{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Pertingkat promosi kraf Pahang

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

MOHD. Sharkar Shamsudin cuba membuat ukiran bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar pada majlis Promosi Kraf Malaysia di East Coast Mall, Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 4 Okt. - Kraftangan Malaysia cawangan Pahang menyasarkan jualan hasil kraf tangan sebanyak RM800,000 dalam Promosi Kraftangan Malaysia peringkat negeri di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM ) di sini yang berakhir Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sasaran itu dibuat berikutan hasil jualan pada tahun lalu mencecah RM700,000.

Katanya, promosi selama enam hari itu diadakan bertujuan mempromosi dan memasarkan produk kraf kepada pengguna.

"Promosi ini merupakan kali kelima diadakan dan kita adakan program sebegini bagi menggalakkan perkembangan industri kraf di Pahang khususnya," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program tersebut di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Kraftangan cawangan Pahang, Datuk Zubair Mohd. Zain.

Menurut beliau, sebanyak 24 usahawan dari seluruh negara menyertai promosi kraf kali ini.

"Mereka terdiri daripada usahawan batik, hasil rimba, logam, seramik dan aneka aksesori mutiara serta kristal," jelas beliau.

Katanya, setakat ini, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, malah dari negeri lain.

Beliau berkata, selain jualan industri kraf, pelbagai aktiviti serta pengisian menarik turut menanti para pengunjung sempena promosi kraf ini.

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mewarna batik, dekorasi seramik, ukiran kayu, membuat bakul dan pameran Tenun Pahang," katanya.

Pos Pantos miliki pelbagai khazanah budaya, berpotensi maju sebagai inap desa

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

KUMPULAN kesenian Orang Asli menyambut ketibaan tetamu dalam acara yang turut dihadiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di PPK Pos Pantos, Cameron Highlands, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 4 Okt. - Perkampungan Orang Asli Pos Pantos, Hulu Jelai dekat sini antara destinasi pelancongan di Pahang Barat yang kaya dengan khazanah budaya etnik Semai dan begitu unik untuk dibuat kajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pos Pantos antara penempatan tersusun Orang Asli di Pahang yang dilengkapi pelbagai kemudahan iaitu sekolah, masjid, balai raya, bekalan elektrik, air bersih dan premis untuk peniaga di situ.

"Pos Pantos sesuai dijadikan projek inap desa memandangkan pelbagai khazanah budaya dan kesenian etnik Semai sentiasa dipulihara serta boleh dilihat dan dipelajari ketika pelawat singgah di sini.

"Lokasinya berdekatan dengan pusat pelancongan inap desa orang Melayu Kuala Medang memudahkan lagi kerajaan dan agensi pelancong mengadakan pakej lawatan ke tempat Orang Asli dan perkampungan Melayu di pesisiran Sungai Jelai, di daerah ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di Pos Pantos, Jelai dekat sini.

Menurut beliau, projek inap desa yang berjaya menarik kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa bukan sahaja di Pos Pantos, tetapi hal yang sama boleh dilakukan di Pos Betau, Pos Kuala Koyan dan Kampung Orang Asli Simoi Baru.

Katanya, pemilihan kampung berkenaan dibuat dengan mengambil kira kemudahan asas yang disediakan kerajaan negeri dalam usaha memperbanyakkan lagi destinasi pelancongan di Pahang.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyasarkan kedatangan lebih ramai pelancong dari Jepun, Korea, Singapura dan Eropah melalui projek inap desa di kampung Orang Asli di Hulu Jelai sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

"Kita ketengahkan kehidupan Orang Asli menerusi pemasaran kebudayaan dan ekonomi untuk dilihat oleh orang luar terutama pelancong Barat.

"Saya yakin keunikan budaya etnik minoriti di sini antara pemacu penting membantu kerajaan mencorakkan sosioekonomi penduduk pedalaman Hulu Jelai berasaskan sektor pertanian dan pelancongan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pos Pantos, Ahmad Zubair berkata, pihaknya akan menyediakan pelbagai pengisian untuk pelawat bagi menimba pengalaman mengenai kehidupan etnik Semai di situ.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah bersedia dengan pelbagai kegiatan kebudayaan dan kesenian untuk pelawat di samping berharap kerajaan negeri memasukkan Pos Pantos dalam pakej program TMM 2014 di negeri itu.

Ibu tunggal lima anak dapat rumah

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

SHAHANIZA Shamsudin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada anak-anak Nolia Mohamed (tiga dari kanan) ketika melawat rumah ibu tunggal tersebut di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, semalam.

KUANTAN 4 Okt. - Seorang ibu tunggal anak lima di sini, boleh menarik nafas lega selepas kerajaan negeri bersetuju meluluskan permohonannya mendapatkan sebuah rumah selepas kira-kira empat tahun berusaha memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsudin berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian sewajarnya kepada golongan yang memerlukan dalam pelbagai aspek.

"Bagi kes Nolia Mohamed, 41, permohonannya mendapatkan sebuah rumah telah diluluskan dan dijangka menduduki rumah berkenaan di Rumah Murah Kampung Pandan di sini hujung tahun ini selepas mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

"Di samping itu, Nolia juga diberikan pinjaman RM5,000 daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bagi membantu meningkatkan pendapatan melalui penjualan roti buatan sendiri untuk menyara lima anaknya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadi di Rumah Wakaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kegigihan ibu tunggal untuk mendapatkan rumah bagi membesarkan lima anak yang berusia lima hingga 19 tahun selepas diusir bekas suami tiga tahun lalu tidak pernah terhenti meskipun terpaksa melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

Bertambah getir apabila keluarga mentua yang bukan Islam turut mahu mengambil tiga anak perempuannya yang berusia 10 hingga 12 tahun sekiranya dia tidak mempunyai tempat berteduh.

Menurut Shahaniza, pihaknya melalui agensi berkaitan juga akan berusaha memasarkan roti keluaran Nolia dengan menggalakkannya menyertai setiap kursus dan bengkel kemahiran yang diadakan.

"Sebagai galakan, kita akan membantu ibu tunggal ini mendapatkan kemahiran melalui kursus dan bengkel yang dijalankan bagi menambah pendapatannya.

"Dia juga turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Muip masing-masing sebanyak RM300," jelasnya sambil memberitahu ibu tunggal dan lima anaknya ini ditempatkan sementara di Rumah Wakaf Muip.

Sementara itu, Nolia ketika ditemui pemberita bersyukur kerana hasratnya memiliki rumah untuk membesarkan anak-anaknya bakal tercapai.

"Alhamdulillah, saya teramat bersyukur. Saya harap selepas ini tiada lagi alasan mentua mahu mengambil anak-anak saya.

"Saya sedar mereka sebahagian daripada anak-anak tetapi perkara utama yang menjadi kebimbangan adalah akidah anak-anak jika tinggal bersama keluarga mentua.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang membantu saya," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat