Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Hilang kerana berehatPERNAH beberapa kali pemilik nama Wan Sharmila Wan Muhamed atau mesra disapa Lala tersilap percaturan merangka langkah dalam industri hiburan. Cerita berpakaian seksi dalam dua acara besar industri hiburan sebelum ini sesekali mengingatkan semula akan kewujudan Lala sebagai seorang pelakon yang cuba mencari sensasi. Bagaimanapun, kisah itu berlalu sekadar satu percikan yang menjadi rencah dalam kehidupan seorang artis. Kemudian, nama Wan Sharmila kembali perlahan namun tidak terus hilang. Melihat akan kecenderungan dan perubahan fasa yang dialami pelakon berusia 32 tahun itu, dia akur dan sedar akan proses dunia lakonan yang kini bukan lagi berpihak kepadanya. "Mungkin sekarang trend nama-nama baharu dalam industri sedang meningkat naik, kelompok pelakon seperti saya sekadar mengintai peluang kalau-kalau ada yang berkehendak," getus Lala menghela nafas berat. Bukan merajuk atau mempertikaikan atmosfera dunia hiburan tapi Lala ujarnya akur akan permainan politik dan turun naik bidang yang digalasnya. Lala dibedah Kehilangannya dalam dunia hiburan beberapa bulan lalu mengundang pertanyaan banyak pihak. Ada yang mendakwa janda kepada pemilik Radius One, Fazli Baharom itu telah berkahwin senyap-senyap. Lala bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan katanya dia baru pulih selepas menjalani pembedahan pada bahagian pinggangnya sekitar bulan Ogos tahun lalu. "Tapi saya tidak mahu berkongsi jenis penyakit saya kerana bimbang orang lain fikir penyakit itu serius. Alhamdulillah saya sudah kembali sihat untuk menjalankan tugasan seperti biasa," maklum Lala. Berdepan dengan suasana menjelang detik pembedahan sepanjang dirawat selama sebulan di hospital, kata Lala dia hanya teringat ajal dan air matanya tidak henti-henti mengalir. "Perasaan itu hanya Allah saja yang tahu, gemuruh saya tidak dapat diluahkan dengan perkataan. Sekarang saya tahu bagaimana perasaan apabila dikelilingi doktor sebelum dibedah. "Apatah lagi sebelum masuk ke bilik pembedahan saya dinasihatkan oleh beberapa rakan artis agar mengambil wuduk dan banyakkan selawat. Perasaan takut itu semakin bertambah," cerita Lala bersungguh-sungguh. Kini, Lala memberitahu dia terpaksa mengurangkan makanan pedas dan pengambilan minuman kopi secara berlebihan kerana bimbang akan kadar kesihatan dan impak pembedahan itu. WAN SHARMILA memilih untuk menjalani karier yang tidak terlalu pantas naik, sebaliknya dia senang melalui perjalanan kariernya perlahan-lahan. Eropah Kehilangan seketika Lala disokong dengan percutian ke beberapa buah negara Eropah sekitar awal bulan Mac lalu. Cerita Lala, perjalanan yang dirancang saat-saat akhir itu mencabar adrenalinnya. "Percutian ke Eropah ini ibarat percutian kawan-kawan saat akhir, kebetulan saya sedikit lapang dan tengah mencari ruang untuk berehat sekejap. "Selama 10 hari berada di sana rasa seperti tidak mahu pulang ke Malaysia. Walaupun kami ke sana cuma bertiga, tapi pengalaman bawa diri sendiri di tempat orang sangat menyeronokkan! "Bukan berbelanja sakan pun di sana, tapi saya lebih suka melawat tempat-tempat orang dan melihat perbezaan budaya masyarakat di sana dengan kita," kata Lala. Singkap Lala lagi, dia ibarat terpukau dengan keajaiban Barcelona dan menyifatkan lokasi percutian itu telah membuatkannya 'jatuh cinta pandang pertama'. Selain Barcelona, Lala sempat berkunjung ke Madrid sepanjang berada di Sepanyol serta meluangkan sedikit waktu menjenguk lokasi percutian menarik di kepulauan Grenada, Amsterdam dan Portugal. Filem tanda aras Bakal muncul dengan beberapa projek terbaharu antaranya sebuah telefilem Wira bersama pelakon Syed Aiman yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi, Lala mengakui minatnya kini lebih tertumpu dalam dunia pengacaraan. "Kalau ditanya mengenai telefilem, ia ibarat kita makan nasi. Sampaikan saya sendiri terlupa jumlah telefilem lakonan saya. "Mungkin juga saya jenis seorang yang suka bercakap maka apabila ditawarkan untuk menjadi pengacara, saya dipermudahkan jalannya dan sekarang bidang itu menjadi minat saya," kata Lala. Kongsi Lala lagi, keseronokannya mengacara berganda apabila diberikan kesempatan untuk berkolaborasi dengan Fizz Fairuz dalam program gameshow terbitan RTM, Seiring Sejalan yang akan bersiaran tidak lama lagi. Sementara itu, Lala mengakui teruja menantikan sambutan filem seram pertamanya, Bisikan Syaitan yang akan menemui penonton pada 2 Mei ini. "Sudah masuk dua tahun filem ini menunggu untuk masuk pawagam dan saya mencurahkan segala keringat yang saya mampu untuk melakonkan watak Kamilia. "Kamilia merupakan mangsa kepada abangnya, Kamil (Fizz Fairuz) yang telah membuat perjanjian dengan ilmu hitam," ujarnya mengenai filem arahan Faizul A. Rashid itu. Filem Bisikan Syaitan turut dibintangi oleh Fizz Fairuz, Nabila Huda dan Azam Pitt. Apabila kisah cinta beralih menjadi pokok bicara, Lala tersipu-sipu malu. Ditanya adakah hatinya kini sudah dimiliki mana-mana jejaka, Lala menjawab dengan lontaran senyum. "Perancangan untuk kahwin ada, tapi orangnya masih belum ada. Mungkin orang sekeliling nampak saya jenis tidak kisah tapi sebenarnya hati wanita mana tidak terdetik untuk berumah tangga, bahagia dan memiliki cahaya mata sendiri. "Barangkali faktor usia membuatkan saya malas untuk mencari pasangan dan saya pun bukan seorang yang suka merapati seseorang kalau saya menyukainya," terang Lala. |
Berhenti sekolah, Chacha akan duduki SPM Posted: Berhenti sekolah, Chacha akan duduki SPMOleh RONI HIDAYAT RIDWAN SELAMA ini peminat lebih mengenali Emma Maembong sebagai seorang pelakon muda yang semakin meningkat naik, namun dia juga mempunyai seorang adik iaitu Chacha Maembong yang turut berlakon. Sebenarnya, Chacha atau nama sebenarnya terlebih dahulu berkecimpung dalam lakonan sejak empat tahun lalu, berbanding kakaknya yang hanya mula berlakon sejak tahun lepas. Menariknya, nama Emma pula kini lebih dikenali ramai sehingga ada yang menganggap bahawa dirinya seakan-akan tenggelam dengan populariti yang diraih oleh kakaknya itu. Mengulas mengenai perkara tersebut, Chacha yang ditemui semasa majlis pelancaran drama Kisah Chenta Cornetto Uda & Dara menyatakan dia tidak kisah apabila ada pihak yang cuba membandingkan mereka berdua. Malah, Chacha turut memberitahu, walaupun tidak menamatkan persekolahannya, dia telah mendaftar sebagai calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Kosmo!: Ceritakan tentang watak Chacha dalam drama Kisah Chenta Cornetto Uda & Dara ini? CHACHA: Saya telah diberikan watak sebagai gadis bernama Aisha, seorang blogger yang cukup aktif dan pada masa yang sama menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat perhubungan awam. Selain tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan, saya teruja untuk membintangi drama ini kerana ia menggandingkan beberapa pelakon popular dan baharu serta memberikan pengalaman yang cukup menarik buat diri saya. Bercerita tentang popular, Emma kini dilihat lebih popular berbanding anda sekarang ini. Apakah pandangan anda mengenai perkara tersebut? Sebagai adik saya sudah tentu berasa cukup bangga dengan pencapaian yang diraih oleh Emma sekarang. Walaupun saya lebih awal berlakon, tetapi rezeki nampaknya lebih berpihak kepada kakak saya. Adakah anda tidak cemburu apabila Emma lebih menyerlah? Rasanya saya tidak perlu rasa cemburu apabila Emma lebih menyerlah dan popular. Sebagai adik-beradik sudah tentu kami saling menyokong kerjaya masing-masing dan tidak kisah siapa antara kami yang lebih popular. Pembabitan kami berdua dalam dunia lakonan ini bukanlah semata-mata mahu mengejar populariti, sebaliknya ia lebih kepada minat yang mendalam. Jadi, sepatutnya kami tidak boleh menanamkan perasaan cemburu dalam diri. Adakah anda dan Emma pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah drama yang sama? Tawaran berlakon bersama-sama memang pernah kami peroleh, cuma jadual yang bertentangan menyebabkan kami terpaksa menolaknya. Lagipun saya tidak kisah sekiranya ditawarkan berlakon berdua. Sebelum ini Emma ada membuat kenyataan bahawa dia mengambil keputusan berhenti sekolah dan belajar sendiri di rumah. Adakah anda turut mengambil langkah yang sama? Tidak dinafikan saya turut mengikut jejak langkah Emma dan ia lebih memudahkan saya mengembangkan karier lakonan. Bagaimanapun, saya tetap memberi tumpuan kepada pelajaran dan sudah mendaftar sebagai calon persendirian untuk mengambil peperiksaan SPM tahun ini. |
Posted: Wings Rockestra menyengatOleh KHAIRUL AMRI HASSAN KUMPULAN Wings harus menerima pujian yang hebat kerana mampu merealisasikan Wings Rockestra dengan piawaian yang cukup baik. TIGA bulan persiapan menjelang Konsert Wings Rockestra yang telah membuka tirai persembahan bermula malam Jumaat lalu hingga Selasa ini (30 April), Wings bagaimanapun belum cukup puas dengan pencapaian yang diraih hari ini. Tempoh 28 tahun menggalas peranan sebagai sebuah band yang memperjuangkan muzik-muzik rock, Wings menyasarkan untuk beraksi di konsert solo berskala besar di stadium pula. "Sudah pasti impian setiap penyanyi untuk mengadakan konsert sendiri dan Wings mengimpikan untuk membuat konsert di dalam stadium selepas ini. "Diberikan kepercayaan untuk membuat persembahan di pentas berprestij umpama Istana Budaya menerusi Wings Rockestra sebenarnya sudah cukup membuatkan kami teruja dan berbangga," ujar vokalis Wings, Awie yang ditemui sejurus selepas tamat persembahan pada malam previu khas bersama media, 25 April lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tambah Awie, dia juga mengimpikan untuk membuat persembahan bersama band dari Amerika Syarikat selepas ini sekiranya diberi peluang. "Kami sebelum ini pernah mengadakan persembahan bersama band dari United Kingdom, Brunei dan Singapura. Sekarang menjadi cita-cita kami pula untuk beraksi bersama band dari Amerika Syarikat," katanya yang memasang hajat untuk berkongsi pentas bersama Metallica dan Motley Crew. Wings Rockestra yang turut diiringi oleh 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer berlangsung selama dua setengah jam dan menampilkan untaian lagu yang sebelum ini jarang dipersembah atau diperdengarkan di radio. Ujar gitaris Wings yang merupakan penggerak utama Wings Rockestra, Joe, pemilihan lagu dibuat berdasarkan kesesuaian rentak lagu untuk digabungkan dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan. "Lagu orkestra lebih kepada rentak klasikal dan kami memilih lagu-lagu yang sesuai untuk memberikan mood tersebut sepanjang persembahan berlangsung. "Cabaran kali ini adalah melaksanakan muzik tanpa ada pertukaran saat akhir dan harus 'bermain' sama seperti latihan tanpa berlanggar dengan pemuzik orkestra," tambah Joe. Wings Rockestra membuka persembahan dengan lagu Amok disusuli 19 buah lagu berikutnya seperti Bujang Senang, Suara Kita, Anugerah, Alam Barzakh, Julang Timur Tengah, Ranjang Mawar dan lagu yang paling digemari Awie iaitu Harapan dan Dari Tuhan. Masih menyelitkan lagu-lagu malar segar Wings antaranya Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah Utama dan Opera Hidup, konsert penuh nostalgik itu ditutup dengan lagu Sejati yang membuatkan audiens meremang bulu roma dengan gubahan muzik lagu tersebut. Mencuri tumpuan segmen Ilusi Intonasi yang menampilkan tiga pemain gitar legenda iaitu gitaris kumpulan Search, Hillary Ang, gitaris band terkemuka Indonesia, God Bless, Ian Antono dan Joe Wings sendiri. Kata Awie secara tidak langsung dia telah mengimbau kembali langkah sulung Wings sekitar tahun 1987 apabila berjaya menyampaikan lagu-lagu yang jarang diperdengarkan kepada peminat. "Peminat selalu minta lagu yang selalu mereka dengar dan ini peluang untuk kami mempersembahkan lagu-lagu yang jarang dan tidak sempat dimainkan sebelum ini. Alhamdulillah semua berjalan lancar," simpul Awie. Apapun, syabas diucapkan kepada Wings atas kejayaan konsert solo kedua mereka Wings Rockestra selepas melakar kejayaan sama pada Konsert Wings Opera Hidup dua tahun lalu! |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |