Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Kelantan, Sarawak lengkap kuota Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan FARHANA JONI Penyerang import Sarawak, Muamer Salibasic (kanan) diasak pemain Sime Darby, Juzaili Samion pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi. Sarawak menang 3-1. - MINGGUAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia, semalam selepas mengamuk di Stadium Sultan Muhammad Ke IV dengan membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 6-1 pada suku akhir kedua bagi melayakkan diri secara agregat 8-5. Turut mengiringi Kelantan adalah juara Liga Perdana, Sarawak yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Sime Darby di Stadium Negeri, Kuching bagi menempah pertemuan dengan Pahang sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi lawan Red Warriors dalam satu lagi saingan separuh akhir. Walaupun tumbang 2-4 di Larkin pada suku akhir pertama yang lalu, Red Warriors membuktikan Kota Bharu adalah gelanggang keramat buat mereka apabila langsung tidak memberikan sebarang ruang kepada Johor DT untuk bernafas selepas melancarkan serangan bertalu-talu sejak awal permainan. Skuad kendalian Bojan Hodak memulakan kenduri gol mereka melalui pemain sayap, Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke 19 hasil rembatan deras yang mengenai palang sebelum melantun masuk ke penjuru kanan gawang Harimau Selatan yang dikawal oleh penjaga gol pilihan kedua, Zulfadli Mohamed. Dua belas minit kemudian, ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi menggandakan kelebihan buat tuan rumah ekoran kegagalan bek kanan Johor DT, Nazri Ahmad yang gagal menanduk keluar bola dari kawasan penalti sebelum dia melepaskan rembatan voli dari jarak dekat berhampiran pintu gol Johor DT. Penyerang kebangsaan, Safee Sali memberikan harapan kepada pasukan JDT apabila berjaya menyumbat gol pada minit ke 41 namun ia gagal membangkitkan semangat pasukannya apabila hanya empat minit selepas itu, Obinna Nwaneri pula yang berjaya merobek gol pelawat sebelum babak pertama berakhir. Permulaan separuh masa kedua kekal dengan skrip sama apabila Kelantan terus bernafsu dan berjaya memperoleh gol keempat, satu minit selepas sepak mula melalui tandukan Nwakame hasil hantaran Indra Putra dan Norfarhan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan Johor DT apabila menambah jaringan tuan rumah pada minit ke-62. Indra Putra Mahayuddin juga tidak ketinggalan berada dalam senarai penjaring apabila melengkapkan malam yang cukup indah buat semua penyokong Kelantan pada minit ke 88 manakala Harimau Selatan balik ke Johor Bahru dalam keadaan cukup terluka. Pemain import dari Bosnia, Muamer Salibasic, meledak jaringan hatrik bagi membantu Sarawak yang bangkit daripada ketinggalan apabila Sime Darby terlebih dahulu memimpin perlawanan melalui jaringan Mohd. Asrol Ibrahim pada minit ke-3. Bujang Senang bagaimanapun tidak tertekan walaupun pelawat terlebih dahulu mendapatkan gol di tempat lawan, sebaliknya Salibasic ada formula tersendiri bagi mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-27 dan meletakkan Sarawak di hadapan buat kali pertama pada minit ke-55 berpunca daripada situasi sepakan percuma. Salibasic akhirnya memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Sarawak apabila lima minit sebelum permainan tamat, hasil gerakan dengan Booby Gonzales, dia merakamkan jaringan hatrik dengan penuh bergaya sekali gus membuatkan kira-kira 30,000 penonton setia Bujang Senang pulang dengan gembira. |
Yamamoto, Davison juara LIMBC 2013 Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN LANGKAWI - Dua pelumba pasukan Specialized Racing, Kohei Yamamoto dan Lea Davison apabila dinobat sebagai juara Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi 2013 di sini, semalam. Yamamoto dari Jepun yang mempertahankan jersi kuning sejak peringkat ketiga, Rabu lalu meraih gelaran kategori lelaki selepas menamatkan lima peringkat perlumbaan dengan catatan masa terbaik 10 jam 9 minit 23.030 saat. Malah, kejayaan Yamamoto itu turut diikuti rakan sepasukannya, Davison dari Amerika Syarikat yang meraih gelaran wanita apabila mempertahankan catatan terbaiknya 9:40:03.450s. Lebih manis, Yamamoto turut menjuarai gelaran Terbaik Asia pada LIMBC 2013 sekali gus menjadikannya kejuaraan berganda pada penyertaan pertamanya tahun ini. Dengan kejayaan pelumba No. 1 Jepun itu, Yamamoto percaya dia kini dalam landasan terbaik untuk mengejar cita-citanya menjuarai Piala Dunia dalam tempoh dua tahun lagi. Kemenangan hari ini penting buat saya untuk menghadapi kejohanan akan datang malah saya gembira dengan pencapaian saya ini. Komitmen yang diberikan pasukan kepada saya sepanjang kejohanan ini juga merupakan salah satu faktor saya menjuarai Jersi Kuning," kata pelumba berusia 28 tahun dari Hokkaido itu. Pada peringkat kelima kategori litar pendek di Pantai Kok semalam, Yamamoto sekadar di tempat keempat selepas mencatatkan masa 34 minit 21 saat. Yamamoto tewas kepada juara tahun lalu, Fabian Giger dari Switzerland yang mencatat masa 00:34:14s, Emil Lindgren (00:34.14s) dari Sweden di tempat kedua dan pelumba Afrika Selatan, Rourke Croseser (00:34:16s) menamatkan saingan di tempat ketiga. Sementara itu, Davison yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 26:21.350s, tetap masih sukar dicabar oleh pemenang peringkat kelima Maja Wloszczzowska (00:26:21.342s) dari Poland. Tempat ketiga peringkat kelima menjadi milik Nathalie Schneitter dari Switzerland (00:26:23.487s). Davidson berkata, kejuaraannya itu membuktikan dia masih mampu memberi aksi yang konsisten pada LIMBC ini. Saya sangat bangga kerana dapat menyarung Jersi Merah Jambu sekali lagi. Saya juga berpuas hati kerana masa yang dicatatkan pada kali ini lebih baik dan mendahului pelumba kedua dengan kelebihan 5 minit 57 saat. Bagi saya ia sudah cukup jauh. Beraksi pada kejohanan berperingkat ini tidak akan menjaminkan kemenangan kerana setiap pelumba memiliki kelebihan masing-masing seperti jalan landai, berbukit dan sebagainya," jelas Davison. Dalam pada itu dua wakil Malaysia, Shahrin Amir dan Masziyaton Mohd. Radzi dinobat sebagai pelumba terbaik negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |