{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Mangsa banjir dibenarkan pulang

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

SITI Aisyah Yakoob mengesat air matanya melihat barang-barang rumahnya rosak akibat banjir melanda Kampung Labuh Banting, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

TASEK GELUGOR 23 Okt. - Banjir yang melanda beberapa buah kampung di sekitar daerah ini hampir pulih sepenuhnya apabila sebahagian besar mangsa di tiga pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, mangsa yang dibenarkan pulang adalah dari pusat pemindahan di Paya Tok Akil dan Padang Menora.

"Ini kerana selain cuaca telah kembali baik, mereka tinggal agak jauh dari Sungai Jarak yang paras airnya didapati telah surut.

"Bagaimanapun terdapat 33 orang mangsa banjir yang terdiri daripada 11 keluarga masih mendiami pusat pemindahan banjir Labuh Banting kerana keadaan air di kawasan mereka belum surut sepenuhnya," katanya di sini hari ini.

Seorang mangsa banjir di pusat penempatan Labuh Banting, Mokhtar Yaakob, 44, berkata, kesemua keluarga yang masih tinggal di situ adalah pemilik rumah yang berada berdekatan dengan Sungai Jarak.

"Biarpun paras air semakin surut, kami tidak dibenarkan mengambil risiko pulang ke rumah untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan kedudukan rumah kami dekat dengan sungai.

"Kami juga selesa tinggal di sini kerana selain dijaga dengan baik oleh pelbagai agensi terlibat, keselamatan kami lebih terjamin daripada pulang dan tinggal di rumah," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Labuh Banting mendapati penduduk mula sibuk membersihkan rumah masing-masing selepas tiga hari dimasuki air.

Zuraini Yaakob, 40, memberitahu, meskipun letih kerana terpaksa membersihkan rumahnya yang dimasuki lumpur, dia tetap gembira kerana dapat pulang.

Walaubagaimanapun, dia agak sedih kerana banyak perabot rosak dan terpaksa dibuang.

Akidah teras kehidupan - Raja Muda

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) diiringi oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) tertarik dengan lukisan potret baginda yang dihasilkan oleh peserta pameran, Anuar Ahmad (duduk) selepas Majlis Pelancaran Pameran Karya Seni 1MCAT 2013 di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP di Arau, Perlis, semalam. - BERNAMA

KANGAR 23 Okt. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu umat Islam sentiasa sedar bahawa akidah merupakan teras kehidupan bagi setiap individu.

Titah baginda, akidah yang betul akan membolehkan perkara-perkara lain dalam kehidupan ini dilihat sebagai dimensi yang betul, manakala akidah salah membuahkan kesalahan cara berfikir dan secara kesimpulan, terbabas dalam kehidupan.

"Segala masalah yang timbul hari ini adalah kerana kurangnya pegangan akidah dalam kehidupan seseorang.

''Justeru, pemantapan akidah adalah satu tuntutan besar dalam hidup ini yang harus diperkukuhkan dari semasa ke semasa kerana iman di dada sering tergugat dan tercabar dengan pelbagai keadaan dan perkembangan hidup yang dihadapinya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika penutupan Wacana Pemantapan Akidah 2013 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) di Dewan 2020 di sini hari ini.

Wacana bertajuk Mendepani Ancaman Kristianisasi, Liberalisme dan Syiah merupakan sebuah program berbentuk 'roadshow' yang dianjurkan oleh Yadim itu bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat Islam tentang isu-isu akidah masa kini, terutamanya fahaman Syiah dan liberalisme yang semakin menyusup ke dalam masyarakat kini.

Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat sama.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin.

Sehubungan itu, titah baginda, usaha mempertahankan akidah umat Islam hendaklah dibina atas asas pengukuhan hujah dan alasan yang mantap oleh semua pihak.

"Sebarang kecenderungan untuk mengambil tindakan fizikal dalam menegakkan akidah tanpa menekan soal pembinaan pemikiran dan hujah yang berkesan hanya akan menyebabkan masyarakat dunia ini menganggap Islam agama yang tidak boleh bertolak-ansur.

''Kita hidup dalam era percambahan maklumat yang begitu dahsyat yang mana manusia dapat berhubung antara satu sama lain dengan begitu pantas," titah baginda.

Titah baginda lagi, maklumat pelbagai perkara dapat dikutip dengan mudah melalui kemajuan teknologi yang ada di mana keadaan ini tidak dialami oleh umat Islam dan pentadbiran umat Islam pada kurun-kurun yang lampau.

''Cara berhujah, menyebarkan hujah dan mempertahankan pendirian hendaklah memenuhi keperluan hadirin ataupun pendengar pada era ini.

"Golongan ulama juga perlu lebih canggih dalam berdakwah supaya pendekatan Islam kelihatan 'segak dan bergaya' pada mata kawan mahupun lawan. Ini penting supaya Islam tidak ditohmah sebagai agama yang ekstrem dan enggan menerima kepelbagaian,'' jelas baginda.

Banjir: 71 keluarga di Pendang terpaksa dipindahkan

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

ABDUL Rahman Ismail (kiri) melawat mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan di Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang, Kedah, semalam.

PENDANG 23 Okt. - Seramai 250 orang melibatkan 71 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, di sini hari ini selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan sejak semalam.

Pegawai Daerah Pendang, Abdul Rahman Ismail berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan membabitkan empat mukim iaitu Guar Kepayang, Padang Pusing, Air Puteh dan Bukit Raya.

"Kita menubuhkan bilik gerakan banjir sejak semalam dan buat masa ini kita hanya membuka sebuah pusat pemindahan.

"Penduduk dinasihatkan segera berpindah ke pusat pemindahan yang dibuka 24 jam itu sekiranya kawasan rumah mereka dinaiki air," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mangsa, Rosliza Abdul Razak, 26, berkata, mereka sekeluarga mula berpindah ke pusat pemindahan pukul 9 pagi semalam apabila kawasan rumah mula dinaiki air.

"Walaupun air hanya naik pada paras lutut di luar rumah sejak tiga hari lalu namun saya dan suami nekad untuk berpindah kerana bimbang keselamatan kami dan dua orang anak yang berumur tiga tahun dan dua bulan," katanya.

Rosliza yang tinggal di Kampung Bonggol Besi di sini berkata, ini merupakan pengalaman kelima dia dan keluarganya berpindah ke pusat pemindahan disebabkan kawasan rumah mereka sering dinaiki air pada musim hujan.

Seorang lagi mangsa, Marshitah Said, 28, memberitahu, kedudukan rumahnya di Kampung Batu Hampar Kanan di sini yang terletak berhampiran Sungai Pendang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pindah ke pusat pemindahan sejak pagi semalam.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat