Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Kerajaan Pahang tidak benarkan
- Pembinaan empangan hidroelektrik rancakkan kemasukan pelabur
- Paya Kangsa dimajukan tanaman padi
Kerajaan Pahang tidak benarkan Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT Oleh HERMAN HAMID KUANTAN 2 Okt. - Projek pembinaan pusat pelancongan kerohanian pelbagai agama di Gambang dekat sini, seperti yang diuar-uarkan sebuah syarikat pemaju, Enchant Acres Sdn. Bhd., tidak pernah dibincangkan kerajaan negeri. Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan, pembinaan pusat tersebut yang mencetuskan pelbagai spekulasi di internet ketika ini sememangnya tidak akan dibuat di negeri ini dan apa yang ditimbulkan sebelum ini adalah satu penipuan. Sebaliknya, menurut beliau, tanah seluas 100 hektar di Gambang itu diluluskan kepada syarikat Waras Mekar Sdn. Bhd., yang hanya berunding dengan Enchant Acres bagi memajukan tanah berkenaan sebagai rakan kongsi untuk tujuan pembangunan bercampur antara komersial dengan kediaman seperti disyaratkan. ''Namun, belum ada persetujuan ditandatangani tetapi tiba-tiba Enchant Acres buat kenyataan akan buat pusat pelancongan kerohanian di Gambang. Dengan itu Waras Mekar telah buat laporan polis. "Projek ini tidak pernah dibincangkan dan tidak akan dibuat di Pahang," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini. Sebelum ini, Enchant Acres menerusi dalam laman web syarikat itu menghebahkan mengenai projek pembinaan sebuah pusat pelancongan kerohanian di Gambang melibatkan pelbagai agama selain turut melibatkan pembinaan hotel dan institusi pendidikan di tapak tersebut. Sementara itu, Adnan berkata, kerajaan negeri hanya membuat kenyataan berhubung isu tersebut ketika ini kerana perlu membuat siasatan terperinci. "Saya harap dengan penjelasan keadaan sebenar hari ini, maka isu ini selesai. Pembangunan di tanah yang kita luluskan hanyalah untuk projek kediaman dan komersial," jelasnya. |
Pembinaan empangan hidroelektrik rancakkan kemasukan pelabur Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (empat dari kiri) bersama G. Palanivel (tiga dari kiri), Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) dan pegawai kanan TNB serta kontraktor dalam terowong empangan hidroelektrik Kampung Susu, Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini. CAMERON HIGHLANDS 2 Okt. - Pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai dapat merancak pertumbuhan ekonomi dan menarik kemasukan pelabur sekali gus memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat negeri ini. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, projek yang mampu menjana elektrik 382 megawatt itu bukan sahaja membekalkan elektrik tetapi dapat menyemarak industri pelancongan tempatan. Titah baginda, empangan hidroelektrik yang bernilai RM2.4 bilion itu akan menjadi mercu tanda dan tarikan terbaharu bagi pelancong yang ingin ke Cameron Highlands melalui jalan Sungai Koyan dan sebaliknya. "Empangan ini apabila siap nanti dapat menjadi tarikan terbaharu dan secara tidak langsung dapat memberi peluang ekonomi kepada penduduk tempatan terutama masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar kawasan ini. "Mereka boleh berniaga secara kecil-kecilan menjual produk kraf tangan berasaskan sumber hutan seperti rotan, buluh, rebung buluh, madu lebah dan sebagainya kepada orang ramai yang singgah atau berhenti rehat di kawasan empangan ini," titah Tengku Abdullah. Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas merasmikan lencongan Sungai Bertam bagi Empangan Projek Hidroelektrik Ulu Bertam, Kampung Susu di sini kelmarin. Yang turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G. Palanivel , Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail. Tengku Abdullah turut meluangkan masa melawat kerja-kerja membina terowong air yang akan berfungsi untuk melencongkan aliran air bagi membolehkan pelaksanaan kerja asas di empangan tersebut. Titah baginda, daripada taklimat yang diberi Naib Presiden (Bisnes Baru dan Projek Utama) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Mohd. Nazri Shahrudin, TNB dan kontraktor utama, TM Salini, projek itu dapat disiapkan mengikut jadual dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016. Apabila siap nanti, titah baginda, kawasan Ulu Bertam yang sebelum ini jauh ketinggalan daripada pembangunan kerana kedudukannya yang terpencil dan tidak mempunyai perhubungan jalan raya akan menjadi sibuk kerana Jalan Sungai Koyan akan menjadi laluan utama ke Cameron Highlands bagi penduduk yang duduk di kawasan Pahang Barat. Sehubungan itu, Tengku Abdullah bertitah, dengan adanya Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Bertam tersebut masyarakat Orang Asli tidak seharusnya menjadi pemerhati sebaliknya mengambil peluang berniaga di sepanjang laluan tersebut yang dijangka akan sibuk tidak lama lagi. |
Paya Kangsa dimajukan tanaman padi Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT JERANTUT 2 Okt. - Kawasan seluas 300 hektar di Paya Kangsa, Pulau Tawar dekat sini, akan dimajukan semula dengan projek tanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan utama itu di negeri ini. Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kawasan sawah padi yang terbiar sejak 25 tahun lalu akan diselenggarakan menerusi pengurusan estet yang sempurna sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk belia. Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Jabatan Pertanian dan agensi lain untuk memulakan projek tanaman padi 'beras wangi' seperti yang terdapat di Thailand dan Filipina. "Projek berasaskan sistem estet mampu menghasilkan enam hingga tujuh tan sehektar buat permulaan sekali gus mengubah pendapatan petani kampung tradisional di Pulau Tawar. "Kita akan berbincang dengan pemilik tanah sama ada untuk mengusahakan sendiri menerusi bantuan agensi kerajaan atau mengadakan perjanjian kerjasama dengan beberapa syarikat swasta yang akan memberi pakej bantuan input pertanian dan khidmat nasihat yang boleh diaplikasi secara tepat oleh petani," katanya di sini semalam. Menurut Ahmad Nazlan, projek tanaman padi di situ terbantut sejak sekian lama kerana masalah banjir, gangguan haiwan, pengairan, pemilik yang sudah berusia dan beberapa masalah teknikal lain. Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan merancang lebih teliti untuk projek tanaman padi 'beras wangi' yang mampu menjana pulangan hasil yang terbaik sekali gus meningkat pendapatan keluarga petani berkenaan. "Kita akan berbincang dengan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), pemilik tanah dan agensi kerajaan untuk mencari mekanisme baharu agar projek ini berjaya direalisasikan tidak lama lagi," katanya. Ahmad Nazlan berkata, projek itu wajar dilaksanakan kerana dapat memacu perkampungan tradisional di pesisiran Sungai Pahang di daerah ini menerusi sektor pertanian komersial berasaskan tanah-tanih yang subur. Katanya, projek tanaman padi di Kampung Gintong dekat sini, antara yang berjaya membabitkan usaha bersungguh-sungguh penduduk di samping bantuan teknikal dan bimbingan Jabatan Pertanian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |