Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Strategi Lautan Biru eratkan PDRM, ATM
- Peluang masyarakat kenali fungsi pasukan keselamatan
- Indeks jenayah NS turun 3.6%
Strategi Lautan Biru eratkan PDRM, ATM Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT Oleh AINAA MARDHIAH MOHD GHAZALI SATU lagi aksi merbahaya daripada anggota tentera yang dipersembahkan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kolaborasi PDRM dan ATM di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS). SEREMBAN 10 Okt. - Pelaksanaan Strategi Laut Biru bukan sahaja membawa kesan bagi mengeratkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM) malah membawa impak positif dalam usaha meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan negara. Lebih membanggakan, kejayaan inisiatif itu turut memperlihatkan kedaulatan dan keharmonian negara terus dapat dipelihara bersama. Paling utama, matlamatnya adalah untuk memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman damai di negara ini tanpa dibelenggu ancaman. Menurut, anggota Trafik Cawangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Sarjan Zulhijjah Zulkifli, 53, program bersama itu memberikan dimensi baru serta perakuan bahawa polis dan tentera boleh menjadi satu entiti dalam tugas menjaga keamanan negara. ''Kini kami lebih memahami kehendak tugas seorang anggota polis dan mereka juga lebih memahami tuntutan tugas seorang anggota tentera. ''Jalinan kerjasama ini secara tidak langsung akan memudahkan proses kerja bagi kedua-dua pasukan keselamatan negara ini," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Terbuka PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan kelapan (NBOS 8) di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini baru-baru ini. Bagi anggota ATM Kem Rasah, Zulkifli Ismail, 31, kerjasama itu telah memberi impak positif bukan sahaja kepada pasukan malah menambah keyakinan masyarakat terhadap peranan pasukan keselamatan. ''Kami telah bekerjasama dengan PDRM dalam mengadakan rondaan cegah jenayah di beberapa buah bandar, termasuklah bandar Seremban dan Port Dickson dengan menaiki motosikal dan menggunakan kereta peronda. ''Apa yang penting kita mahu masyarakat berasa selamat," katanya. Tambah, Polis Sukarelawan Seremban, Choi Keng Lim, 37, program itu membawa satu perubahan yang bagus kerana membina kematangan dan keperibadian polis dan tentera secara serentak. Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan program tersebut memberitahu, generasi muda khususnya belia di negeri ini disarankan menabur bakti dengan menyertai pasukan keselamatan demi memastikan kelangsungan aspek keselamatan dan kedaulatan dapat dikekalkan. ''Memang hasrat kerajaan terutamanya PDRM dan ATM untuk menarik ramai anak-anak muda untuk menganggotai kedua-dua agensi ini kerana tenaga anak muda amat diperlukan. ''Khidmat mereka amat kita tagih agar kedua-dua agensi ini dapat diremajakan. Setiap tahun kita lihat beribu anggota pasukan yang berpencen dan tempat mereka itu perlu diisi dengan segera," katanya. Kata Mohamad, meskipun ramai anak muda berbilang kaum berminat menganggotai pasukan keselamatan, pasukan berkenaan masih memerlukan anggota tambahan. "Dahulu hanya satu kaum yang berminat untuk menyertai tentera dan polis tetapi sekarang ramai daripada bukan bumiputera, bukan Melayu yang berminat menganggotai angkatan tentera dan polis. ''Kita harap penyertaan mereka dalam kedua-dua pasukan keselamatan bukan sahaja dapat mendidik mereka membina jati diri serta disiplin malahan bersedia untuk berkhidmat bagi mempertahankan negara," katanya. |
Peluang masyarakat kenali fungsi pasukan keselamatan Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT ORANG ramai mendengar taklimat daripada seorang petugas (kiri) ketika melawat tapak pameran PDRM pada Sambutan Hari Terbuka Kolaborasi PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan Kelapan (NBOS 8) di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), baru-baru ini. SEREMBAN 10 Okt. - Orang ramai menyifatkan penganjuran Sambutan Hari Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini baru-baru ini, membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali lebih mendalam tentang peranan dan fungsi pasukan keselamatan. Menurut seorang anggota polis, M. Suresh, 38, dengan adanya sambutan sedemikian, masyarakat boleh mendapat maklumat yang tepat tentang polis dan tentera. ''Orang ramai kadang-kadang berasa takut untuk bertanya, malah ada juga segelintir yang tidak tahu tugas sebenar anggota polis dan tentera kerana kami terbahagi dalam banyak bahagian," katanya. Bagi pengunjung, Nur Hisniyanti Mohd Murad, 30, program berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat tentang fungsi, peranan dan keupayaan pasukan keselamatan negara. ''Sebelum ini kita hanya dapat lihat daripada kaca televisyen dan media tetapi dengan adanya program ini kita boleh melihat dengan lebih dekat," ujarnya. Tambah Mohd. Danial Mohd. Radzi, 17, dia sememangnya amat meminati badan beruniform terutamanya tentera laut dan ini merupakan platform terbaik baginya untuk mendapatkan maklumat lanjut yang lebih tepat . ''Sambutan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menceburi bidang yang saya minati kelak. ''Maklumat yang diperoleh di sini lebih tepat, kini saya sudah tahu apa syarat dan kriteria yang diperlukan untuk menyertai pasukan keselamatan ini," katanya. Katanya, dia amat teruja dengan aset pasukan keselamatan yang turut dipamerkan pada program ini. ''Sebelum ini saya tidak berpeluang melihatnya dengan dekat, saya amat kagum dan ini merupakan pengalaman yang amat berharga bagi saya," tambahnya. |
Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SEREMBAN 10 Okt. - Kadar indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Abd. Manan Md. Hasan berkata, statistik menunjukkan sebanyak 4,525 kes membabitkan pelbagai jenis jenayah dilaporkan dalam tempoh tersebut berbanding 4,694 kes pada tahun lalu. "Ini menunjukkan penurunan sebanyak 169 kes. Walaupun kadar jenayah menurun, namun usaha mempertingkatkan penguatkuasaan perlu dilakukan secara berterusan. "Berdasarkan statistik, penyumbang tertinggi kepada indeks jenayah di negeri ini adalah curi kenderaan, pecah rumah, samun dan ragut," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 390 pegawai kanan, anggota berpangkat rendah dan pegawai awam di Padang Kawad Sekolah Latihan Kontinjen Polis negeri di sini hari ini. Abd. Manan seterusnya menjelaskan, pihaknya juga telah menubuhkan pasukan khas untuk meneliti sekali gus mencari jalan penyelesaian menangani kadar kes jenayah yang mencatatkan statistik tertinggi. "Usaha itu termasuk mengkaji trend jenayah bagi memastikan usaha membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih efisien dan berkesan. "Malah anggota juga perlu peka dengan pola perlakuan jenayah yang berubah. Dalam usaha membanteras jenayah ini kita perlu buat secara efisien dengan mengenal pasti waktu dan lokasi jenayah kerap berlaku," ujarnya. Dalam pada itu, Abd Manan berkata, daripada 11,632 individu yang diperiksa dalam Op Cantas Khas yang mula dilaksanakan pada 18 Ogos lalu sehingga kini, seramai 414 telah ditangkap kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah. "Selain itu, sepanjang tempoh 1 Januari sehingga kelmarin, seramai 92 pengedar dadah ditahan dengan 73 daripadanya di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985," tambahnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |