Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 06 Oct 2013 12:02 PM PDT AWAL pagi Khamis lalu, Akta Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasaan) 2013 diluluskan oleh Dewan Rakyat. Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), undang-undang baharu tersebut dilihat akan memberi lebih tenaga kepada mereka dalam menangani jenayah khususnya jenayah terancang. Namun sebelum itu terdapat bantahan daripada pelbagai pihak yang mendakwa kononnya akan berlaku penganiayaan terhadap mana-mana individu yang ditahan di bawah akta berkenaan. Bagi peguam jenayah kanan, RANJIT SINGH DHILLON, beliau menganggap mereka yang membantah itu sebagai golongan yang tidak faham undang-undang. Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurugambar, SAZALI CHE DIN di Pulau Pinang, Ranjit yang juga Pengerusi Kerusi Undang-undang Jenayah, Jawatankuasa Peguam Negeri menerangkan serba sedikit mengenai PCA bagi membolehkan masyarakat umum memahaminya. UTUSAN: Kenapa terdapat tentangan yang begitu kuat terhadap pindaan PCA ini? RANJIT: Keadaan demikian berlaku berikutan salah faham di antara pihak-pihak tertentu seperti ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Peguam yang menyamakan pindaan baharu itu dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan khasnya dari segi skop serta penguatkuasaan. Apakah salah faham yang dimaksudkan itu? ISA merangkumi skop kesalahan yang lebih meluas terhadap badan atau individu yang melakukan kesalahan memudaratkan ketenteraman awam, misalnya membangkitkan ketegangan antara kaum, mengkritik secara tidak berasas sehingga menaikkan perasaan marah di kalangan masyarakat. Keadaan sebegini boleh disifatkan sebagai berbau politik jika diberi penterjemahan yang liberal. PCA sebaliknya mempunyai tujuan spesifik serta mensasarkan kumpulan tertentu iaitu memerangi sindiket jenayah terancang, berbahaya dan mengancam ketenteraman awam serta negara. Kumpulan sebegini mempunyai reputasi sehingga tidak menggalakkan orang awam menjadi saksi kerana takut diri individu terbabit akan terancam. Mengapa ada pihak mendakwa PCA melanggar hak asasi dan menggalakkan penahanan suspek tanpa perbicaraan? Ini juga merupakan salah tafsir malahan kedaifan pihak-pihak tertentu khususnya ahli politik yang mempunyai agenda tersendiri. PCA memperuntukkan penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah yang terdiri daripada tiga orang panel yang mengadili kes. Pengerusi lembaga itu juga wajib dijawat oleh bekas atau orang berkelayakan setaraf dengan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi. Penahanan untuk tempoh dua tahun haruslah diluluskan terlebih dahulu oleh lembaga ini. Pada peringkat ini, adalah dihujahkan bahawa representasi kesahihan tahanan sedemikian dapat dipertikaikan sama ada oleh tahanan sendiri atau melalui khidmat peguam berserta pemanggilan saksi-saksi tahanan jika diperlukan. Peringkat ini boleh didefinisikan sebagai peringkat cabaran substantif atau peringkat perbicaraan intipati kebolehpercayaan tuduhan-tuduhan terhadap tahanan. Di bawah PCA, adakah penahanan dua tahun ini secara automatik? Tidak automatik. Seperti dinyatakan di atas, tapisan dibuat daripada kes ke kes oleh lembaga selepas melalui proses pengadilan seperti perbicaraan di mahkamah dengan laporan siasatan yang lengkap. Tambahan pula, prasyarat penahanan dua tahun ini adalah tahanan telah melanggar perintah pengawasan yang telah dikenakan terdahulu ataupun tahanan penjenayah berdaftar telah pun melakukan dua atau lebih jenayah berat berserta laporan siasatan yang mempunyai keterangan kukuh untuk menyokong intipati kesalahan. Adakah penahanan suspek berakhir di situ? Tidakkah suspek boleh mencabar perintah penahanan dua tahun di mahkamah? Tahanan boleh mencabar di Mahkamah Tinggi melalui permohonan habeas corpus iaitu penahanannya melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Peringkat ini adalah cabaran terhadap ketidakpatuhan tatacara atau prosedur proses tahanan yang tidak mengikut lunas undang-undang. Peringkat ini melibatkan penyeliaan ketat oleh pihak mahkamah untuk mentafsirkan hak asasi tahanan. Permohonan membebaskan tahanan boleh berjaya hanya di atas kesilapan-kesilapan teknikal perintah misalnya tiada nama atau cop pegawai penahanan, kesilapan menaip dalam afidavit pihak tahanan, tiada dokumen sokongan dalam afidavit, kegagalan pegawai yang sepatutnya mengikrar afidavit malahan merangkumi kesilapan ejaan nama atau tarikh tertentu. Ini menunjukkan begitu ketatnya badan kehakiman menjaga dan memelihara hak-hak asasi tahanan yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Seterusnya, jika pada peringkat itu iaitu di Mahkamah Tinggi, tahanan gagal mencabar penahanannya, dia masih lagi berhak membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada lima orang panel. Jelaslah, hak representasi serta cabaran tahanan terus terpelihara dalam sistem pengadilan proses perbicaraan negara kita. Harus diingatkan bahawa PCA tidak memberi hak representasi tersebut, jadi tahanan mestilah mangambil langkah-langkah proaktif dan rasmi bahawa dia memerlukan khidmat peguam dan bercadang memanggil saksi-saksi semasa proses penyiasatan. Untuk menjamin tidak berlaku berat sebelah serta bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan maka permintaan tahanan seharusnya dibenarkan kecuali permintaan demikian bertujuan tidak munasabah. Apakah perbezaan antara PCA dengan Ordinan Darurat (EO)? Di bawah EO, Menteri Dalam Negeri yang mengeluarkan Perintah Tahanan dua tahun iaitu fungsi pengadilan diambil alih oleh Menteri. Berbeza dengan PCA, Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan Perintah Tahanan menurut sistem siasatan yang lebih berteras perbicaraan substantif intipati-intipati kesalahan berdaftar. Menteri tiada peranan langsung dalam pengeluaran Perintah Tahanan dua tahun, justeru PCA bukanlah pengeluaran perintah tahanan eksekutif Menteri tanpa perbicaraan seperti dalam EO dan ISA. Selain PCA, adakah terdapat rang undang-undang lain yang memperuntukkan tahanan di bawah kegiatan-kegiatan jenayah lain? Memang terdapat Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 yang digubal untuk membendung aktiviti-aktiviti pengedaran dadah berbahaya secara bersindiket. Rang undang-undang ini masih kekal sehingga ke hari ini dan memberi kuasa tahanan selama dua tahun daripada Menteri Dalam Negeri. Kuasa tahanan ini adalah mutlak di bawah tangan Menteri Dalam Negeri, dalam erti kata lain beliau mempunyai kata putus sama ada suspek harus ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak kerana aktiviti-aktiviti yang melibatkan dadah berbahaya. Kenapa pula rang undang-undang berbahaya ini tidak pernah dikritik atau didesak pemansuhannya oleh badan-badan tertentu khususnya Majlis Peguam dan NGO berkaitan hak asasi? Jawapannya senang, iaitu ADB memang begitu berkesan membendung aktiviti sindiket dadah berbahaya di negara ini. Keberkesanan rang undang-undang ini memang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pengkritik hak asasi manusia selama ini. Tambahan pula, mustahil kesemua 'taukeh' sindiket ditangkap semasa berurusan' untuk dikenakan pertuduhan di mahkamah. Mereka yang menjadi nadi penggerak sindiket sedemikian lebih merupakan perancang dan selalunya keldai-keldai dadah yang dihadapkan di mahkamah. Tidakkah ini merupakan tindakan hipokrit, iaitu berdiam diri tentang ADB tetapi membuat bising' terhadap undang-undang pencegahan jenayah bersindiket seperti PCA? Itulah yang saya tidak faham tindakan golongan sebegini. Mereka mengiktiraf ancaman dadah berbahaya tetapi memandang sebelah mata ancaman sindiket jenayah yang melibatkan senjata api serta kekerasan. Dalam melindungi kargo dadah mereka, sindiket-sindiket ini melengkapkan ahli-ahlinya dengan senjata api untuk menjaga dadah bernilai jutaan ringgit bahkan sanggup bertelingkah dengan kumpulan-kumpulan lain sehingga sanggup berbunuhan demi mempertahankan 'perniagaan' masing-masing. Dadah dan senjata api, sebenarnya saling bertindih dan saling berganding bahu, jadi PCA diperlukan. Pejuang hak asasi ini memilih menutup mata kepada satu kegiatan tapi nampak berjuang habis-habisan terhadap satu lagi kegiatan yang berhaluan sama. Mungkinkah agenda politik peribadi atau agenda berkumpulan tertentu menjadi faktor penentangan terhadap apa sahaja yang dicadangkan oleh kerajaan? Harus diingat bahawa kritikan jika mahu dibuat haruslah bersifat membina, bukannya 'tin kosong' tanpa sebarang cadangan bagi memperbaiki keadaan. Akhir sekali, apa rumusan anda terhadap pindaan PCA? PCA diperlukan. Penjenayah sekarang amat terancang termasuk mahir menggunakan teknologi maklumat (IT). Semakan dari semasa ke semasa mungkin diperlukan untuk mengemas kini PCA. Percayalah kerajaan menggubal PCA untuk keamanan dan kesejahteraan negara, bukan mengguna mengikut kehendak hati sendiri tetapi untuk rakyat. Akhir kata, dengan taring PCA ini, keadaan di jalanan akan lebih selamat untuk kita. |
Kempen bukan sekadar pengenalan calon di pentas Posted: 06 Oct 2013 12:02 PM PDT Oleh Hassan Mohd. Noor HARI ini, anggota UMNO akan dapat mengetahui kedudukan muktamad siapa yang selamat untuk bertanding atau tidak. Masih ada lebih kurang seminggu untuk sayap dan dua minggu untuk peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi menjelang pemilihan UMNO pada 12 dan 19 Oktober ini. Ketika ini calon-calon yang bertanding sibuk berkempen memperkenalkan diri dari satu negeri ke satu negeri. Semalam, mereka yang menawarkan diri bertanding berada di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bagi calon-calon yang berkesempatan, mereka berpeluang menunjuk muka kepada para perwakilan di tiga negeri itu manakala yang tidak berpeluang berbuat demikian terpaksa melupakannya. Mungkin sekadar menghantar ejen calon yang mengedarkan bahan-bahan yang boleh memperkenal atau mempromosi diri mereka. Dalam tempoh berkempen ini, seperti yang dijangka sudah ada suara-suara yang menyatakan rasa tidak puas hati mengenai syarat berkempen untuk memperkenalkan diri. Ada yang berkata, kaedah sekarang adalah kerja buang masa. Bayangkan dalam satu hari, tiga negeri terpaksa dijelajah seperti berlaku semalam - mula-mula Kelantan, kemudian Terengganu dan pada sebelah malamnya Pahang. Kaedah yang ada iaitu sesi pengenalan calon yang dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Negeri, mereka yang menawarkan diri bertanding hanya diperkenalkan di atas pentas tanpa diberi peluang untuk berucap menyatakan visi dan misi masing-masing di hadapan perwakilan. Mungkin disebabkan kesuntukan masa. Apabila selesai mengelilingi seluruh negara termasuk Sabah (kecuali Sarawak), maka mereka yang tidak ada sebarang jawatan hanya menunggu hari pemilihan. Ada yang bimbang tindak tanduk mereka berkempen secara sendirian mengundang bahaya terlanggar etika pemilihan. Silap haribulan nama mereka disingkirkan atau kalau menang, kemenangan dibatalkan. Sebenarnya, ramai calon yang masih keliru mengenai had mereka untuk berkempen. Seperti yang diselak sebelum ini, biarlah mereka ini berkempen dengan apa cara sekalipun asalkan tidak melanggar peraturan parti atau memburukkan orang lain yang turut menawarkan diri untuk bertanding. Minggu lalu, Selak juga turut mempersoalkan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media? Keadaan ini berbeza bagi calon yang mempunyai jawatan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan pusat atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai aktiviti untuk mempromosi diri tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak langsung. Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah mengelakkan gejala politik wang dan kempen memburukkan orang lain. Apa yang penting elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Inilah etika penting yang perlu dijaga iaitu menolak politik wang dan memburukkan orang lain. Langkah memberi kebebasan berkempen yang ada batasannya ini diharap dapat memberi ruang kepada calon-calon yang kurang dikenali atau mungkin tidak dikenali berkempen menjelang pemilihan parti pada 12 dan 19 Oktober ini supaya perwakilan lebih mengenali mereka. Perwakilan lebih mengenali mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menteri atau timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri atau exco kerajaan negeri. Begitu juga yang memegang jawatan dalam beberapa badan berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain. Tetapi berapa ramai yang mengenali calon-calon ini berbanding yang berstatus menteri, timbalan menteri, menteri besar atau ketua menteri? Jawatan juga khabarnya belum menjamin perwakilan mengenali calon berkenaan di samping isu yang dihadapi. Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan ketika menegur kaedah berkempen itu berkata: Kalau tak boleh pergi sana, pergi sini dan tak dibenarkan untuk berjumpa, susahlah, lagi pun sekarang ini pemilihan daripada akar umbi. Kalau kita tak pergi jumpa akar umbi macam mana dia nak kenal Mohamad bin Haji Hasan, orang Tumpat tak kenal saya. Ini tak beri peluang kepada calon. Itu rintihan seorang calon yang mempunyai kedudukan, apatah lagi bagi yang tiada apa-apa. Semoga rintihan ini mendapat perhatian supaya demokrasi dalam UMNO diperkasakan serta menjadi contoh kepada parti lain semasa membuat pemilihan. PERANAN MELAYU DALAM DAP MASIH menjadi bualan mengenai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada minggu lalu. Cakap-cakap yang berlegar ialah berkaitan amaran DAP kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), jumlah perwakilan yang tidak hadir, undi popular dan Melayu dalam DAP. Sudah ada laporan polis berhubung apa yang dikatakan ugutan terhadap ROS. Turut menarik perhatian ialah jumlah undi yang diperoleh hasil pilihan 1,725 perwakilan (1,663 undi sah, 62 undi rosak). Berkait isu jumlah undi ini menimbulkan persoalan siapa paling layak menjadi Setiasuaha Agung DAP. Seperti diketahui umum, mendahului senarai dalam kelompok 20 calon memperoleh undi tertinggi ialah anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang mendapat 1,438 undi berbanding anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (1,304 undi) di tangga ke-5. Pada pemilihan Disember 2012, Chin Tong memperoleh 984. Ini bermakna jumlah undinya meningkat. Guan Eng pula mengalami kemerosotan apabila undinya jatuh sebanyak 272 undi. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, di Kluang, daripada 75,308 undi yang dikeluarkan, Chin Tong mendapat 40,574 undi sementara di Bagan, daripada 59,796 kertas undi, Guan Eng memperoleh 46,466 undi. Ini angka berkaitan undi yang menarik perhatian. Bagaimana pula undi untuk Melayu DAP? Lapan orang bertanding. Zairil, orang kuat Guan Eng terselamat di tangga ke-12 setelah memperoleh 1,132 undi. Beliau memperbaiki kedudukan berbanding 803 undi pada 2012. Melayu lain ialah Ariffin S.M Omar di tempat ke-28 (441 undi) berkongsi kedudukan dengan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ahmad Ton (351), Zulkifli Mohd Noor (220), Solaiman Op Syed Ibrahim (103) dan Harun Ahmad (87). Roseli Abdul Ghani yang menarik diri masih mendapat 61 undi berbanding pemilihan lalu memperoleh 69 undi. Bagi memenuhi kuota Melayu, Ariffin, anggota Dewan Negara kemudiannya dilantik sebagai salah seorang naib pengerusi. Begitulah kedudukan Melayu dalam DAP. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |