Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Norish Karman dapat hak sebahagian kereta mewah Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT SHAH ALAM 4 Okt. - Setelah empat tahun perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian pelakon Norish Karman terhadap bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan artis itu berhak menerima 30 peratus nilai tiga daripada lima kereta mewah yang dituntutnya. Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain bagaimanapun menolak tuntutan pelakon itu terhadap tiga rumah termasuk sebuah banglo di Bangi dan pegangan saham di tiga syarikat yang kesemuanya bernilai lebih RM3 juta setelah mendapati tuntutan itu tidak sempurna mengikut hukum syarak. Beliau berkata, kereta mewah yang diisytiharkan sebagai harta sepencarian ialah Nissan Murano, Nissan Elgrand dan Mercedes CLK yang dinilai berdasar nilai semasa ketika tuntutan itu dilakukan manakala dua kereta mewah lain, Starvic dan Toyota Caldina bukan milik mereka kerana telah dijual kepada orang lain. Bagi tuntutan lain, mahkamah mendapati Norish selaku plaintif gagal menyatakan dengan terperinci keterangan mengenai kedudukan lot dan nombor rumah serta tidak mengemukakan hak milik harta bagi kondominium di Danau Permai selain tiada sokongan kewangan mengenai perolehan tanah untuk rumah di Bangi. Hakim Mohammad Adib berkata, defendan (Hashimuddin) telah mengeluarkan duit untuk pembinaan rumah di Bangi manakala kondominium itu telah dibeli oleh defendan lima bulan selepas pernikahan. Norish atau nama sebenarnya, Nor'asikin Karman, 37, bernikah dengan Hashimuddin, 64, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis. Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 12, Muhammad Hady Amieran, 8, dan Nur Hanyz Amanda, 7. Sementara itu, Norish ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, dia reda dengan keputusan itu dan menyifatkan tidak timbul isu menang atau kalah dalam kes tersebut. Ditanya mengenai nilai tiga kereta tersebut, dia berkata, anggaran nilai semasa dibeli bagi ketiga-tiga kereta itu ialah RM1.2 juta. ''Rezeki ditentukan Allah namun saya yakin Datuk (Hashimuddin) bukan kejam, dia boleh menimbangkan sesuatu untuk anak-anak dan sebagai ibu kepada anak-anak dia, saya pasti dia akan beri hak kami,'' katanya. Berhubung pegangan saham bagi tiga syarikat terbabit pula, mahkamah mendapati, Norish tidak mengemukakan bukti sumbangannya dalam memajukan saham dan kewujudan serta perancangan syarikat. ''Mahkamah juga meragui keterangan plaintif sebagai pemegang saham syarikat tetapi tidak mempunyai tunai dalam syarikat itu,'' katanya. Norish yang diwakili peguam syarie, Datuk Amli Embong hadir namun Hashimuddin yang diwakili peguam syarie, Muhamad Burok tidak kelihatan sehingga selesai prosiding walaupun Muhamad memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya dalam perjalanan ke mahkamah itu. Dia juga yakin Hashimuddin boleh bekerjasama dengan Amli untuk menjadikan keadaan lebih baik berbanding keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Norish juga menegaskan, dia menyara kehidupannya sendiri manakala Hashimuddin ada menghulurkan bantuan terutama untuk anak-anak mereka. ''Saya ada rumah sendiri dan Datuk bantu apa yang perlu, tidak semua perkara saya bebankan kepada dia,'' katanya. Norish yang merupakan peserta rancangan MasterChef Selebriti Malaysia Musim Ke-2 memfailkan permohonan itu selepas kegagalan mencapai kata sepakat melalui kaedah sulh (perbincangan secara baik) dengan bekas suaminya itu. |
Mahkamah ingatkan Zed Zaidi berhati-hati jawab soalan Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT KUALA LUMPUR 4 Okt. - Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkali-kali diingatkan supaya berhati-hati menjawab soalan peguam kerana beliau merupakan antara yang disaman oleh bekas bendahari persatuan itu, Abu Bakar Omar dan empat yang lain. Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop yang mendengar perbicaraan masuk hari ketiga hari ini mengingatkan Zed Zaidi atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jalil supaya mendengar dan memahami soalan dengan betul sebelum memberikan sebarang jawapan. "Kamu faham atau tidak soalan atau sengaja hendak main-main di sini,'' tegas Rosilah. Pertanyaan itu diajukan beliau setelah Zed Zaidi berkali-kali tidak menjawab soalan barisan peguam yang mewakili Abu Bakar dan empat yang lain selaku pihak plaintif dalam perbicaraan tersebut. Dalam saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, Abu Bakar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) menamakan Seniman dan bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir defendan pertama hingga empat. Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga kelapan. Pihak defendan diwakili peguam Mohd. Yusni Yussof, Suhaimi Saad dan Zahrin Ishak. Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan. Pihak plaintif menuntut perisytiharan antaranya mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-14 Seniman pada 26 Mei 2012 sebagai terbatal dan tidak sah selain menuntut perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat. Pihak plaintif yang diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Muhd. Azmi Talib, Yusfarizal Yussof dan Majdah Muda juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya. Zed Zaidi dalam keterangannya menyatakan, beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam plaintif yang menganggap beliau sengaja tidak mengemukakan data-data berkaitan keahlian Seniman kepada mahkamah bagi memastikan jumlah sebenar ahli persatuan itu. Artis tersebut juga tidak bersetuju dengan Wan Rohimi yang menyatakan tindakan Abu Bakar membangkitkan perkara-perkara berkaitan kebajikan ahli bukannya suatu tindakan yang bersifat mengganggu perjalanan AGM Seniman. Menurut Zed Zaidi, beliau setuju bahawa perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang biasa namun perkara tersebut dibangkitkan oleh orang yang sama. "Abu Bakar sengaja membuat kecoh dan dia sahaja yang hendak bercakap,'' katanya. Zed Zaidi selaku saksi kelima dan terakhir pihak defendan juga tidak bersetuju apabila dikatakan beliau telah meminggirkan golongan veteran dalam pemilihan tersebut. Selepas mendengar keterangan Zed Zaidi, Rosilah menetapkan 18 Oktober ini untuk pihak plaintif dan defendan memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan jawapan kepada penghujahan hendaklah difailkan pada 24 Oktober. Menurut Rosilah, mahkamah pada tarikh tersebut akan menetapkan tarikh keputusan kes itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |