Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 9 pemandu bas ingkar ditahan
- RM500 juta bangun usahawan bumiputera
- Kontraktor degil sebab kebun dipenuhi lumpur
Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA Anggota polis trafik memeriksa lesen dan kad pengenalan pemandu bas bagi mengesan kesalahan trafik yang dilakukan pada Ops Warta di Hentian Bas MBKT di Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 3 Okt. - Sebanyak sembilan pemandu bas yang memiliki waran tangkap atas pelbagai kesalahan jalan raya ditahan dalam Ops Khas Warta Bas yang dilancarkan di negeri ini sejak 26 September lalu hingga semalam. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Alias Hashim berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 193 pemandu bas yang diperiksa di tujuh lokasi berbeza iaitu di setiap daerah di negeri ini. "Pemandu bas ekspres dan henti-henti ini berusia 29 hingga 57 tahun dan ada yang sudah dikenakan dua dan tiga waran tangkap," ujarnya ketika meninjau operasi berkenaan yang dijalankan di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini. Kata beliau, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya turut memeriksa 25 pemandu kereta dan 10 penunggang motosikal yang berada berhampiran terminal atau stesen bas dan mendapati tiga daripadanya iaitu dua penunggang motosikal serta seorang pemandu kereta turut mempunyai waran tangkap. "Setakat ini, tidak ada pemandu yang ingkar ketika ditahan dan mereka berjanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk membuat pembayaran bagi mengelakkan tindakan susulan diambil. "Kita harap pemandu tak pandang remeh perkara ini, apabila waran tangkap telah dikeluarkan oleh mahkamah, maka mereka kena akurlah dengan keputusan mahkamah," katanya. Mengulas lanjut mengenai perkara itu beliau berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga ke suatu masa yang diumumkan kelak. "Di Terengganu, kita memang tidak mempunyai masalah ketika melaksanakan operasi ini. Semua pihak memberikan kerjasama ketika diperiksa," ujar beliau. |
RM500 juta bangun usahawan bumiputera Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT Md. Alwi Che Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pembiayaan kepada usahawan sambil diperhatikan Mohd. Rosdi Ismail (dua dari kanan) di Arked Kok Lanas, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 3 Okt. - Mara telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk pembangunan usahawan bumiputera di seluruh negara pada tahun ini dengan sebanyak RM31 juta disasarkan kepada usahawan di negeri Kelantan. Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Rosdi Ismail berkata, beliau yakin Mara mampu mencapai sasaran tersebut kerana sehingga Ogos ini, sebanyak RM26.7 juta telah diluluskan untuk pembiayaan kepada 322 usahawan. "Dari segi bilangan usahawan, kita sudah mencapai sasaran yang ditetapkan dan tambahan peruntukan akan dikaji bagi membantu usahawan memajukan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Mara bersama Khadam di Arked Kok Lanas di sini baru-baru ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md. Alwi Che Ahmad. Program yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini adalah salah satu inisiatif Mara untuk mengenalpasti keperluan serta permasalahan yang dialami oleh rakyat terutama di kawasan Parlimen Ketereh. Mohd. Rosdi berkata, setiap pembiayaan yang diperuntukkan adalah tertumpu pada lima fokus utama iaitu usahawan korporat, perubatan, peruncitan, teknologi dan pemasaran. Katanya, Mara sentiasa berusaha ke arah memperkasakan usahawan bumiputera dalam bidang perniagaan mahupun perusahaan. "Dengan pembiayaan dari Mara, para usahawan bumiputera akan berpeluang memasarkan produk mereka serta meningkatkan pendapatan. "Saya berharap lebih ramai usahawan bumiputera dapat bergerak maju ke hadapan dan memanfaatkan setiap bantuan yang disalurkan," katanya. |
Kontraktor degil sebab kebun dipenuhi lumpur Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT KOTA BHARU 3 Okt. - Masalah limpahan air lumpur di tanah dan kebun milik kira-kira 50 petani di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang yang berpunca daripada sebuah tapak perlombongan bijih besi, berlaku disebabkan oleh kedegilan pihak kontraktor. Pemegang lesen lombong berkenaan yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Sentosa, Datuk Razali Daud memberitahu, pihaknya telah menyedari masalah yang menimpa penduduk dan pemilik tanah di kawasan sekitar sejak awal tahun ini. Menurutnya, konsesi kawasan perlombongan seluas 17.6 hektar tersebut telah diberikan kepada sebuah syarikat kontraktor beralamat di Kuantan, Pahang untuk tempoh lapan tahun bermula 2008. "Kita telah dimaklumkan mengenai masalah yang timbul selepas mendapat notis daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan pada 14 Februari lalu yang mengarahkan pemberhentian sementara kerja-kerja melombong di kawasan berkenaan. "Melalui surat yang diterima, pihak PTG telah menerima aduan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan dan penduduk yang menyatakan bahawa kolam takungan hampas lombong telah pecah dan air bercampur selut telah memasuki kawasan dan merosakkan tanaman penduduk. "Sebagai respons daripada pihak kita, syarikat telah menghantar surat bertarikh 19 Februari 2013 kepada pihak kontraktor dan meminta mereka menghentikan kerja dan menyelesaikan masalah dalam tempoh tujuh hari," katanya di sini hari ini. Tambahnya, pihak kontraktor telah ingkar dan tidak mengendahkan notis berkenaan dengan meneruskan kerja-kerja perlombongan serta tidak melakukan usaha-usaha untuk memulihkan keadaan yang berlaku. Katanya, masalah limpahan air lumpur berlaku kerana kegagalan pihak kontraktor menyediakan sistem perparitan yang sempurna selain proses penyelenggaraan kolam hampas bijih tidak dijalankan dengan baik. Akhbar sebelum ini melaporkan, hampir 50 petani dan pemilik tanah di kawasan Lubok Stol hilang punca pendapatan apabila tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian selepas kebun mereka itu ditenggelami lumpur bercampur bijih besi sejak tiga tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |