Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Rampas Parlimen Bukit Katil
- Kejutan, ketua baharu warnai pemilihan sayap NS
- Empat penyandang Ketua Wanita UMNO tepati ramalan menang
Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA REAKSI spontan Rohazam Bakar terhadap isterinya, Azniza Ahmad Khuzari yang memenangi kerusi Ketua Puteri UMNO Alor Gajah di Melaka, semalam. MELAKA 13 Okt. - Semua calon yang menang dalam pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil berjanji ingin memastikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru dirampas kembali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Ketua Wanita baharu, Kalsom Noordin berkata, beliau akan menerajui kepimpinan Wanita bahagian itu dengan memperhalusi segala gerak kerja terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. "Kita akan lakukan lebih banyak aktiviti yang mampu merapatkan semula barisan parti, kalau boleh kita tidak mahu lagi berlaku kekalahan mengejut seperti yang pernah berlaku terhadap bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dahulu," katanya. Kalsom menang jawatan itu selepas memperoleh sebanyak 239 undi menewaskan pencabarnya, Noridah Md. Isa yang mendapat 143 undi. Ketua Pemudanya, Rohazam Bakar pula berkata, beliau bersedia menjalankan gerak kerja bagi memperkukuh Pemuda untuk merampas kembali Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru. Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti mencerminkan keterbukaan mereka dalam memilih pemimpin secara demokrasi biarpun ada yang bertanding melawan ahli keluarga sendiri. "Saya sebenarnya tidak menjangka kemenangan ini, setiap calon ada kekuatan dan kelebihan dan ini bagi saya sesuatu yang baik," katanya. Rohazam yang telah aktif berpolitik sejak 10 tahun lalu memperoleh 149 undi menewaskan bapa saudaranya, Abu Razak Abu Hassan (111) dan EsrulAfindi Dahlan (106). Bagi Ketua Puteri, Siti Aisyah Mahmood, sokongan yang diberikan oleh ahli parti terhadapnya memberi semangat untuknya membawa transformasi kepada Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil. "Kita mahu jadikan Puteri sebagai model kepada masyarakat dengan menekankan dakwah secara beradab, keterampilan, kebajikan dan kerjaya," ujarnya. Siti Aisyah memperoleh 168 undian menewaskan pencabarnya Zalina Ismail yang memperoleh 104 undian. |
Kejutan, ketua baharu warnai pemilihan sayap NS Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT Norhayati, Mohd. Nizam, Zuliana SEREMBAN 13 Okt. - Banyak kejutan yang berlaku dalam pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian di negeri ini semalam yang menyaksikan senarai ketua berubah dengan ketara. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasim Rusdi memberitahu, dalam sayap Pemuda sahaja menyaksikan beberapa bahagian diisi pemimpin baharu manakala Wanita pula menyaksikan perubahan di beberapa bahagian dan lima dalam kalangan Puteri UMNO menang tanpa bertanding. Ini jelas menyaksikan proses kematangan itu sedang berlaku dan kepimpinan baharu ini adalah individu yang telah diberi kepercayaan untuk membawa hala tuju parti ke arah yang lebih positif," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ujar beliau, barisan muda dan bertenaga serta diadun dengan mereka yang telah berpengalaman berkhidmat dalam parti adalah kekuatan yang memperlihatkan pembaharuan dalam gerak kerja, keserasian kepada rakyat dan paling utama penggerak dalam jentera Pilihan Raya Umum Ke-14. Katanya, melihat sayap Wanita UMNO Bahagian di negeri ini, paling ketara perubahan yang berlaku ialah di bahagian Tampin yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Zainab Nasir sekadar memperoleh 38 undi berbanding pencabar Zuredah Muhammad yang mendapat 188 undi. Tambah beliau, wanita Tampin mahu melihat kepimpinan baharu yang dapat mencorakkan masa hadapan ahli dan kepercayaan rakyat bagi persediaan yang lebih baik pada PRU-14 kelak, iaitu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah yang tewas kepada pembangkang dalam PRU-13 lalu. Apa yang pasti, tumpuan kerja selepas ini terarah kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14. Selepas pemilihan ini, saya akan kembali menyatupadukan semua ahli Wanita UMNO dan bekerja untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya. Zainab juga tewas kepada seorang lagi pencabarnya, Siti Aishah Seman@Othman yang merupakan Ketua Wanita UMNO cawangan Damai Jaya, yang memperoleh 90 undi. Pemilihan Wanita UMNO Bahagian Telok Kemang turut menyaksikan penyandangnya Rohani Yaacob yang memperoleh 66 undi tewas kepada dua pencabarnya. Jawatan itu dimenangi oleh Sofiah Sidek selepas memperoleh 125 undi, manakala Arah Abu Bakar mendapat 77 undi. Selain mereka, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar kekal menjadi ketua di Kuala Pilah; Datuk Samsiah Samsudin (Seremban), Zuraidah Mohd. Zin, 202 undi (Jelebu), Hapsah Hamid, 154 undi (Rasah); Siti Harpah Mat Dom (menang tanpa bertanding) dan Hasnah M. Mohamed, 169 undi (Jempol) Bagi Pemuda UMNO Bahagian pula, hanya Mohd. Nizam Aman mengekalkan jawatan ketua di bahagian Jempol selepas memperoleh 162 undi. Selainnya di tujuh lagi bahagian menyaksikan perubahan dalam barisan ketuanya. Azharuddin Shujauddin kini merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban yang baharu selepas memperoleh 174 undi, menewaskan pencabarnya, Abdul Samad Abdul Rahman, 69. Di Rasah, Hassan Yop mendapat 152 undi untuk menjadi ketua, menewaskan Azim Rozaiman Abdul Aziz, 92 undi dan di Kuala Pilah, saingan tiga penjuru menyaksikan Khairolnezam Shaari diumumkan sebagai ketua selepas mendapat 177 undi. Pencabarnya ialah Muhammad Sufian Maradzi (138) dan Eddin Syazlee Shith (72). Di Jelebu, Mohd. Aizil Md. Derus diumumkan sebagai ketua Pemuda yang baharu selepas mendapat 126 undi, manakala di Rembau, Ardana Md. Nor kini mengetuai Pemuda di bahagian itu selepas penyandangnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengosongkan kerusi itu dan menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau. Khairy juga mempertahankan semula jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Pusat. Di Tampin, Ridzuan Ahmad mendapat 167 undi untuk jawatan ketua menewaskan pencabarnya Saiful Adly Abd. Wahab (135) dan di Telok Kemang, Mohd. Najib Mohd. Isa, anak kepada Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah menang tanpa bertanding. Lebih menarik lagi, Puteri UMNO menyaksikan lima bahagian telah pun menerima ketuanya tanpa bertanding iaitu Asmida Sepian (Tampin); Zuliana Mohd. Ridzuan (Rembau); Norfasliza Mohd. Salleh (Jempol); June Artisha Mohamad Nazari (Kuala Pilah) dan Rosilawati Abdul Malek (Jelebu). Selebihnya pertandingan di Seremban menyaksikan Zabedah P. Mastar menang jawatan ketua selepas memperoleh 64 undi, menewaskan Rahil Abdul Lasi (30); di Rasah, pertandingan tiga penjuru menyaksikan Norita Yahaya menang dengan 56 undi, berbanding pencabarnya, Sharul Afizah Mohd. Idris (53) dan Hazlilaili Hanapi (1). Di Telok Kemang, Rozana Abu Sarim menang sebagai ketua dengan 81 undi mengetepikan Norazliana Nadri, 22 undi. |
Empat penyandang Ketua Wanita UMNO tepati ramalan menang Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT Imanuddin Ab. Aziz (dua dari kiri) menyampaikan ucapan sulungnya selepas diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Jasin yang baru sambil diperhatikan Naib Ketua, Mohd. Zulhafni Mad Rahis (tiga dari kanan), Ketua Bahagian Jasin, Ahmad Hamzah (dua dari kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam, Zaidi Atan (kiri) selepas Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Jasin 2013 di Merlimau, Melaka kelmarin. - utusan/Azli Ahad MELAKA 13 Okt. - Empat penyandang Ketua Wanita UMNO bahagian di negeri ini menepati ramalan apabila masing-masing mempertahankan jawatan pada pemilihan parti semalam. Mereka yang menang ialah Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Rabiyah Ali yang mempertahankan jawatan di Kota Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (Masjid Tanah); ADUN Rembia, Datuk Norpipah Abdol (Alor Gajah) dan Zaleha Bujang (Jasin). Seorang muka baharu yang menang ialah Kalsom Noordin di Bukit Katil manakala seorang lagi penyandang yang menang tanpa bertanding ialah Datuk Noradibah Abdullah di Tangga Batu. Rabiyah berkata, ini adalah kali terakhir beliau bertanding mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tujuh penggal lalu dan akan memberi laluan kepada muka baharu pada pemilihan parti akan datang. ''Rasanya cukup sampai di sini saya menjadi Ketua Wanita Bahagian Kota Melaka dan ini yang terakhir kerana selepas ini saya beri laluan kepada muka baharu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Dalam persaingan dua penjuru, Rabiyah memperoleh 224 undi menewaskan pencabar, Shirzla Helma Mohd. Hayaha@Adzhar yang memperoleh 111 undi. Sementara itu, Latipah yang menang buat penggal ketiga berkata, beliau akan meneruskan perjuangan untuk memperkasakan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah. ''Saya berterima kasih atas sokongan ahli akar umbi kerana masih percaya terhadap kepimpinan saya untuk terus mengemudi bahagian," katanya. Latipah menang jawatan itu apabila mendapat 191 undi manakala pencabarnya, Kamsiah Md. Kassim memperoleh 128 undi. Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian pula menyaksikan lima muka baru yang menang dalam persaingan sengit dua dan tiga penjuru. Hanya seorang yang mengekalkan jawatan serta menang tanpa bertanding iaitu Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Abdul Razak Abdul Rahman di Kota Melaka. Lima calon Ketua Pemuda UMNO bahagian yang menang terdiri daripada Hameed Mytheen Kunju Basheer (Masjid Tanah), Abdul Halim Daud (Alor Gajah), Zali Mat Yasin (Tangga Batu), Rohazam Bakar (Bukit Katil) dan Imanuddin Ab. Aziz (Jasin). Perebutan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula menyaksikan empat muka baharu dan dua penyandang dipilih bagi sesi 2013-2016. Dua penyandang yang menang tanpa bertanding ialah Haryaty Hamdzah di Kota Melaka dan Azlieza Azizan di Tangga Batu yang turut mempertahankan jawatan Pengerusi Tetap Puteri UMNO Pusat. Dua muka baharu yang turut menang tanpa bertanding ialah Siti Kalthom Ahmad (Masjid Tanah) dan Suzalipah Md. Len (Jasin) manakala dua muka baharu yang menang bertanding semalam ialah Azniza Ahmad Khuzari (Alor Gajah) dan Siti Aisyah Mahmood (Bukit Katil). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |