{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Bersiap sedia hadapi banjir

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
utusanterengganu@utusan.com.my

Teknik berenang yang betul penting dalam usaha seseorang untuk membantu menyelamatkan mangsa.

BESUT 10 Okt. - Musim tengkujuh semakin hampir mengulangi suasana pada setiap penghujung tahun dengan hujan tidak berhenti berhari-hari.

Natijahnya boleh membawa kepada banjir dan sering kali bukan sahaja merosakkan harta benda malah meragut nyawa.

Ini musimnya juga, semua agensi penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, mengatur persiapan bersama bagi meningkatkan keupayaan bertindak pentas dan berkesan dalam keadaan-keadaan yang mendesak dan memerlukan bantuan.

Keadaan itu sudah tentu memerlukan setiap anggota memiliki kekuatan mental dan fizikal supaya mereka dapat memberikan khidmat yang baik kepada mangsa-mangsa banjir dan pada masa yang sama, diri tidak terdedah dengan bahaya.

Mereka perlu sentiasa bersiap sedia dengan pengetahuan dan peralatan yang sesuai supaya mangsa dapat bukan sahaja dapat dipindahkan atau diselamatkan sebaik sahaja mendapat arahan atau menerima maklumat.

Besut dan Setiu merupakan daerah yang kerap dilanda banjir di negeri ini, sehubungan itu Balai Bomba dan Penyelamat Besut telah mengadakan Latihan Menyelamat Di Air yang turut melibatkan anggota dari Setiu serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Besut.

Latihan yang meliputi teknik asas menyelamat di air, berenang , teknik apungan diri, menyelamat mangsa menggunakan tali dan pelampung serta pengendalian bot diadakan di Empangan Jajar, Hulu Besut dekat sini baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata, latihan itu membabitkan 51 anggota iaitu 12 anggota Balai Bomba Besut, Balai Bomba Jertih (11), Balai Bomba Setiu (6), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut (5) dan 17 anggota JPAM serta tujuh buah bot.

Selain menjalin kerjasama antara pasukan penyelamat di daerah ini di samping gerakan bersepadu, latihan tersebut juga memberi pendedahan kepada anggota cara mengendalikan bot, menyelamatkan mangsa dan keyakinan diri ketika bertugas.

Menurutnya, latihan seumpama itu amat penting kerana meliputi pelbagai aspek keselamatan anggota dan juga orang awam yang perlu dipatuhi lebih-lebih lagi apabila menghadapi situasi sebenar contohnya banjir.

"Ini merupakan kali ketiga Balai Bomba Besut mengambil inisiatif mengadakan latihan semata-mata bagi memastikan setiap anggota yang terlibat dapat menjalankan tugas dengan cekap.

"Menerusi latihan yang diberikan, anggota akan lebih bersedia dan lebih yakin untuk menghadapi sebarang suasana cemas yang terpaksa dihadapi kelak, bukan sahaja di air tetapi juga di daratan seperti di jalan raya dan kebakaran," ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama penyertaan daripada semua agensi penyelamat itu akan dapat menjalin kerjasama yang boleh membantu semua pihak menjalankan tugas dengan lebih cekap dan cepat.

Mereka yang menyertai latihan itu menyifatkan usaha mengadakan latihan itu menambahkan keyakinan diri mereka apabila menguasai kemahiran dalam operasi menyelamat.

Peserta PDRM, Koperal Abd. Ghani Zahari berkata, penyertaan kali kedua menyertai latihan itu memberikan banyak pendedahan baru dan menambah pengetahuannya dalam ilmu menyelamat mangsa

Katanya, pengalaman itu akan dimanfaatkan sepenuhnya kerana apa yang diperoleh membantunya lebih bersedia untuk memberikan khidmat apabila diperlukan terutama semasa banjir dan juga situasi cemas di mana-mana.

Anggota JPAM, Jasfiza Asyikin Awang berkata, setiap kali bertugas mereka juga terdedah kepada bahaya dan jika tiada pengalaman sudah pasti anggota penyelamat bakal berdepan dengan keadaan sukar.

"Sebagai anggota JPAM, latihan ini akan memudahkan kami menjalankan tugas tanpa kekok dan lebih yakin lagi ditambah dengan kerjasama rakan-rakan lain daripada pelbagai agensi, operasi menyelamat akan dapat dijalankan dengan kemas.

Pas Kelantan akui YIK bermasalah

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

KOTA BHARU 10 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan mengakui Yayasan Islam Kelantan (YIK) menghadapi masalah dalam pelaburannya sehingga tidak mampu berdikari sendiri biarpun menerima tanah seluas lebih 19,000 hektar untuk dibangunkan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya yakin yayasan itu akan berdikari sendiri tidak lama lagi selepas seorang pegawai pelaburan dilantik untuk menguruskan pendapatan daripada pembangunan tanah terbabit.

Beliau berkata, sekiranya projek pembangunan tanah tersebut berjalan lancar, pihaknya percaya YIK dapat berdikari tanpa mengharapkan bantuan yang terlalu banyak daripada kerajaan negeri.

"Sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk melihat YIK berdikari dan disebabkan itu kerajaan memberikan tanah seluas 19,000 hektar untuk dibangunkan, bagaimanapun ada masalah dalam pelaburan maka hasrat itu tidak menjadi kenyataan.

"Namun, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, ia sudah menunjukkan peningkatan dan mendapatkan hasil kembali selepas kita menempatkan pegawai pelaburan di YIK," katanya menjawab soalan tambahan Mohamad Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran) dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Mohamad Zaki dalam soalannya mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri adakah sebuah agensi akan dilantik bagi menguruskan pelaburan YIK kerana kerajaan Pas Kelantan telah memberikan peruntukan terlalu besar iaitu RM72 juta dalam Bajet 2014.

Pada Disember tahun lalu, akhbar melaporkan sebuah syarikat yang membangunkan tanah milik YIK seluas 4,529 hektar di Gua Musang adalah 'milik' dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham dan Nga Kor Ming sehingga menjadi isu besar dan hangat diperdebatkan.

Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli negeri berkata, YIK menerima tanah seluas 19,927 hektar daripada 86,395 hektar tanah yang diberikan kepada agensi Kerajaan Pas Kelantan untuk dibangunkan.

Katanya, tiga lagi agensi yang menerima tanah adalah Perbadanan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PLRNK), Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

"PLRNK menerima sebanyak 33,512 hektar, Yakin (22,735 hektar) dan PKINK sebanyak 10,200 hektar. Jumlah pendapatan yang dijana oleh YIK pada tahun 2011 ialah RM30 juta, PLRNK (RM12 juta), Yakin (RM3.95 juta) dan PKINK (RM18.39 juta). Jumlah keseluruhan pada tahun tersebut ialah RM65.51 juta.

"Bagi tahun 2012, jumlah pendapatan YIK ialah RM12.62 juta, PLRNK (RM14.7 juta), Yakin (RM3.98 juta) dan PKINK sebanyak RM19.5 juta, jumlah keseluruhan untuk tahun 2012 ialah RM49.6 juta," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya ada menerima cadangan supaya sebuah agensi lain dilantik bagi menguruskan pendapatan YIK dan pada masa yang sama, yayasan itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek pendidikan.

"Kita belum membuat sebarang keputusan lagi, kerajaan mahu lihat YIK berdikari dahulu dan menguruskan ladang sendiri tanpa mengharapkan bantuan yang terlalu banyak daripada kerajaan," katanya.

Pas dibidas gagal selenggara jalan negeri

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

KOTA BHARU 10 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan dibidas kerana tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM132 juta untuk menyelenggara jalan raya di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya peruntukan tersebut digunakan sebaik mungkin jalan raya di negeri ini sudah pasti berada dalam keadaan yang baik.

Beliau berkata, peruntukan tersebut amat besar dan mencukupi untuk menyelenggara serta menaik taraf jalan raya di negeri ini.

"Sepatutnya jalan raya di Kelantan berada dalam keadaan baik dan tidak berlubang serta banyak lagi jalan yang dapat dinaik taraf. Peruntukan RM132 juta pada tahun 2012 adalah di antara peruntukan tertinggi di kalangan negeri-negeri.

"Sebelum ini tidak semua peruntukan yang diberikan digunakan untuk menyelenggara jalan, jadi saya harap tahun ini semua peruntukan yang disediakan dibelanjakan supaya rakyat Kelantan dapat menikmati faedah lebih baik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati isu peruntukan terhad untuk menyelenggara jalan negeri dengan meluas tidak timbul kerana kerajaan Pusat telah memberikan peruntukan yang mencukupi.

Pada tahun 2009 sehingga 2011, Kerajaan Pas Kelantan telah menerima sebanyak RM259.73 juta pemberian tahunan penyenggaraan jalan negeri daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan tersebut juga mendapati perbelanjaan tidak digunakan mengikut arahan amanah dan peruntukan diberi tidak digunakan sepenuhnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad ketika menjawab soalan tambahan Mustapa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengakui, Kerajaan Pas Kelantan hanya menggunakan 60 peratus daripada peruntukan kerajaan Pusat untuk menyelenggara jalan raya.

"Baki 40 peratus lagi digunakan untuk perbelanjaan pengurusan tetapi saya dimaklumkan bahawa semua negeri tidak membelanjakan pemberian tersebut untuk menyelenggara jalan raya.

"Cuma untuk tahun ini, satu garis panduan dikeluarkan oleh Pusat yang memerlukan lebih daripada 80 peratus pemberian itu perlu digunakan untuk menyelenggara jalan raya di negeri ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat