Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Sarat dengan fakta sejarah
- Amalkan gaya hidup sihat, elak penyakit kronik
- Kekalkan semangat kekeluargaan dalam UMNO
Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT AHMAD Nazlan Idris bersama Nazri Che Husin (kiri) mendengar penerangan daripada Jamluh Mat Zium (kanan) mengenai sejarah Pawang Nong di Kampung Ulu Cheka dekat Jerantut, Pahang, semalam. JERANTUT 16 Okt. - Bagi penduduk daerah ini, Kampung Ulu Cheka tidak asing lagi bagi mereka kerana ia antara kawasan yang memiliki pelbagai daya tarikan. Antaranya ialah kesan sejarah kepahlawanan Melayu, perang menentang Komunis dan tempat-tempat menarik yang boleh dijadikan daya tarikan pelancong. Namun begitu, keadaan itu tidak pula bagi penduduk luar daerah ini kerana apabila disebut sahaja Kampung Ulu Cheka, ramai yang masih belum mengenalinya. Sehubungan itu, usaha-usaha giat dilakukan untuk memperkenalkan Kampung Ulu Cheka, termasuk daripada segi pengumpulan bahan-bahan sejarah selain memperkenalkannya sebagai destinasi aktiviti lasak dan pelancongan. Tinjauan Utusan Malaysia di Ulu Cheka mendapati perkampungan tersebut memilik pelbagai nilai yang boleh dikomersialkan. Antaranya kesan sejarah kepahlawanan Pawang Nong menentang komunis, peralatan atau barangan lama, Gunung Benom, kawasan mandi-manda Lata Bujang, masjid lama dan banyak lagi. Pada masa ini, penduduk Kampung Ulu Cheka giat mengumpulkan semua bahan dan barangan peninggalan sejarah itu bagi tatapan generasi muda. Mereka bercadang mewujudkan sebuah galeri untuk menempatkan segala barangan berkenaan selain memperkenalkan inap desa untuk penginapan pelancongan. Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris memberitahu, pihaknya akan membantu penduduk terbabit untuk mewujudkan sebuah galeri. Malah katanya, Kampung Ulu Cheka juga memiliki keunikan tersendiri kerana terkenal dengan makanan tradisi penduduk iaitu buah kepayang. ''Ramai mengetahui buah kepayang mengandungi getah atau racun yang tidak sesuai dijadikan bahan makanan, namun penduduk di sini mempunyai cara membuang racun tersebut dan seterusnya dijadikan bahan makanan yang selamat,'' katanya. Menurutnya, banyak lagi keunikan terdapat di Kampung Ulu Cheka dan langkah mewujudkan galeri, inap desa serta menarik kedatangan pelancong amat dialu-alukan. ''Parlimen Jerantut sedia membantu dan mengetengahkan usaha penduduk ini,'' katanya. Sementara itu, Ketua Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin berharap pihak kerajaan dapat merealisasikan usaha mewujudkan galeri itu. Menurutnya, dengan adanya sebuah galeri, semua bahan dan barangan sejarah dapat disimpan untuk tatapan generasi muda dan pelancong. ''Kita juga berharap kementerian berkenaan dapat mempertimbangkan usaha kita mewujudkan inap desa kerana penduduk sejak sekian lama sudah menerima kehadiran pelancong tempatan dan luar negara. Dalam pada itu, seorang pesara guru, Jamluh Mat Zium berkata, pada masa ini terdapat pelancong berkunjung ke Kampung Ulu Cheka termasuk mereka yang berminat mendaki Gunung Benom. ''Kita menyediakan penunjuk arah untuk membawa pelancong yang hendak mendaki Gunung Benom atau aktiviti lasak lain. ''Harapan penduduk, usaha mengkomersialkan produk yang terdapat di Kampung Ulu Cheka ini dapat dipertingkatkan dan secara langsung mampu menambah pendapatan penduduk,'' katanya. |
Amalkan gaya hidup sihat, elak penyakit kronik Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT TEMERLOH 16 Okt. - Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup sihat sebagai rutin harian bagi mencegah pelbagai jenis penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis. Ketua Jabatan Pergigian Pediatrik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Dr. Roziana Abdullah berkata, pengambilan pemakanan yang betul dan melakukan senaman bukan sahaja menjadikan seseorang itu hidup sihat, tetapi dapat mengurangkan stres sama ada di tempat kerja dan di rumah. Menurutnya, aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan juga memainkan peranan penting bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. "Setiap orang perlu menjadi ejen perubahan bagi diri sendiri supaya usaha mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat mampu dilaksanakan dengan jayanya. "Sebagai individu kita perlu terlebih dahulu mengambil langkah positif seumpama itu sebelum usaha tersebut dipromosikan kepada orang lain," katanya ketika berucap merasmikan pertandingan boling anjuran Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Kesihatan Daerah Temerloh di U-Bowl, Starmall Mentakab di sini baru-baru ini. Katanya, cara pemakanan rakyat pada masa ini tidak membantu dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi penyumbang kepada peningkatan pelbagai penyakit dan obesiti. Tambahnya, gaya pemakanan itu boleh mengundang risiko utama kepada kesihatan termasuk makanan yang mempunyai kandungan garam, lemak dan gula berlebihan, kurang memakan sayur serta buah-buahan. Menurutnya, kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan meningkat daripada 11 peratus pada 2002 kepada 12.8 peratus pada 2008 dan masalah obesiti dalam kalangan mereka menunjukkan peningkatan kepada 13.7 peratus pada 2008 berbanding 9.7 peratus pada 2002. ''Kajian Kesihatan Nasional dan Morbiditi 2011 turut menunjukkan golongan dewasa yang menghidap diabetes meningkat kepada 15.2 peratus pada 2011 berbanding 14.9 peratus tahun sebelumnya dan obesiti daripada 14 peratus kepada 15.1 peratus dalam tempoh sama," katanya. |
Kekalkan semangat kekeluargaan dalam UMNO Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT ABDUL Rahman Mohamad (lima dari kanan) bersama sebahagian calon yang bertanding pada pemilihan UMNO Bahagian semasa diperkenalkan di Dewan Datuk Omar Osman di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini. KUALA LIPIS 16 Okt. - Ahli UMNO Bahagian Lipis diminta mengekalkan semangat kekeluargaan dan mengikis sikap berpuak-puak dalam memilih kepimpinan bahagian itu dalam pemilihan parti kali ini. Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, hubungan anggota parti di bahagian tersebut pada masa ini masih kukuh walaupun terdapat pertandingan dalam jawatan tertentu sama ada di peringkat sayap mahupun bahagian. Tambahnya, mereka perlu membuat penilaian secara ikhlas dan jujur kerana pemimpin bahagian semua peringkat bakal meneruskan kesinambungan misi dan visi UMNO. "Janganlah timbul masalah tertentu termasuk memperlekeh mana-mana calon di semua peringkat kerana pemilihan kali ini menguji kematangan dan kebijaksanaan akar umbi yang menentukan kekuatan kepimpinan UMNO. "Saya berharap keyakinan dan kepercayaan ahli UMNO memilih seseorang pemimpin yang boleh memperjuang nasib kaum Melayu dan pembangunan negara ini," katanya semasa majlis memperkenal semua calon bertanding di peringkat UMNO Bahagian Lipis di Dewan Datuk Omar Osman di sini baru-baru ini. Menurut beliau, sesiapa sahaja ahli UMNO boleh bertanding di bahagian termasuk sayap kerana parti itu sentiasa mengalu-alukan pemimpin berwibawa dalam membawa pembaharuan membela nasib bangsa Melayu. "Jangan hanya bertanding untuk suka-suka dan memecah-belahkan hubungan yang sekian lama terjalin kerana akan membantutkan agenda pembangunan dan bercanggah dengan perjuangan parti. "Sebaliknya, hasrat bertanding atau memilih seseorang calon berasaskan keikhlasan untuk memantapkan lagi perjuangan UMNO," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |