Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT Berikut adalah sambungan wawancara wartawan YULPISMAN ASLI dan jurugambar IRWAN MAJID bersama Mufti Kelantan, DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD di kediaman beliau di Jalan Datuk Lundang, Kota Bharu yang mengupas isu kalimah Allah. Selain itu beliau menasihatkan umat Islam agar bersatu dan mengetepikan semua perbezaan serta kepentingan lain demi mempertahankan kalimah yang mempunyai unsur tauhid itu. Utusan: Jika keputusan rayuan nanti adalah sebaliknya bagaimana, kerana ada pendapat mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan turut didorong oleh status ketiga-tiga hakim adalah orang Melayu dan mungkin keputusan di Mahkamah Persekutuan nanti berubah sekiranya panel hakim terdiri daripada pelbagai bangsa? MOHAMAD SHUKRI: Saya tidak fikir bahawa mahkamah bersidang berdasarkan kepada bangsa atau anutan agama, tetapi bersidang berdasarkan pelaksanaan undang-undang dan fakta yang berlangsung dalam mahkamah. Sebab mahkamah bukan sahaja perlu bersikap adil, tetapi boleh dilihat keadilan itu, jadi, bukan isu anutan agama hakim. Kalau ikut anutan agama hakim banyak nanti penagih-penagih dadah orang Islam dibebaskan. Saya tidak fikir itu menjadi neraca pertimbangan mahkamah, sebaliknya ialah keadilan yang perlu dilihat berdasarkan peruntukan undang-undang. Pada hemat Datuk apa kesan atau implikasi kes ini terhadap hubungan antara agama dan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia? MOHAMAD SHUKRI: Saya rasakan kalau pihak-pihak yang terlibat rasional, tidak ekstrem tidak melampau dia akan terima apa juga keputusan. Bagi yang kalah tak puas hati, yang menang senang hati, tetapi itulah mahkamah. Umat Islam melihat kepada keadilan dan kebenaran. Faktor membawa kepada keselamatan ialah berlaku adil. Makna adil memberi hak kepada yang berhak dan kepada yang benar. Jadi, kita harapkan , jika mereka merayu pun di mahkamah berikutnya, kita mengharapkan berlaku keadilan iaitu memberi hak kepada yang berhak dan memberi hak kepada yang benar, jadi kalimah Allah ini adalah hak orang Islam secara eksklusif sejak sekian lama. Isu ini tak pernah berbangkit pun, akhir ini sahaja, ini menunjukkan ada sesuatu. Orang Islam akan berpegang teguh kepada hak ini dan tidak akan berganjak. Kesederhanaan itu adalah faktor penyelamat, polar hidup umat Islam dan bukan Islam dan harus diamalkan di negara ini. Mungkin sikap kesederhanaan umat Islam ini menyebabkan pihak pelampau ini ambil kesempatan? MOHAMAD SHUKRI: Memang salah satu yang kita kena akui, kedudukan agama Islam dan umat Islam pada hari ini diancam, digugat dari segenap segi segenap penjuru. Isu kalimah Allah dari segi akidah, umat Islam juga digugat dari segi syariat, ada fahaman-fahaman yang luar daripada kefahaman Islam, digugat dari segi akhlak, sosial. Kita lihat usaha-usaha dilakukan bagi menimbulkan keraguan, mengelirukan. Jadi, keberanian mereka mencabar umat Islam begitu ketara, dan ini jelas kerana ada agenda yang tersurat dan tersirat. Pada pendapat peribadi Datuk, wajar atau tidak pihak yang menuntut mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan? MOHAMAD SHUKRI: Kalau dengan hujah mahkamah (Mahkamah Rayuan) itu mereka berpuas hati, sepatutnya tak wajar dirayu lagi. Wajar atau tak wajar melihat kepada sejauh mana mereka rasa berpuas hati. Kalau rasa tak puas hati, buat rayuan lagi itu hak mereka. Kalau mereka buat tuntutan lagi di mahkamah lebih tinggi, itu adalah untuk memperlihatkan proses perjalanan mahkamah di negara kita. Cuma bagi kita, kalau tak dirayu itulah yang sebaiknya. Bagaimana pula Datuk melihat tindakan subversif pihak tertentu yang dilaporkan sengaja mewujudkan laman-laman web untuk menyalurkan maklumat salah tentang al-Quran dan hadis rentetan daripada kes ini? MOHAMAD SHUKRI: Bila ada agenda yang tersurat dan tersirat, kalimah Allah ini hanya satu ujian dan banyak lagi akan ditampilkan untuk menjadi cabaran kepada umat Islam ini, ini adalah program agenda yang dirancang, lebih-lebih lagi di zaman perkembangan maya di mana orang kata dunia jadi satu perkampungan yang tidak boleh dikawal. Dalam Islam ada Alhema bermakna satu wilayah atau zon larangan, ada persempadanan yang menjadi benteng asas agama dari diganggu-gugat atau diancam. Masalah yang berlaku, puncanya sikap umat Islam sendiri yang ambil mudah, meremehkan isu. Masyarakat Islam sendiri melihat isu-isu yang dibangkitkan remeh sehingga pihak lain sudah menghampiri tepi kawasan atau zon larangan tadi atas nama toleransi agama. Bagi generasi yang faham, mereka bermain di zon yang tidak dilarang tetapi datang generasi kemudian, dia tidak sudah endah lagi ini zon larangan. Sebab itu dipertikai kedudukan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan macam-macam lagi. Pengajaran kepada umat Islam ialah, kalau umat Islam dapat bersatu dalam isu-isu teras, pokok seperti isu akidah, kalau umat Islam boleh ketepikan kepentingan peribadi, kelompok, maka isu seperti kalimah Allah dan lain-lain, mereka akan berfikir dua kali untuk melakukannya dan masyarakat sendiri boleh tangani sendiri dengan baik. Jadi, apa sebenarnya yang perlu umat Islam lakukan bagi menghadapi serangan demi serangan yang dilakukan ke atas mereka dan agama Islam itu sendiri? MOHAMAD SHUKRI: Melihat kepada pelbagai ancaman, umat Islam perlu bersatu dan ia wajib. Macam mana ada kekuatan kalau tidak bersatu, bersatu teguh bercerai roboh. kedua, umat Islam sendiri perlu meningkatkan ilmu, akidah perlu diperkasakan. Orang siar dalam alam maya, kita nak jawab tak mampu, makan masa, sebab itu perlu tingkatkan ilmu. Kenapa kita juga tak isi alam maya ini dengan jawapan-jawapan terhadap setiap isu yang dibangkitkan. Ada orang hantar kepada saya bertanyakan tentang isu pluralisme, tapi kita nak ambil masa lama (nak jawab) meskipun ada hujah-hujah konkrit disebabkan kelemahan kuasai maya ini. Selain itu pentarbiahan dan pendakwahan umat Islam mesti cara baharu, kemas kini, tak boleh cara lama. Kalau kita masih main berlegar di masjid sahaja, pendengar yang dengar seratus orang, tetapi yang ini (gunakan alam maya) jutaan, mana ada peluang macam ini kalau kita sendiri tidak ambil kesempatan. Perlukah kita di Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tokoh dan ilmuwan Islam yang mampu ke depan dalam mendepani isu-isu mengenai umat Islam. Sebagai contoh Allahyarham Dr. Uthman El Muhammadi yang sanggup berhujah di peringkat antarabangsa? MOHAMAD SHUKRI: Memang itu satu usaha yang sedang diatur oleh pihak tertentu. Saya dapat maklumat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri ada satu pegawai atau tenaga yang boleh menjawab isu-isu secara serta-merta, dan memang ketokohan Dr. Uthman dikagumi dan pemergiannya satu kerugian tetapi kita masih ada ramai tokoh-tokoh yang dikagumi di peringkat antarabangsa tetapi kena perbanyakkan lagi. Sebagai contoh, dalam konteks Kelantan dulu kita ada pasukan penterjemah kitab-kitab dalam bahasa Arab sehingga jadi satu warisan, tetapi kalau nak cari hari ini, sukar, siapa yang mampu menterjemah dalam erti kata turut menghayati terjemahan itu. Ini agak berbeza dengan Indonesia yang lebih pantas dalam menerbitkan terjemahan buku-buku atau karya asing. Nasihat Datuk kepada umat Islam mengambil kira pelbagai isu berbangkit sekarang supaya perkara sama tidak lagi berulang? MOHAMAD SHUKRI: Kita diajar oleh Islam supaya melihat kehadapan, futuris. Wawasan umat Islam ialah selamat di dunia dan selamat di akhirat dan selamat pula tak masuk neraka. Itu sebenarnya mengajar kita futuris. Umat Islam hari ini perlu membaca suasana, tak boleh hanya menilai lingkaran secara dekat. Dunia pun dikatakan global, maka dia perlu melihat secara global, kena merancang secara jauh. Ertinya, umat Islam di negara kita perlu melihat jauh, kehadapan. Kadang-kadang dia hanya melihat untuk masa ini. Saidina Umar pun kata ajar anak-anak kamu untuk mereka hidup di zaman mereka. Kena ajar futuris, kena ada visi. |
Giliran Gerakan memilih barisan pemimpin hadapi cabaran PRU-14 Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT Oleh Hassan Mohd. Noor SELEPAS pemilihan UMNO berakhir kelmarin, tumpuan kini terarah kepada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan. Bagi MCA yang akan melangsungkan pemilihan akhir tahun ini, sudah nampak tanda-tanda akan berlaku perebutan hebat antara penyandang jawatan itu Chua Soi Lek dan timbalannya, Liow Tiong Lai. Perkembangan yang berlaku semalam apabila resolusi mencela Tiong Lai ditolak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku perebutan dalam parti berkenaan. Namun masih terlalu awal untuk melihat sejauh mana pergolakan dalam MCA ini. Mungkinkah selain Tiong Lai, bekas Presiden, Ong Tee Keat akan turut serta mencabar kedudukan Soi Lek? Untuk tempoh terdekat ini, eloklah fokus diberi kepada satu lagi komponen BN iaitu Gerakan. Walaupun saingan dijangka tidak sehebat pemilihan UMNO yang melibatkan pertandingan di semua peringkat jawatan kecuali Presiden dan Timbalan Presiden, pertandingan yang berlaku kali ini amat penting bagi membentuk satu barisan yang lebih mantap dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Lebih menarik, apabila pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn enggan bertanding jawatan tersebut. Beliau mahu memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin parti itu. Ko Youn memangku jawatan itu sejak 16 Mei lalu berikutan peletakan jawatan Dr. Koh Tsu Koon yang berbuat demikian kerana mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk Gerakan pada PRU lalu. Gerakan hanya menang satu daripada 11 kerusi Parlimen dan tiga daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam senario politik hari ini, Ko Youn, 56, amat mengharapkan tidak berlaku sebarang pertandingan bagi jawatan No. 1 dan No. 2. Sambil mengakui kepentingan demokrasi dalam pemilihan tetapi bagi sebuah parti yang memerlukan pemulihan, beliau bimbang kesan negatif yang akan berlaku selepas pertandingan merebut jawatan-jawatan utama dalam parti. Kebimbangannya ada asas kerana Gerakan ketika ini memerlukan kesepaduan yang jitu bagi menebus kekecewaan pada PRU lalu. Adakah Gerakan mampu menguruskan kesan negatif yang dialami selepas pemilihan ini? Sama ada mampu atau tidak menguruskan kesan negatif ini terletak kepada barisan kepemimpinan yang bakal dipilih. Pertandingan dalam Gerakan pada pemilihan minggu depan tidak dapat dielakkan. Hanya sayap Wanita Gerakan tidak berlaku pertandingan bagi jawatan ketua selepas Tan Lian Hoe menang tanpa bertanding bersama timbalannya Ng Siew Lai serta tiga naib ketua. Perebutan dalam Pemuda juga menarik perhatian apabila Timbalan Ketua Pemuda Kebangsaan, Oh Tong Keong akan berhadapan dengan Ketua Pemuda Kedah, Tan Keng Liang. Bagi jawatan Presiden, ia melibatkan perebutan antara Naib Presiden yang juga Pemangku Setiausaha Agung, Mah Siew Keong, 52 dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga bekas Setiausaha Agung, Teng Chang Yeow, 50. Dilihat pada usia, Ko Youn, Siew Keong dan Chang Yeow tergolong dalam golongan orang muda. Cuma umur mereka sahaja yang memisahkan siapa paling muda. Ko Youn bagaimanapun melihat dirinya termasuk dalam golongan orang lama kerana telah berkhidmat pada era Presiden, Dr. Lim Keng Yaik. Siew Keong dan Chang Yeow masing-masing mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan parti. Bagaimanapun dalam PRU lalu, kedua-duanya tewas. Siew Keong kalah kepada calon DAP di kawasan Parlimen Telok Intan. Siew Keong menjadi anggota Parlimen Teluk Intan (1999-2008) dan pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Pemuda Gerakan (2002-2008). Chang Yeow, bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula gagal di kawasan DUN Bukit Tengah selepas dikalahkan oleh calon PKR. Sebelum ini Chang Yeow dilihat sebagai pemimpin yang mampu memimpin Gerakan pada masa depan. Pelantikannya sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang menjelang PRU lalu menggambarkan kepercayaan parti dan BN terhadap kepemimpinannya. Bagaimanapun akibat kejutan yang dialami pada PRU lalu, beliau melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat negeri dan pusat. Dalam usia yang muda, beliau yang dilihat berpotensi untuk memimpin Gerakan seolah-olah merajuk dan berputus asa untuk meneruskan perjuangan. Tindakannya menyebabkan Gerakan kehilangan dua pemimpin utama iaitu presiden dan setiausaha agung. Ko Youn memangku jawatan presiden manakala Siew Keong, naib presiden yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan 2008 memangku jawatan Setiausaha Agung mulai 11 Mei lalu. Akhirnya pertembungan kali ini melibatkan pemimpin Gerakan yang memangku jawatan setiausaha agung selepas PRU dan bekas setiausaha agung yang meletak jawatan sesudah PRU. Adakah Chang Yeow sudah pulih daripada kejutan dan bersedia melakukan perubahan dalam Gerakan? Kesediaannya untuk kembali ke gelanggang politik Gerakan terserlah pada pemilihan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang dikosongkan oleh Dr. Teng Hock Nan. Dalam pemilihan yang diadakan, beliau menewaskan Baljit Singh. Sudah tentulah kemenangan itu mendorong beliau untuk kembali ke gelanggang di peringkat pusat dengan jawatan yang lebih mencabar. Siapa pun yang terpilih - Chang Yeow atau Siew Keong, tanggungjawab mereka untuk memulihkan kepercayaan pengundi terutama dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN. Gerakan yang sebelum ini popular dengan slogan Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan kini mengorak langkah dengan tema Cara Baharu, Harapan Baharu dan Gerakan Baharu pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan parti itu tahun ini. Langkah ini bagi memastikan Gerakan terus relevan dalam politik negara ini. Cukuplah, selama dua PRU, Gerakan dilanyak oleh DAP khususnya di Pulau Pinang yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |