Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Lahirkan generasi lebih utuh
- Jangan salah guna bantuan Azam Tani - Mahadzir
- Masalah pencerobohan nelayan di wilayah utara Semenanjung terkawal
Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) bersama sebahagian daripada peserta Forum Presiden Universiti Asia Ke-12 di Langkawi, kelmarin. LANGKAWI 9 Okt. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa peneraju institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mencari asas bersama untuk memupuk generasi masa depan yang lebih utuh. Ini, titah baginda, boleh dilakukan dengan menyediakan asas modal insan yang lebih baik, dengan perkembangan ketamadunan dan negara bergantung kepada sumber yang kukuh serta lestari. "Meskipun terdapat keperluan untuk kita memupuk peneraju dengan perspektif global, namun begitu nilai, identiti dan semangat kekitaan Asia juga penting," titah baginda pada majlis jamuan malam Forum Presiden Universiti Asia (AUPF) ke-12 di sini malam tadi. Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berangkat ke majlis itu. AUPF ke-12 selama empat hari sejak Sabtu lepas, menghimpunkan 67 presiden dan wakil institusi pengajian tinggi dari 22 negara Asia, dianjurkan oleh UniMAP dengan kerjasama Malaysian Higher Education Leadership Academy (AKEPT). Ia diadakan buat pertama kali di Malaysia. Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah, tanpa kesedaran moral berasaskan nilai Asia, peneraju Asia di masa depan boleh terjebak ke dalam kemerosotan sosial. "Kita ingin menghasilkan siswazah yang dilengkapi pengetahuan serta kemahiran dan pada masa sama memiliki nilai moral dan etika," titah Tuanku Syed Faizuddin. Baginda bertitah, dalam tahun-tahun kebelakangan, institusi pengajian tinggi dipasarkan sebagai sebuah industri yang berkembang di seluruh Asia namun setiap institusi perlu menyedari tanggungjawabnya bahawa menyediakan pendidikan adalah paling utama dan bukan meraih keuntungan daripada kemasukan pelajar. Raja Muda Perlis juga berharap, institusi pengajian tinggi akan memberi keutamaan kepada pendidikan pelajar untuk menyepadukan pengetahuan mereka dengan kemahiran dunia sebenar misalnya komunikasi dan penyelesaian masalah. Baginda turut menggesa agar negara Asia menggembleng usaha untuk menjadikan Asia destinasi terunggul bagi kecemerlangan pendidikan. Turut hadir pada majlis jamuan itu ialah Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Husin; Presiden Dongseo University Republik Korea, Dr. Chang Jekuk dan Presiden Athlone Institute of Technology, Ireland, Prof Ciaran O'Cathain. - BERNAMA |
Jangan salah guna bantuan Azam Tani - Mahadzir Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT SIK 9 Okt. - Peserta Azam Tani diingatkan supaya tidak menyalahgunakan bantuan yang diterima, selain berusaha keras meningkatkan ekonomi keluarga untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, program Azam Tani merupakan kesinambungan transformasi kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah bagi golongan miskin. Justeru, katanya, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merobah kehidupan masing-masing. "Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan sentiasa mencari jalan dan caranya bagi membantu rakyatnya agar tidak terbeban dengan masalah ekonomi rumahtangga mereka. "Rakyat juga perlu berusaha dan mencari jalan untuk menambah pendapatan supaya mereka dapat hidup dengan lebih sempurna dan selesa," katanya ketika merasmikan majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Latihan Pengendalian Makanan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Peserta Azam Tani Daerah Sik di Sik Inn di sini baru-baru ini. Program yang dikendalikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kedah dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu membolehkan 50 peserta mengikuti kursus pengendalian makanan. Menurut Mahadzir, melalui latihan tersebut, peserta didedahkan dengan aspek pengendalian makanan dan minuman serta perlaksanaan dengan cara yang betul. "Melalui kursus ini, dapat meningkatkan pengetahuan dan daya saing supaya peserta tidak ketinggalan dalam bidang yang diceburi," katanya. Peserta, Som Sin Endin Tap, 47, yang menjalankan projek kedai makanan dan minuman di Kampung Baru Kura, Jeneri dekat ini melahirkan rasa gembiranya kerana terpilih mengikuti latihan tersebut serta menerima bantuan Azam Tani. "Saya sangat gembira menjalani latihan pengendalian makanan dan minuman. Selepas ini saya boleh menjalankan projek kedai makanan dengan lebih giat lagi hasil bantuan barang Azam Tani yang diterima hari ini," kata Som Sin. Ibrahim Mat Kasa, 43, dari Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Sungai Semiar, Jeneri turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menerima barangan Azam Tani yang berupa mesin rumput dan peralatannya. "Terima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan masalah ekonomi rakyat. Dengan adanya mesin rumput ini bolehlah saya bekerja dengan lebih giat lagi untuk menambah pendapatan keluarga," katanya. |
Masalah pencerobohan nelayan di wilayah utara Semenanjung terkawal Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT PULAU PINANG 9 Okt. - Masalah pencerobohan nelayan asing dan bot pukat tunda di kawasan perairan utara Semenanjung masih terkawal dan tidak membimbangkan. Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa memantau dan membuat rondaan di kawasan-kawasan perairan negara. "Kita sedar, penceroboh ini akan mengambil kesempatan sekiranya mempunyai peluang untuk menceroboh, oleh itu kita akan menempatkan bot penguat kuasa di kawasan yang telah dikenal pasti. "Maritim Malaysia juga menyediakan bot peronda khas bagi membuat pemantauan dan menangkap nelayan yang melanggari sempadan perairan ditetapkan untuk menangkap ikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau ditemui selepas pertandingan menembak anjuran Maritim Malaysia bersama pengamal media di Lapang Sasar Kelab Menembak Pulau Pinang di sini hari ini. Kok Kwee dalam pada itu menambah, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang sering dicerobohi nelayan asing dan pelanggaran zon menangkap ikan oleh nelayan tempatan seperti di Teluk Bahang, Pulau Kendi, Teluk Kumbar dan Sungai Acheh dan akan mengambil tindakan sewajarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |