Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Ternak lembu, burung walet
- 49 pelajar pendidikan khas sertai perkhemahan pengakap
- 100 ikuti sidang teknologi pengasingan
Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD ISMAIL Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan cek bernilai RM5,000 kepada wakil PPK Sri Medan, Misran Kadio (kanan) bagi kategori Anugerah Cemerlang Pemasaran BTS Tertinggi sambil diperhatikan oleh Saipolbahari Suib (kiri) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 2 Okt. - Kerajaan negeri menyambut baik cadangan membangunkan Pulau Pisang di sini sebagai kawasan agropelancongan dengan mengusahakan ternakan lembu dan sarang burung walet. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, usul Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) itu akan dibawa dalam mesyuarat mingguan Exco untuk dibincangkan. "Idea untuk bangunkan Pulau Pisang sebagai kawasan agropelancongan sesuatu yang baik kerana kita mahu pulau itu bukan hanya berfungsi dengan adanya Rumah Api, tetapi kita menggalakkan kunjungan ke sana. Dengan adanya sektor pelancongan, akan meningkatkan aktiviti ekonomi di pulau itu. "Perkara ini akan dibawa kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) untuk kelulusan kerana inisiatif PPNJ amat bagus serta memberi manfaatkan kepada ramai pihak. Dalam hal ini Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN) akan meneliti dan membuat kajian di pulau tersebut untuk mengetahui kesesuaiannya," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPNJ Ke-35 di sini kelmarin. Idea membangunkan Pulau Pisang itu disuarakan oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNJ, Datuk Saipolbahari Suib yang melihat pulau tersebut sebagai lokasi strategik untuk dibangunkan. Menurut beliau, PPNJ ingin mengusahakan pulau itu dengan ternakan lembu dan berdasarkan tinjauan pulau itu menjadi tempat persinggahan burung walet dan perlu dijadikan rumah burung sebagai industri nilai tambah kepada peladang. "Pembangunan ini juga bagi mengelak insiden Pulau Batu Putih berulang. Jadi, kita tidak mahu Pulau Pisang akan jadi milik orang lain jika tidak dibangunkan sekarang," katanya. Menurutnya, PPNJ berhasrat menjadikan Pulau Pisang kawasan ternakan lembu dan burung walet selain lokasi agropelancongan pada masa depan dengan nilai pelaburan permulaan dijangka RM4 juta. "Saya melihat pulau itu lokasi yang sesuai kerana kalau kita lepaskan ternakan di situ dan tidak perlu prasarana seperti pagar dan sebagainya. Kawasan persinggahan burung juga mampu menjadi pusat pelancongan. "Buat permulaan kita akan tempatkan sebanyak 1,000 ekor lembu dengan nilai RM3 juta dan membina tiga rumah burung dianggarkan RM1 juta," katanya. Pulau Pisang adalah sebuah pulau kecil yang terdapat di perairan negeri ini dan terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Benut, Pontian dan 12 kilometer dari Pontian Kechil serta menjadi laluan kapal di Selat Melaka. Di pulau itu terdapat sebuah rumah api yang dikawal selia Singapura berikutan perjanjian antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dan pihak Inggeris pada 1900. |
49 pelajar pendidikan khas sertai perkhemahan pengakap Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT LABIS 2 Okt. - Seramai 49 pelajar pendidikan khas yang menghadapi masalah pembelajaran didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan ikhtiar hidup dalam Perkhemahan Pengakap Pendidikan Khas Daerah Segamat 2013 di Taman Negara Johor Endau-Rompin Selai baru-baru ini. Pengelola program, Rosmah Yaacob berkata, perkhemahan tahunan selama dua hari itu disertai pelajar pendidikan khas dari sekolah rendah dan menengah. "Kami memilih hutan simpan ini kerana yakin alam semula jadi merupakan sebuah makmal hidup yang kaya dengan sumber ilmu dan boleh digabungjalinkan dengan amalan bagi memperkayakan pengalaman khususnya kepada pelajar pendidikan khas ini. "Saya yakin program ini mampu memupuk nilai-nilai murni bagi melahirkan individu yang sihat dari segi mental, rohani dan jasmani dalam usaha mewujudkan integrasi dalam masyarakat ke arah kesepaduan nasional," katanya selepas majlis penutupan program tersebut. Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri, Wan Asim Wan Sekh dan turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Segamat (Pendidikan Khas dan Pemulihan), Masnawi Shamsuddin dan Pegawai Taman Negara Johor Endau-Rompin Selai, Khairul Mat Janus. Rosmah berkata, selari dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar, kecemerlangan seseorang pelajar tidak seharusnya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, malah perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan yang mantap, berketerampilan dan berkebolehan menyesuaikan diri dalam era globalisasi. Menurutnya, peserta perkhemahan yang turut disertai 20 guru pengiring dari 38 sekolah itu turut didedahkan dengan cara ikhtiar hidup dalam hutan, aktiviti memberi makan ikan kelah dan menanam 1,000 batang pokok. Sementara itu, Wan Asim mengakui amat mengagumi semangat dan kegigihan yang ditunjukkan pelajar berkenaan sepanjang perkhemahan tersebut. "Menerusi perkhemahan seperti ini kita dapat mengubah mentaliti dan persepsi orang ramai terhadap kemampuan dan semangat yang tidak disangka-sangka yang ditunjukkan oleh anak-anak ini. "Walaupun mereka ini anak- anak istimewa dan bukannya pelajar normal, tetapi kesungguhan dan keazaman mereka menempuh perkhemahan ini mengatasi semangat pelajar normal dan saya yakin selepas ini mereka boleh mengurus diri dalam suasana dan keperluan yang tidak terbatas ini," katanya. |
100 ikuti sidang teknologi pengasingan Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT JOHOR BAHRU 2 Okt. - Seramai 100 peserta terdiri daripada ahli akademik dan wakil industri menyertai Persidangan Antarabangsa Teknologi Pengasingan 2013 selama tiga hari baru-baru ini. Persidangan anjuran Pusat Teknologi Lipid dan Kajian Gunaan (Clear) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu yang julung kali diadakan turut mendapat kerjasama Universiti Nagoya, Jepun. Pengarah Clear, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizi Che Yunus berkata, persidangan tersebut bertujuan mewujudkan platform kepada saintis, penyelidik, jurutera, penuntut dan pakar teknologi dari universiti di dunia untuk berkongsi pengalaman dan kajian mereka dalam teknologi pengasingan. "Kita harap persidangan ini boleh dijadikan wadah bagi semua yang terlibat berkongsi maklumat dan pandangan tentang pelbagai disiplin yang ada dalam teknologi pengasingan, sekali gus mewujudkan jaringan antara industri dan pihak universiti," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |