Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Oleh SAYED HESHAM IDRIS, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) bersama barisan calon Ahli Majlis Tertinggi yang hadir pada sesi pengenalan calon di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam. Dari kiri Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Bung Mokhtar Radin dan Mohd. Ali Rustam (dua dari kanan). - BERNAMA IPOH 4 Okt - Barisan Nasional (BN) menawarkan pembangunan di Sungai Limau, Kedah jika berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 4 November ini. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, gandingan kerajaan negeri yang kini di bawah kerajaan BN dan Kerajaan Pusat mampu memastikan kawasan DUN Sungai Limau turut sama dalam arus pembangunan nasional. "Pilihan raya kecil itu adalah satu cabaran besar bukan sahaja buat saya sebagai Menteri Besar yang baharu, tetapi keseluruhan jentera parti. "Ini kerana kawasan DUN Sungai Limau adalah kubu kuat Pas, yang dimenangi oleh bekas Menteri Besar (Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak). Saya akui kita (BN) under dog (bukan pilihan) di kawasan berkenaan,'' katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Sesi Pengenalan Calon Ahli Majlis Tertinggi dan Exco Pergerakan Sayap UMNO yang akan bertanding pada pemilihan parti itu di Stadium Indera Mulia di sini hari ini. Turut hadir ialah calon Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan calon Ahli Majlis Teringgi, Datuk Idris Haron, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Bung Mokhtar Radin. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN). Ini merupakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu. Mengenai kriteria calon BN yang bakal dipilih untuk bertanding bagi kerusi berkenaan, Mukhriz berkata, perkara itu sedang diteliti. Menurut beliau, calon merupakan faktor yang mampu menjadi penentu kemenangan BN dalam pilihan raya tersebut. "Sebenarnya tidak kira sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, faktor calon memainkan peranan penting," katanya. |
Pemuda perlu bekerja keras di Sungai Limau Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Khairy Jamaluddin (tengah) berbual dengan sebahagian Pemuda UMNO yang hadir dalam majlis penyampaian bantuan pentadbiran persatuan belia di Alor Setar, semalam. ALOR SETAR 4 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO diminta bekerja keras untuk membantu Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan memberi tumpuan kepada kira-kira 11,000 pengundi muda pada pilihan raya kecil (PRK), 4 November ini. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, rekod Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu menyaksikan BN kurang mendapat sokongan pengundi muda di kerusi berkenaan meskipun sokongan secara keseluruhan golongan itu di negeri ini adalah baik. "'Jadi kita kena kerja kuat. Jentera Pemuda mesti memberi tumpuan kepada pengundi muda ini. Angka 11,000 pengundi muda di kawasan itu bukan jumlah besar tetapi tidak kecil," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pentadbiran persatuan belia di sini hari ini. Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis. Pada PRU-13, 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan kerusi tersebut selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili BN. Ini merupakan PRK kedua selepas PRU-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu. Menurut Khairy, Pemuda UMNO akan menggunakan pendekatan terbaik untuk mendekati dan menarik sokongan pengundi muda di DUN Sungai Limau kepada BN. Kata beliau, pendekatan itu mesti bersesuaian dengan keadaan setempat dengan mengadakan program yang boleh meliputi secara keseluruhan kehendak golongan tersebut seperti program keilmuan, keagamaan dan sukan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |