Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 28 Apr 2013 09:23 AM PDT Percaya atau tidak setiap tahun dianggarkan 350,000 gadis dan wanita di dunia meninggal dunia akibat bersalin. Malah 99 peratus daripada angka itu berlaku di negara sedang membangun. Daripada kes yang dilaporkan, kebanyakan kematian ibu ketika melahirkan anak berpunca daripada masalah kesihatan sama ada berlaku sebelum, semasa atau selepas bersalin. Di negara dunia ketiga seperti Afrika, Pakistan, Bangladesh, India, Sri Lanka dan Afganistan, kadar kematian lebih tinggi berbanding di negara sedang membangun seperti Malaysia yang menunjukkan kadar pengurangan kematian ibu bersalin sebanyak 45 peratus iaitu daripada 53 orang bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1990 kepada 28 pada 2010, manakala negara lain masih bergelut dalam membendung masalah ini. Sebenarnya kematian akibat bersalin dapat dielakkan sekiranya wanita mengambil langkah pencegahan awal ketika mengandung dan saat melahirkan anak.
Semua wanita berhak untuk hidup dalam keadaan gembira serta mendapat peluang sesuatu yang lebih baik bagi meneruskan kehidupan dengan sihat dan sejahtera. Ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang bertujuan meningkatkan kesihatan kanak-kanak dan menurunkan kadar kematian ibu mengandung kepada tiga perempat, menjelang 2015. "Oleh kerana wanita adalah aset dan sumber pemangkin ekonomi negara, kadar kematian yang tinggi terutama di negara miskin ini akan menyebabkan muncul pelbagai masalah lain terutama dari segi sosial dan ekonomi," katanya. Dari sudut kesihatan, terdapat pelbagai masalah yang menyebabkan ibu mengalami komplikasi ketika bersalin. Antaranya pendarahan selepas bersalin, darah tinggi, anak songsang, jangkitan kuman serta kontraksi yang menyebabkan ibu tidak dapat melahirkan anak secara normal. Namun kekurangan kemudahan di hospital seperti peralatan, darah serta ubat-ubatan menjadi punca kepada kematian ibu dan anak. Selaras dengan matlamat MDG iaitu mengurangkan kadar kematian ibu bersalin, seharusnya kesihatan reproduktif dan seksual disediakan secara berkesan dan berkualiti kepada semua wanita. Ini boleh dilakukan dengan memberi kefahaman mengenai pentingnya perancangan keluarga bagi mengelak masalah kandungan yang tidak diinginkan serta kehamilan terlalu kerap. Jarak kehamilan kurang daripada dua tahun akan memberikan masalah kepada wanita. Begitu juga bagi ibu yang mempunyai anak yang ramai misalnya tujuh orang ke atas yang menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan diri sendiri serta memberi sepenuh perhatian kepada bayi mereka. "Perancangan keluarga adalah kaedah penting bagi mencegah ibu berisiko untuk hamil dalam keadaan belum bersedia. Ini kerana kekerapan bersalin akan menyebabkan komplikasi tumpah darah atau meninggal dunia lebih tinggi disebabkan tubuh ibu masih belum pulih untuk menerima bebanan semula. Begitu juga dengan tahap kesihatan yang semakin terjejas disebabkan rahim masih belum pulih serta emosi yang kurang stabil," katanya. Di Malaysia sejak 1970-an, walaupun tahap kesedaran wanita semakin meningkat mengenai pentingnya merancang keluarga, kesedaran di pihak suami perlu dipertingkatkan. Ini kerana ibu yang menolak untuk mengambil sebarang kaedah perancangan keluarga biasanya memberi alasan mereka tidak mendapat kebenaran suami. "Kurang kesedaran di pihak suami menyebabkan kaedah perancangan keluarga menjadi tidak berkesan walaupun kebanyakan wanita ingin menggunakannya. Justeru, lebih banyak program akan dijalankan dengan memberi tumpuan kepada suami supaya mereka lebih faham dan jelas mengenai pentingnya merancang keluarga. Ia bukan untuk menyekat hak mendapat anak tetapi lebih kepada menyediakan sumber kewangan yang lebih baik, fizikal yang lebih sihat dan emosi lebih stabil supaya kelahiran dapat dilakukan tanpa sebarang masalah," jelasnya. Cegah kematian ibu bersalin Menurut Dr Raj, langkah bagi mencegah kematian ibu bersalin di negara ini bermula sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Ketika itu kebanyakan punca kematian wanita disebabkan bersalin di rumah tanpa peralatan perubatan sempurna dan bersih serta bidan terlatih. "Kerajaan Malaysia mengambil beberapa langkah penting dalam menangani masalah ini seperti menghantar bidan dan jururawat kampung untuk latihan serta kursus yang sesuai bagi mencegah sebarang komplikasi semasa proses kelahiran," katanya. Sejak itu, Malaysia kini memiliki pusat kesihatan unggul dilengkapi kemudahan moden yang bukan saja memberi manfaat penduduk di bandar malah mereka yang tinggal di kawasan terpencil seperti penempatan Orang Asli. Ini dapat dilihat dengan wujudnya lebih 3,000 klinik kesihatan termasuk klinik desa di seluruh negara bagi memantau tahap kesihatan ibu dan bayi. Ini sekali gus berjaya mengurangkan kadar kematian ibu ketika bersalin, daripada 44 orang bagi setiap 100,000 kes kelahiran pada 1990 kepada 28 orang bagi setiap kes yang sama pada 2009 dengan adanya rawatan berkala secara percuma ketika hamil dan selepas melahirkan anak. Sistem jagaan yang begitu sistematik dengan mengadakan lawatan ke rumah pada hari ketiga, keempat, kelapan dan ke-20 sangat membantu memulihkan kesihatan ibu sewaktu 40 hari pertama manakala bayi diberikan imunisasi dan rawatan susulan sehingga anak berusia enam tahun. Begitu juga dengan ibu diberi khidmat kaunseling dan nasihat mengenai perancangan keluarga secara percuma. "Rawatan yang disediakan di tempat yang sama memudahkan ibu dan anak mendapat rawatan susulan. Malah tidak wujud tanggapan kos terlalu tinggi untuk mendapatkan rawatan kerana semuanya disediakan tanpa sebarang bayaran," katanya. Keadaan ini berbeza di negara dunia ketiga apabila kesihatan ibu dan anak menjadi masalah utama disebabkan kelemahan sistem itu sendiri selain kurang kakitangan terlatih, bekalan darah, ubat-ubatan serta rawatan kecemasan yang membolehkan ibu bersalin mendapat bantuan segera. Bagi mengelak komplikasi ketika bersalin, ibu seharusnya datang ke pusat kesihatan bagi mendapatkan rawatan. Ini bagi mengelak berlaku sebarang masalah dan bagi membolehkan ibu bersalin dalam keadaan selamat. "Bagi kelahiran selamat, seorang ibu sepatutnya bersalin dengan seorang bidan terlatih bagi mengelak sebarang komplikasi. Malah pusat kesihatan atau hospital harus mempunyai semua kelengkapan terutama peralatan, darah dan ubat-ubatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," jelas Dr Raj. Kematian ketika melahirkan anak bukan saja membawa masalah kesihatan namun kesan sosial dan ekonomi kepada negara. Ini kerana bayi yang dilahirkan tanpa ibu ini tidak mendapat perhatian secukupnya. Mereka bukan saja hilang kasih sayang tetapi juga tidak mendapat khasiat pemakanan terutama susu ibu. Apabila anak-anak ini membesar dikhuatiri akan memberi kesan kepada emosi mereka. Selain itu, kakak atau abang serta ahli keluarga yang lain terpaksa berhenti sekolah kerana ingin menjaga adik-adik. Ini akan menyebabkan masyarakat terperangkap lebih mendalam dalam isu kemiskinan. "Kesan lebih besar juga berlaku kepada ekonomi negara apabila negara akan hilang sumber pendapatan disebabkan ketiadaan wanita yang turut memberi sumbangan kepada ekonomi negara," jelasnya. Tuan rumah persidangan Women Deliver Global 2013 Oleh kerana Malaysia adalah negara membangun yang menunjukkan kesan positif dengan pengurangan kadar kematian ketika melahirkan anak, negara ini diberi penghormatan menjadi tuan rumah Persidangan Ketiga Women Deliver Global 2013 yang memberi tumpuan bagi mengurangkan kematian ibu bersalin dan mencapai matlamat terhadap kesihatan reproduktif. Persidangan anjuran pertubuhan yang berpangkalan di New York, Women Deliver memperjuangkan usaha mengumpulkan suara dari seluruh dunia ke arah memperbaiki kesihatan gadis dan wanita. Hampir 5,000 perwakilan dari 161 negara dijangka hadir yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mei ini. Menurut Dr Raj, menerusi sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kerana kedudukannya sebagai negara demokratik, sedang membangun dan liberal dengan dasar sosio ekonomi dan pembangunannya yang stabil serta kukuh. "Malaysia terkenal dengan usaha memperbaiki kesihatan dan kadar kematian ibu bersalin sebagai inisiatif utama negara, jauh mendahului apa yang dijalankan oleh agensi antarabangsa. Selain itu, keamanan serta sistem penjagaan kesihatan komprehensif yang dirancang rapi adalah sebab utama ia diadakan di sini," katanya. Malah Malaysia adalah negara Asia pertama dipilih menganjurkan persidangan memandangkan pencapaian yang begitu positif dalam mengurangkan kadar kematian ibu bersalin pada setiap tahun. Ia sekali gus akan menjadi batu loncatan kepada negara lain belajar dan mencari kaedah terkini untuk negara mereka. Persidangan tiga hari yang akan bermula pada 28 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan mengetengahkan penceramah terkenal seperti Melinda Gates, pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates serta bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet. Penceramah lain yang turut menyertainya ialah anggota Parlimen Kemboja, Mu Sochua; Anuradha Gupta dari Kementerian Kesihatan India dan Gita May dari Kementerian Kesihatan Indonesia. Dr Raj berharap lebih ramai delegasi dari seluruh dunia akan mendaftar untuk menyertai persidangan berkenaan. Inilah masanya wanita dari seluruh dunia berkumpul serta membincangkan mengenai pelbagai masalah, kaedah terbaru dan cara rawatan bagi mengurangkan kadar kematian ibu bersalin serta mengetengahkan kemajuan yang dicapai berhubung hak dan kesihatan wanita. Mereka yang berminat menyertai persidangan boleh melayari laman sesawang www.womendeliver.org untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendaftaran. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29 |
Posted: 28 Apr 2013 09:16 AM PDT Ahad ini akan berlangsunglah 'pesta' besar-besaran di seluruh negara. Tidak kira sesibuk manapun kita, sama ada membantu kempen atau sekadar mendengar ceramah politik, soal kesihatan jangan dipandang remeh kerana risiko mendapat jangkitan sentiasa terbuka terutama apabila berada di tempat yang ramai orang. Jika kurang sihat, walaupun selesema yang dianggap sebagai masalah kesihatan biasa dan ringan, disarankan supaya berehat di rumah walaupun desakan hati begitu kuat untuk memeriahkan acara besar yang hadir lima tahun sekali ini. Bukan apa, inilah perkara mudah yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan orang lain daripada mendapat jangkitan.
Penyakit yang mudah berjangkit memang sentiasa menunggu-nunggu suasana seperti ini di mana ramai orang berkumpul pada satu tempat. Ini kerana jangkitan penyakit bawaan virus contohnya selesema dan influenza boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga. Jika seseorang batuk atau bersin dengan tidak menutup mulut, percikan halus air liur dan cecair hidungnya akan berterbangan di udara dan dengan mudah memasuki saluran pernafasan orang lain. Maka akan bermulalah 'pengembaraan baru' bagi satu-satu jenis virus seperti virus penyebab selesema dan influenza termasuklah H1N1.
Setakat ini saintis di China sudah mengesahkan adanya jangkitan virus influenza H7N9 daripada ayam kepada manusia tetapi belum ada bukti menunjukkan penularan virus ini dari manusia kepada manusia. Sebenarnya virus influenza dikelaskan mengikut aktiviti dua jenis antigen iaitu H (haemagglutinin) dan N (neuraminidase). Antigen H ada 17 subtip dan antigen N pula ada 10 subtip. Gabungan aktiviti dua antigen inilah timbulnya nama virus seperti H1N1, H5N1 dan H7N9. "Virus influenza H7N9 tidak sama dengan H1N1. Jika disebut H7, bermakna biasanya virus itu datang daripada unggas atau burung. Namun apa yang penting untuk diketahui ialah virus influenza cukup suka dan mudah mengalami mutasi dan menghasilkan ahli (jenis virus) baru dalam keluarga influenza," katanya. Influenza H7N9 ini adalah salah satu virus dalam kumpulan besar virus H7 yang biasanya ada pada burung. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) walaupun sesetengah virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) kadangkala ditemui menjangkiti manusia, tetapi tiada laporan mengatakan wujudnya jangkitan H7N9 daripada burung ke manusia sehinggalah berlakunya kes di China. Di bawah disenaraikan beberapa persoalan yang kerap dikemukakan mengenai virus influenza. Adakah gejala jangkitan H7N9 sama seperti H1N1? Dr Lee berkata, virus ini memberikan gejala yang sama seperti influenza lain, cuma individu dijangkiti akan mengalami pneumonia (radang paru-paru) yang teruk. Gejala lain termasuklah demam, batuk dan sesak nafas. Bagaimana virus yang sepatutnya berada dalam keluarga unggas ini boleh menjangkiti manusia? Tiada siapa tahu jawapan yang pasti, tetapi penyelidik mendapati virus influenza boleh mengalami mutasi dan mengadaptasi untuk membolehkannya hidup dalam badan mamalia (termasuk manusia). Adaptasi ini termasuklah keupayaannya untuk berpaut pada sel mamalia dan membiak pada suhu badan. Adakah H7 sejenis virus baru? Tidak, kata Dr Lee. Virus H7 sudah dikesan sebelum ini dan berdasarkan maklumat WHO, dari 1996 hingga 2012, jangkitan virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) dilaporkan berlaku di Belanda, Itali, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang semuanya membabitkan unggas dan ternakan ayam. Adakah virus H7N9 berbeza dengan H1N1 dan H5N1? Ya. Walaupun ketiga-tiga virus ini dalam kelompok virus influenza A, setiap satu jauh berbeza. H7N9 dan H5N1 dianggap virus influenza haiwan yang kadangkala menjangkiti manusia. Sebaliknya virus H1N1 boleh dibahagikan kepada jenis yang menjangkiti manusia saja dan jenis yang menjangkiti haiwan saja. Namun selepas negara kita dilanda virus H1N1, Kementerian Kesihatan menganggapnya sebagai virus influenza bermusim menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak khususnya di bawah lima tahun, warga emas melebihi 65 tahun, wanita mengandung dan penghidap penyakit kronik contohnya kencing manis. Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti virus H7N9? Dalam laporan terbaru, saintis di China mengesahkan adanya jangkitan virus ini daripada ayam ke manusia. Bagaimana jangkitan itu berlaku, belum dapat dipastikan tetapi kini langkah ketat diambil bagi mengekang penularannya. Adakah selamat untuk pergi ke China? Sehingga kini, WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan untuk ke China. Bagaimanapun Dr Lee berkata, jika tiada urusan penting dan sekadar mahu pergi melancong ke China terutama Shanghai dan Beijing, sebaiknya tangguhkan dulu rancangan itu. Jika ada urusan penting membabitkan keluarga, pendidikan, perniagaan dan seumpamanya, ambillah langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri. "Berdasarkan maklumat, jangkitan virus H7N9 terkawal tetapi apakah keadaan sebenar seperti yang didakwa, tiada siapa tahu. Risiko ada tetapi mungkin tidak tinggi. Jadi untuk mengurangkan risikonya, eloklah ditunda dulu perjalanan anda. Jika berada di China, elakkan daripada pergi ke pasar basah atau menyentuh ayam atau burung yang dijual di sana," katanya. Apakah langkah pencegahan yang perlu diambil? Dr Lee menyenaraikan beberapa langkah mudah iaitu: a. Sentiasa jaga kebersihan tangan - menjaga kebersihan tangan sepatutnya menjadi amalan seharian kita, tidak kira ada penularan penyakit atau tidak. Bawa cecair pembunuh kuman beralkohol untuk digunakan terutama jika berada di tempat yang sukar mendapat air bersih. b. Sentiasa bawa penutup hidung dan mulut, tisu atau sapu tangan ke mana saja anda pergi. c.Cuba untuk tidak berada di tempat yang sesak walaupun penularan virus daripada manusia ke manusia. d. Jika perlu berada di tempat yang ramai orang, pakai penutup hidung dan mulut. e. Jika anda batuk dan perlu keluar, pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menyebarkan virus yang ada pada anda kepada orang lain. Jika tidak, pastikan anda menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin supaya virus yang ada dalam air liur dan cecair hidung anda tidak berterbangan dan memasuki saluran pernafasan orang lain. Jika tiada tisu atau sapu tangan, halakan mulut anda ke bahagian dalam lengan setiap kali batuk atau bersin. Ini adalah tempat yang paling kurang disentuh atau bergesel dengan orang lain. Begitu juga jika anda berdiri berhampiran orang yang batuk, segeralah menutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan. f. Usah bimbang untuk makan daging daripada keluarga burung (termasuk ayam) selagi ia dimasak sepenuhnya. Maknanya, semua dagingnya perlulah berwarna putih (tiada bahagian yang berwarna kemerah-kemerahan). Telur juga selamat dimakan, asalkan kulitnya dicuci bersih sebelum dimasak. g. Hentikan tabiat suka meludah merata-rata. Oleh kerana virus influenza mudah mengalami mutasi, adakah perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza tahunan? Jika ada kemampuan dan keperluan, tidak salah untuk mendapatkannya khususnya bagi individu yang ada urusan di China. Bagaimanapun, keperluan ini lebih tertumpu pada kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit yang mempunyai masalah paru-paru, asma, lupus, kegagalan buah pinggang, kencing manis dan pengguna ubat steroid serta mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Kumpulan berisiko ini bukanlah bermakna mereka lebih mudah mendapat jangkitan tetapi jika terkena, mereka lebih cenderung mengalami komplikasi yang akan membahayakan nyawa. Setiap tahun WHO akan membuat dua penilaian ke atas keadaan epidemiologi dunia dan menyarankan jenis vaksin baru yang bersesuaian. Kandungan vaksin ini berbeza setiap tahun. Secara umumnya, vaksin influenza tahunan (bermusim) ini adalah trivalen iaitu mengandungi campuran strain virus influenza A dan B yang dijangka akan menyerang pada musim akan datang. Bagaimanapun, vaksin ini tidak melindungi kita daripada H7N9. Pun begitu, dengan mengambilnya anda terlindung daripada virus influenza yang lain iaitu H1N1, H3N2 dan influenza B. "Tidak perlu terlalu risau tetapi sentiasalah berwaspada demi menjaga kesihatan diri sendiri dan keluarga. Jika anda mendapat jangkitan walaupun virus influenza biasa atau selesema, orang yang paling berisiko untuk dijangkiti ialah anak-anak. "Paling penting, sentiasa amalkan penjagaan kebersihan tangan. Mencegah dan melindungi itu lebih mudah daripada mengubati. Kita tidak akan rugi apa-apa kalau menjadikan penjagaan kebersihan tangan yang menjadi ejen paling cekap untuk memindahkan jangkitan sebagai amalan sepanjang hayat," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |