Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Rakyat dipaksa bayar lebih
- Lepasan UMK mampu tembusi pasaran kerja
- PPK Kangkong agih zakat RM31,500 buat 210 penerima
Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR KOTA BHARU 11 Okt. - Alasan kerajaan Pas Kelantan menaikkan tarif air sangat tidak relevan berbanding mutu perkhidmatan yang disalurkan kepada pengguna. Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, alasan tersebut tidak ada justifikasi bagi rakyat dengan sebahagian besarnya masih menerima bekalan air berkualiti rendah dan tidak konsisten. "Alasan itu mungkin boleh dianggap munasabah sekiranya pengguna sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik daripada agensi pembekalan air negeri ini, tetapi apa yang berlaku sebaliknya. "Apa yang berlaku, rakyat terus dibelenggu masalah bekalan air. Bahkan, ada di antara mereka dikatakan terpaksa membayar caj bil yang tinggi sedangkan penggunaannya tidak seberapa disebabkan air kotor, tekanan rendah, kadang-kadang tiada langsung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini dilaporkan telah melakukan pelarasan tarif air melibatkan kenaikan melebihi 30 peratus bagi menampung kos operasi Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB). Meskipun kenaikan itu mendapat rungutan banyak pihak, namun kerajaan negeri masih beranggapan kenaikan tersebut terlalu minimum. Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad berkata, kenaikan tersebut adalah adil kepada kerajaan setelah beberapa tahun menangguhkannya kerana tidak mahu membebankan pengguna. Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyedari masalah bekalan air yang tidak pernah selesai dan terus membelenggu rakyat sebelum melakukan sesuatu pelarasan tidak membebankan mana-mana pihak. Isu air Kelantan melakar episod baharu apabila bekas Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa mendakwa AKSB gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf. Beliau mengambil contoh loji rawatan air Pintu Geng melibatkan kos RM52 juta dengan sasaran pengeluaran air sebanyak 30 juta liter sehari, namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 juta liter sehari. AKSB turut membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini untuk mengurangkan kebocoran air, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, sekali gus menunjukkan kegagalan projek tersebut. |
Lepasan UMK mampu tembusi pasaran kerja Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT IDRIS Jusoh (tiga dari kiri) bersama warga kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok ketika majlis pelancaran Kayuhan Basikal 1Kampus di UMK Bachok, Kelantan, kelmarin. BACHOK 11 Okt. - Lulusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mampu menembusi pasaran pekerjaan di peringkat global kerana mereka dilengkapi ilmu berdasarkan kehendak industri. Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perkongsian pintar antara UMK dan industri dalam melaksanakan pelbagai kajian serta penyelidikan membolehkan pelajar yang menuntut di universiti itu mendapat peluang pekerjaan mengikut kehendak pasaran. Beliau berkata, kejayaan itu juga hasil daripada kesungguhan tenaga pengajar dan kakitangan UMK untuk membentuk siswazah yang berkualiti. "Saya yakin dengan pembangunan yang dicapai UMK sepanjang enam tahun penubuhannya. Ia bukan hanya membabitkan pertambahan kemudahan fizikal tetapi mencakupi pencapaian cemerlang dalam persaingan akademik dengan gerak kerja luar yang dilaksanakan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kayuhan Basikal 1Kampus di UMK Bachok dekat sini hari ini. Sebanyak 100 basikal disediakan sebagai kenderaan utama warga kampus dalam menjayakan kempen Eco-Kampus yang bebas dari pencemaran bunyi dan asap kenderaan. Yang hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Radhuan Che Ros dan Ahli Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr. Awang Adek Hussin. Idris berkata, tohmahan mengatakan pembangunan UMK perlahan adalah tidak tepat kerana kementerian sentiasa memantau kejayaan dan kecemerlangan yang ditempa. "Sehingga kini UMK mempunyai lebih 7,000 penuntut, 476 tenaga pensyarah dan 10,000 kakitangan sokongan dengan tiga kampus di Kelantan iaitu Bachok, Kota Bharu dan Jeli serta satu lagi kampus UMK di Kuala Lumpur. "Tenaga pengajar di UMK juga perlu meneroka keperluan semasa dan pasaran kerjaya global dengan menguasai ilmu baharu serta tidak menggunakan pengetahuan lama dalam mendidik pelajar alaf baharu selaras aspirasi negara yang menarafkan institusi pengajian tinggi sebagai gedung ilmu yang bertaraf dunia," katanya. Kementerian juga jelas beliau, memberi fokus membangunkan pendidikan dalam kalangan pensyarah serta membuka peluang kepada penuntut untuk membuat kajian dan penyelidikan dengan pelbagai sokongan serta insentif. |
PPK Kangkong agih zakat RM31,500 buat 210 penerima Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT ADNAN Hussin (dua dari kiri) menyampaikan zakat kepada dua beradik warga emas, Saadiah dan Fatimah Kechik di PPK Kangkong, Pasir Mas, Kelantan, kelmarin. PASIR MAS 11 Okt. - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong mengagihkan sumbangan zakat RM31,500 kepada 210 penerima terdiri yang daripada golongan asnaf dalam satu majlis di sini semalam. Sumbangan disampaikan oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, Adnan Hussin dan turut dihadiri oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kangkong, Mohd. Yaman Muhamad. Mohd. Yaman dalam ucapannya berkata, wang zakat itu merupakan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh oleh PPK hasil aktiviti perniagaan yang dilakukan. Katanya, aktiviti perniagaan itu termasuk projek kilang padi, jualan input pertanian, kontrak pemasaran, pengangkutan, sewaan dan pengeluaran ladang. "Lebih banyak aktiviti perniagaan akan dilaksanakan bagi meningkatkan keuntungan pada masa hadapan," katanya di sini semalam. Beliau berkata, PPK Kangkong yang ditubuhkan pada tahun 1974, mempunyai ahli seramai 4,844 orang dan saham dimiliki berjumlah RM878,008. Jelasnya, kempen menambah ahli dan penambahan jumlah saham akan digerakkan dari semasa ke semasa bagi mengembangkan lagi operasi PPK, seterusnya meningkatkan perolehan pada masa hadapan. Sementara itu, seorang penerima, Saadiah Kechik, 94, melahirkan rasa syukur dengan pemberian zakat sebanyak RM150 seorang itu, dan dia berhasrat membelanjakannya untuk menjamu cucu-cucunya sempena Hari Raya Aidiladha nanti. Menurut Saadiah, dia tinggal bersama adiknya, Fatimah, berusia 90 tahun kerana tidak mahu membebankan anak dan cucu mereka. "Anak-anak mengajak saya tinggal bersama mereka sejak saya tidak lagi mampu berjalan kerana bimbang keselamatan. Tetapi saya lebih selesa tinggal sendirian kerana tidak mahu menyusahkan mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |