berkata mahu kembali aktif, bukan bermaksud ia akan menjadi fokus utama saya kerana perniagaan akan kekal sebagai perkara utama. Karier lakonan ini diletakkan di tempat kedua kerana ia merupakan minat, selain turut membantu menambah pendapatan keluarga," jelasnya yang berlakon bersama Mustapha Kamal dan Memey Suhaiza. Tambah anak kelahiran Kelantan yang juga pernah menjadi pengacara untuk rancangan Wira Remaja ini lagi, populariti bukanlah perkara yang menjadi keutamaannya, apatah lagi pada usianya kini. Saya mahu kembali berlakon bukan untuk mengejar populariti kerana ia bukanlah keutamaan pada waktu ini, tetapi sebaliknya sekadar memeriahkan lagi industri hiburan tanah air. Jika populariti hadir, saya anggap itu sebagai satu bonus kerana saya kini berasa amat bersyukur dengan semua perkara yang saya miliki sama ada keluarga, perniagaan dan juga karier seni," jelasnya yang juga merupakan penyokong The Red Warrior. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |