Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN Ramazan Othman (kanan), Nordin Mohamed (dua dari kanan) dan Tok Boon Eng (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada penjaja lain berkumpul untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan bagi mengalihkan lokasi perniagaan mereka berhampiran Pasar Besar Port Dickson ke tempat lain, semalam. - UTUSAN/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN TELOK KEMANG 12 Feb. - Penjaja berhampiran Pasar Besar Port Dickson merayu pihak berkuasa tempatan menimbang semula keputusan memindahkan mereka ke lokasi baharu. Menurut mereka, alasan diberikan kononnya kehadiran penjaja menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan tidak boleh diterima. Salah seorang penjaja, Ramazan Othman, 45, berkata, pengunjung lebih selesa membeli di gerai mereka dengan cara 'pandu laju'. "Cara ini telah memudahkan mereka, malah ia menjimatkan. Tidak timbul soal sesak dan sebagainya," katanya di sini hari ini. Biarpun keputusan pihak berkuasa tempatan terbabit belum dilaksanakan, namun beberapa pucuk surat yang dikeluarkan pihak berkenaan seolah-olah menguatkan andaian mereka perlu berpindah. Seorang lagi penjaja, Tok Boon Eng, 54, berkata, pemindahan ke lokasi baharu akan menyebabkan pendapatan mereka terjejas. "Jalan masuk ke lokasi penjaja yang baharu itu bukan sahaja sempit, malah berhampiran dengan selekoh yang akan mengundang bahaya kepada pengguna jalan terbabit. "Lebih baik pihak berkuasa tempatan menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk meletakkan kenderaan," jelasnya. Sementara itu, Nordin Mohamed, 54, pula berkata, para penjaja memulakan perniagaan di tapak sedia ada dari pukul 7 hingga 11 pagi. "Dengan berkonsepkan meja dan payung, perniagaan kami yang berada sederet turut menjaga kebersihan. "Pengunjung juga lebih selesa untuk ke pasar sambil membeli sedikit juadah seperti nasi lemak, mi mahupun kuih-muih yang dijual penjaja di sini kerana berhampiran dengan pintu masuk pasar. "Kami mengharapkan mesyuarat pada 21 Februari ini yang melibatkan para penjaja bersama PBT akan memihak kepada kami," katanya. |
Melaka fokus tanaman Jagung 1Malaysia Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST Hasan Rahman (empat dari kiri) meletakkan papan tanda projek sebagai gimik perasmian Makmal Jagung di Taman Tasik Permai, Sungai Rambai di Jasin, Melaka, semalam. JASIN 12 Feb. - Kerajaan negeri akan menjadikan tanaman Jagung 1Malaysia sebagai komoditi utama yang akan ditanam berskala besar di negeri ini bagi menghasilkan pengeluaran sebanyak 3,900 metrik tan setahun. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, permintaan terhadap jagung hibrid teknologi N28 semakin meningkat sejak diperkenalkan tahun lalu dan ini memberikan peluang kepada petani untuk menambah pendapatan. Menurutnya, permintaan tersebut bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga dari dua buah negara luar iaitu China dan Amerika Syarikat (AS). Bagaimanapun katanya, penghasilan jagung sebanyak 90 metrik tan setahun itu tidak mampu menampung permintaan pasaran tempatan dan eksport di dua buah negara tersebut. "Keluasan tanaman jagung hibrid di negeri ini hanya seluas 80 hektar. Ini tidak mampu menampung permintaan untuk dieksport ataupun bagi pasaran tempatan. "Justeru, kerajaan negeri akan menggalakkan lebih ramai petani mengusahakan tanaman Jagung 1Malaysia kerana memberikan pendapatan lumayan dan kita akan menggunakan tanah rezab milik kerajaan yang terbiar bagi diusaha dengan tanaman jagung. "Sasaran utama ialah untuk menghasilkan pengeluaran sebanyak 3,900 metrik tan setahun dan jika ini dapat dilaksanakan, jagung boleh menjadi tanaman nombor satu di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Makmal Tanaman Jagung 1Malaysia di Kampung Tasek, Sungai Rambai dekat sini hari ini. Hasan berkata, makmal itu diwujudkan bagi menjalankan kajian untuk mencari benih terbaharu yang dapat mengeluarkan hasil daripada tiga bulan kepada hanya dua bulan semusim. Menurutnya, makmal tersebut adalah kerjasama antara sebuah syarikat CSR 1Malaysia bersama Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta beberapa agensi lain. "Tanah seluas empat hektar di Kampung Tasek akan ditanam pelbagai jenis benih baharu dan benih terbaik yang disasarkan akan ditanam di semua kawasan tanaman jagung," katanya. Di samping itu kata Hasan, tiga buah bangunan telah dibeli bagi dijadikan sebagai kilang untuk memproses minuman dan makanan berasaskan jagung. Justeru, beliau yakin jagung bakal menjadi tanaman nombor satu di negeri ini jika berjaya menghasilkan benih baharu yang dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat. Menurutnya, projek tanaman jagung itu didapati mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, terutama golongan muda kerana dapat menghasilkan pendapatan tinggi kepada peniaga pasar tani. "Selain jualan segar, jagung akan menjadi bahan mentah untuk projek industri hiliran seperti makanan dan minuman yang akan dilaksanakan tidak lama lagi ekoran pembelian tiga buah bangunan," katanya. |
Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST JASIN 12 Feb. - Sejumlah barangan bantuan e-Kasih yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk meringankan beban mereka terpaksa ditarik balik selepas penerima terbabit gagal memanfaatkan bantuan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan tersebut memandangkan terdapat penerima menjual barangan yang diberikan itu kepada pihak ketiga dan ada yang tidak menjalankan perniagaan. Menurutnya, baru-baru ini, pihaknya telah menarik balik pemberian dua bot nelayan berukuran 17 kaki panjang bernilai RM4,600 dan sebuah enjin jenis Suzuki, 15 kuasa kuda berharga RM6,500 setelah nelayan terbabit menjual kesemua bantuan itu kepada orang lain. Beliau berkata, dua buah gerai yang dilengkapi dapur memasak dan meja makan berharga RM7,000 turut ditarik balik setelah penerimanya tidak menggunakannya untuk berniaga. "Kita tidak boleh lagi bertolak ansur kerana banyak aduan yang diterima apabila penerima e-Kasih menjual bantuan yang disalurkan dan ada pula menyimpannya. "Mereka ini dipilih untuk menerima bantuan e-Kasih dalam pelbagai jenis barangan untuk berniaga semata-mata ingin membantu golongan ini melepasi garis kemiskinan. "Tetapi malangnya telah disalahgunakan dan tindakan menarik balik bantuan yang diberikan adalah satu pengajaran kepada golongan ini," katanya ketika ditemui di pejabat Japerun Sungai Rambai di sini hari ini. Hasan berkata, kesemua penerima bantuan itu mempunyai tempoh dua minggu untuk menuntut balik bot-bot dan gerai yang kini ditempatkan di Japerun Sungai Rambai. Menurutnya, jika mereka tidak menuntut kembali bantuan tersebut, kesemua barangan itu akan disalurkan kepada penerima lain. Beliau berkata, mereka tidak dikenakan denda, sebaliknya diberikan nasihat dan sekiranya ingkar, bantuan itu akan disalurkan kepada penerima lain. "Saya kesal dengan sikap kebanyakan penerima bantuan e-Kasih kerana tidak menghargai barangan yang diberikan, malah mereka sanggup jual kerana ingin mendapat wang," ujarnya. Justeru katanya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa penerima terbabit yang telah menyalahgunakan bantuan disalurkan untuk diambil tindakan dalam tempoh terdekat ini. Ujarnya, semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan e-Kasih telah diarahkan untuk menyiasat dan jika terbukti penerima menjual atau tidak menjalankan perniagaan, barangan itu terpaksa ditarik balik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |