Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT MENJALANI hidup berumah tangga, tak selalu bahagia seperti yang dicitakan dan tak semestinya derita seperti yang dibimbangkan. Biasanya latar belakang seseorang menantu memainkan peranan menentukan bahagia atau sebaliknya. Terutama kalau menantu miskin, kehadiran kita tidak disukai mentua. Ini yang saya alami selama sembilan tahun berkahwin.'' Itu cerita Azihani dalam e-melnya. ''Kini saya ada dua orang anak dan saya merancang keluarga sebab bimbang masa depan yang belum pasti, kerana sering diganggu mertua. Saya takut kalau ramai anak. Apa akan jadi kepada mereka kalau ditakdirkan saya diceraikan. ''Saya tiada tempat mengadu, ibu bapa sudah lima tahun meninggal dunia, adik-beradik walaupun ramai bukan tempat meminta tolong sebab mereka bukan berpendapatan tinggi. Jadi saya fikir dengan dua anak saya boleh hadapi hidup, berdikari jika ditakdirkan diceraikan. ''Saya tidak minta diceraikan, tetapi kerana sering diganggu, dihasut saya takut, mana tahu apa yang dibimbangkan jadi kenyataan. Saya bukan kaki melawan, saya pasrah ditakdirkan sesuatu keburukan berlaku ke atas diri saya. ''Memang sekarang suami saya Faiz baik, tetapi saya tak boleh baca fikirannya lima tahun lagi. Manusia boleh berubah. Tambahan pula kehadiran saya dalam keluarganya sejak awal tidak disenangi ibu mertua, Saya berpendapat apa juga masalah yang dihadapi dari dulu hingga sekarang berpunca daripada latar belakang keluarga saya, kami orang susah. Kami warga setinggarden (rumah setinggan). ''Namun bukan semua warga stinggarden susah, ada senang. Malah ada mempunyai kereta dan rumah besar. Tetapi keluarga kami memang susah, ayah jadi buruh adik-beradik pula ramai. Bayangkan kesusahan kami, tetapi saya bangga dapat bantuan pelajaran dari kerajaan hingga masuk kolej, begitu juga adik-beradik lain, ada masuk Giat Mara, politeknik dan kolej. Walaupun tak mewah tapi kami ada pekerjaan dan didikan yang kami terima. Syukur! ''Tapi adik-beradik Faiz, walaupun ayahnya gaji besar, berpangkat, seorang ipar saya tak bekerja sebab tak lulus SPM dan dia tak mahu berkerja. Seorang lagi lulusan kolej tapi dia juga tak mahu bekerja, jadi mereka makan tanggung di rumah. Sebab dari awal kehidupan mereka segalanya disediakan oleh ibu, mereka tak perlu risau. Bukan seperti adik-beradik saya, kami berhempas pulas belajar bila lulus cari kerja, baiki taraf hidup keluarga dan diri sendiri. ''Mungkin kerana perbelanjaan makin meningkat setelah ayah mertua bersara, Faiz jadi sasaran sumber kewangan, janji boleh bantu ibu, itu pesan mertua setiap kali kami berkunjung ke rumahnya. ''Saya tak faham apa sebenar punca kebencian ibu mertua. Dulu saya syak kerana saya miskin dan mereka berada, lepasi tu saya lihat mertua dan ipar saya cemburukan pekerjaan saya, sebab saya lulusan kolej dan saya bekerja di syarikat GLC. Dan sejak itu cerita kekurangan duit semakin menjadi-jadi. Ada saja mintanya. ''Saya tak marah kalau Faiz nak bagi duit pada emaknya kerana itu tanggung jawabnya, tetapi biar berpada-pada, jangan sampai menyusahkan saya, sebab Faiz selalu pinjam duit saya. Itu sudah lebih. Dia patut tanggung kami. ''Walaupun kami suami isteri bekerja, anak dua orang, duduk di pangsapuri, tetapi hidup kami tak senang. Kami selalu tak berduit. Siapa boleh sabar kalau pemberian pada ibunya meningkat dari RM200 kepada RM300 sebulan. Tak masuk bantuan 'sesak' pertengahan bulan. ''Mungkin pada anda jumlah itu kecil, tetapi pada kami perbelanjaan itu besar. Pertama kerana perbelanjaan hidup kami besar, kami bekerja di tempat berbeza, kami memiliki kereta sendiri, anak-anak perlu dihantar ke rumah pembantu, ansuran rumah dan sebagainya, tentu memerlukan perbelanjaan tinggi, walaupun kami tinggal di pinggir KL, tapi semua mahal. ''Dipendekkan cerita, perbelanjaan hidup yang tinggi, membuatkan kami terpaksa berjimat. Dalam masa sama terpaksa menghadapi mertua yang sentiasa tak puas hati dengan kehidupan kami. ''Ketika kami mula beli rumah , katanya rumah yang kami beli terlalu mahal sedangkan ia cuma pangsapuri, sedangkan dia boleh dapat rumah teres yang lebih murah. Mertua salahkan saya kerana tak sabar beli rumah dan sentiasa galakkan Faiz menjualnya dan beli rumah yang akan dicarikan. ''Tak dinafikan rumah ini mahal, sebab kami beli atas tangan orang bukan pemaju, tentu mahal. Tapi masalahnya kami tak sanggup berpindah setiap kali tuan rumah naikkan sewa rumah. Jadi kalau beli tak payah pindah. Sekali lagi saya dipersalahkan kerana tak mahu dengar nasihatnya. ''Dipendekkan cerita kata emak Faiz sejak lapan tahun kami berkahwin, Faiz telah melakukan tiga kesalahan besar kerana tidak menurut cakapnya. Oleh kerana sering kena marah, Faiz melepaskan kemarahannya kepada saya. Ada sahaja salah pada saya, akhirnya tentulah saya naik angin dan kami sering bertengkar. ''Saya pernah beritahu Faiz jika dia rasa saya bukan isteri sesuai dan bukan pilihan ibunya, dia boleh ceraikan saya. Lagi pun saya rasa tak ada guna kami tinggal serumah, jika kehidupan keluarga sering dipersoal dan saya dipersalahkan kerana membeli rumah mahal dan macam-macam lagi, saya rasa kesabaran saya semakin berkurangan. Biarpun saya cuba bersabar. ''Bila bertengkar saya suruh Faiz jual semula rumah yang kami beli, saya rasa hidup saya tak tenteram dan tak aman tinggal di rumah ini. Saya beritahu Faiz jika hidupnya sentiasa diganggu dan dipersoal, dia adalah anak yang amat malang di kalangan adik-beradik. Jadi sebaiknya dia ikut apa juga kehendak dan permintaan ibunya. Saya pasrah. ''Saya rasa sukar untuk bersabar, terutama jika Faiz tidak tahu bertindak apa lagi bersuara mempertahankan saya demi kebahagian hidupnya. Saya tak suruh dia melawan ibunya, sebaliknya saya suruh Faiz berfikir, pilih mana yang boleh menyenangkan hatinya dan hati ibunya. ''Saya tak mahu dia menderhaka semata-mata kerana mempertahankan saya dan rumah tangga . Tetapi fikir dan pilih mana yang baik. Tentang anak-anak Faiz tak perlu bimbang saya boleh besarkannya sendiri, tetapi dia mesti beri nafkah. Kerana itu tanggungjawabnya sebagai ayah. ''Saya rasa kehidupan saya semakin sempit, jika Faiz mahu membantu ibunya hidup senang, saya juga ingin melindungi diri. Saya perlu ada simpanan untuk masa depan yang belum pasti. Tetapi jika saya sentiasa membantu Faiz bagaimana saya boleh menyimpan? ''Saya sudah penat menasihatkan Faiz, tetapi dia masih mendahulukan ibunya, takut menderhaka, tetapi bagaimana dengan saya? Kerana itu saya beri laluan kepada Faiz untuk memudahkan dia buat keputusan, saya sedia berundur daripada 'bermadu' dengan ibunya. Saya pasrah,'' Itu kisah Azihani mengakhiri ceritanya yang masih belum ada keputusan. |
Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM BAK nama restorannya, Restoran Makanan Sedap yang terletak di Bistari De'Kota, Kota Damansara memang sedap belaka masakannya. Wajar dicuba! Hidangan asam pedas ekor, menu yang sering dihidangkan di kebanyakan hotel. Sajian istimewa dari Melaka ini disediakan sedikit cair seperti sup hingga boleh dihirup begitu sahaja. Bau harum semerbak dari renehan air asam bersama bunga kantan dan daun kesum pasti membuatkan pelanggan tidak sabar menikmatinya ditambah dengan ekor lembu yang menggantikan lauk biasa seperti ikan atau daging. Tidak lupa tomyam makanan laut di Restoran Makanan Sedap. Jangan terkejut bila melihat ketam berada di dalam mangkuk tomyam anda dan rasa manis dari renehan ketam yang segar itu menyeimbangkan rasa masam dan pedas hidangan terkena Thailand itu. Ayam kampung goreng kunyit di restoran ini juga tidak kurangnya. Kesegaran ayam kampung pasti membuatkan anda menambah nasi di pinggan. Selain masakan Melayu, restoran tiga tingkat ini turut menghidangkan pelbagai masakan Cina dan Barat bagi memenuhi selera pelanggan. Jangan malu bertanya dengan chef cara masakan atau hidangan lain yang tidak ada dalam menu, kerana apa yang anda idamkan mungkin dapat dipenuhi. Ujar Ketua Chef, Zul Azuwar, Restoran Makanan Sedap menggunakan konsep pesanan bebas kepada pelanggan mengikut cita-rasa sendiri. "Orang sekarang semakin pandai menikmati makanan. Jika bahan-bahan untuk hidangan yang dipesan khas ada di dapur, ia boleh diusahakan. "Konsepnya seperti meminta ibu anda masak mengikut selera anda. Kami juga akan cuba menepati selera pelanggan," ujarnya yang berpengalaman bekerja di beberapa buah hotel terkenal di sekitar Lembah Kelang sebelum ini. Bagi yang mengidam masakan Barat, boleh mencuba ayam bakar bersama lapisan keju yang dihidang bersama sos BBQ atau lamb chop yang menggunakan daging kambing segar bersama sos rosemary. Jangan pulang dulu sebelum mencuba manisan mereka iaitu karamel krim atau pai epal bagi melengkapkan kunjungan di Restoran Makanan Sedap yang sungguh tenang dan selesa. Restoran yang banyak bermain dengan warna tanah dan berkonsepkan semulajadi di dalam tata hias turut menyediakan set makan tengah hari iaitu gabungan nasi putih, air dan pilihan lauk seperti tomyam, ayam paprik dan daging goreng kunyit bermula RM10 bagi memudahkan pelanggan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |