Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Media asing terpikat Taman Negara
- Pahang sasar 100,000 pelancong TMM2014
- JPS bina benteng 3km Sg. Bertam
Media asing terpikat Taman Negara Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD PENGAMAL media berkelah di persisiran Sungai Tembeling sambil menikmati juadah tengah hari dalam perahu yang disediakan oleh Chef Zamri Shaari (kiri) dan Chef Asri Mohd. Hassan (dua, kiri) di Kuala Tahan, Jerantut. JERANTUT 28 Okt. - Pahang mengekalkan keistimewaan yang mempunyai pakej alam semula jadi seperti gunung, sungai, hutan, pantai dan tanah tinggi paling menarik di negara ini. Taman Negara Kuala Tahan antara destinasi yang masih berstatus hutan tropika tertua di dunia, menyajikan keindahan flora dan fauna menakjubkan dan sesetengahnya tidak pernah diketahui oleh dunia luar. Atas faktor itu, taman negara ini terus menjadi destinasi popular dalam kalangan pelawat domestik dan pelancong barat untuk melihat lebih dekat khazanah yang ada selain menyedut udara bersih dan pemandangan menghijau. Waktu yang paling sesuai untuk pelawat mengunjungi taman negara adalah pada April hingga November. Kebiasaannya pada cuti hujung minggu, lebih ramai pelawat domestik mengambil tempat. Dianggarkan lebih 100 spesies tumbuh-tumbuhan terdapat di hutan tropika yang berkeluasan 4,343 kilometer persegi itu. Baru-baru ini sebanyak 50 pengusaha pelancongan dan pengamal media dari Paris, Perancis, Scandinavia dan Asia Oceania mengadakan kunjungan ke Mutiara Taman Negara Resorts (MTNR), Kuala Tahan. Selepas itu disusuli rombongan wakil media tempatan terdiri daripada wartawan akhbar dan pengarang majalah pelancongan yang ditaja sepenuhnya oleh MTNR dalam promosi pusat pelancongan bertaraf antarabangsa tersebut. Mereka berada di situ selama dua hari bagi meninjau pengurusan hospitaliti MTNR di samping menikmati keindahan alam sekitar menerusi program 'Le Grand Voyage Eductour Malaisie 2013' dengan kerjasama syarikat penerbangan Air France KLM. Sepanjang kunjungan itu, mereka berpeluang menyertai kegiatan 'safari malam' untuk melihat haiwan liar termasuk tapir berkeliaran di resort MTNR dengan bantuan pemandu pelancong dan petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Pada sebelah siang, kumpulan itu diajak mempamerkan kehebatan beriadah iaitu mendaki Bukit Teresek bagi menyaksikan keindahan alam dari puncak bukit tersebut. Mereka turut menaiki tangga jambatan gantung (Canopy Walkway) sebelum meniti jambatan berkenaan setinggi 400 meter dari paras bumi. Kegiatan yang paling tidak boleh dilupakan oleh kumpulan tersebut adalah berkelah sambil bermandi-manda di persisiran Sungai Tembeling. Lebih menarik apabila mereka menikmati hidangan makan tengah hari di sungai itu yang disajikan oleh dua Chef MTNR iaitu Chef Zamri Shaari dan Chef Asri Mohd. Hassan. Kedua-dua chef tersebut menyediakan juadah tradisional Melayu Pahang dan ala barat di atas sebuah perahu di sungai berkenaan. Pelawat juga dibawa melawat penempatan Orang Asli suku Batek di Dedari, berjalan malam di hutan, melihat binatang, merasai garam di lima buah jenut dan bumbun termasuk Bumbun Tahan. Ketua Pegawai Penyelaras Pelancongan Malaysia-Perancis, Christope Dieme ketika ditemui berkata, lawatan pertama kali oleh kumpulan tersebut merupakan usahasama Pejabat Pelancongan Malaysia di Paris bertujuan meninjau pengurusan hospitaliti MTNR dan keindahan alam sekitar di sini. "Selama ini, kami hanya melihat dan menyelami Taman Negara Kuala Tahan menerusi laman web, laman sosial dan risalah di Pejabat Pelancongan Malaysia di Paris dan kunjungan ini memberi gambaran cukup menarik untuk melebarkan kerjasama dalam kalangan pemain industri ini antara kedua-dua negara," katanya. Menurut beliau, rombongan itu turut teruja melihat keindahan hutan tropika, selain berpuas hati dengan pengurusan hospitaliti MTNR. "Makanan tradisional Melayu di Seri Mutiara taman ini amat sedap dan keunikan alam sekitar di sepanjang menyusuri Sungai Tahan serta kegiatan lain cukup menyeronokkan dan mendekatkan hati kami dengan keindahan negara ini,'' ujarnya. Bagi Pengurus MTNR, Nathan Vaithi, sebagai tuan rumah kepada tetamu dan duta pelancongan negara terbabit termasuk media tempatan, pihaknya menyediakan kemudahan diperlukan. "Kita bersyukur kerana pengurusan hospitaliti MTNR diiktiraf terbaik sama seperti penginapan di negara-negara barat dan memberi impak besar dalam industri pelancongan negara dan taman negara di sini amnya," kata beliau. |
Pahang sasar 100,000 pelancong TMM2014 Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT PEMUDA Orang Asli etnik Batek menunjukkan cara menghidupkan api menggunakan kayu kepada pelawat di Taman Negara Kuala Tahan. JERANTUT 28 Okt. - Taman Negara Kuala Tahan di sini akan terus menjadi pusat pertumbuhan ekopelancongan sekali gus menjadi penyumbang utama kemajuan ekonomi negeri dengan sasaran kehadiran lebih 100,000 pelancong sempena Tahun melawat Malaysia (TMM) 2014. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, tahun lalu pusat pelancongan itu menerima kehadiran 90,000 pelancong dan jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini. Bagi mencapai matlamat itu, katanya, perancangan pembangunan dilaksanakan lebih teratur termasuk pembinaan chalet dan premis perniagaan untuk kemudahan pelancong di kawasan itu. "Sesuai dengan imej Taman Negara sebagai destinasi pelancongan seluruh dunia, lokasi itu menjadi perhatian kerajaan negeri serta dapat memacu pertambahan pendapatan penduduk tempatan. "Usaha promosi yang dibuat oleh Mutiara Taman Negara Resorts (MTNR) dengan menaja pengamal media antarabangsa merupakan kaedah terbaik dan tepat untuk memperkenalkan destinasi ini di serata dunia," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Tahan baru-baru ini. Kerajaan negeri menurutnya, sentiasa memberi perhatian terhadap penjagaan alam sekitar, ekosistem dan khazanah alam di Taman Negara supaya tidak tercemar ketika melaksanakan projek pembangunan di situ. "Kita sentiasa memantau pembangunan demi mengekalkan kawasan Taman Negara sentiasa terpelihara," katanya. Beliau juga meminta semua pihak menjaga kebersihan kawasan itu kerana keindahan alam semulajadinya merupakan tarikan utama pelancong ke Taman Negara. Katanya, pihak berkuasa tempatan telah menyediakan pelbagai logistik, penjagaan kebersihan dan membuka kawasan tempat meletak kenderaan yang lebih sistematik untuk keselesaan pelawat. |
JPS bina benteng 3km Sg. Bertam Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh ALI MAHMOOD CAMERON HIGHLANDS 28 Okt. - Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Pahang akan membina benteng setinggi tiga meter di kiri dan kanan Sungai Bertam sepanjang tiga kilometer bermula dari Empangan Sultan Abu Bakar di sini. Pengarahnya, Datuk Ir. Zulkifli Hassan berkata, sebaik sahaja siap kelak air yang dilepaskan dari empangan milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu jika melepasi paras bahaya dapat mengalir dengan lancar dan tidak melimpah di kiri atau kanan sungai tersebut. Menurutnya, kerja-kerja membina benteng, mendalam, melebar dan membaik pulih sungai berkenaan menerusi peruntukan RM40 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat akan bermula seawal-awalnya tahun depan. "Banjir kilat dan lumpur yang berlaku Rabu lalu akibat air dari empangan TNB tersebut melimpah ke kiri kanan tebing sungai kerana tidak ada penampan atau benteng menahan pengaliran air tersebut. "Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan berharap tiada penduduk membuat rumah di tepi tebing sungai ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembersihan dan menyelamat di sini kelmarin. Dalam kejadian banjir kilat pada pukul 1 pagi Rabu lalu, tiga mangsa terdiri daripada dua pekerja asing maut dihanyutkan arus deras manakala seorang laki penduduk tempatan mati akibat diserang sakit jantung kerana terkejut melihat rumahnya dilanda banjir. Dalam pada itu, Zulkifli meminta penduduk di negeri ini tidak membina rumah di tebing rizab sungai kerana melanggar peraturan dan tidak diluluskan pihak berkuasa. "Saya berharap penduduk negeri ini mengambil iktibar daripada kejadian banjir kilat yang berlaku di Lembah Bertam dengan tidak membina rumah pada jarak 200 meter dari tebing sungai," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |