Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- 4,000 bantah penjualan tanah Templer Park
- PPj lancar logo baharu terap imej, identiti unik Putrajaya
- Elak pencemaran sumber air mentah
4,000 bantah penjualan tanah Templer Park Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Sebahagian ahli Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC) berkumpul bagi membantah mengenai penjualan tanah seluas 78.80 hektar di Selayang, Selangor, semalam. SELAYANG 4 Okt. - Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC) hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenai penjualan tanah seluas 78.80 hektar di situ. Notis yang mewakili lebih 4,000 suara penduduk daripada 10 taman itu merupakan bantahan mereka terhadap Cadangan Pindaan Guna Tanah Bagi Blok Perancangan (BP) 9.1 di atas tanah lapang dan utiliti kepada perumahan dan perniagaan. Pengerusi gabungan tersebut, Datuk Mukhtar Ismail berkata, mereka membantah sekeras-kerasnya kerana pindaan tersebut akan menjadikan kawasan Templer Park berdensiti tinggi berbanding yang dijanjikan sebelum ini. "Alasan kepada keperluan pindaan ini tidak berdasarkan justifikasi yang kukuh kerana MPS mengutamakan kepentingan kewangan melalui kutipan cukai taksiran dan caj pemajuan sekiranya berlaku perubahan Rancangan Tempatan. "Kawasan ini perlu dikekalkan sebagai zon hijau sehingga 2020 seperti yang diwartakan oleh MPS pada 1998 dan faktor itu jugalah yang menyebabkan kami membeli hartanah di Templer Park," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengetuai demonstrasi aman dan menyerahkan memorandum bantahan kepada MPS di sini hari ini. Pada Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1,600 ahli PTGC terkejut dengan penjualan tanah bernilai RM1.24 bilion oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pemaju perumahan untuk dilaksanakan pembangunan bercampur. Tambah Mukhtar, Templer Park yang dihadiahkan Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 1954 juga adalah kawasan tadahan air yang dikhuatiri akan terjejas sekiranya pembangunan tersebut dilaksanakan. "Selain itu, kawasan ini juga memiliki dua tempat rekreasi iaitu Taman Rimba dan Air Terjun Kanching yang dipenuhi khazanah alam termasuk pelbagai spesies flora dan fauna sehingga menjadi tumpuan pelancong luar negara," tegasnya. Sementara itu, salah seorang Ahli PTGC, Azizul Rahman Abdul Wahab berkata, dia sedih dengan tindakan rakus kerajaan negeri yang mahu mengambil kawasan hijau itu untuk dijalankan pembangunan. "Saya masih ingat ketika kecil ada melalui kelab golf di situ dan berhasrat untuk menjadi ahli, akhirnya selepas impian itu tercapai kami dikejutkan dengan rancangan ini yang sama sekali tidak seperti dijanjikan. "Kami berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya. |
PPj lancar logo baharu terap imej, identiti unik Putrajaya Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Kakitangan Perrbadanan Putrajaya, Maldahlena Jamal menunjukkan logo baharu pihak berkuasa tempatan itu yang dilancarkan di Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 4 Okt. - Perbadanan Putrajaya (PPj) melancarkan logo baharu pihak berkuasa tempatan itu dengan menerapkan imej dan identiti unik Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Logo tersebut yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan mendapat sentuhan tenaga kerja Universiti Limkokwing dengan menyumbangkan kepakaran dalam membangunkan logo baharu itu. Menurut Bala Mohan, penjenamaan semula logo itu merupakan usaha penting PPj untuk menaikkan imej dan mempromosikan Putrajaya khusus di peringkat antarabangsa. "Logo ini mendapat kerjasama Universiti Limkokwing yang mereka bentuk dan mempertandingkan logo terbaik hasil rekaan mereka sebelum dihantar kepada PPj untuk dipilih. "Selepas beberapa penambahbaikan dibuat, logo baharu ini yang dicipta dengan mengabungkan ciri-ciri Bangunan Perdana Putra dan Gerbang Kompleks PPj sebagai lambang Putrajaya dipilih," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan logo baharu PPj di Kompleks PPj di sini hari ini. Yang hadir sama, Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat. Menurut Bala Mohan, warna biru yang terdapat pada logo itu melambangkan Tasik Putrajaya yang merupakan badan air kepada Putrajaya dan hijau pula melambangkan konsep pembangunan bandar itu sebagai 'bandar dalam taman' dan juga 'bandar hijau'. Manakala, elemen lima daun melambangkan lima Rukun Negara dan lima Nilai Bersama PPj. "Reka bentuk keseluruhan logo ini melambangkan kesuburan alam sekitar yang memayungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kombinasi Bangunan Perdana Putra dan Gerbang Kompleks PPj melambangkan reka bentuk senibina Putrajaya yang berkonsepkan tradisional, islamik dan moden," katanya. Sementara itu, Aseh berkata, selain daripada proses penjenamaan semula, penukaran kepada logo itu juga bagi mengatasi kekeliruan orang ramai terhadap lambang korporat PPj dan Putrajaya Holding yang mempunyai rekaan hampir sama. Katanya, pemilihan Universiti Limkokwing untuk mereka bentuk logo itu berdasarkan pencapaian universiti tersebut yang telah berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat dunia. |
Elak pencemaran sumber air mentah Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT SALAH seorang kakitangan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. memberi penerangan mengenai pemprosesan air kepada murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur ketika sesi lawatan ke Loji Pembersihan Air Sungai Selangor, Fasa 2, di Ijok, Kuala Selangor, Selangor, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 4 Okt. - Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (Puncak Niaga) menyeru orang ramai agar bersama-sama memulihara dan menjaga kepentingan sungai daripada sebarang bentuk pencemaran yang boleh menjejaskan kualiti air. Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awamnya, Datuk Dr.Muzahet Masruri berkata, masyarakat perlu sedar tentang kepentingan sungai sebagai sumber air mentah utama kerana kos untuk merawat air mentah yang teruk tercemar amat tinggi. Menurutnya, tindakan sesetengah pihak membuang sampah sesuka hati ke dalam sungai merupakan antara penyumbang utama sungai tercemar. "Masalah pencemaran sungai merupakan cabaran terbesar bagi pihak berkuasa bagi memastikan sumber bekalan air bersih dapat disalurkan kepada pengguna secara berterusan "Sehubungan itu, orang ramai bukan sahaja perlu sedar mengenai kepentingan air, tetapi tahu bagaimana air yang menjadi keperluan utama mereka diproses," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada lebih 60 ahli rombongan bagi meninjau operasi pemprosesan air di Loji Pembersihan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), di Ijok, Kuala Selangor, baru-baru ini. Selain kakitangan Radio KLfm, RTM turut menyertai sesi lawatan guru- guru dan murid-murid kurang upaya dari Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur dan beberapa wakil dari Kelab Lion Capital Kuala Lumpur yang diketuai oleh Penolong Pengurus, Radio KLfm, Nor'ain Bakir. Sementara itu Pengurus Loji SSP2, Syamsul Ariffin Supaat berkata, SSP2 adalah loji terbesar daripada 29 loji yang diuruskan Puncak Niaga dan memiliki pengurusan pemprosesan air tercanggih di negara ini. Katanya, SSP2 yang siap sepenuhnya pada Disember 2000 itu mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 950 juta liter sehari sejak Januari 2001. "SSP2 kini beroperasi melebihi had maksimum iaitu 980 juta liter sehari bagi memenuhi keperluan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. "Kami memberi jaminan air terawat selamat untuk digunakan untuk kegunaan seharian kerana pihak loji mempunyai makmal dan air yang dirawat mengikut piawaian ditetapkan kerajaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |