Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Faktor BN mahukan Sungai Limau Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT Oleh Zulkiflee Bakar PENGERUSI SURUHANJAYA PILIHAN RAYA, TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF (TENGAH) menyaksikan calon BN Dr. Ahmad Sohaimi Lazim (kiri) bersalaman dengan calon Pas Mohd. Azam Abdul Samat di pusat penamaan calon Dewan Datuk Mahadi, Yan, Kedah, semalam. Di atas kertas, ramai yang meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan berpeluang untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sungai Limau yang berada dalam genggaman Pas. Kerusi DUN itu dianggap kubu kedua terkuat Pas di Kedah selepas DUN Tokai yang berada dalam Parlimen Pendang. DUN Sungai Limau atau dahulunya dikenali DUN Sala seolah-olah begitu kebal untuk ditembusi oleh BN apatah lagi ia dikuasai oleh Tan Sri Azizan Abdul Razak. Allahyarham dianggap tokoh yang memungkinkan Sungai Limau berada di tahap itu dan Allahyarham jugalah yang memungkinkan melalui kepimpinan di dalam Pas bukan kata Sungai Limau berada dalam genggaman Pas malah dalam pilihan raya umum 2008, parti itu berjaya menawan Kedah. Bagaimanapun Azizan tetap menjadi idola penduduk-penduduk Sungai Limau, ketabahan Allahyarham menghadapi asakan demi asakan dalam parti sendiri telah memungkinkan Allahyarham terus berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, biar pun Pas kehilangan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah. Namun pada 26 September lalu, Allahyarham kembali menemui Ilahi sehingga memungkinkan kerusi DUN Sungai Limau kosong bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan. Allahyarham Azizan bukan seperti pemimpin Pas lain, Allahyarham tidak pernah melihat pemimpin-pemimpin atau penyokong BN sebagai musuh, Allahyarham bersahabat dengan sesiapa sahaja, faktor inilah yang membolehkan Allahyarham terus menjadi pemimpin Pas yang dihormati oleh kawan dan lawan. ''Peluang BN untuk menang tetap ada kerana Pas menghadapi masalah untuk mencari pengganti seperti Azizan, dia kawan dengan semua orang tak kira parti,'' kata seorang penduduk Sungai Limau kepada penulis. Kini Pas tidak boleh lagi bergantung kepada Allahyarham untuk mempertahankan DUN Sungai Limau. Tanpa mahu memperkecilkan kewibawaan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 November ini, BN perlu diperingatkan supaya tidak terlalu gentar dengan cabaran Pas. Kita menghormati latar belakang pendidikan Mohd. Azam seorang yang bertaraf ustaz dan ia dilihat sesuai oleh Pas kerana masyarakat Sungai Limau dianggap kelompok Islamik. Tetapi UMNO tidak ada kurangnya biar pun calon mereka, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim adalah bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Biar pun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr.Ahmad Suhaimi mempunyai akhlak yang baik dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang berkesan sebagai wakil rakyat jika dipilih. Sememangnya kita mengakui, seorang ustaz amat diperlukan dalam masyarakat tetapi dalam masa sama, sebagai orang Islam kita juga diseru untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan sudah pastilah dalam soal ini, kita perlu mencari pemimpin daripada golongan yang boleh memimpin kita mencari kebahagiaan akhirat tanpa meninggalkan kebahagiaan dunia. Pas mungkin boleh mendabik dada dengan calon mereka tetapi fikirkan apakah Pas mampu membawa kesejahteraan kepada penduduk-penduduk Sungai Limau melalui pembangunan? Walaupun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr. Ahmad Suhaimi boleh dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kini sudah menjadi Ahli Parlimen Jerai dan Ketua UMNO Bahagian Jerai. Dr. Ahmad Suhaimi boleh menumpukan program-program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat bersama Jamil Khir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga boleh mengatur pelbagai program-program berunsur keagamaan. Gabungan kedua-dua pemimpin ini akan diperkukuhkan pula dengan kerjasama padu yang akan diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudah pastinya mempunyai perancangan tersendiri dengan sokongan kerajaan pusat bagaimana hendak memajukan kehidupan penduduk Sungai Limau bagi membolehkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pengundi-pengundi Sungai Limau tidak harus lagi terus terpegun dengan laungan perjuangan Islam oleh Pas atau pelbagai slogan yang pastinya akan berkumandang lagi sepanjang kempen dalam pilihan raya kecil tersebut. Sebaliknya, mereka perlu memberi ruang dan peluang kepada BN untuk menduduki semula kerusi Sungai Limau - dulu BN pernah menguasai kawasan ini dan biarlah sejarah tersebut berulang. Memang benar, apa pun keputusan ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri atau kedudukan Pas dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi BN bertanding bukan semata-mata kerana mahu merebut kerusi Sungai Limau tetapi parti itu ikhlas mahu menawarkan khidmat bakti kepada penduduk Sungai Limau. Kalau BN memikirkan soal kerusi semata-mata sudah pasti parti itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut kerana ia tidak mengubah apa-apa tetapi ini soal tanggungjawab kepada rakyat. BN mahu DUN Sungai Limau membangun seperti kawasan-kawasan lain yang berada di bawah penguasaannya. Justeru penduduk Sungai Limau tidak harus terus bernostalgia dengan politik Pas. Berilah peluang kepada BN untuk membuktikan keupayaannya dan kita yakin sebagai kawasan kubu kuat parti lawan yang berjaya diranapkan dalam pilihan raya kecil kali ini, kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Mukhriz pasti akan benar-benar menghargai kepercayaan yang diberikan. Oleh itu, fikirkanlah dengan semasak-masaknya tawaran yang dibuat oleh BN dalam pilihan raya kecil kali ini, bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, teruslah menjadi ahli Pas tetapi undilah BN untuk kesejahteraan hidup mereka. Mungkin seruan ini nampak ganjil tetapi faktanya kita menyokong sesebuah parti itu adalah untuk memastikan kehidupan kita terbela tetapi Pas sudah terbukti tidak mampu berbuat demikian, oleh itu kalau mahu terus mengekalkan semangat Pas kerana masih berpegang kepada perjuangan Islam parti itu, teruskanlah, tetapi mengundilah BN kerana parti itu berupaya menjadikan sebuah perjuangan itu bukan sekadar slogan tetapi realiti dalam usaha kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. |
Meramaikan jaguh usahawan Melayu Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT Oleh Dr. Mohammad Ismail Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan produk sos cili Alhikmah ketika mengunjungi gerai perniagaan sos cili dan kicap keluaran Al-Hikmah Sdn. Bhd. selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) 2013 di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya baru-baru ini. KUD adalah antara salah satu usaha yang dilakukan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi bumiputera di luar bandar. Isu tentang agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang dilancarkan secara simbolik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam baru-baru ini mungkin ada dalam senarai topik tumpuan Bajet 2014. Perkara melibatkan pemerkasaan bumiputera perlu terus dibincangkan agar agenda penting ini tidak hanya tinggal sebagai satu 'agenda' semata-mata tanpa pelaksanaan yang perlu dibuat secara holistik. Agenda penting ini perlu terus diperdebatkan agar kedudukan, penglibatan dan prestasi bumiputera dalam bidang perniagaan dan penguasaan ekonomi dapat menghasilkan satu 'tonik' yang dapat membantu 'survival' bumiputera. Agenda nasional ini sangat penting dalam memastikan orang Melayu dan bumiputera yang mewakili 67 peratus rakyat negara ini dapat mempertingkatkan ekonomi mereka ke tahap yang lebih tinggi. Dalam memastikan agenda ini tidak hanya dapat dinikmati oleh sebahagian kecil kelompok bumiputera sahaja, satu anjakan yang besar dalam membantu usahawan perlu dilakukan. Tidak cukup sekadar melancarkan kempen dan slogan. Sebaliknya, usahawan-usahawan kecil di kampung-kampung perlu 'dicari' dan dibantu sepenuhnya untuk meningkatkan perniagaan mereka. Mungkin sudah ada yang dibantu tetapi hakikatnya masih ramai yang terkontang-kanting bertahun-tahun menjalankan perniagaan dengan cara lama. Adakah kita sudah cukup berbangga dengan hanya satu atau dua nama bumiputera sahaja yang berjaya? Adakah kita sudah berjaya jika masih ada kaum bumiputera yang berpuluh tahun dulu berniaga kedai makan, kedai photostat, kedai alat tulis sehingga sekarang masih berniaga dengan cara yang sama, saiz kedai yang sama bahkan pekerja pun masih ada yang sama. Kita harus menerima hakikat yang kita perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' dalam kalangan Melayu dan bumiputera. Setiap tahun kita menyenaraikan kedudukan orang terkaya di Malaysia oleh beberapa agensi. Namun, hanya dua atau tiga nama Melayu atau bumiputera yang dicatat setiap tahun. Paling menyedihkan bila senarai dikecilkan kepada 10 terkaya, tinggallah satu nama. Apakah kita sudah boleh berbangga dan berpuas hati dengan satu atau dua nama sahaja? Agenda nasional ini perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' usahawan Melayu dan bumiputera. Agenda nasional ini tidak akan berjaya sekiranya gagal 'menjemput' kaum bumiputera khususnya generasi muda untuk melibatkan diri secara serius. Penglibatan secara holistik daripada semua pihak termasuklah golongan bawahan dan pertengahan adalah penting dalam memastikan ke lima-lima fokus pemerkasaan berjaya direalisasikan. Hakikat yang perlu kita akui, kita masih dibelenggu 'penyakit' lama, iaitu sikap ingin cepat kaya. Lihat saja berapa ramai orang kita yang menjadi mangsa dengan program yang kononnya akan menjadikan mereka 'kaya ekspres', ramai yang menjadi mangsa adalah orang yang kita panggil bumiputera dan Melayu. Penyakit ini perlu dicegah daripada menular dalam kehidupan bumiputera. Sikap tidak yakin pada diri sendiri juga adalah salah satu penyakit lama yang masih menebal. Satu program bersepadu perlu digerakkan untuk mengubati penyakit ini. Bumiputera Self-Transformation Program (BSTP) boleh dilakukan dengan kerjasama IPTA tempatan untuk memastikan kumpulan sasaran ditransformasi terlebih dahulu sebelum melaksanakan agenda pemerkasaan bumiputera dengan lebih terperinci. Satu ketika dulu penulis pernah mencadangkan semasa memberi maklum balas terhadap Kongres Ekonomi Bumiputera yang lalu, satu unit khas 'National Entrepreneurship Institution' yang boleh mengambil peranan dalam pembangunan usahawan bumiputera perlu diwujudkan bagi tujuan tersebut. Kini, Majlis Ekonomi Bumiputera akan ditubuhkan dan penubuhan unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di semua kementerian diharapkan akan dapat menarik lebih ramai penyertaan dan memberi peluang yang lebih besar kepada usahawan. Penubuhan unit dan majlis ini menjelaskan lagi betapa kerajaan begitu serius dalam memastikan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera mencapai kejayaan. Kita berharap TERAJU yang menjadi sandaran dan harapan bumiputera benar-benar memainkan peranan sebagai 'teraju' dalam memperkasakan ekonomi bumiputera. Kalau ibarat kita bermain wau, jika kena terajunya pasti wau akan naik tinggi walaupun angin tidak begitu mencukupi. Sebaliknya, walaupun mempunyai angin yang cukup tapi teraju yang tidak menjadi, wau bukan sahaja tidak naik bahkan akan tunduk jatuh menyembah bumi. Isu lama yang telah menjadi 'barah' dalam membincangkan ekonomi Melayu dan bumiputera adalah soal ketirisan. Isu mengenai distribution justice perlu ditangani sepenuhnya agar pemerkasaan ekonomi bumiputera ini mampu meresap masuk kepada golongan sasaran. Kita juga berharap melalui dasar afirmatif kerajaan, kekayaan dapat diagihkan secara adil kepada semua bumiputera dan tidak hanya kelompok tertentu sahaja. Sokongan semua pihak amat ditagih dalam memastikan pemerkasaan ekonomi bumiputera menjadi realiti. Selagi ia memberi manfaat kepada orang Melayu, bumiputera dan orang Islam sepatutnya semua pihak menyokong dalam merealisasikan hasrat murni tersebut. Sudah sampai masanya kita keluar daripada kepompong lama, kita harus bersifat terbuka dan sentiasa berusaha merebut peluang demi kelangsungan ekonomi bumiputera. Tidak perlu kita riuh rendah dengan hanya sebiji telur yang dikeluarkan sedangkan 'itik-itik' dan 'angsa-angsa' lain sibuk mengeluarkan telur yang banyak tanpa riuh rendah dan bertelagah. Bumiputera dan Melayu khususnya perlu lebih proaktif dan berani menggalas cabaran dalam meningkatkan ekonomi bumiputera. Jangan jadi sekali air bah, sekali pasir berubah. Apa guna kita bertelagah sekiranya kaum bumiputera yang rugi, marilah kita rapatkan barisan bulatkan tekad untuk kesejahteraan ekonomi bumiputera dan umat Islam. Pembentangan Bajet 2014 diharap ada berita baik tentang penambahan peruntukan untuk memperkasa agenda ekonomi bumiputera. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |