Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Cari kaedah elak tragedi Lata Tembakah
- Kelab motosikal berkuasa tinggi buat kerja amal
- 1,000 sertai pertandingan mewarna Bank Rakyat
Cari kaedah elak tragedi Lata Tembakah Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT Oleh KAMARUDIN HAMZAH BESUT 5 Okt. - Kerajaan negeri memandang serius kejadian mati lemas membabitkan pengunjung Hutan Lipur Lata Tembakah dan akan berusaha mencari kaedah terbaik bagi membendung kejadian itu daripada berulang. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Mutimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti tindakan serta langkah terbaik yang perlu diambil. Beliau berkata, hasil perbincangan dan laporan termasuk pihak yang menguruskan kawasan hutan lipur itu akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat demi keselamatan dan kepentingan semua pihak. "Oleh kerana hari Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu yang seringkali menjadi pilihan dan tumpuan pengunjung ke lokasi itu, kita perlu mencari kaedah sesuai bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri diminta mengulas kejadian lemas yang melibatkan tiga pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di hutan lipur itu semalam. Dalam kejadian itu, B. Vikneswaran, Janarthen Umabaithy dan Mohana Raja Madhandra yang kesemuanya berusia 21 tahun mati lemas ketika mandi bersama 15 rakan mereka yang menghabiskan cuti hujung minggu. Mohd. Jidin berkata, untuk menempatkan pengawal bagi mengawasi kawasan itu pada cuti hujung minggu adalah tidak memadai memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan ramai pengunjung. "Apa yang penting pengunjung mengambil sikap berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk mandi atau menjalankan aktiviti masing-masing kerana kawasan itu sering terdedah kepada fenomena kepala air. "Jika hujan, pengunjung perlu lebih peka kerana pada bila-bila masa boleh berlaku kejadian paras air yang meningkat dengan mendadak selain membawa arus deras yang boleh membahayakan pengunjung," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, ketiga-tiga mayat mangsa lemas itu dituntut keluarga masing-masing untuk dibawa pulang ke negeri asal mereka di Perak, Kedah dan Negeri Sembilan awal pagi ini. |
Kelab motosikal berkuasa tinggi buat kerja amal Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT Sebahagian ahli Terengganu All Bikers Club dan K Riders menyertai program kerja-kerja amal di Masjid As-Solihin, Kampung Banggol Tok Esah, Manir, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 5 Okt. - Lazimnya, mana-mana kelab motosikal berkuasa tinggi akan lebih memberi tumpuan terhadap program menjelajah dari destinasi ke destinasi sama ada sekitar dalam negeri atau bergerak ke negeri lain. Berbeza dengan Terengganu All Bikers Club (TABC) yang kali ini menampilkan pendekatan berbeza yang tertumpu kepada kerja-kerja amal jariah mengimarahkan Masjid As-Solihin di Kampung Banggol Tok Esah, Manir dekat sini hari ini menerusi program yang diatur. Kemunculan sebahagian ahli kelab berkenaan yang turut mendapat sokongan kelab motosikal berkuasa tinggi dari negeri berjiran, Kelantan iaitu K Riders bagi menjayakan program sehari di masjid tersebut. TABC diketuai Ahli Jawatankuasa kelab tersebut, El-Gamillo Habibun Tan, manakala K Riders oleh Presidennnya, Yusof Mamat. Sebanyak 15 motosikal mewakili TABC manakala 40 buah lagi daripada K Riders dan mereka mula tiba di pekarangan masjid berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari. Komitmen tinggi semua ahli kelab motosikal berkenaan wajar dipuji kerana kesanggupan mereka menyertai program gotong-royong membersih kawasan kubur di sebelah masjid itu walaupun di bawah terik matahari. Program itu bermula jurus selesai solat Jumaat dan berbeza dengan kebiasaannya yang dilakukan ketika cuaca redup di sebelah pagi. Selepas itu, mereka bersama-sama ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung menjayakan majlis penyampaian cenderamata berupa bungkusan hamper sebagai sumbangan kelab berkenaan kepada golongan yang memerlukan. Sebelum beredar meninggalkan majlis, mereka sempat menunaikan solat asar berjemaah di masjid berkenaan yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid As-Solihin, Wan Deraman Wan Ahmad. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Masjid itu, Che Mansor Salleh; Imam 2, Wan Omar Wan Isa; bilal, Che Abdullah Salleh; Setiausahanya, Anuai Abdullah dan ahli jawatankuasa. Dalam pada itu, Che Mansor berkata, program tersebut adalah kali pertama dianjurkan kelab motosikal berkuasa tinggi sejak masjid itu mula digunakan tiga tahun lalu. "Program ini merupakan rentetan siri program kemasyarakatan yang anjurkan dengan tujuan mengajak masyarakat agar mendekatkan diri dengan masjid selepas program kursus asas pengurusan jenazah di masjid itu minggu lepas," katanya. |
1,000 sertai pertandingan mewarna Bank Rakyat Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT Ahmad Subari Badli (belakang, tiga dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Seronoknya Mewarna Nuri anjuran Bank Rakyat di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. KOTA BHARU 5 Okt. - Lebih 1,000 kanak-kanak menunjukkan bakat masing-masing dalam Pertandingan Seronoknya Mewarna Nuri anjuran Bank Rakyat di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 di sini semalam. Pertandingan yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu terbahagi kepada empat kategori iaitu A bagi kanak-kanak berusia lima dan enam tahun, B (tujuh dan lapan tahun), C (sembilan dan 10 tahun) manakala D (11 dan 12 tahun). Kesemua hadiah disampaikan oleh Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kubang Kerian, Ahmad Subari Badli. Menurut Ahmad Subari, pertandingan yang diadakan setiap tahun itu bukan sahaja dapat mencungkil bakat dan kreativiti kanak-kanak mewarna bahkan menggalakkan mereka menabung sejak awal lagi. "Program ini juga diadakan untuk menunjukkan penghargaan kepada pendeposit muda yang terdiri daripada murid sekolah dan tadika," katanya. Tambah beliau, berdasarkan rekod, lebih daripada 500 akaun Nuri Bank Rakyat telah dibuka oleh ibu bapa sejak dua bulan lalu untuk anak-anak mereka di cawangan tersebut. Katanya, salah satu langkah yang diambil Bank Rakyat untuk memupuk budaya menabung ialah mengadakan pertandingan Battle of School. "Pertandingan ini melibatkan jumlah tabungan yang tinggi dan kekerapan menabung di antara sekolah dan pelajar. "Pertandingan itu terbuka kepada murid sekolah rendah dan mesti memiliki akaun Bank Rakyat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |