Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT Oleh ZULKIFLI JALIL MALAM tadi sekitar pukul 8.30 malam (2.30 petang waktu Geneva, Switzerland), tuntutan-tuntutan melampau daripada Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) pada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) telah didengar. Comango yang dianggotai 54 pertubuhan termasuk Suaram dan Sisters in Islam adalah kumpulan yang mempunyai ideologi hak asasi tertentu. Rata-ratanya cenderung ke arah Barat dan sekular. Di Geneva, kerajaan perlu menempuh proses UPR di mana Malaysia perlu menjawab beberapa tuntutan yang dikemukakan Comango berhubung kepatuhan terhadap undang-undang hak asasi manusia. Ini termasuk kebebasan perlu diberikan kepada orang Islam untuk murtad. Juga, ruang untuk mereka yang bernafsu sejenis dibenarkan melampiaskan nafsu mengikut pilihan mereka sendiri tanpa melalui sekatan undang-undang. Dalam 'insiden' ini, jangan dipandang remeh pengaruh UPR kerana impaknya memang besar. Ingatkah lagi rakyat Malaysia apa yang terjadi dalam pusingan pertama UPR di Geneva pada 11 Februari 2009. Syor-syor pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Ordinan Darurat (EO) 1969 yang diutarakan dan ditandatangani dalam pusingan itu akhirnya telah menuntut komitmen kita. Untuk mengelakkan perkara yang lebih teruk lagi berulang, Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) terpaksa bergegas ke Geneva. Di Geneva, Comango dan MuslimUPro merupakan pelobi. Kalau hanya mendengar suara Comango, ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi keputusan delegasi antarabangsa. Sesetengah wakil negara luar pula tentu akan turut melobi apa yang dituntut oleh Comango. Pihak yang membawakan isu tuntutan ini realitinya memang mereka penuh 'bermasalah'. Ada hitam putih dalam laporan Comango. Ada perenggan tertentu yang mahu menuntut hak-hak bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Dan menggugat Islam dalam budaya masyarakat majmuk yang telah semua pihak terima. Ini yang orang Melayu tidak boleh terima sehinggakan dalam jenayah syariah pun, mereka (Comango) anggap pelanggaran hak asasi. Bagi Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, tuntutan-tuntutan melampau Comango seharusnya 'mencelikkan mata' umat Melayu Islam betapa perlunya mereka bersatu. Comango, kata beliau, sebenarnya telah lama mengutip 'butiran-butiran serong' untuk dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan masyarakat antarabangsa. Ini antaranya bertujuan memperkecilkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan. Malahan, kata beliau, beberapa kes melibatkan hak-hak agama Islam menerusi keputusan Mahkamah Syariah dan tindakan majlis agama Islam negeri-negeri juga dikemukakan oleh gabungan 54 pertubuhan itu secara berasingan ke UPR sebagai kononnya pentadbiran Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas-lunas Islam. "Sejak saya menjadi Menteri Luar lagi, mereka dah cuba. Ini semua akan dilaporkan mereka (Comango) sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia. "Sebenarnya sekarang ini ada gerakan antarabangsa yang dicetuskan oleh pihak- pihak yang suka hendak menjejaskan Malaysia khasnya dan umat Islam amnya di Asia Tenggara. "Ini melibatkan Malaysia dan Indonesia. Indonesia merupakan negara Islam yang jumlah umat Islamnya terbesar di dunia sementara Malaysia negara Islam paling progresif. "Jadi, ini contoh (tuntutan Comango) kalau kita umat Melayu Islam tidak bersatu, orang akan pertikaikan," kata bekas Menteri Luar itu kepada penulis kelmarin. Rais berkata, beberapa kes misalnya melibatkan seorang wanita Islam murtad, 'Lina Joy' juga dijadikan kes lampiran oleh Comango untuk menunjukkan sistem hukuman negara membelakangi hak asasi manusia. "Selain itu, pembangunan masjid dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga dijadikan bahan kritikan sebagai kononnya Malaysia keterlaluan dalam memajukan Islam sehingga menyebabkan kaum- kaum lain tidak sampai ke tahap progresif. "Dan kononnya kemajuan bukan Islam juga terpinggir. Ini semua bidaah yang digaul dengan politik antarabangsa," kata beliau yang juga Presiden UIAM. Serentak itu, Rais menggesa seluruh NGO yang memegang dan memperjuangkan prinsip-prinsip Islam dan Melayu supaya tampil menangkis tohmahan-tohmahan daripada Comango. "Kita mesti tunjukkan komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selama ini kepada rakyat dan NGO bukan Islam yang juga amat besar, sumbangan kepada Sabah dan Sarawak menerusi badan-badan yang berkait rapat dengan Kristian harus dinyatakan. "Yang paling utama, kita mesti tunjukkan Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3) sama sekali tidak mengetepikan kepentingan bukan Islam termasuk membenarkan kebebasan beragama secara aman. "Jika (tuntutan Comango) ini tidak ditangkis, rating Malaysia dalam harakat hak asasi manusia di peringkat antarabangsa akan terjejas teruk," katanya. Di sebalik kemarahan umat Islam negara ini terhadap Comango, kita mengharapkan wakil kerajaan di Geneva malam tadi yang berpegang teguh pada asas Perlembagaan negara menjadi pelobi yang berwibawa. Banyak contoh Perdana Menteri berdamping rapat dengan masyarakat bukan Islam. Di Batu Caves, Selangor; Sabah dan Sarawak serta dalam perayaan-perayaan Deepavali, Gong Xi Fa Chai dan Hari Natal, kemesraan pemimpin dan rakyat jelas amat ketara. Malam tadi, delegasi rasmi kerajaan membentangkan laporan prestasi empat tahun lepas sejak proses terakhir 2009. Dan ini membuka ruang kepada orang lain mengemukakan laporan dan komentar mereka. Proses UPR berlangsung dalam bentuk perundingan dan sesi khusus itu berlangsung selama tiga jam bagi slot Kuala Lumpur. Dan beberapa hari lagi iaitu pada 29 atau 30 Oktober ini, delegasi dan kerajaan akan mengisytiharkan syor yang akan diterima, syor ditolak atau tiada komen. Kita iringkan doa semoga kebenaran berpihak kepada kerajaan. |
Bajet 2014, transformasi zakat Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT Oleh Ram Al Jaffri Saad Sesi Pembentangan Bajet di Parlimen setiap tahun sering menarik perhatian rakyat daripada pelbagai peringkat untuk mengikutinya. HARI ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2014 di Parlimen. Masyarakat di semua peringkat pasti ternanti-nanti isi kandungan bajet berkenaan. Tentunya akan ada pelbagai elemen kejutan dan tawaran menarik untuk rakyat yang akan diumumkan untuk dilaksanakan pada 2014. Bagi penulis, adalah menjadi harapan agar dalam bajet yang akan dibentangkan nanti agenda transformasi zakat di negara kita akan mendapat perhatian serius oleh pihak kerajaan. Usaha dan strategi baru perlu disuntik bagi melestarikan lagi peranan zakat dan institusi zakat dalam usaha memperkasakan pembangunan ummah. Pada dasarnya, terdapat dua isu zakat yang boleh direkayasakan dalam bajet 2014 nanti. Dua isu tersebut ialah zakat korporat dan penubuhan Lembaga Zakat Negara (LZN). Isu zakat korporat telah diperdebatkan sejak sekian lama dan masih tiada penyelesaian mutlak diputuskan oleh mana-mana pihak. Keadaan ini telah menyukarkan syarikat-syarikat korporat untuk melaksanakan tanggungjawab berzakat. Ini kerana menurut perlembagaan persekutuan, syarikat korporat bukanlah individu Islam, maka tanggungjawab zakat tidak diwajibkan ke atas syarikat kepunyaan orang-orang Islam. Keadaan ini telah menimbulkan masalah kepada syarikat-syarikat ini kerana secara tidak langsung mereka terpaksa membayar dua kali 'cukai', iaitu cukai perniagaan dan zakat korporat. Kedudukan ini bukan sahaja dibimbangi membebankan mereka malah akan merencatkan niat dan gelagat mereka untuk membayar zakat. Walaupun kerajaan telah memberikan potongan sebanyak 2.5% ke atas pendapatan agregat syarikat bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan, namun jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah zakat yang perlu dikeluarkan oleh syarikat. Natijahnya, syarikat Muslim membuat keputusan untuk tidak membayar zakat kerana ia akan memberi kesan kepada kos operasi perniagaan. Pernyataan ini disokong oleh data statistik kutipan zakat dengan jumlah peniaga yang berdaftar dan aktif menjalankan perniagaan. Laporan zakat menunjukkan kurang daripada 10% syarikat Muslim di seluruh negara membayar zakat perniagaan. Keadaan ini amat mendukacitakan sekali. Hal ini sudah pasti menjejaskan usaha pembangunan ummah. Hanya dengan peningkatan kutipan zakat secara berterusan mampu memastikan pelaksanaan zakat dapat dilakukan dengan lebih baik. Justeru, Bajet 2014 disaran agar lebih mesra zakat korporat melalui dua strategi. Pertama, pelarasan tafsiran individu dan syarikat antara Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Perlembagaan Persekutuan. Pada amalan sekarang, Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan bahawa cukai pendapatan syarikat dikenakan ke atas keuntungan daripada perniagaan. Sedangkan di dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undang-undang Islam hanyalah diterimapakai ke atas individu Islam. Ini menunjukkan kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang mewajibkan syarikat korporat membayar zakat perniagaan. Oleh yang demikian, bajet 2014 perlu menyediakan inisiatif bagi meminda undang-undang sedia ada untuk mewajibkan zakat dikenakan ke atas syarikat korporat Muslim. Kedua, zakat korporat harus menerima layanan rebat cukai sepertimana zakat pendapatan individu. Bagi zakat pendapatan, rebat cukai 100% telah diberikan kepada mana-mana individu yang membayar zakat kepada institusi agama yang sah. Perkara ini termaktub di dalam Akta Cukai Pendapatan 1967. Justeru, bagi menggalakkan syarikat korporat membayar zakat perniagaan, maka rebat cukai harus diperluaskan kepada zakat korporat. Rebat cukai ini perlu diberikan kepada keseluruhan jumlah zakat korporat yang telah dibayar dan bukan hanya potongan 2.5% daripada pendapatan agregat syarikat seperti yang diamalkan sekarang. Pengumuman insentif ini di dalam bajet nanti pasti menggembirakan syarikat-syarikat korporat Muslim. Isu kedua yang wajar diberikan perhatian dalam bajet 2014 ialah penubuhan segera Lembaga Zakat Negara (LZN). Penubuhan LZN diyakini akan memberikan banyak manfaat kepada pengurusan zakat amnya dan kemajuan ummah khususnya. Meskipun negara telah mempunyai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di peringkat persekutuan, namun peranannya dilihat terbatas dan diselubungi oleh undang-undang sedia ada yang menyukarkan pengurusan yang lebih komprehensif di peringkat nasional sepertimana Tabung Haji. Dengan adanya LZN, masalah ketidakseragaman pentadbiran dan pengurusan zakat pada masa sekarang dapat diatasi. Isu-isu seperti perbezaan taksiran zakat, ketidakcekapan pengurusan kutipan dan agihan zakat dan pembayar yang tidak mengikut sempadan negeri dapat dikurangkan. Dana zakat juga dapat dikembangkan dengan lebih baik di bawah LZN. Menurut sejarah perkembangan zakat di negara kita, idea penubuhan LZN pernah diutarakan sekitar 2003 dan 2004 lagi. Namun kegagalan menjadikannya satu realiti ditunjangi oleh beberapa faktor seperti bertentangan dengan perlembagaan dan kebimbangan terhapusnya bidang kuasa negeri berkaitan zakat. Dalam soal ini, LZN harus dilihat dalam konteks yang berbeza dan merentasi ruang lingkup definasi undang-undang sedia ada. Ini bermaksud konsep LZN dijadikan sebagai sebuah badan korporat yang diurus tadbir oleh profesional. Ahli-ahli LZN hendaklah terdiri daripada gabungan wakil-wakil institusi zakat negeri yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja. Kuasa autonomi pengurusan dan pentadbiran zakat hendaklah diberikan kepada LZN dan diiktiraf oleh kerajaan persekutuan. Sebarang usaha dan strategi pelaksanaan pelan perancangan zakat negara diserahkan sepenuhnya kepada LZN. Ini termasuklah hal pentadbiran dan pengurusan kutipan dan agihan zakat di semua negeri. Sebagai permulaan, lebihan wang zakat di negeri-negeri dikumpulkan dan diuruskan oleh LZN. Bagi penulis, pentadbiran dan pengurusan zakat wajar melalui satu transformasi melalui bajet 2014. Sejak kali terakhir mendapat perhatian di dalam bajet 2007, hampir enam tahun zakat seperti 'dipinggirkan'. Sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan negara, maka sudah tiba masanya zakat ditransformasikan kepada satu tahap yang lebih tinggi daripada apa yang ada pada masa sekarang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |