Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pemantau bebas sibuk raih undi
- Pasangan veteran teruja tunai tanggungjawab terhadap parti
- Puteri Kelantan tarik golongan muda
Pemantau bebas sibuk raih undi Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT SEBAHAGIAN daripada perwakilan menyertai Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan Tanjong Mas di Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 19 Okt. - Proses pemilihan dan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 di sini sedikit tercemar apabila pemantau bebas yang ditugaskan cuba untuk meraih undi. Kejadian tersebut sedikit sebanyak telah mengganggu para perwakilan menunaikan tanggungjawab dalam memilih pucuk pimpinan masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd. Rozali Isohak berkata, kejadian itu bagaimanapun berjaya dikawal setelah disedari oleh petugas yang ditempatkan di pusat pemilihan berkenaan. Menurutnya, masalah itu berlaku berpunca akibat salah faham apabila terdapat segelintir pemantau bebas yang masih tidak tahu peranan masing-masing. "Masalah tersebut tidak begitu serius kerana kita telah berjaya mengawal keadaan tersebut daripada terus merebak," katanya di sini hari ini. Pada pemilihan itu, seramai 10 orang pemantau bebas ditempatkan di setiap bahagian bagi memerhati serta memantau perjalanan proses pemilihan. |
Pasangan veteran teruja tunai tanggungjawab terhadap parti Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT KOTA BHARU 19 Okt. - Usia tidak menjadi penghalang kepada sepasang suami isteri untuk hadir dan menunaikan tanggungjawab pada Pemilihan UMNO Bahagian Kubang Kerian di sini hari ini. Perwakilan veteran tersebut, Awang Dollah, 75, hadir bersama isterinya Zawiah Sulaiman, 71, dengan penuh bersemangat untuk membuat pemilihan yang terbaik bagi memilih pucuk pimpinan parti berkenaan. Pasangan veteran itu yang masing-masing memegang jawatan Timbalan Ketua serta Ketua Wanita Cawangan Sri Bongor turut menganggap ia adalah satu tangungjawab dalam memperjuangkan parti. Menurut Awang, pemilihan kali ini adalah satu langkah permulaan ke arah menguatkan lagi kepemimpinan parti yang dipilih dari akar umbi. "Pemilihan kali ini adalah yang terbaik setelah sudah lebih 20 tahun saya berada dalam UMNO kerana ia telah membuka peluang kepada perwakilan di peringkat bawah untuk turut sama memilih. "Saya berharap pucuk pimpinan yang dipilih akan dapat melaksanakan tangungjawab sebaik mungkin dalam membantu mengukuhkan jentera parti," katanya di sini hari ini. Manakala, Zawiah pula berkata, pemilihan ini cukup penting kerana UMNO perlu mempunyai barisan kepemimpinan terbaik untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. "Penglibatan saya bersama UMNO sudah lama dan saya melihat perlaksanaan yang dibuat pada pemilihan kali ini akan memudahkan urusan parti dan memberi manfaat kepada UMNO sendiri," katanya. |
Puteri Kelantan tarik golongan muda Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT KOTA BHARU 19 Okt. - Puteri UMNO Kelantan akan melaksanakan program khas untuk menarik kembali sokongan golongan muda bagi mengukuhkan kedudukan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang. Menurut Ketua Puteri UMNO negeri, Norwahida Patuan, program itu lebih menumpukan kepada golongan muda dan rakan sebaya dengan fokus kepada aktiviti sukan serta kegiatan riadah lain yang sememangnya menarik minat kumpulan tersebut. Katanya, program tersebut akan dilaksanakan selepas pemilihan UMNO. "Program-program tersebut dijalankan dengan matlamat untuk menyelami kehendak golongan muda yang lebih cenderung kepada aktiviti sedemikian. Ini adalah strategi Puteri UMNO untuk mendekati golongan pengundi muda di Kelantan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Norwahida yang juga Exco Puteri UMNO berkata, sokongan golongan muda pada PRU-14 amat penting kepada UMNO untuk memastikan parti keramat orang Melayu itu terus relevan dalam mendepani cabaran mendatang. "Pemikiran golongan muda khususnya yang masih belajar amat penting memandangkan mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, justeru mampu mencorak kepemimpinan negara dan masyarakat. "Maka itu, amat perlu untuk Puteri UMNO mendekati golongan ini bagi membawa mereka bersama-sama dalam memperkasakan parti demi membangunkan negara dan masyarakat," katanya. Norwahida yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Jeli berkata, pihaknya akan turut memperkukuh gerak kerja sayap parti itu di semua peringkat bagi memastikan setiap program yang dirancang mencapai matlamatnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |