Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 15 Oct 2013 06:08 AM PDT Oleh NORAZLINA ISMAIL Dr. S. Saunthari (dua dari kiri) dan Aldila Isahak (kiri) pada majlis pelancaran kempen Count Us In di Kuala Lumpur, baru-baru ini. PERSATUAN Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melancarkan kempen Count Us In iaitu kempen kesedaran berkenaan penyakit kanser payu dara peringkat lanjut (advanced breast cancer atau ABC). Presiden NCSM, Dr. S. Saunthari berkata, ABC yang turut dikenali sebagai kanser payu dara peringkat III atau peringkat IV merujuk kepada keadaan kanser payu dara invasif yang sudah merebak. Katanya, kanser itu merebak daripada payu dara dan nodus limfa ke organ tubuh lain seperti paru-paru, kulit, tulang, hati dan otak. "Rawatan yang berkesan dan kebarangkalian untuk terus hidup dapat dijangkakan sekiranya penyakit itu dapat dikesan lebih awal. "Bagaimanapun, rawatan untuk pesakit payu dara peringkat awal tidak sama dengan pesakit ABC. Tujuan rawatan ABC lebih cenderung untuk mengawal dan melambatkan perkembangan penyakit tersebut," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Selain NCSM, kempen itu turut mendapat sokongan daripada Persatuan Onkologi Malaysia dan Novartis Corporation (Malaysia) Sdn.Bhd. Sementara itu, Setiausaha Persatuan Onkologi Malaysia, Dr. Martin Mellor pula memberitahu, kajian yang dijalankan mendapati enam hingga 10 peratus pesakit kanser payu dara di Malaysia disahkan pada peringkat IV apabila didiagnos kali pertama. "Sebanyak 20 hingga 30 peratus pesakit yang pada mulanya mempunyai kanser payudara peringkat awal akan menghidap ABC selepas itu. "Oleh itu melalui kempen ini pesakit dapat mempunyai maklumat lengkap tentang penyakit dan dapat memahami bentuk rawatan yang sesuai," katanya. Pada majlis itu juga, pesakit ABC, Aldila Isahak turut diberi peluang berkongsi pengalamannya selepas disahkan menghidap ABC. Dia yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, pesakit ABC harus tabah menjalani kehidupan harian dan sentiasa bersikap positif untuk kembali sembuh. "Pada waktu inilah seseorang pesakit perlu menjadi kuat dan tidak boleh lemah kerana jika anda sudah berputus asa, sel kanser akan merebak dengan lebih cepat. "Sebab itu, selain kekuatan diri, ahli keluarga dan orang sekeliling juga perlu memainkan peranan supaya pesakit ABC menjadi bertambah yakin dan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan mereka," katanya. |
Posted: 15 Oct 2013 06:08 AM PDT MEGA, bersempena Hari Raya Aidiladha bertemu keluarga Mohd. Yazid Ismail, 29, dan isterinya, Widyana Md. Ali, 27, yang masing-masing berkorban demi ibadah dan amanah menjaga anak kembar mereka. Pasangan ini turut dikurniakan anak sulung, Bashir, 5. Bagi memaksimumkan pendapatan keluarga, Mohd. Yazid yang berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, dia melakukan dua pekerjaan pada satu masa. Pada waktu siang, dia menjadi perunding unit amanah manakala di sebelah malam pula dia menjadi guru Bahasa Arab dan al-Quran di masjid, di Puchong dan Bangi, Selangor. Begitupun, dia mengambil keputusan untuk berhenti mengajar akibat peristiwa di satu malam apabila isterinya menghantar satu khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu dia tidak sempat solat Maghrib. Dalam SMS itu isterinya, Widyana melahirkan rasa sedih kerana sudah beberapa kali tidak sempat solat Maghrib. Saya terfikir sejenak, seorang suami sepatutnya menjaga ibadah isteri. Kerja memang perlu tapi saya perlu lakukan sesuatu demi ibadah isteri. Ketika itu anak kembar kami berusia lapan bulan dan mereka minum sedikit susu ibu di taska (taman asuhan kanak-kanak) dan masing-masing menunggu ibunya pulang dari kerja untuk menyusu lagi. Bayangkan bagaimana pengorbanan isteri saya menyusu secara bergilir-gilir hingga sampai masuk waktu Isyak. Kalau saya tidak mengajar malam pasti saya boleh membantu isteri, caranya semasa seorang sedang menyusu saya kena jaga seorang lagi. Kalau tidak anak kembar saya akan menangis serentak, jelas Mohd. Yazid panjang lebar. Jadi memikirkan apa yang boleh dilakukan oleh dirinya, Mohd. Yazid nekad untuk berhenti mengajar. Walaupun dia sangat suka mengajar Bahasa Arab. Mohd. Yazid mengambil keputusan bercuti bermula dari Julai 2012 hingga si kembar habis tempoh dua tahun menyusu badan. Kalau tidak, niat ingin buat pahala dengan mengajar agama, sebaliknya dapat dosa pula sebab abaikan ibadah isteri di rumah," jelasnya. Pengorbanan Namun bagi Mohd. Yazid, pengorbanan sebenar adalah dari pihak isterinya yang telah melahir, menyusu dan membesarkan anak kembar mereka. Pada 8 Disember 2011 anak kembar kami dilahirkan secara pramatang, Dhia 2.07 kilogram dan Fina 1.73 kilogram. Fina perlu ditahan di NICU (unit jagaan rapi neonatal) selama tiga minggu sebab tidak cukup berat. Saya berulang-alik dari Cheras ke Hospital Putrajaya dua kali sehari untuk melawat Fina dan menghantar susu ibu. Walaupun masih sakit, isteri saya tetap berusaha keras menyusukan Dhia dan pada masa yang sama mengepam susu untuk dihantar ke hospital. Susah macam mana pun dia bertekad untuk menyusu penuh anak kembar kami," cerita Mohd. Yazid yang ditemui di kediamannya di Bandar Seri Putra, Bangi, baru-baru ini. Seperti kembar lain yang sedang membesar, adakalanya susu ibu tidak mencukupi. Widyana selalu berkata, tak apa... susu cukup. Kalau kembar empat pun Allah akan buat susu cukup. Paling kritikal masa si kembar berumur lebih kurang tiga bulan dan isteri saya ketika itu diserang demam panas, jumlah susu mengurang dan anak kami meragam. Cuba bayangkan dua bayi berumur tiga bulan menangis lama serentak dengan ibunya sekali. Sedih pilu hingga merobek jiwa saya tengok," kata Mohd. Yazid. Mohd. Yazid cuba bertindak rasional dengan membeli susu segar sementara isteri belum sihat. Malangnya, isterinya merajuk dan memarahi dirinya kerana membeli susu itu. Mohd. Yazid memberitahu, Widyana membayangkan seolah-olah suaminya itu tidak menyokong sepenuhnya usaha dia menyusui anak-anak. Lalu susu yang baru dibeli itu dibuang isterinya. Dia pegang prinsip demand and supply, lagi banyak bayi nak minum lagi banyak susu akan berjaya dihasilkan," jelas Mohd. Yazid yang berasal dari Kelantan. Dia menambah, apabila anak kembarnya sudah mula tumbuh gigi maka lagi kuat dugaan yang dihadapi Widyana. Sampai kalau sakit sangat Widyana mengadu kepada Allah betapa peritnya kesakitan yang sedang dia alami sambil menangis. Demi kebaikan Dhia dan Fina isterinya sanggup hadapi semua itu dan hanya menangis masa menyusui bayi sebab menahan sakit luka yang agak dalam," kata Mohd. Yazid. Tanggal 8 Oktober lalu, genaplah usia Dhia dan Fina dua tahun. Lengkaplah penyusuan eksklusif yang diusahakan pasangan ibu bapa mithali itu. Widyana yang bertugas sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) akan terus menyusu selagi anaknya mahu dan Mohd. Yazid pula akan kembali mengajar Bahasa Arab dan al-Quran. Jika ada orang tanya kenapa lama sangat ustaz cutikan kelas Arab tu? Saya akan jawab sebab menyusu... ikutlah mereka hendak fikir apa pun saya tak kisah," katanya tersenyum. - NOORFAZRINA KAMAL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |